A- A A+

corona1.png - 77.10 kB

Laman Sosial Rasmi

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah kita meningkatkan ketaqwaan ke hadrat Allah S.W.T, dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong sebagai hamba Allah yang terbaik, beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Ajaran Islam menitikberatkan tentang amanah dan tanggungjawab orang dewasa terhadap kanak-kanak. Jesteru, mimbar pada hari ini akan membicarakan tajuk khutbah “PELIHARA HAK ASASI KANAK-KANAK”.

HADIRIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Kanak-kanak adalah anugerah dan amanah yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada hambanya. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan hak dan kebajikan mereka sentiasa dipelihara. Mereka adalah bakal pewaris yang akan membangunkan negara dan menyebarkan syiar Islam pada masa hadapan.

Secara umumnya, Islam merujuk kanak-kanak sebagai seseorang yang belum baligh. Di dalam konteks Malaysia, kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001 dan diterimapakai di peringkat antarabangsa. Walau apa pun maksud yang diguna pakai, perlindungan dan perkembangan seorang kanak-kanak adalah bergantung kepada orang dewasa.

Tempoh untuk mencapai tahap kematangan yang sempurna untuk kanak-kanak adalah bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa untuk membuat keputusan ke atas perkara-perkara yang berkaitan dengan mereka. Oleh itu, golongan dewasa mempunyai pengaruh besar dalam pembentukkan peribadi kanak-kanak, sama ada membesar dengan identiti yang terpuji atau sebaliknya. Sebagaimana Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Syur’ara’, Ayat 132 hingga Ayat 135:

Bermaksud: “Dan berbaktilah kamu kepada Allah yang telah menolong kamu dengan pemberian nikmat-nikmatNya yang kamu sedia mengetahuinya. Diberinya kamu binatang-binatang ternak, serta anak-pinak (yang ramai). Dan taman-taman (yang indah permai) serta mata air-mata air (yang mengalir). Sesungguhnya aku takut, (bahawa) kamu akan ditimpa azab seksa hari yang besar (huru-haranya)”.

Ayat ini menjelaskan bahawa segala anugerah Allah kepada kita berupa ilmu pengetahuan, haiwan ternakan, ladang pertanian, mata air dan lain-lain termasuklah kanak-kanak adalah merupakan ujian kepada kita. Sama ada ia membawa kepada taqwa kepada Allah atau sebaliknya. Hak-hak mereka mestilah ditunaikan dan diberikan perhatian sewajarnya. Islam amat menitikberatkan perihal kemaslahatan kanak-kanak. Abdullah bin Amr’ ra meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

“Orang-yang tidak bersikap belas kasihan terhadap kanak-kanak dan tidak tahu (menunaikan) hak orang-orang tua, maka dia bukan daripada kalangan kami”.


(Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

Justeru, semua pihak harus menyedari dan memainkan peranan bagi memastikan kanak-kanak sentiasa dipelihara dan dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, diskriminasi dan eksploitasi yang akan menjejaskan proses pembesaran mereka. Kanak-kanak juga mempunyai hak yang sama dengan manusia dewasa yang perlu dihormati seperti hak kepada kerahsiaan peribadi, tidak dimalukan di khalayak ramai, tidak dianiaya, didera secara fizikal, mental dan emosi.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

Islam merupakan sebuah agama yang sejahtera dan melarang seseorang daripada mencederakan orang lain tanpa sebarang alasan terutamanya kanak-kanak. Penderaan kanak-kanak adalah satu bentuk pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka.

Perlindungan ke atas kanak-kanak tidak akan dapat dipenuhi selagi kita tidak menyelesaikan pelbagai bentuk penderaan, keganasan dan eksploitasi yang akan menafikan atau mengancam hak kanak-kanak untuk mendapatkan penjagaan oleh ibu bapa, pendidikan, penjagaan kesihatan, rekreasi dan sukan, serta kebebasan untuk meluahkan buah fikiran mereka.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan dengan kes kesalahan penderaan kanak-kanak pada tahun 2018, sebanyak 281 kes melibatkan kanak-kanak lelaki dan 175 kes kanak-kanak perempuan. Majoriti kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan adalah di antara umur 1-7 tahun dengan sebanyak 207 kes. Selain itu, setiap tahun kes penderaan kanak-kanak semakin meningkat dan perkara ini sangat membimbangkan sekiranya perkara ini tidak ditangani.

Mengenai penjagaan kesihatan kanak-kanak di Malaysia, beberapa laporan antarabangsa telah dikeluarkan berkenaan masalah kanak-kanak di Malaysia yang kurang nutrisi. Menurut Laporan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati bahawa 17.7 peratus kanak-kanak dan remaja antara usia 5 hingga 19 tahun mengalami masalah pertubuhan terbantut. Manakala berdasarkan Kajian Nutrisi Kanak-Kanak Malaysia, satu daripada tiga keluarga di Malaysia mengalami kekurangan nutrisi penting. Ia jelas menunjukkan bahawa isu kanak-kanak di Malaysia yang mengalami kekurangan nutrisi agak serius.

Menurut Artikel 24 Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak telah menyatakan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan standard penjagaan kesihatan dan perubatan yang paling tinggi dan menjadi tanggungjawab negara untuk menyediakan sistem rawatan terbaik untuk mereka.

HADIRIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Isu perkahwinan kanak-kanak di Malaysia masih diperdebatkan sehingga hari ini. Terdapat kajian yang mengatakan bahawa faktor perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berlaku bukan kerana maslahah tetapi disebabkan keterlanjuran dan keinginan menutup aib atau maruah keluarga yang tercemar. Walaupun dalam Islam membenarkan perkahwinan kanak-kanak namun ibu bapa harus melihat kepentingan yang terbaik demi masa depan anak-anak mereka. Selain itu, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa komplikasi dan kematian yang lebih tinggi akibat daripada kehamilan melibatkan remaja perempuan di antara 10 ke 19 tahun berbanding wanita yang berumur 20 ke 24 tahun.

Jesteru itu, ibu bapa hendaklah memainkan peranan penting dalam melindungi kanak-kanak. Perkembangan fizikal dan mental seseorang kanak-kanak harus diambil berat dalam memastikan kanak-kanak dapat membesar dengan sempurna.

Ibu bapa juga seharusnya menjadi contoh teladan yang utama kepada kanak-kanak dengan melayani mereka dengan penuh kasih sayang dan perasaan hormat serta memastikan mereka diberikan keperluan hidup yang mencukupi.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

Kesimpulan yang boleh diambil daripada khutbah Jumaat pada hari ini adalah:

Pertama: Kanak-kanak adalah anugerah Allah SWT sebagai penyambung zuriat dan keturunan.

Kedua: Kanak-kanak berhak mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan, perlindungan dan sebagainya.

Ketiga: Pemimpin dan masyarakat memainkan peranan penting dalam memelihara hak asasi kanak-kanak.

Muat turun khutbah

 

 

Kenyataan Mufti

Bilangan Pelawat

425741
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days425741

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila klik pada pautan email ini: @jheains