A- A A+

1.jpg - 64.68 kB

MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH

Sesungguhnya menjadi kewajipan kepada kita sekalian mentarbiyah diri menjadi insan yang takut dan kasihkan Allah demi mencapai status orang yang bertakwa. Salah satu jalan ke arah mencapai tingkat ketakwaan yang tinggi ialah dengan mengerjakan segala perkara yang diperintahkan Allah dan menjauhi segala perkara yang ditegah-Nya dengan penuh keikhlasan. Seyogianya diketahui dan disedari bahawa orang-orang yang bertakwa sahajalah yang beroleh berbagai-bagai nikmat dan keistimewaan di dunia dan juga di akhirat .

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Kalimah janji atau kontrak, akad dan yang seumpamanya, bukanlah sekadar istilah, tetapi ianya sesuatu perkara utama dalam kehidupan manusia. Ianya juga menyangkut secara langsung dengan ikatan sosial serta amalan yang diamalkan oleh semua lapisan manusia dan umat Islam sejak berabad lamanya. Sifat manusia memang suka menabur janji, tetapi sering pula memungkirinya. Ketahuilah bahawa Allah SWT sangat tidak menyukai dan membenci kepada orang-orang yang suka berkhianat dan tidak menepati janji-janji mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 58:

2.jpg - 14.14 kB

Yang bermaksud: “Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah  (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat.”.

Ingatan ini ditujukan khusus untuk umat Islam, orang-orang beriman dan manusia keseluruhannya. Apabila kita melakukan sebuah janji, maka hendaklah kita berusaha untuk menepatinya, pepatah Melayu ada mengatakan “Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya”. Ini adalah satu bukti bahawa janji itu amat penting kepada sesama manusia.

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Ternyata kehidupan harian kita tidak mungkin terlepas dari ikatan janji, sama ada kita sendiri yang membuat janji ataupun orang lain. Ibubapa akan berjanji kepada anak-anaknya yang soleh dan cemerlang dalam pendidikan dengan bermacam-macam hadiah sebagai pendorong. Ketua akan menjanjikan staf bawahannya yang baik dan cemerlang dengan pelbagai insentif. Begitu juga dengan pemimpin yang menaburkan pelbagai janji kepada rakyat.

Sesungguhnya, menepati janji merupakan akhlak mulia yang sangat dituntut dalam Islam dan menjadi cabaran yang besar kepada umatnya untuk dilaksanakan. Rasulullah SAW turut mengancam perbuatan orang yang mengingkari janji seperti sabdanya yang bermaksud: “Dari Ali bin Abi Talib RA, berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa yang tidak menepati janji seorang Muslim, maka dia akan mendapat  laknat Allah, Malaikat dan seluruh manusia. Tidak diterima darinya taubat dan tebusan”. (HR Imam Bukhari dan Muslim)

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT SEKALIAN,

Menepati janji merupakan akhlak mulia yang dituntut dalam Islam. Oleh itu, mimbar hari ini ingin mengajak hadirin Jumaat yang dimuliakan untuk menghayati hikmah menepati janji :

Pertama, termasuk golongan Nabi Muhammad SAW. Sebagai manusia, kita pastinya tidak terlepas daripada janji dan janji tersebut hendaklah ditepati agar termasuk dalam golongan Rasulullah SAW. Baginda Rasulullah SAW telah bersabda “Orang yang merendahkan orang-orang Mukmin dan yang berjanji  namun tidak menepati janjinya, mereka bukanlah golonganku dan aku bukanlah dari golongan mereka” (HR. Muslim).

Kedua, termasuk penghuni Syurga Firdaus. Menunaikan janji merupakan salah satu sifat yang terpuji dalam Islam. Amalan menunaikan janji berkait rapat dengan sifat amanah dan bertanggungjawab. Sifat-sifat ini merupakan sifat Rasulullah SAW yang patut dicontohi oleh setiap Muslim. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mu’minun ayat 8-11 yang menjelaskan bahawa orang yang menepati janji dan menjaga solatnya merupakan penghuni serta mewarisi Syurga Firdaus dan akan kekal di dalamnya kelak.

Ketiga, bukan golongan orang Munafik. Rasulullah SAW juga telah mempercirikan golongan munafik dengan tiga ciri utama. Dan antara ciri itu ialah memungkiri janji apabila telah berjanji. Sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, mimbar ingin mengajak jemaah sekalian untuk mentaati dan menuruti segala ajaran dan panduan yang termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah. Terutamanya dalam menjaga janji. Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 9:

33.jpg - 12.64 kB

Mafhumnya: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.”

4.jpg - 57.24 kB

Muat turun khutbah

1.png - 89.01 kB

MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Sesungguhnya kita telah melalui detik kegusaran hidup berada dalam fasa wabak penyakit pandemik COVID-19 yang telah melanda negara kita Malaysia hampir lima bulan lamanya. Meskipun demikian adalah menjadi kewajipan kita untuk terus mentaati segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi menjaga kemaslahatan kita. Justeru, marilah kita lalui hari demi hari dalam kehidupan kita ini dengan nilai-nilai takwa, kerana dengan ketakwaan sahajalah kita berupaya menghadapi waktu demi waktu yang mendatang dengan kejayaan dan kebahagiaan. Oleh itu marilah kita kerjakan semua yang  diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan segala yang ditegah-Nya mudah-mudahan kehidupan kita ini akan mendapat redha dan maghfirah Allah SWT.

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Diantara ciri-ciri orang yang bertakwa ialah teguh keimanannya terhadap kekuasaan Allah SWT, sehingga dalam kehidupannya dia tidak tunduk, dia tidak patuh melainkan kepada perintah Allah SWT. Orang yang bertakwa tidak mudah menjual prinsip keimanannya dengan harga dunia yang murah, dia tidak mudah menggadai kebenaran demi membeli kebatilan yang menjanjikan nikmat kepalsuan yang memusnahkan. Orang yang takwa terpancar hidupnya dengan cahaya kesabaran yang hakiki, dengan kejujuran dan ketulusan yang murni.

Firman Allah SWT:

2.png - 25.58 kB

Yang bermaksud: ِAdakah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya  tentang orang-orang Yang berdusta.” (Surah Al-Ankabut: Ayat 2-3).

 

Justru, kita telah melewati waktu yang sangat kritikal dan menghadapi waktu-waktu yang seterusnya. Maka amat wajarlah kita bermuhasabah diri dalam melanjutkan kesinambungan hidup hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun yang yang selanjutnya.

 

HADIRIN JEMAAH JUMAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT SEKALIAN,

Muhasabah ertinya kita saling menghitung, saling melihat atau bercermin ke dalam diri, apakah tahun apakah bulan, minggu atau hari-hari yang dilalui itu menjadi satu waktu yang bermakna dan berkualiti dalam kehidupan kita? Atau adakah masa yang ditinggalkan itu berlalu tanpa manfaat, terbiar dengan langkah sia-sia dan jauh tersasar dari naungan keberkatan? Maka Islam menggariskan ciri-ciri yang berkualiti dalam kehidupan.

Pertama: Ikhlas dalam melaksanakan amal sama ada yang berhubung dengan Allah mahupun berhubung sesama insan. Firman Allah SWT:

3.png - 8.17 kB

Yang bermaksud. “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah Dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya.” (Surah Al-Baiyinah: Ayat 5).

Kedua: Yang menjamin berkualitinya kehidupan kita ialah sejauh mana kita mengangkat darjat Tazkiyatunnafs atau mensucikan diri dari pelbagai penyakit yang mencemar diri dan kehidupan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Ya Allah! Anugerahkanlah ketakwaan pada jiwaku, bersihkanlah ia, Engkau adalah sebaik-baik yang membersihkan jiwa. Engkaulah Penguasa dan Pemiliknya”. (HR: Muslim)

Ketiga: Perkara yang sangat penting dalam memastikan kejayaan dengan nilai hidup yang berkualiti ialah dengan melaksanakan segala amal berteraskan ilmu, kerana amal tanpa ilmu tidak dapat direalisasikan dengan sempurna.

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT SEKALIAN,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita merenung, bermuhasabah diri dengan melihat hari-hari yang berlalu dan berusaha meningkatkan kualiti hidup yang mendatang. Jadikanlah hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih bernilai daripada hari ini. Kualiti itu terjana melalui keikhlasan dalam beramal, menerusi peningkatan usaha membersihkan diri serta berlandaskan pedoman ilmu sebagai teras melaksanakan segala amal dalam menjalani kehidupan.

4.png - 31.19 kB

"Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang berbuat kerosakan ".

5.png - 59.62 kB

Muat turun khutbah

A.jpg - 68.23 kB

SIDANG JUMAAT YANG DI RAHMATI ALLAH,

marilah kita bersama meningkatkan ketaqwaan kita dengan melaksanakan segala perintahNya serta meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keberkatan hidup di dunia mahupun di akhirat kelak. Sesungguhnya hidup di dunia yang dipenuhi dengan hikmah menjadi pemangkin kepada kebahagiaan. Firman Allah SWT menerusi surah an-Nahl ayat 125 :

B.jpg - 18.03 kB

Yang bermaksud : Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.

 

MAASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Ayat yang baru dibaca sebentar tadi menjelaskan kepada kita tentang peranan pendakwah dalam menyampaikan dakwah kepada manusia yang pelbagai ragam. Dasar dakwah “bil hikmah” seperti yang dipandu oleh Islam iaitu sentiasa komited mengajak manusia kepada kebenaran dengan memilih kaedah yang bersesuaian. Maka bolehlah kita terjemahkan Hikmah itu sebagai pengetahuan yang mendalam dan pertimbangan yang waras ketika mengambil sesuatu tindakan mahupun keputusan. Tindakan dan pertimbangan tersebut turut mengambil kira sebab serta kesan yang bakal terjadi.

 

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Berhikmah dalam kehidupan adalah suatu tuntutan agama melangkaui pemikiran, perkataan mahupun tindakan. Ianya juga turut meliputi tuntutan terhadap individu yang melangkaui jantina, ras kedudukan mahupun agama. Ini disebabkan mengambil tindakan berhikmah dalam hidup, akan menatijahkan sesuatu yang baik samada kepada pelakunya mahupun orang lain. Ringkasnya tindakan berhikmah itu berkemampuan untuk mengamalkan secara nyata dalam kehidupan, sentiasa berusaha mencari kebenaran dalam setiap perkataan dan perbuatan mahupun tindakan menempatkan sesuatu sesuai pada tempatnya. Perbuatan hikmah ini merujuk kepada akhlak yang mulia seperti dijelaskan Allah menerusi firmanNya dalam surah al-furqan ayat 63 yang bermaksud :

” Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka Yang berjalan di bumi Dengan sopan santun, dan apabila orang-orang Yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab Dengan perkataan Yang Selamat dari perkara Yang tidak diingini”

 

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH,

Hikmah mengajar manusia untuk bertindak bukan sahaja tepat , tetapi juga sesuai pada masa dan tempat. Ianya juga bersesuaian digunapakai untuk menguruskan apa-apa urusan, bila-bila masa, dimanapun hatta dalam apa-apa keadaan sekalipun. Dalam menyesuaikan amalan hikmah ini, kita perlu memberi keutamaan dengan pendekatan yang mudah, sesuai dan berperingkat peringkat mengikut tahap kemampuan golongan sasar. Apabila hikmah dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian, sudah tentu apa-apa kebaikan akan dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan member impak positif kepada masyarakat.

 

JAMAAH JUMAAT YANG DIHORMATI,

Sebelum mengakhiri khutbah kita hari ini, khatib ingin menjelaskan serba sedikit kelebihan berhikmah yang antara lain seperti berikut :

1- Memiliki keyakinan diri dalam melaksankan kebenaran.Perkataan dan perbuatan sentiasa berlandaskan al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

2- Menjadikan iman dan ilmu pengetahuan sebagai asas yang utama serta berkeupayaan menyampaikannya dengan pelbagai pendekatan.

3- Memiliki semangat juang yang tinggi untuk mengajak manusia kepada kebenaran serta sentiasa berfikiran positif mencari penyelesaian dalam semua persoalan yang dihadapi.

 

JAMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI SEKALIAN,

Alangkah ruginya kita, jika kita tidak dapat hidup dalam keadaan berhikmah. Islam sendiri menyarankan kita kepada hikmah. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang menjadi sumber rujukan kita banyak dipenuhi dengan hikmah. Maka marilah dengan kesempatan yang terbaik ini, kita saling berusaha hidup dalam suasana yang penuh dengan hikmah. Firman Allah menerusi surah al-baqarah ayat 269 :

CC.jpg - 13.37 kB

Yang Bermaksud : Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu Yang berguna) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan Yang ditentukanNya). dan sesiapa Yang diberikan hikmat itu maka Sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan Yang banyak. dan tiadalah Yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang Yang menggunakan akal fikirannya.

D.jpg - 28.91 kB

****

Disediakan dan diedar oleh: Bahagian Penyelidikan dan Informasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

NOTA: Teks khutbah ini mengandungi potongan ayat-ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Mohon jaga dengan cermat dan tidak disepahkan.

 

Sebarang pertanyaan atau maklum balas, sila hubungi: Unit Penerbitan, Bahagian Penyelidikan dan Informasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Tingkat 4, Blok A, Wisma MUIS 88737 KOTA KINABALU Tel: 088-522127 @ 088-522142

 

Muat turun khutbah

1.jpg - 48.23 kB

 

2.jpg - 63.26 kB

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan ini mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT:

3.jpg - 18.57 kB

Maksudnya: ”Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai  (menolong) orang-orang Yang sabar”. (Al-Baqarah:153)

 

HADIRIN JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT,

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun lepas menyaksikan pembukaan hampir keseluruhan sektor ekonomi Malaysia. Dalam kesibukan kembali bekerja, janganlah alpa tanggungjawab utama kita kepada Allah SWT sebagai hambaNya yang beriman.

Sepanjang PKP beberapa bulan yang lalu, mimbar percaya ramai yang mengambil kesempatan dengan masa yang terluang memperbanyak ibadah sama ada yang wajib

mahupun yang sunat. Kita lakukan ibadah tersebut sebagai persiapan menghadapi dunia yang kekal abadi nanti. Imam Al-Ghazali ada berpesan: “Ketahuilah dunia ini adalah tempat  singgah untuk sementara waktu, bukan tempat tinggal yang sebenarnya, sedangkan manusia  di dalamnya selaku musafir yang sedang berkelana”.

 

PARA JEMAAH YANG DIMULIAKAN ALLAH SWT,

Allah SWT telah berjanji bahawa dalam setiap ujian pastinya akan datang kemanisan kepada hamba-hambaNya yang bersabar. FirmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari  harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar”.

Dunia ini merupakan medan ujian. Ia juga merupakan tempat ibadah. Semua manusia sudah pasti akan menempuhi ujian dan cabaran. Begitu juga dengan para anbiya utusan Allah SWT.

Perlu diingat bahawa setiap ujian yang datang itu merupakan sunatullah. Malahan ujian yang ditimpakan kepada manusia itu bertujuan untuk meningkatkan keimanan, menghapuskan dosa serta memberikan peluang untuk memperbaiki kualiti amalan kita. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan seumpamanya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon menggugurkan daun-daunnya” (HR. Bukhari dan Muslim)

 

PARA JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Pandemik Covid-19 kini yang masih tidak ditemui penghujungnya mungkin teguran kecil daripada Allah SWT agar kita kembali mengharapkan keredhaan-Nya. Hanya dengan bersabar menghadapi ujian ini bersama amal ibadah yang istiqamah boleh memberikan kekuatan kepada kita. Oleh itu, mimbar menyeru kepada jemaah Jumaat yang hadir untuk meningkatkan amal ibadah kita secara konsisten sebagai ubat kesedihan menjalani ujian wabak ini dengan cara:

  1. Sentiasa istiqamah dan berazam untuk mengekalkan amalan-amalan kebaikan yangfardhu dan yang sunat.
  2. Berpegang kepada Aqidah yang benar dan menjauhi perkara-perkara syirik.
  3. Bersyukur dengan apa yang ada, dan redha dengan apa yang tiada.

4.jpg - 131.63 kB

5.jpg - 108.01 kB

Muat turun khutbah

Bilangan Pelawat

427576
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days427576

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila klik pada pautan email ini: @jheains