A- A A+

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Marilah kita meningkatkan takwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita semua akan diberkati dan dirahmati di dunia dan juga di akhirat.

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Pendidikan sebenarnya bermula sejurus setelah anak dilahirkan dan prosesnya akan berterusan sehinggalah ia meninggal dunia. Secara umumnya, sebahagian besar masa anak-anak dihabiskan bersama dengan ibubapa. Ibubapa atau keluarga merupakan lingkungan pertama dan utama bagi proses pembelajaran seseorang individu sekaligus meletakkan asas kepada pembentukan keperibadian anak. Pendidikan anak diperolehi terutamanya melalui interaksi antara ibubapa dan anak. Ketika berinteraksi dengan anaknya, ibubapa akan menunjukkan sikap dan perlakuan tertentu terhadap anak-anaknya. Oleh itu, bagi menentukan kesinambungan proses pembelajaran antara sekolah dengan pembelajaran di rumah, maka ibubapa perlu dari masa ke masa menyemak dan menyiasat kemajuan pendidikan dan disiplin anak-anak mereka. Pada masa yang sama, ibubapa juga mestilah menjaga peribadi dan tingkah laku mereka agar dapat dilihat dan dicontohi oleh anak-anak.

Terdapat perkaitan yang kuat antara usaha yang dilakukan oleh ibubapa dengan kemajuan anak-anak dalam pendidikan. Dalam erti kata yang lain, semakin besar penglibatan ibubapa dalam memajukan pendidikan anak-anak, maka sebesar itulah juga kejayaan yang akan diperolehi oleh anak-anak dalam pendidikan. Menyedari hakikat ini, ibubapa tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada pihak sekolah dan guru-guru sahaja dalam usaha menentukan kejayaan anak-anak dalam pendidikan dan pembinaan sahsiah, malah ibubapa juga hendaklah memainkan peranan yang sama dan bekerjasama rapat dengan pihak pengurusan sekolah.

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT SEKALIAN,

Pihak yang turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti modal insan selepas ibubapa ialah guru-guru. Kadang kala berlaku sedikit salah faham antara guru-guru dengan ibubapa yang jika dibiarkan boleh menjejaskan kualiti pendidikan di sesebuah sekolah. Sebagai langkah positif, ibubapa dan masyarakat hendaklah memberi penghormatan dan kepercayaan kepada guru-guru untuk membimbing dan mendisiplinkan para pelajar mereka semasa di sekolah.

Oleh itu, kita berharap khususnya ibubapa janganlah mudah melenting atau hilang pertimbangan, sebaliknya hendaklah bersifat lapang dada apabila guru-guru mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar. Kita yakin segala usaha dan tindakan yang diambil oleh pihak sekolah dan guru khususnya dalam mendisiplinkan pelajar adalah untuk memberi pengajaran dan memulihkan akhlak pelajar agar sedia berubah menjadi insan yang berguna. Jika guru-guru bersikap sambil lewa dan tidak tegas dalam mengawal disiplin pelajar kerana takutkan tindak balas negatif ibu-bapa, maka ia akan merugikan ibu-bapa dan pelajar itu sendiri. Namun, perlulah diingat kepada pihak sekolah dan para guru bahawa segala tindakan yang diambil oleh mereka hendaklah dinilai baik dan buruknya terlebih dahulu demi kebaikan pelajar dan mestilah tidak keterlaluan.

Apa yang nyata, Islam memberi pengiktirafan yang besar terhadap peranan guru-guru kerana mereka memberi sumbangan yang amat besar dalam penyebaran ilmu kepada setiap generasi. Rasulullah SAW menyifatkan mereka yang menyebarkan ilmu itu sebagai orang yang mewarisi tugas-tugas kenabian. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Para ulama itu adalah pewaris para Nabi.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi)

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DILINDUNGI ALLAH SWT SEKALIAN,

Pada hari ini, kita melihat orang yang mengejar ilmu pengetahuan semakin bertambah tanpa mengira usia dan kedudukan. Ini menunjukkan wujud tanda positif bahawa kesedaran menuntut ilmu semakin meningkat sama ada dari kalangan mereka yang ada di bandar atau luar bandar. Kesannya, maka kita melihat wujud persaingan sengit untuk mendapat tempat di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta pada masa kini.

Sesungguhnya Allah SWT menciptakan alam dengan seluruh isinya penuh dengan rahsia yang perlu dibongkarkan demi kemanfaatan manusia. Lantaran itulah, maka Allah SWT menjadikan manusia yang dibekalkan akal menjadi khalifah di bumi ini. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 30 :

Maksudnya: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan Khalifah di bumi ini …

Sesungguhnya, Allah SWT menciptakan bumi ini untuk manusia agar ditadbir dengan sebaik-baiknya sesuai dengan penciptaan manusia sebagai khalifah. Sebagai khalifah, kita bertanggungjawab dan berkewajipan menguruskan muka bumi untuk kebaikan kita sendiri, manusia, haiwan, malah alam sekitar. Ingatlah! Mentadbir bumi ini bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan. Menguruskan alam merupakan amanah berat yang harus dipikul dan kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Manusia adalah makhluk yang sentiasa berkembang. Ini didorong oleh fitrahnya yang ingin untuk mencapai tahap kehidupan yang selesa. Selama manusia berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupannya, menambah ilmunya, memperhebatkan peribadinya, prestasi kerjanya, penampilannya, maka selama itulah proses pendidikan akan berjalan terus. Ini bermakna proses pendidikan dalam kehidupan manusia tidak terhad pada zaman persekolahan dan universiti sahaja malah berlaku pada sepanjang hayat. Oleh sebab itu, kita melihat ramai tokoh politik, pemimpin kerajaan, ulama dan mereka yang telah berjaya dalam kerjaya terus membaca dan menambah ilmu pengetahuan mereka bagi memenuhi keperluan tuntutan agama, organisasi, masyarakat dan negara yang sentiasa bertambah.

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG BIBERKATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Sesungguhnya, banyak kelebihan bagi orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Antaranya, dapat menghindarkan diri dari kejahilan dan dapat membezakan antara yang benar dan salah. Selain itu, segala kerja dan amalan yang dilaksanakannya tidak sia-sia malah beroleh keredhaan Allah SWT dan memberi faedah kepada dirinya dan juga manfaat kepada orang lain. Dalam hubungan ini, Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai tiga amalan yang sentiasa berterusan ganjaran pahalanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Apabila matinya anak Adam (manusia), maka terputuslah segala amalannya melainkan pahala daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang berdoa untuknya".
(Hadis riwayat Imam Muslim)

Hadis ini memberi peringatan besar kepada umat Islam, khususnya ibubapa bahawa membekalkan atau mewariskan ilmu pengetahuan menjadi antara saham terpenting dan amat bernilai kepada anak-anak untuk meneruskan kehidupan mereka pada masa akan datang di dunia yang penuh mencabar, yang amat memerlukan kepada modal insan yang memiliki ilmu dan kemahiran yang tinggi.

Mengakhiri khutbah, marilah sama-sama kita berusaha menambah ilmu pengetahuan dalam segala bidang selagi hayat dikandung badan. Jadikan ia sebagai matlamat individu, keluarga, masyarakat, negeri dan negara. Dengan berilmu, insya Allah kita akan menjadi umat yang cemerlang di mata dunia dan juga di akhirat nanti.Marilah kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Mujadilah, ayat 11 :

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”.

***
Disediakan dan diedar oleh:
Unit Penerbitan
Bahagian Penyelidikan dan Informasi
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah



NOTA: Teks khutbah ini mengandungi potongan ayat-ayat al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Mohon jaga dengan cermat dan tidak disepahkan.

Untuk sebarang maklum balas, sila berhubung dengan:
Unit Penerbitan, Bahagian Penyelidikan dan Informasi,
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
088-522127/088-522142

Muat turun khutbah

 

 

 

Bilangan Pelawat

435165
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days435165

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila klik pada pautan email ini: @jheains