A- A A+

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah kita meningkatkan ketaqwaan ke hadrat Allah S.W.T, dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong sebagai hamba Allah yang terbaik, beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Ajaran Islam sangat menitikberatkan tentang prinsip keadilan dan kesaksamaan. Jesteru, mimbar pada hari ini akan membicarakan tajuk khutbah “PELIHARA HAK DALAM ISLAM”.

HADIRIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Isu mempertahankan maruah, keadilan, kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan sejagat yang menjadi asas kepada hak asasi manusia telah menjadi persoalan penting dalam peradaban manusia sejak awal kehidupan manusia lagi. Isu hak asasi manusia telah menjadi isu sejagat dan seluruh dunia telah memberikan perhatian yang serius terhadap pencabulan hak asasi manusia khususnya melalui peperangan. Selepas Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, negara-negara di seluruh dunia telah membincangkan pelaksanaan hak asasi manusia di negara masing-masing. Beberapa konvenysen dan perjanjian antarabangsa telah dibuat untuk menjelaskan objektif hak asasi manusia ini kepada masyarakat antarabangsa.

Kini hak asasi manusia telah menjadi aspek penting dalam kehidupan masyarakat dan mereka melihat bahawa kebebasan, keamanan, dan keadilan adalah simbol kepada maruah diri dan menghormati hak asasi orang lain. Walau bagaimanapun, ada sesetengah masyarakat kita pada hari ini masih melihat hak asasi manusia bertentangan dengan ajaran Islam.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

Sekiranya difahami dengan betul, banyak persamaan Islam dan hak asasi manusia, intipati dan asas yang membentuk kedua-dua prinsip tersebut adalah sama berdasarkan kepada konsep penghormatan martabat manusia dan keadilan. Masyarakat harus bersatu bagi mencari jalan untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat dapat dicapai tanpa ada sebarang bentuk diskriminasi.

Perkataan Haq telah disebut di dalam al-Quran sebanyak 287 kali dan membawa maksud lebih daripada 18 definisi yang berbeza. Di dalam Islam, hak asasi bukan diberi oleh pemerintah atau raja tetapi daripada Allah SWT. Hak asasi manusia dari perspektif Islam adalah lebih luas, menyeluruh dan lebih menjamin kesejahteraan hidup manusia. Dari perspektif Islam, antara definisi hak asasi manusia termasuklah hak dan tanggungjawab, pemilikan harta, perkongsian, keinginan, keadilan, ketepatan, kesesuaian, kebenaran, kuasa, pendakwaan, kehakiman, kebebasan, pilihan dan keistimewaan.

Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa Islam mendiskriminasikan penganutnya dalam semua perkara kerana Islam tidak ada hak asasi adalah tidak tepat. Ini dapat dibuktikan dari Piagam Madinah 622 Masihi yang mendahului dalam mendokumentasikan hak asasi manusia yang pertama di dunia. Piagam Madinah merangkumi aspek keselamatan masyarakat, kebebasan Bergama, keselamatan dan hak wanita, hubungan antara bangsa dan kaum, sistem perundangan, kehakiman dan peraturan untuk membayar diyah.

Secara asasnya dalam Islam, sekiranya perkara itu membawa kebaikan dan tidak bercanggah dengan Syariah, prinsip hak asasi itu akan diterima. Perkara ini telah dijelaskan dalam al-Quran dalam surah Al-Hujarat, Ayat 13:

Bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan telah kami menciptakan kamu dengan pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu dengan yang lain) Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang lebih takwanya.”

HADIRIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Islam tidak menghalang umatnya untuk menikmati hak asasi manusia tetapi hak tersebut haruslah dilaksanakan berlandaskan kepada syariat Islam dan dalam ruang lingkup pengabdian diri kepada Allah SWT. Allah SWT telah menyatakan tentang kemuliaan umat manusia dan melambangkan betapa tingginya martabat manusia dalam Surah al-Isra, ayat 70:

Bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

Dalam ayat ini, Allah SWT telah menyatakan dengan jelas bahawa Allah telah mengurniakan kepada manusia secara umum kelebihan dan kedaulatan tanpa mengambil kira tentang sifat-sifat manusia mahupun kepercayaan agama manusia tersebut. Selain itu, ia turut menjelaskan bahawa kemuliaan atau “Karamah Insaniyyah” itu dikurniakan oleh Allah SWT kerana faktor sebagai manusia itu sendiri bukan kerana warna kulit, bangsa atau pun agama.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

Perlembangaan Persekutuan Malaysia telah menyatakan secara jelas bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi hak untuk mengamalkan agama masing-masing dilindungi. Perlembangaan Persekutuan juga melindungi hak kebebasan asasi sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 5 hingga 13 yang menyatakan tentang hak kehidupan dan kebebasan diri, kesamarataan, kebebasan bersuara, berhimpun dan membentuk persatuan, hak kepada pendidikan dan lain-lain lagi. Perkara-perkara tersebut hendaklah diberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada semua rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Islam juga telah mengariskan empat klasifikasi hak yang mesti ditunai oleh setiap manusia iaitu Hak Allah SWT (penentuan hukum), hak individu, hak semua manusia dan hak menggunakan dengan betul segala kurniaan Allah SWT. Sistem hak asasi manusia dalam Islam juga mengandungi hak politik, sivil, ekonomi, sosial dan budaya. Islam juga memberi hak kepada golongan yang lemah seperti golongan miskin, orang kurang upaya, dan minoriti tanpa mengira usia, jantina, warna kulit, keturunan dan agama.

Konsep Rahmatan lil-Alamin menekankan pentingnya mempromosikan keadilan bagi semua orang termasuk orang-orang bukan Islam, melalui keterlibatan dan interaksi dengan semua yang terlibat. Pendekatan ini adalah perlu dalam konteks Malaysia memandangkan demografi penduduk Malaysia yang pelbagai. Kita mesti menegakkan prinsip dan hukum-hukum Islam tetapi dalam masa yang sama tidak boleh membenarkan pengamalan Islam membawa kepada ketidakadilan kepada orang-orang bukan Islam.

HADIRIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Antara prinsip-prinsip yang saling mengukuh antara Islam dan hak asasi manusia, antaranya:

Pertama: Prinsip Kesejagatan. Terdapat banyak pesanan dalam al-Quran dan Sunnah untuk manusia yang keseluruhannya bertemakan keadilan, kemanusiaan dan belas kasihan. Prinsip hak asasi manusia yang ditekankan dalam al-Quran adalah bersifat sejagat.

Kedua: Prinsip Kehormatan Insan. Islam mengiktiraf kehormatan insan dan manusia wajib menghormati antara satu sama lain.

Ketiga: Prinsip Keadilan. Allah SWT telah mengamanahkan setiap manusia untuk bertanggungjawab menegakkan keadilan tanpa pilih kasih.

Keempat: Prinsip Ihsan. Memberi layanan yang adil dan saksama di bawah kedaulatan undang-undang (rule of law) tanpa mengira status sosial dan ekonomi.

Kelima: Prinsip Tidak Mendiskriminasi. Islam sememangnya menolak sebarang bentuk penindasan dan diskriminasi terhadap warna kulit, bangsa, kaum atau apa-apa perbezaan yang lain.

Keenam: Prinsip Kesaksamaan. Islam menolak sebarang pewujudan kasta dan kelas masyarakat serta memberikan hak yang saksama kepada semua manusia tanpa mengira darjat dan status sosial.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

Kesimpulan yang boleh diambil daripada khutbah Jumaat pada hari ini adalah terdapat banyak prinsip hak asasi manusia yang menyamai prinsip Islam dan ia mengukuhkan lagi konsep hak asasi manusia yang terdapat dalam triti-triti antarabangsa. Hak asasi mestilah mengambil kira kerangka Islam atau perundangan Islam dan tidak tertumpu kepada teori hak asasi antarabangsa. Amalan, kepercayaan dan pegangan yang bersifat diskriminasi dan tidak adil perlu dihapuskan dengan syarat ia sejajar dengan kehendak Islam.

 

 

Muat turun khutbah

 

 

 

 

 

 

Bilangan Pelawat

427576
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days427576

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila klik pada pautan email ini: @jheains