A- A A+


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Saya ingin menyeru kepada diri saya dan kepada semua tetamu Allah sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Marilah kita memperbanyakkan amal soleh dan berusaha memperbaiki diri pada setiap detik dan masa sebelum ajal yang telah ditetapkan oleh Allah SWT berkunjung tiba.

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Pada tanggal 26 Januari setiap tahun, warga Kastam di 180 buah negara yang menganggotai World Customs Organisation (WCO) akan meraikan Hari Kastam Sedunia, bertujuan untuk menyemarakkan kesedaran tentang sumbangan Kastam dalam memastikan perdagangan dunia bergerak merentasi sempadan negara masing-masing secara cekap, selamat serta menyumbang kepada kemakmuran sejagat. Justeru, tema yang dipilih untuk sambutan kali ini, ‘ Kastam Memacu Kelestarian Bagi Kemakmuran,Rakyat dan Sejagat'.

MAASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Tentunya bukan tugas mudah, bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengekalkan kelangsungan menjana sumber ekonomi demi untuk mencapai keperluan rakyat dan kemakmuran negara. Dengan kekuatan seramai hampir 15,000 anggota, dari pelbagai latar belakang, ianya memberikan cabaran yang besar kepada sesebuah agensi seperti kastam yang terlibat dengan kutipan cukai dan tugas-tugas penguatkuasaan yang tentunya bertemu dengan para penyeludup yang begitu licik dan melanggar undang-undang perdagangan negara. Justeru, perlunya setiap warga kastam diingatkan, bahawa tugasan sebagai warga kastam merupakan satu tanggungjawab dan amanah daripada Allah SWT. Sekiranya setiap warga kastam mempunyai nilai tanggungjawab dan amanah serta memahami arah tuju kehidupan dalam hati sanubari masing-masing, sudah pasti kemampanan ini dapat direalisasikan dalam meningkatkan hasil sekaligus dapat memakmurkan negara. Firman Allah SWT dalam surah Al – An’am ayat 165:

Yang bermaksud: "Dan Dia lah Yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya Yang lain beberapa darjat, kerana ia hendak menguji kamu pada apa Yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan Sesungguhnya ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Untuk menjadi manusia yang bertanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas, mimbar pada hari ini ingin berkongsi apa yang diajar oleh Baginda Rasulullah SAW kepada ummatnya. Terdapat empat (4) golongan manusia yang tidak akan berasa runsing atau gelisah ketika manusia lain menempuh kegawatan pada hari kebangkitan di Mahsyar nanti. Malah golongan ini akan ditempatkan oleh Allah SWT di satu bukit ‘kasturi’ yang sangat harum dan nyaman. Sungguh mewah dan selesanya golongan ini menanti untuk memasuki syurga yang telah disediakan oleh Allah SW kepada mereka. Siapakah golongan ini? Sabda Rasulullah SAW, golongan ini adalah :

Pertama : seorang yang membaca al Qur’an semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT’. Justeru itu, memang tidak dinafikan, al Quran menjadi asas kepada pembinaan seorang muslim yang sejati dan dikehendaki oleh Allah. Sekiranya kita mampu untuk melahirkan manusia yang memahami dan mempraktikkan isi al Quran, biarpun di mana kita diberi tugasan, pasti objektif jabatan itu akan tercapai dengan gemilang.

Ini terbukti semasa zaman sahabat, yang mana Rasulullah SAW mampu menukarkan rantau arab Jahiliyyah ketika itu kepada bangsa yang bertamadun, dan ini diperakui oleh Orientalis Barat, yang mana mereka terpana dengan kebangkitan tamadun arab ketika itu. Ianya tidak lain dan tidak bukan, al Quranlah yang menjadi asas kepada kebangkitan ini. Justeru, bagi membina manusia, kita perlu kembali kepada al- Quran dan as Sunnah.

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Golongan Kedua : Pemimpin yang disukai dan disenangi rakyat. Dalam mencapai visi dan misi sesebuah negara atau jabatan, ianya memerlukan seorang pemimpin yang bijak dalam mengharungi setiap cabaran. Bukan bijak mengurus sumber sahaja, bahkan bijak dalam mendepani kehendak rakyat atau para pekerjanya, dan menjadi idola serta sangat dihormati di kalangan rakyat atau para pekerja bawahannya. Manakala;

Golongan Ketiga : Para Muazzin di masjid atau surau yang sentiasa berdoa kepada Allah SWT semata-mata untuk mendapat ganjaran daripada-Nya. Setiap kalimah-kalimah azan, sebenarnya menyentuh hati orang yang beriman. Sebab itulah para Muazzin diberikan keistimewaan oleh Allah SWT di padang mahsyar nanti. Daripada Mu’awiyah RA, bahawa aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Para Muazzin merupakan manusia yang panjang lehernya pada hari kiamat”. (Riwayat Muslim (387))

Betapa bertuahnya seorang Muazzin, yang menjadi manusia tumpuan Allah SWT di akhirat kelak. Kalimahnya membesarkan Allah, memperakui kerasulan, mengajak manusia untuk bersolat dan seterusnya menuju kejayaan yang hakiki. Tetapi, realitinya zaman kini, kalimah- kalimah ini seperti sepi di telinga umat, sibuk mengejar cita-cita dan harta, kerana sangkaan mereka itulah kejayaan yang hakiki di dunia. Masjid dan surau hanya dipenuhi oleh mereka yang putih rambutnya, perlahan pergerakannya, rabun matanya, kabur pendengarannya. Di manakah perginya yang mudamuda, adakah mereka sedang khayal mengejar habuan dunia?

MAASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Golongan ke- empat :Iaitu orang yang diuji dengan hartanya, sama ada ia kaya atau sebaliknya. Namun demikian ujian yang ditimpakan kepadanya tidak menjejaskan amalan akhiratnya sedikitpun. Setiap kita mengimpikan kekayaan harta di dunia, akan tetapi kekayaan dan kesenangan yang dinikmati itu biarlah bersumberkan pendapatan yang halal di sisi syarak. Ini kerana, sesungguhnya setiap harta yang kita ada, tentunya tidak akan terlepas daripada hisab Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah At Takathur ayat 8 :

Yang bermaksud: "Selain dari itu, Sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang Segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!"

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Dengan memahami konsep kehidupan sebagai seorang muslim, kita akan berada di atas landasan yang diredhai oleh Allah SWT dan insya’-Allah berjaya di dunia juga di akhirat. Manusia sebeginilah yang perlu dilahirkan untuk menjadi hamba yang berjaya, dan pentadbir serta pengurus sumber yang cemerlang di dunia dan terjamin di akhirat. Mimbar yakin, dengan lahirnya manusia sebegini, pasti akan terjamin integritinya dalam melaksanakan tugas walau dimana dia berada. Ini kerana, di hatinya mempunyai nilai ihsan yang meyakini bahawa setiap apa yang dilakukannya pasti akan disaksikan oleh Allah SWT, dan sentiasa dicatat oleh dua Malaikat Raqib dan ‘Atid.

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Akhirnya, Islam mengajar kita agar memelihara interaksi dengan alam semula jadi. Ini menunjukkan bahawa setiap yang ada di dunia ini mempunyai kepentingan masing- masing dan saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Dalam usaha kita memakmurkan bumi Allah ini, kita perlu seiring menjaga dan mengekalkan kelestarian alam untuk kesinambungan dan kemakmuran di muka bumi. Kemuncak interaksi ini apabila manusia itu dapat memahami sistem kehidupan dan saling bertanggungjawab dalam memakmurkan sumber alam. Justeru, sempena dengan Hari Kastam Sedunia kali ke 38 diharapkan warga Kastam dapat melipatgandakan lagi usaha kerana Allah dan rakyat disamping melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin demi memakmurkan negara.

Kesimpulannya, khatib ingin mangajak sidang jemaah sekalian untuk mengambil iktibar daripada intipati khutbah hari ini iaitu:

Pertama: Kepada warga Kastam khususnya, marilah sama-sama kitaberusaha merealisasikan slogan sempena hari kastam sedunia pada kali iniagar dapat berganding bahu, memakmurkan negara dan mengekalkankelestarian alam.

Kedua: Tingkatkanlah penghayatan kita terhadap isi kandungan al Quran, berusaha untuk menjadi pemimpin yang disenangi ramai, para muazzin yang sentiasa mengimarahkan rumah-rumah Allah, dan orang yang tabah terhadap ujian harta benda.

Ketiga: Jagalah alam persekitaran, agar kita dapat menikmati kehidupan yang segar dan mendamaikan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 164 yang bermaksud :"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering) -nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; Sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan".

***
Disediakan dan diedar oleh:
Unit Penerbitan
Bahagian Penyelidikan dan Informasi
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

NOTA: Teks khutbah ini mengandungi potongan ayat-ayat al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Mohon jaga dengan cermat dan tidak disepahkan.

Untuk sebarang maklum balas, sila berhubung dengan:
Unit Penerbitan, Bahagian Penyelidikan dan Informasi,
Jabatan Hak Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
088-522127/088-522142

Muat turun khutbah

 

 

Bilangan Pelawat

435165
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days435165

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila klik pada pautan email ini: @jheains