Skip to main content

Tarikh: 12 September 2026

Tempat: Perkarangan Pekan Sook

Masa: 8.00 malam

Penceramah: Ustaz Dr. Haji Das’ad Latif (S.Sos., Ag., M.Si., Ph.D.)

Telah berlangsung Program Siraman Ilmu bersempena Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di perkarangan Pekan Sook pada 12 September 2026.

Program tersebut menampilkan ulama Nusantara dari Indonesia, Ustaz Dr. Haji Das’ad Latif (S.Sos., Ag., M.Si., Ph.D.) sebagai penceramah khas. Kehadiran beliau telah memberikan pengisian ilmu dan nasihat yang bermanfaat kepada para hadirin yang hadir dalam program tersebut.

Turut hadir bersama memeriahkan program ialah YB Jordan Jude Ellron, Pembantu Menteri Pendidikan, Sains dan Inovasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.44 Tulid, serta Tuan Hasinin bin Kinsim, Pegawai Daerah Sook.

Acara pembukaan turut diserikan dengan persembahan khas daripada Nadwah Production dan Saudara Muaz, sekali gus menambahkan kemeriahan suasana program sebelum sesi ceramah bermula.

Program Siraman Ilmu ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat. Dianggarkan sekitar 5,000 orang pengunjung hadir bagi mengikuti program tersebut, yang terdiri daripada masyarakat sekitar Daerah Sook serta kawasan-kawasan berdekatan.

Penganjuran program ini bukan sahaja menjadi wadah untuk menyemarakkan Sambutan Maulidur Rasul, malah turut menjadi platform untuk masyarakat berkumpul, mengeratkan ukhuwah dan bersama-sama mendapatkan pengisian ilmu serta peringatan agama.

Kehadiran ribuan masyarakat dalam program tersebut mencerminkan sambutan dan minat yang tinggi terhadap program-program keagamaan yang dianjurkan di daerah ini, di samping memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

" Madani Dihayati, Ummah diberkati "

Sekian, terima kasih.

,