A- A A+

1.png - 2.37 MB

2.png - 344.25 kB

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat.

 

SAUDARA HADIRIN JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH,

Islam satu sistem hidup yang bersifat rabbani dan menganjurkan kepada manusia agar sentiasa berlaku adil dalam setiap tindakan yang diambil.Islam menyeru agar meletakkan sesuatu pada sewajarnya, memberikan hak kepada yang berhak menerimanya serta menghukum manusia yang bersalah dengan hukuman setimpal tanpa membezakan antara manusia. Wujudnya masyarakat majmuk di negeri dan negara kita ini tentulah mempunyai banyak hikmah. Selain memberi peluang untuk saling mengenali di antara satu sama lain, ia juga memberi ruang kepada kita untuk memahami pelbagai keunikan dan keistimewaan yang menjadi amalan setiap suku kaum dan keturunan. Allah SWT berfirman menerusi surah al Hujurat ayat 13 :

3.png - 201.72 kB

Yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”

 

JAMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI,

Kita baharu sahaja menyambut hari Malaysia, maka sewajarnyalah kita terus berusaha untuk mempertahankan kemerdekaan negeri dan Negara ini dengan sepenuh hati. Untuk menjalani kehidupan yang berjaya, kita perlu menerima fakta kehidupan hidup dalam suasana penuh dengan kerencaman dan kepelbagaian. Alangkah baiknya jika kita dapat terus memperkukuhkan perpaduan, meskipun hidup dengan berbilang bangsa, budaya, adat mahupun kepercayaan beragama. Sejak mulanya tamadun Islam, orang Islam telah hidup sebagai anggota masyarakat majmuk. Tekunilah dan pelajarilah tinta sejarah yang pernah dijalani oleh baginda Rasulullah SAW. Termeterainya piagam atau perlembagaan Madinah merupakan manifestasi keharmonian hidup bermasyarakat yang pelbagai.

Dalam sebuah hadith yang panjang, ketika khutbah wada’, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : “Wahai manusia! Ingatlah bahawa Tuhan kamu adalah satu dan ingatlah tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang Ajam dan tidak ada kelebihan orang Ajam ke atas orang Arab dan tidak ada kelebihan orang berkulit hitam ke atas orang berkulit merah kecuali orang yang bertaqwa “ (HR.Ahmad).

 

JAMAAH JUMAAT YANG DIHORMATI,

Islam memberikan penekanan kepada kedamaian hidup individu, baik daripada aspek fizikal dan mental seseorang, Islam juga menggalakkan keharmonian masyarakat dan keamanan bersama agar semua manusia dapat menjalani kehidupan dengan sentosa dan harmoni. Kita seharusnya mencari titik persamaan, agar negeri dan Negara kita Malaysia menjadi sebuah Negara contoh yang menjunjung erti ‘Kesatuan Dan Perpaduan’ dalam kalangan rakyatnya. Kita perlu berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat iaitu menuju ke arah kebaikan, kemajuan dan pembangunan seimbang yang menghasilkan “Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur” iaitu negara yang baik dan diampuni Tuhan. Marilah kita hilangkan sifat taksub atau rasis perkauman dan ekstrim agama yang membawa permusuhan antara kita, kerana permusuhan itu adalah tuntutan nafsu. Sekiranya wujud perbezaan pendapat sesama kita, maka raikanlah perbezaan tersebut dengan hati yang terbuka. Perbezaan pendapat atau pandangan yang dilihat dari sudut positif, ia boleh membawa rahmah dan kebaikan. Sebaliknya jika ia dilihat sebagai pemisah, maka ia boleh menjurus kepada perpecahan dan permusuhan di antara kita. Seperti firman Allah SWT menerusi surah ali-Imran, ayat 101 :

4.png - 208.81 kB

Yang bermaksud: “Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).

5.png - 133.52 kB

6.png - 422.06 kB

7.png - 398.72 kB

 

Muat turun khutbah 1

Muat turun khutbah 2

 

1.png - 2.39 MB

2.png - 231.48 kB

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN ALLAH!

Segala puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam yang rahmat-Nya sentiasa kita dambakan. Selawat serta salam kepada Nabi Muhammad SAW, yang syafaatnya kita harapkan pada hari akhirat kelak. Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT, dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan menghindari segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh balasan syurga di akhirat nanti.

 

JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH,

Apabila memperkatakan nikmat Allah, ia tidak terhad hanya kepada rezeki berupa harta benda sahaja. Ia meliputi kesempatan hidup di dunia ini, hidup berkeluarga dan beranak-pinak, sihat tubuh badan, keindahan alam sekitar, ketenangan jiwa, aman menjalankan urusan harian dan lain-lain lagi.

Di dalam al-Quran, Allah telah menegaskan bahawa manusia tidak akan berupaya menghitung jumlah nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada mereka. Malangnya kebanyakan daripada kita selaku makhluk ciptaan Allah terkadang terlupa atau tidak terlintas untuk sekadar mengucapkan “terima kasih' kepada Yang Maha Pemberi, Allah SWT. Orang yang tidak mahu dan tidak tahu berterima kasih dan bersyukur kepada Allah disifatkan sebagai kufur nikmat.

Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 34:

3.png - 150.06 kB

Maksudnya: “Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang  kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukannya bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.”

Sehubungan dengan penegasan Allah tersebut, marilah kita syukuri setiap kurniaan dan takdir Allah SWT buat kita. Jangan kita terlena hingga kita lupa dan mendakwa segala kesenangan serta kejayaan yang kita raih adalah hasil jerih payah kita sendiri, tanpa mengambil kira Allah sebagai Maha Pemberi. Ketahuilah, Allah telah berjanji bahawa kehidupan yang lebih makmur akan dinikmati oleh umat yang tahu dan mahu bersyukur. Manakala azab yang pedih akan menanti orang yang kufur.

 

PARA JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,

Untuk menzahirkan rasa syukur terhadap segala nikmat Allah SWT tidaklah memadai dengan hanya bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bertakbir sahaja. Paling utama adalah untuk mematuhi segala suruhan Allah dan meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Dalam erti kata lain, prasyarat utama dalam meraih lebih banyak nikmat sekali gus memakmurkan hidup adalah bertakwa kepada Allah SWT.

Beristighfar atau memohon ampun kepada Allah SWT bukan sahaja merupakan jalan untuk menghapuskan dosa individu Muslim, malahan ia juga merupakan satu cara untuk memperolehi berbagai-bagai jenis rezeki daripada Allah SWT sepeerti air hujan, kebun tanam- tanaman, anak-pinak dan sebagainya. Hal ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah an-Nuh, ayat 10 hingga 12 yang bermaksud: “Sehingga Aku berkata (kepada mereka)”  Pohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu; Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

 

MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Satu lagi jalan atau cara untuk memakmurkan diri dengan berbagai anugerah Allah SWT ialah melalui jalan sedekah. Untuk bersedekah, tidak semestinya terletak di bahu golongan yang kaya dan berada sahaja. Sesiapapun boleh melakukan sedekah menurut kemampuan masing-masing. Ini kerana, seringan-ringan sedekah ialah memberikan senyuman.

Menyentuh kelebihan sedekah ini, Allah SWT menjelaskan dalam surah al-Hadid ayat 18 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.”

Orang yang bersedekah bukan sahaja diganjari rezeki di dunia, malahan akan dibalas dengan pahala berlipat ganda. Dengan pahala yang dikurniakan memungkinkan seseorang yang suka bersedekah kerana Allah beroleh kebahagiaan hidup di akhirat.

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil kesimpulan,bahawa nikmat yang diberikan ada tujuannya dan kita yang menikmatinya ada kewajipan masing-masing yang perlu ditunaikan. Salah satu daripada kewajipan kita adalah untuk mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan Allah dan memanfaatkannya pada jalan kebajikan. Dan sesungguhnya, bertakwa kepada Allah , beristighfar dan bersedekah adalah antara bentuk penzahiran rasa syukur terhadap segala nikmat kurniaan Allah. Ketiga-tiga amalan tersebut bukan sahaja mengundang kemakmuran hidup di dunia, malahan menatijahkan kemakmuran yang lebih bermakna dan kekal abadi di akhirat nanti. Insya Allah!

Firman Allah:

4.png - 113.71 kB

 

Maksudnya: Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).(S. al-Baqarah: 152)

5.png - 128.40 kB

 

Muat turun khutbah 1

Muat turun khutbah 2

1.png - 2.30 MB

2.png - 468.44 kB

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan ini diberkati di dunia dan di akhirat.

 

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Kehidupan yang harmoni adalah salah satu tunjang yang menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan hidup di negara ini. Melalui kehidupan yang harmoni, masyarakat dapat bersatu tenaga dan fikiran bagi melaksanakan sesuatu untuk kebajikan bersama. Hal ini adalah disebabkan tenaga seorang individu tidak mampu mengatasi pelbagai tugas hidup. Sebaliknya tenaga ramai yang disatupadukan boleh menghasilkan kejayaan yang luar biasa. Oleh itu, tatkala umat bersatu padu, maka kejayaan yang cemerlang akan dicapai dan begitu juga sebaliknya. Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 103:

3.png - 373.96 kB

 

 

Maksudnya: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah 1menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara.

Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Menurut Al Hafidz Ibnu Kathir rahimahullah, ayat ini menjelaskan bahawaAllah SWT memerintahkan umat Islam untuk berjamaah/bersatu dan melarang berpecah-belah. Sesungguhnya kesatuan menjamin daripada berlakunya kesalahan.

 

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI,

Islam merupakan agama petunjuk yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada manusia dengan tujuan membawa manusia ke arah keharmonian dan kesejahteraan hidup didunia dan di akhirat. Dalam lslam, nilai agama bertunjangkan kepada tauhid dan bersendikan akidah dan syariah. Nilai yang dipegang adalah ajaran dan panduan dari al-Quran dan al-Sunnah. Sesungguhnya Islam adalah ad-Din yang merangkumi fitrah manusia, naluri, jasad, roh, akal, individu, masyarakat dan hubungan manusia dengan makhluk-makhluk lain. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13:

4.png - 211.95 kB

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Berdasarkan ayat ini, kita mendapati bahawa risalah Nabi Muhammad SAW itu membahagikan manusia kepada dua kumpulan iaitu Ummah Dakwah yang merangkumi seluruh manusia, sama ada Islam dan bukan Islam; dan yang kedua, Ummah Ijabah iaitu manusia yang sudah memeluk Islam. Apapun pembahagiannya, kedua-duanya adalah tetap umat Nabi Muhammad S.A.W yang dikenali sebagai masyarakat majmuk berlandaskan kepelbagaian kaum dan agama dalam sebuah negara. Apa yang jelas, Allah SWT telah menjadikan manusia itu pada dasarnya satu keluarga walaupun mereka itu berbeza bangsa dan bahasa.

 

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,

Sesungguhnya kita sangat beruntung kerana di negara ini walau pun terdapat banyak bangsa dan agama, namun kita masih dapat mengecapi keharmonian dan kebersamaan antara satu sama lain. Sesungguhnya nikmat keharmonian ini wajar disyukuri kerana ia merupakan suatu nikmat yang sangat berharga dan tidak ternilai. Rasulullah SAW berpesan agar kita mengamalkan akhlak terpuji dan jangan menyakiti orang lain. Abu Musa al-Asy’ari meriwayatkan:

5.png - 147.42 kB

Mafhumnya: “Suatu ketika, Rasulullah SAW ditanya, “Muslim yang bagaimanakah  paling utama?” Nabi bersabda, “Muslim yang paling utama ialah seorang Muslim  yang mana orang-orang Muslim (lainnya) selamat dari keburukan mulut dan  tangannya”.

Justeru, sebagai mukmin sejati nikmat keharmonian dalam masyarakat yang telah sekian lama tersemai di negeri kita ini hendaklah dijaga dengan sebaik-baiknya. Sirami dan teguhkanlah ia dengan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Jangan biarkan ia terkubur dek fahaman serta ideologi luar yang mengganggu gugat anugerah yang tiada tolok bandingannya ini.

6.png - 160.35 kB

Maksudnya: Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang- orang yang mendapat petunjuk”. (Surah al- Qalam: 7)

7.png - 484.12 kB

8.png - 426.31 kB

9.png - 398.31 kB

Muat turun khutbah 1

Muat turun khutbah 2

 

A1.jpg - 308.12 kB

A2.jpg - 75.27 kB

MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Sesungguhnya sifat takwa adalah bekalan paling bernilai menuju kampung akhirat. Dsebabkan itu, kita dituntut supaya sentiasa berusaha meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, dalam erti kata melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya supaya terselamat pada hari Kiamat yang mengandungi peristiwa-peristiwa yang sangat mengerikan. Allah SWT menegaskan melalui firman-Nya dalam surah al-Hajj, ayat 1 yang bermaksud: “Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari Kiamat itu suatu perkara yang amat besar.”

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH,

Al-Quran menjelaskan bahawa kemuliaan seseorang individu atau kelompok tertentu tidak terletak pada susur galur keturunan mahupun bangsanya. Neraca kemuliaan manusia terletak pada tingkat ketakwaannya kepada Allah SWT. Manakala melalui penciptaan umat manusia yang berbilang kaum dan suku puak, Allah SWT menuntut kita semua selaku hamba-Nya supaya melihat kepelbagaian perbezaan yang ada sebagai wasilah untuk menjalinkan hubungan, perkenalan dan ramah mesra antara satu sama lain, dan bukannya untuk bersengketa dan bermusuh-musuhan.

Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 13:

A3.jpg - 22.11 kB

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Dengan kata lain, tanpa mengira suku kaum, keturunan dan latarbelakang sosial masing-masing, manusia sewajarnya menerima hakikat keadaan mereka sebagai satu rahmat dan bukannya mudarat. Maka, segala perbezaan yang ada perlu dihormati agar ia menjadi titik untuk menyubur semangat persaudaraan bagi menjana perpaduan demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Jemaah itu membawa rahmat dan perpecahan itu membawa azab.” (HR Ahmad)

Seiringan itu, kita hendaklah berusaha sedaya upaya mencari titik persamaan dan menjauhi titik perbezaan serta perselisihan. Semua pihak perlu mengurangkan perbezaan idealisme masing-masing dalam mencari titik persamaan. Perbezaan idealisme tidak boleh mengatasi tuntutan memperkukuh ukhuwah dan perpaduan ummah. Demikian juga, perbezaan pendapat tidak seharusnya berlanjutan menjadi perbezaan isi hati hatta mengugat persaudaraan dan perpaduan umat Islam.

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH,

Walaupun perpaduan ummah tidak dapat ditegakkan sepenuhnya disebabkan halangan yang tidak dapat dielakkan, namun setiap dari kita harus menyedari bahawa perpecahan dan permusuhan merupakan perkara yang ditegah dalam Islam. Allah SWT telahpun memberi peringatan tentang bahaya perselisihan faham dan perpecahan ini menerusi firman-Nya dalam surah al Anfal, ayat 46 yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul- Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Selaras dengan perintah Allah tersebut, maka janganlah kita bertelagah sesama kita kerana perpecahan amat merugikan umat Islam dan Negara kita. Marilah sama-sama pertahan perpaduan yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW selama ini dengan memperkukuhkan  ukhuwah dan perpaduan Islam di samping memperbaiki kelemahan di antara satu sama lain. Ini adalah kunci kekuatan Islam, seterusnya menjadi asas kelangsungan NegaraMalaysia yang penduduk majoritinya beragama Islam.

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Kesimpulannya saudara-saudara sekalian, para pemimpin Islam di semua peringkat perlu bersatu, memimpin masyarakat Islam dan Bumiputera ke arah penyatuan ummah. Segala sengketa dan perselisihan yang berlaku perlu diketepikan, seterusnya serius duduk merancang dan memikirkan agenda umat secara bersama. Inilah fikrah merealisasikan merai persamaan dan menghormati perbezaan dalam kerangka menjana kemajuan dan perpaduan ummah di negara ini. Firman Allah SWT:

A4.jpg - 9.60 kB

Maksudnya: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap  kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran, disertai kemudahan.” (S. al-Insyiraah: 5-6).

A5.jpg - 92.02 kB

 

B1.jpg - 168.40 kB

B2.jpg - 173.43 kB

Muat turun khutbah 1

Muat turun khutbah 2

MERDEKA.png - 378.14 kB

1.png - 50.43 kB

MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Marilah bersama-sama kita pertingkatkan rasa kesyukuran dan ketakwaan ke hadrat Allah SWT. Kita bersyukur kerana pada ketika ini sekali lagi kita dapat meraikan detik bersejarah yang amat bermakna dalam kehidupan kita bermasyarakat dan bernegara, iaitu Sambutan Hari Kebangsaan negara yang ke-63 Kita bersyukur kerana melalui kemerdekaan ini kita mengenal erti keamanan, kita bersua dengan nikmat kemajuan dan kemakmuran yang merupakan anugerah Allah kepada kita sebagai rakyat bertuah di bumi Malaysia ini.

Lihatlah sejarah yang pernah tercatat di tanah air kita, betapa sukarnya hidup bernaung di bawah cengkaman penjajah. Lihatlah bagaimana penjajah memeras tenaga, bagaimana mereka membelenggu pemikiran dan mengaut segala hasil mahsul kita. Dan yang lebih berbahaya lagi ialah bagaimana penjajah itu berusaha memastikan agar setiap pribumi tertinggal jauh di belakang dari sudut pendidikan atau keilmuan serta alpa dan terpesong dari aspek budaya dan penghayatan beragama.

Hari ini berkat kemerdekaan itu, yang diperjuangkan oleh para pahlawan yang terdiri dari kalangan pemimpin, ulamak dan rakyat keseluruhannya kita telah dianugerahkan oleh Allah dengan nikmat keamanan, nikmat kesejahteraan dan kemakmuran justru memudahkan kita melaksanakan tuntutan hidup beragama, keperluan hidup berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat dengan penuh keselesaan.

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI OLEH ALLAH SWT SEKALIAN,

Ada beberapa perkara yang perlu direnungkan dan dihayati bersama dalam memastikan kemerdekaan yang sangat mahal harganya ini dapat kita pertahankan, baik kemerdekaan tanah air, mahupun kemerdekaan minda, pemikiran, budaya dan jiwa kita dari dijajah dan terjajah.

Pertama, salah satu nikmat besar yang dianugerahkan oleh Allah SWT hasil daripada kemerdekaan negara ialah nikmat keamanan yang membolehkan kita mengecapi kemakmuran dan kesejahteraan. Nikmat ini hendaklah disyukuri dengan mengekalkan pra syarat kepada keamanan berkenaan iaitu dengan mempertahankan ikatan persefahaman dan perpaduan. Perlu diingat bahawa kekuatan perpaduan inilah yang menjadi asas kejayaan kita mencapai kemerdekaan. Justeru, segala unsur yang boleh menjejaskan perpaduan seperti hasad dengki, suka berdendam, gemar memfitnah dan permusuhan hendaklah dihindarkan dari kehidupan kita bermasyarakat. Rasulullah SAW pernah mengingatkan dalam sebuah hadisnya yang bermaksud:

Dan janganlah kamu bertelingkah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu bertelingkah lalu mereka binasa”. (HR: Ahmad)

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Perkara kedua yang menjadi asas terpenting dalam memastikan kelangsungan kemerdekaan ini ialah penguasaan keilmuan. Ketika penjajah dahulu, hanya golongan yang tertentu sahaja yang diberikankeistimewaan untuk menimba ilmu pengetahuan. Namun setelah kita merdeka semua rakyat berhak untuk menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan sehingga ramai dikalangan kita yang berjaya menjadi para cendekiawan, ulamak dan menjadi golongan professional dalam pelbagai bidang. Sebagai umat Islam, agama kita yang suci ini jelas memberikan penekanan terhadap bidang keilmuan. Oleh itu kita perlu berada di hadapan dalam meneroka pelbagai disiplin ilmu, agar umat Islam tidak terpinggir dan hanya menjadi sekadar penonton kepada arus pembangunan dan kemajuan negara.

Perkara ketiga yang lebih penting yang perlu diberikan perhatian dalam upaya mempertahankan serta mengisi nikmat kemerdekaan negara ialah dengan memastikan jati diri bangsa tetap berteraskan akidah dan akhlak Islamiah. Perlu diingat bahawa Islamlah yang menjadi pelopor kepada segala bentuk kemerdekaan. Islam memerdekakan jiwa insan dari belenggu kesyirikan dengan membawa mereka dari norma keberhalaan menuju nilai ketauhidan. Islam juga melepaskan insan daripada sistem perhambaan sesama manusia. Malah Islamlah yang memberikan jalan yang terbaik kepada manusia agar bebas daripada belenggu penjajahan budaya dan pemikiran menerusi kewajipan menuntut ilmu berpaksikan iman dan takwa.

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT SEKALIAN,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, adalah diharapkan semoga tiga perkara yang disebutkan tadi yang menjadi teras kemerdekaan ini iaitu penghayatan beragama, penguasaan ilmu dan ikatan perpaduan dapat bersama-sama diterjemahkan dalam kehidupan kita. Sebagai renungan sempena menyambut detik sejarah kemerdekaan negara yang ke-63. Marilah kita hayati firman Allah SWT dalam surah Saba’ ayat 15 :

2.png - 93.83 kB

3.png - 132.39 kB

4.png - 93.41 kB

Muat turun khutbah

Bilangan Pelawat

431533
TodayToday0
YesterdayYesterday1
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days431533

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila klik pada pautan email ini: @jheains