A- A A+

INFO PUSAT ZAKAT SABAH

zakat.jpg - 114.54 kB

SAUDARA JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT,

Setiap umat Islam hendaklah merebut pemerhatian dan kecintaan Allah SWT dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Inilah wasilah atau manhaj yang dapat menganjakkan kita ke darjat ketakwaan kepada Allah SWT bagi mencapai kecemerlangan di dunia dan kecemerlangan di akhirat.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah, dan beribadatlah kepada Tuhan kamu, serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu Berjaya (di dunia dan di akhirat).” (S Al-Haj: 77).

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Menjadi kewajipan bagi orang Islam yang akil baligh mempelajari fardu ain dan mengamalkannya. Terangkum di dalamnya ilmu akidah, syariat dan akhlak yang berkaitan dengan selok belok agama Islam. Ia penting bagi pembentukan dan pembinaan peribadi individu Muslim.

Dan akidah merupakan tunjang utama dan terpenting kerana ia berkait rapat dengan kepercayaan serta keimanan kepada Allah SWT. Menurut Kamus Dewan, akidah diertikan sebagai kepercayaan atau keyakinan. Kepercayaan ataupun keyakinan juga disebut sebagai iman yang merujuk kepada ketaatan terhadap ajaran agama. Ajaran yang diimani serta diyakini itu dijadikan pedoman, panduan dan pegangan dalam hidup ke arah mencapai kebahagiaan duniawi dan ukhrawi.

Dengan kata lain, akidah membawa maksud agama yang dianuti. Bagi orang Islam, akidah ataupun agamanya adalah Islam, iaitu agama samawi yang betul lurus serta lengkap dan sempurna. Ini bermakna, sebagai orang Islam, kita wajib berpegang kepada agama Islam dengan mematuhi dan melaksanakan segala ajarannya selaras dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran sebagaimana berikut:

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) menceraiberaikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.” (S. Al-An’aam: 153).

Firman Allah SWT lagi:

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat dari golongan yang rugi.” (S. Ali-Imran: 85)

Berdasarkan kepada mafhum firman Allah SWT tersebut, adalah jelas bahawa akidah sebenar ialah akidah Islamiah, iaitu akidah yang dituntut Allah SWT. Ia merupakan intisari utama dan tunjang terpenting yang terkandung dalam ajaran Islam. Ia mesti mendasari dan menunjangi setiap gerak geri dan aspek kehidupan kita di dunia ini. Tanpanya, sia-sialah saja amalan yang kita lakukan di sisi Allah SWT, yang dengannya memungkinkan diri termasuk golongan yang rugi di akhirat kelak.

HADIRIN JEMAAH YANG MULIA,


Asas akidah Islam terangkum dalam enam rukun Iman seperti berikut:

Pertama, percaya serta beriman kepada Allah, yang meliputi mengetahui Nama dan Sifat-sifat-Nya yang Mulia, mengenal tanda-tanda kewujudan dan kebesaran-Nya di alam ini.

Kedua, percaya serta beriman kepada para malaikat.

Ketiga, percaya serta beriman kepada Kitab-kitab yang diturunkan Allah seperti Zabur kepada Nabi Daud AS, Taurat kepada Nabi Musa AS, Injil kepada Nabi Isa AS dan al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Keempat, percaya serta beriman kepada para nabi dan rasul yang dipilih Allah untuk memimpin umat manusia ke arah kebenaran.

Kelima, Percaya serta beriman kepada hari akhirat yang meliputi peristiwa kebangkitan dari kubur, timbangan amal, balasan syurga dan neraka dan sebagainya.

Keenam, percaya serta beriman kepada Qada dan Qadar Allah yang mencipta dan mengatur perjalanan hidup di alam ini.

Kesemua enam rukun iman ini wajib diyakini sungguh-sungguh oleh setiap orang Islam yang mengakui bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan mengakui bahawa Muhammad itu pesuruh Allah. Ini sejajar dengan firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad SAW) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya dan kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.” (S. An-Nisaa’: 136).

Justeru, rukun Iman menjadi ikatan setiap orang yang mengaku beriman dan Islam. Apabila salah satu rukun itu diingkari, maka iman seseorang itu dikira telah rosak.

SAUDARA JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Hakikatnya, Isu akidah teramat penting kerana ia adalah pembeza di antara seorang Islam dengan bukan Islam. Akidah Islam memimpin umat ke arah keredaan Illahi dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Kerana itu, umat Islam hari ini mesti menitiberatkan serta menekankan soal memperkukuhkan akidah. Ia bagi memelihara kesucian akidah, kepercayaan, perkataan, dan perbuatan daripada kancah kesesatan dan kebatilan.

Perkara ini perlu diberikan perhatian yang serius kerana ancaman terhadap akidah umat Islam tiada noktahnya. Budaya turun temurun yang bertentangan dengan Islam hendaklah ditinggalkan. Begitu juga dengan usaha mencari rezeki yang halal hendaklah melalui pekerjaan yang halal. Selain daripada tahyul, khurafat dan taksub dengan bomoh yang masih belum dapat dibasmi dalam masyarakat kita, kita juga dilanda dengan aliran fahaman liberalism dan pluralism yang boleh menggugat akidah umat Islam. Golongan yang berfahaman liberalisme dan pluralisme ini mendakwa semua agama adalah sama. Dan, keyakinan yang dibina sedikit demi sedikit boleh menyebabkan umat Islam di negara ini terpengaruh dan secara tidak sedar mengiktiraf kebenaran agama lain selain agama Islam.

Padahal, Islam adalah agama yang tertinggi martabatnya dan satu-satunya agama yang diredai di sisi Allah SWT. Atas kebenaran itu, Islam dimaktubkan sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, yang antara lain membawa implikasi ajaran Islam boleh dijadikan panduan dalam urusan pentadbiran masyarakat dan Negara.

Sehubungan itu, selain perlu menangkis serangan gerakan kumpulan yang menyebarkan kefahaman liberalisme dan pluralisme agama, kita juga perlu berusaha untuk mempertingkatkan keimanan dan kefahaman terhadap Islam. Hanya keyakinan dan kepercayaan yang tinggi terhadap Islam dan Allah SWT sahaja dapat mempertahankan kesucian agama Islam yang maha lengkap dan sempurna.

Dengan kata lain, amat perlu bagi kita semua untuk memastikan iman sentiasa terpahat kukuh dalam diri kita di samping melaksanakan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana, Iman merupakan roh bagi Islam dan amal ibadat itu merupakan jasad baginya. Dengan pelaksanaan ibadatlah akan terbina keutuhan diri dalaman, sekali gus melahirkan peribadi unggul.

MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih aku cintai daripada mukmin yang lemah.” (HR Muslim).

Oleh itu, bagi memastikan maruah agama Islam dan umatnya di Negara ini disegani dan sentiasa dihormati, maka kita perlu menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi di samping mengukuhkan akidah, memperbanyakkan amal salih dan memantapkan perpaduan. Semua ini akan menjadi benteng serta perisai kepada kita daripada sebarang ancaman dan cabaran dalam kehidupan. Dengan cara ini, umat Islam boleh mencapai alfalah (kejayaan) serta berupaya bersaing dengan bangsa dan negara lain. Ini bertepatan dengan anjuran Allah SWT:

Yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepada-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” (S. Al-Maa’idah: 35).

***
Disediakan dan diedar oleh:
Unit Penerbitan,
Bahagian Penyelidikan dan Informasi Jabatan Hal Ehwal agama Islam Negeri Sabah



NOTA: Teks khutbah ini mengandungi potongan ayat-ayat al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Mohon jaga dengan cermat dan tidak disepahkan.

Untuk sebarang maklum balas, sila berhubung dengan:
Unit Penerbitan, Bahagian Penyelidikan dan Informasi,
Jabatan Hak Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
088-522127/088-522142

Muat turun khutbah

 

 

MTHQK SABAH 2020M

Klik pada banner di atas untuk melihat galeri Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Negeri Sabah tahun 1441H / 2020M.

 

Bilangan Pelawat

423154
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days423154

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila klik pada pautan email ini: @jheains