A- A A+

MERDEKA.png - 378.14 kB

1.png - 50.43 kB

MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Marilah bersama-sama kita pertingkatkan rasa kesyukuran dan ketakwaan ke hadrat Allah SWT. Kita bersyukur kerana pada ketika ini sekali lagi kita dapat meraikan detik bersejarah yang amat bermakna dalam kehidupan kita bermasyarakat dan bernegara, iaitu Sambutan Hari Kebangsaan negara yang ke-63 Kita bersyukur kerana melalui kemerdekaan ini kita mengenal erti keamanan, kita bersua dengan nikmat kemajuan dan kemakmuran yang merupakan anugerah Allah kepada kita sebagai rakyat bertuah di bumi Malaysia ini.

Lihatlah sejarah yang pernah tercatat di tanah air kita, betapa sukarnya hidup bernaung di bawah cengkaman penjajah. Lihatlah bagaimana penjajah memeras tenaga, bagaimana mereka membelenggu pemikiran dan mengaut segala hasil mahsul kita. Dan yang lebih berbahaya lagi ialah bagaimana penjajah itu berusaha memastikan agar setiap pribumi tertinggal jauh di belakang dari sudut pendidikan atau keilmuan serta alpa dan terpesong dari aspek budaya dan penghayatan beragama.

Hari ini berkat kemerdekaan itu, yang diperjuangkan oleh para pahlawan yang terdiri dari kalangan pemimpin, ulamak dan rakyat keseluruhannya kita telah dianugerahkan oleh Allah dengan nikmat keamanan, nikmat kesejahteraan dan kemakmuran justru memudahkan kita melaksanakan tuntutan hidup beragama, keperluan hidup berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat dengan penuh keselesaan.

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI OLEH ALLAH SWT SEKALIAN,

Ada beberapa perkara yang perlu direnungkan dan dihayati bersama dalam memastikan kemerdekaan yang sangat mahal harganya ini dapat kita pertahankan, baik kemerdekaan tanah air, mahupun kemerdekaan minda, pemikiran, budaya dan jiwa kita dari dijajah dan terjajah.

Pertama, salah satu nikmat besar yang dianugerahkan oleh Allah SWT hasil daripada kemerdekaan negara ialah nikmat keamanan yang membolehkan kita mengecapi kemakmuran dan kesejahteraan. Nikmat ini hendaklah disyukuri dengan mengekalkan pra syarat kepada keamanan berkenaan iaitu dengan mempertahankan ikatan persefahaman dan perpaduan. Perlu diingat bahawa kekuatan perpaduan inilah yang menjadi asas kejayaan kita mencapai kemerdekaan. Justeru, segala unsur yang boleh menjejaskan perpaduan seperti hasad dengki, suka berdendam, gemar memfitnah dan permusuhan hendaklah dihindarkan dari kehidupan kita bermasyarakat. Rasulullah SAW pernah mengingatkan dalam sebuah hadisnya yang bermaksud:

Dan janganlah kamu bertelingkah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu bertelingkah lalu mereka binasa”. (HR: Ahmad)

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Perkara kedua yang menjadi asas terpenting dalam memastikan kelangsungan kemerdekaan ini ialah penguasaan keilmuan. Ketika penjajah dahulu, hanya golongan yang tertentu sahaja yang diberikankeistimewaan untuk menimba ilmu pengetahuan. Namun setelah kita merdeka semua rakyat berhak untuk menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan sehingga ramai dikalangan kita yang berjaya menjadi para cendekiawan, ulamak dan menjadi golongan professional dalam pelbagai bidang. Sebagai umat Islam, agama kita yang suci ini jelas memberikan penekanan terhadap bidang keilmuan. Oleh itu kita perlu berada di hadapan dalam meneroka pelbagai disiplin ilmu, agar umat Islam tidak terpinggir dan hanya menjadi sekadar penonton kepada arus pembangunan dan kemajuan negara.

Perkara ketiga yang lebih penting yang perlu diberikan perhatian dalam upaya mempertahankan serta mengisi nikmat kemerdekaan negara ialah dengan memastikan jati diri bangsa tetap berteraskan akidah dan akhlak Islamiah. Perlu diingat bahawa Islamlah yang menjadi pelopor kepada segala bentuk kemerdekaan. Islam memerdekakan jiwa insan dari belenggu kesyirikan dengan membawa mereka dari norma keberhalaan menuju nilai ketauhidan. Islam juga melepaskan insan daripada sistem perhambaan sesama manusia. Malah Islamlah yang memberikan jalan yang terbaik kepada manusia agar bebas daripada belenggu penjajahan budaya dan pemikiran menerusi kewajipan menuntut ilmu berpaksikan iman dan takwa.

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT SEKALIAN,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, adalah diharapkan semoga tiga perkara yang disebutkan tadi yang menjadi teras kemerdekaan ini iaitu penghayatan beragama, penguasaan ilmu dan ikatan perpaduan dapat bersama-sama diterjemahkan dalam kehidupan kita. Sebagai renungan sempena menyambut detik sejarah kemerdekaan negara yang ke-63. Marilah kita hayati firman Allah SWT dalam surah Saba’ ayat 15 :

2.png - 93.83 kB

3.png - 132.39 kB

4.png - 93.41 kB

Muat turun khutbah

Bilangan Pelawat

435165
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days435165

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila klik pada pautan email ini: @jheains