A- A A+

notis-jabatan.png - 117.11 kB

1.png - 4.28 MB

2.png - 94.88 kB

PARA JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN ALLAH SWT!
Mudah-mudahan kita semua beroleh rahmat daripada Allah SWT, yang dengannya membolehkan kita terus menikmati limpahan taufik dan hidayah-Nya. Dalam kerangka itu, sama-samalah kita terus meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah, yang pastinya melalui pematuhan segala perintah dan larangan-Nya. Jika kita benar-benar istiqamah menjadikan sifat takwa sebagai tuntunan hidup kita, insya Allah, kita akan beroleh kebahagian dan kemuliaan yang abadi di sisi Allah SWT.

 

KAUM MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kita sehingga kita berusaha mengubah nikmat berkenaan memberi manfaat kepada kita. Dan, perlu ditegaskan bahawa nikmat yang dimaksudkan di sini tidak hanya merujuk kepada rezeki berupa makanan, minuman dan gunaan sahaja, malahan turut merangkumi segala anggota tubuh badan kita seperti tangan, kaki, mata, telinga, akal dan sebagainya. Kesemuanya itu dikatakan sebagai nikmat kerana ia merupakan antara sekian banyak sarana dan wasilah mencapai kejayaan bagi mewujudkan keadaan hidup yang lebih baik dan diredai Allah SWT di dunia dan di hari kemudian.

Sedangkan saranan serta seruan untuk mencapai kemenangan dan kejayaan itu pula dikumandangkan sekurang-kurangnya lima kali dalam sehari, iaitu sewaktu azan solat lima waktu. Lafaz “haiyaalal falah“ yang antara lain membawa maksud “mari menuju kemenangan” membuktikan bahawa Islam menuntut umatnya supaya tidak hanya berpeluk tubuh dan cepat berpuas hati dengan pencapaian hari kemarin dan hari ini, akan tetapi umat Islam hendaklah terus bangkit dan mara pada hari-hari esok untuk mencipta kemajuan dan kejayaan yang lebih besar dan bermakna di bawah kerangka redha Allah SWT. Anjuran ini dititipkan Allah SWT melalui firman-Nya:--

3.png - 13.50 kB

Mafhumnya: “…Dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (. Al-Baqarah: 195)

Dari mafhum ayat tersebut, jelas sekali Allah SWT menganjurkan umat Islam supaya mencapai kemajuan dan kejayaan dalam pelbagai disiplin hidup yang dapat mensejahterakan kehidupan umat dan masyarakat seluruhnya. Hikmahnya sudah tentulah untuk mengupayakan umat Islam dan Negara yang dihuninya menjadi hebat, cemerlang dan digeruni serta dihormati oleh golongan-golongan manusia lain sama ada kawan mahupun lawan.


SAUDARA JEMAAH YANG BERBAHAGIA!
Kunci utama bagi mencapai dan mencipta kejayaan bermula daripada “usaha”. Yakni, suatu tindakan atau upaya memikir dan mencari jalan bagaimana nikmat sedia ada kurniaan Allah SWT dapat diguna dan dimanfaatkan sebagai agen perubahan. Iaitu, perubahan daripada keadaan jahil kepada keadaan berilmu dan bijaksana: keadaan serba lemah kepada keadaan lebih kuat; keadaan serba mundur kepada keadaan lebih maju dan daripada bangsa yang tidak bertamadun kepada bangsa yang hebat dan terbilang.
Pemangkin usaha ini sudah tentulah melalui asuhan, pendidikan, latih tubi dan pengalaman turun ke lapangan. Di samping itu, kesediaan dan kesungguhan diri sendiri turut menjadi faktor penentu kejayaan sesuatu usaha yang dilakukan sama ada sebagai pelajar mahupun sebagai pekerja, peniaga, petani, nelayan dan sebagainya. Perlu disedari juga bahawa hasil sesuatu usaha itu banyak bergantung kepada daya usaha sendiri selain faktor pemangkin serta sokongan lainnya.

 

HADIRIN JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!
Setiap perancangan dan usaha yang dilakukan untuk mencapai apa yang dicita-citakan dan dihajati sebaiknya diiringi dengan “doa”, iaitu memohon pertolongan kepada Allah supaya segala urusan dipermudahkan dan diberkati. Ini kerana, manusia hanya boleh merancang dan berusaha, sedangkan Allah adalah sebaik-baik perancang dan maha pengabul akan segala permohonan serta hajat hamba-hamba-Nya.
Sesungguhnya berdoa memohon pertolongan kepada Allah SWT dalam apa jua urusan yang menjurus ke arah kebaikan sangatlah dianjurkan. Ini selaras dengan firman Allah SWT:--

4.png - 23.19 kB 

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (S. Al-Ghafir: 60)

Selaras dengan mafhum firman Allah ini, hindarilah daripada menjadi hamba yang sombong takbur terhadap anjuran Allah SWT. Sebaliknya tarbiahlah diri menjadi hamba yang sentiasa tunduk dan patuh kepada saranan serta perintah Allah SWT dengan melazimi amalan berdoa memohon pertolongan dan petunjuk kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui akan keadaan hamba-hamba-Nya.

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!
Setelah berusaha dan berdoa, maka langkah seterusnya dalam kerangka untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi adalah bertawakkal kepada Allah SWT. Bertawakkal bererti berserah diri kepada Allah akan ketentuan hasil usaha yang dilakukan.
Perbuatan bertawakkal dan pasrah kepada ketentuan Ilahi bertepatan dengan anjuran Allah SWT:--

5.png - 16.63 kB 

Maksudnya: “…Apabila engkau telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (S. Ali-imraan: 159)

SAUDARA JEMAAH JUMAAT YANG MULIA!
Sebagai kesimpulannya, jika hendak berjaya, jangan hanya memandang kepada tangga-tangga kejayaan. Sebaliknya, dakilah tangga-tangga kejayaan itu dengan keyakinan, kesungguhan dan iltizam serta semangat yang tinggi. Maknanya, sama ada saudara seorang pelajar, pekerja, peniaga, usahawan mahupun sebagai petani, penternak dan nelayan, saudara-saudara juga perlu berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT.
Biarlah bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Setiap kesukaran dan kepayahan pasti akan disertai kemudahan. Ini sebagaimana firman Allah:--

6.png - 11.53 kB 

Maksudnya: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (S. al-Insyiraah: 5-6)

 7.png - 54.42 kB

 8.png - 254.04 kB

 9.png - 271.10 kB

 

 

 Muat turun khutbah

1.png - 4.55 MB

 

2.png - 187.93 kB

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH SEKELIAN,

Saya berpesan buat diri saya dan sidang jemaah sekalian, agar, marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan mematuhi segala suruhanNya, dan menjauhi segala laranganNya. Semoga kita semua beroleh keberkatan hidup di dunia ini dan kebahagiaan abadi di Akhirat kelak.

MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan lagi mulia disisiNya. Manusia diciptakan dengan sekujur jasad, yang dengannya segala keperluan duniawinya seperti makan, minum, mencari nafkah, meneruskan zuriat keturunan, mampu dilaksanakan dengan sebaiknya. Tidak sekadar itu, Allah SWT juga menciptakan hati di dalam diri manusia, yang dengannya manusia mampu berfikir dan berakal, meneroka dunia serta mengabdikan diri kepada Allah SWT.Tanpa hati dan akal, sudah tentulah manusia itu tiada bezanya dengan haiwan-haiwan lain, hanya sekadar makan minum dan beranak. Akan tetapi, manusia istimewa di sisi Allah dengan hati dan akalnya, dengannya dia menggalas tanggungjawab tauhid: beribadat mengesakan Allah SWT, dan beribadat dengan memakmurkan dunia.

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH,

Sepertimana jasad merupakan pinjaman Ilahi yang mesti dipelihara, begitulah juga hati ini. Sekiranya tidak dikawal daripada hawa nafsu yang jahat, ia akan rosak, dan akan menjerumuskan kita ke neraka Jahannam, naudzubillah. Sesungguhnya hati yang baik, akan menghasilkan amalan yang baik. Hati yang baik ialah hati yang tahu akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah, dan tahu bahawa Allah sedang memerhatikannya. Hati yang baik ialah hati yang ringan melakukan amal kebaikan. Lidahnya menuturkan kata-kata yangbaik, tidak berbohong apatah lagi berkata-kata yang kesat. Tangan dan kakinya ringan dalam melakukan amal soleh dan saling membantu sesama insan. Pandangan matanya dijaga. Malaikat Rakib dan Atid mencatit amal baiknya, yang akan dibentangkan kelak di hadapan Allah. Justeru, penting bagi kita memahami urusan hati ini, dan bermujahadah untuk memperbaikinya. 3

KAUM MUSLIMIN SIDANG JUMAAT YANG SAMA-SAMA BERBAHAGIA,

Antara ulama yang telah berbincara persoalan mengenai mujahadah merawat dan memperbaiki hati ialah Sunan Bonang rahimahullah, salah seorang daripada Wali Songo. Beliau meninggalkan nasihatnya dalam bentuk kata-kata yang mudah dihafal dan difahami, di dalam bait syairnya 'Tombo  Ati', atau diterjemahkan sebagai „Penawar Hati‟. Kesemua nasihat ini mengambil pedoman daripada al-Quran dan Sunnah. Nasihat pertama daripada 'Tombo Ati' itu ialah : Bacalah al-Quran dan fahamilah maknanya.  Membaca al-Quran menghidupkan hati sekiranya dihayati dalam kehidupan seharian. Allah SWT berfirman menegur mereka yang tidak menghayati al-Quran:

 

3.png - 130.55 kB

 

Mafhumnya: “(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” (Surah Muhammad, ayat 24) Daripada ayat ini, Allah SWT bukan setakat menegur mereka yang tidak menghayati al-Quran, akan tetapi sekaligus mengajarkan kita cara untuk membuka penutup hati, dan merawat hati yang rosak

MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Nasihat kedua daripada 'Tombo Ati' itu ialah: Laksanakanlah Tahajjud. Tahajjud merupakan antara amalan yang paling disukai Allah SWT. Ia juga berfaedah untuk mengukuhkan hati, memberikan ketenangan dan kelapangan fikiran. Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 79:

4.png - 183.02 kB

Mafhumnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang  tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan  menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” Nasihat ketiga daripada 'Tombo Ati' itu: Banyakkan berzikir di waktu akhir malam yakni waktu sahur. Allah SWT amat mencintai amalan berzikir, dan akan mengurniakan ketenangan jiwa bagi mereka yang berzikir mengingatiNya. Allah SWT juga telah mengajarkan kita akan waktu yang terbaik untuk berzikir itu di mana Allah menyifatkan amalan-amalan orang yang beriman menerusi firmanNya:

 

5.png - 165.36 kB

Maksudnya: “Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).” (Adz-Dzaariyaat, ayat 17-18)4

JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SEKALIAN,

Nasihat keempat daripada 'Tombo Ati' itu ialah: Banyakkan berpuasa. Sesungguhnya amalan berpuasa memiliki faedah yang hebat dalam memperbaiki rohani dan jasmani seorang Muslim. Faedah puasa bagi jasmani Muslim ialah, ia memberikan peluang untuk badan kita berehat daripada menghadam makanan, dan memberi peluang untuk badan kita memproses dan membuang segala sisa toksik yang berkeladak di dalamnya. Faedah rohani bagi puasa tentunya lebih hebat. Ia merupakan latihan bagi kita untuk mengawal hawa nafsu, dengan mematuhi segala pantang-larang dalam berpuasa. Di samping tidak makan dan minum, kita juga diperintahkan untuk mengawal pandangan dan kata-kata sepanjang tempoh berpuasa. Puasa juga merupakan senjata kita melawan syaitan. Rasulullah SAW bersabda:

 

6.png - 8.47 kB

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan berjalan di dalam badan anak Adam melalui saluran darah.” (HR Bukhari & Muslim). Para ulama mentafsirkan hadis ini bahawa berpuasa akan menyempitkan saluran darah buat syaitan, dan menghalangnya sampai ke dalam hati muslim, serta mematahkan serangan dan hasutannya kepada muslim

Sidang hadirin yang dirahmati,

Nasihat kelima dan terakhir daripada 'Tombo Ati' itu ialah: Bergaul dengan orang-orang soleh.  Sesungguhnya teman kita adalah cerminan kita, dan yang akan memberi pengaruh kepada kita. Sekiranya kita ingin menjadi orang soleh dan baik-baik, maka pilihlah sahabat yang baik-baik juga, dan yang menjaga agamanya sesuai dengan nasihat Rasulullah SAW dan pesanan para alim ulama.

7.png - 111.53 kB

8.png - 463.52 kB

9.png - 633.59 kB

 

 

 Muat turun khutbah

 

A.png - 752.28 kB

B.png - 59.42 kB

MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Marilah kita bangunkan iman dan taqwa di dalam jiwa, dengan kepatuhan menjalani kehidupan di atas landasan syariat. Kemuncak dalam menghayati agama Islam ialah mencapai darjat taqwa kepada Allah SWT. Tumpukan usaha untuk tunduk dan akur kepada perintah-perintah Allah SWT, seterusnya meninggalkan segala tegahan-Nya. Semoga kita mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

 

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Mendapat panggilan atau pesanan ringkas daripada pihak yang tidak diketahui bukanlah satu perkara baharu dalam era dunia digital kini. Antara panggilan dan pesanan ringkas tersebut berupa janji-janji manis pulangan keuntungan, samada melalui pelaburan mahupun berupa hadiah. Tidak kurang juga yang menjadi mangsa perbuatan scammer yang menyamar sebagai pegawai penguatkuasa mendakwa pihak mangsa pernah melakukan kesalahan yang mengakibatkan kompaun sejumlah wang dan perlu dibayar dengan kadar segera. Bagi mereka yang mudah tertipu sudah pasti akan termakan helah penipuan ini. Menurut laporan pihak berkuasa, dalam tempoh 18 Mac 2020 sehingga 4 Ogos 2020 sebanyak 2,500 kes jenayah e-dagang telah dilaporkan yang melibatkan kerugian sebanyak RM 17 juta.

Ini tidak termasuk 1,582 kes pinjaman tidak wujud melibatkan kerugian RM 18 juta, Macau Scam sebanyak 1,001 kes dengan kerugian RM 50 juta dan tipu SMS sebanyak 91 kes dengan kerugian sebanyak RM500,000. Ini menunjukkan penipuan seperti ini bukanlah kes terpencil, malah ia adalah masalah serius dalam masyarakat dan perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh. Seperti mana dalam ayat yang telah khatib bacakan di awal khutbah ini, Allah SWT telah memberi panduan bagaimana kita boleh mengelakkan daripada penipuan sebegini. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hujurat ayat 6:

C.png - 32.79 kB

Mafhumnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

 

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Antara faktor utama yang menjerumuskan mangsa dalam penipuan ini ialah sifat ‘panik’. Untuk itu, kita memerlukan kemahiran dan pengetahuan semasa bagi mengelakkan diri terlibat dengan sebarang bentuk penipuan. Hal ini menuntut kita untuk menyediakan bekalan pengetahuan duniawi seperti teknologi maklumat kepada diri, isteri dan anak-anak supaya kita tidak mudah menjadi mangsa bahkan mampu mengendalikannya ketika berlaku penipuan. Namun demikian, keseimbangan antara ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi mestilah wujud agar dengan kemahiran kita boleh gunakan dengan baik dan bukanlah menjadikan kita orang yang mengeksploitasikan orang lain, kemewahan dunia diutamakan, melupakan bekalan di akhirat yang kekal abadi. Di dalam Al-Quran Allah SWT berfirman menerusi surah al-Baqarah, ayat 200 hingga 202:

D.png - 37.84 kB

Bermaksud: “Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia”, (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia)dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka”. Mereka itulah yang akan mendapat kebaikan yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”

 

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita bersama-sama berdoa agar dijauhkan oleh Allah SWT dari sebarang bentuk penipuan. Mari kita renungi firman Allah SWT dalam Surah Al-Ma’idah ayat 105:

E.png - 28.40 kB

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (ta’at mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.”

F.png - 32.29 kB

G.png - 187.46 kB

H.png - 231.71 kB

Muat turun khutbah

1.png - 4.08 MB

2.png - 201.72 kB

JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI DAN DIRAHMATI ALLAH!

Saya menasihatkan kepada diri saya dan sidang hadirin sekalian agar bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

SAUDARA MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA!

Salah satu surah yang sangat dianjurkan kepada kita untuk selalu membaca dan menghayatinya adalah surah al-Waaqi’ah. Ini kerana, pada awal surah ini Allah menceritakan perihal hari Kiamat yang pasti akan terjadi dan tidak boleh dielakkan oleh sekalian makhluk bernyawa ciptaan Allah SWT.

Allah SWT berfirman:

3.png - 268.23 kB

Maksudnya: “Apabila berlaku hari Kiamat itu, Tiada sesiapa pun yang dapat mendustakan  kejadiannya. Kejadian hari Kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat). (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sesungguh-sungguh goncangan. Dan gunung-ganang dihancur lebur dengan selebur-leburnya, Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran” (Surah al-Waaqi’ah: 1-6)

 

PARA JEMAAH YANG MULIA!

Enam ayat pertama surah al-Waaqi’ah ini merupakan antara ayat-ayat al-Quran yang menjadi dalil bagi membuktikan bahawa Hari Kiamat atau hari kebangkitan semula tetap akan berlaku. Ia bermula saat bilamana dunia ini dan segala isinya dihancurleburkan dengan kehendak Allah SWT. Kemudian, ia digantikan dengan alam yang baharu, iaitu alam akhirat.

Pada hari akhirat nanti, manusia akan terbahagi kepada tiga golongan atau puak. Golongan pertama, adalah pihak kanan, iaitu puak yang sungguh berbahagia kerana mendapat sebaik-baik balasan. Golongan kedua, adalah pihak kiri, iaitu puak yang akan menderita azab seksa yang tidak terperi. Sedang golongan ketiga pula adalah pihak yang telah mendahului dalam mengerjakan kebaikan di dunia. Mereka akan didahulukan mendapat balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak. Mereka akan memperolehi kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT.

Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak menghiraukan peristiwa benar dan ngeri itu bah kan kebanyakan manusia kurang peka dan kurang mengetahui tanda-tanda dekat berlakunya hari Kiamat.

 

JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH!

Sesungguhnya terdapat hadith-hadith Rasulullah SAW yang menerangkan perihal tanda-tanda tersebut. Tanda-tanda itu pula terbahagi kepada dua, iaitu tanda-tanda besar dan tanda-tanda kecil. Salah satu daripadanya adalah sabda Rasulullah SAW mengenai tanda-tanda besar hari Kiamat yang mafhumnya:--

Daripada Huzaifah bin Asidin al-Gihifari (RA), katanya: Datang kepada kami Rasulullah SAW dan kami pada waktu itu sedang berbincang lalu Baginda bersabda, “Apa yang kamu bincangkan?”Kami menjawab, “Kami sedang berbincang tentang hari Kiamat.”Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Tidak akan terjadi hari Kiamat sehingga kamu melihat sepuluh tanda-tandanya.”Kemudian bersabda lagi Baginda, “Asap, Dajjal, binatang ganjil, terbit matahari dari tempat tenggelamnnya, turunnya Isa bin Maryam, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kali gempa bumi yang dasyat, dan keluar api dari negeri Yaman.” (HR Muslim)

Berpandukan kepada mafhum hadith ini, memang belum jelas tanda-tanda besar yang disenaraikan oleh baginda SAW tersebut. Pun begitu saudara-saudara Jemaah sekalian, terdapat hadith yang mengisyaratkan bahawa peristiwa hari Kiamat itu semakin dekat. Antara tandanya adalah sifat amanah semakin merosot. Gejala ini ditandai dengan berleluasanya perbuatan rasuah, salah guna kuasa, sifat mementingkan diri sendiri dan sebagainya. Ini berdasarkan kepada mafhum hadith

Baginda SAW:--

Daripada Abu Hurairah (RA), katanya: Pada suatu ketika semasa Rasulullah SAW sedang berada di dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang Arabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah SAW, “Bilakah akan terjadinya hari Kiamat?”Namun, Nabi SAW meneruskan percakapannya. Maka, sebahagian yang hadir berkata: Nabi mendengar apa yang ditanyakan tetapi pertanyaan itu tidak disukai baginda. Sementara yang lain pula berkata: Baginda tidak mendengar pertanyaan itu sehingga apabila Rasulullah SAW selesai berbicara, Baginda bersabda, “Mana orang yang bertanyakan tentang hari Kiamat tadi?”Lalu Arab Badwi itu pun menyahut, “Ya, saya wahai Rasullah!”Maka Rasulullah SAW pun bersabda, “Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah hari Kiamat.”Orang Badwi itu bertanya lagi, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?” Lantas Rasulullah SAW bersabda, “Apabila urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari Kiamat.” (HR Bukhari)

 

PARA JEMAAH YANG DIKASIHI ALLAH!

Menyimpul bicara perihal hari Kiamat ini, sama ada peristiwa itu masih lagi jauh ataupun semakin dekat bukanlah menjadi persoalan yang perlu difikirkan sangat. Apa yang lebih utama dan mendesak adalah memperteguhkan lagi keimanan dan keyakinan kita terhadap kebenaran peristiwa berkenaan. Agar dengannya, kita tidak lalai daripada mempersiapkan diri menghadapi saat malaikat maut menjemput pergi dan saat berlakunya hari Kiamat, yang tetap akan berlaku.

Firman Allah:--

4.png - 132.70 kB

Maksudnya: “Sesungguhnya apa yang dijanjikan-Nya kepada kamu (hari Kiamat dan balasannya) tetap akan datang dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan itu).” (Surah al-An’aam:134)

5.png - 116.68 kB

6.png - 1.07 MB

7.png - 1.59 MB

 

Muat turun khutbah

 

 

 

1.png - 1.87 MB

2.png - 182.38 kB

MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Dengan keberkatan Sayyidul-ayyam di bulan terakhir tahun 2020 ini, marilah kita bersama-sama menggandakan usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan menyemaikan amalan berpesan-pesan sesama kita. Oleh itu, saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

 

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Tahun berganti tahun, hari berganti hari, masa terus berganjak meninggalkan kita. Persoalannya, sejauh mana kita telah memanfaatkan masa yang ada sesuai dengan tuntutan agama serta fitrah insani. Bagi menyedari akan hakikat kelalaian ini, tidak lain dan tidak bukan adalah melalui kita bermuhasabah diri, renungi diri serta berfikir sejenak koreksi apa yang terjadi, akhirnya bertindaklah bagi memperbetulkannya dengan mempergiat amalan kebaikan di sepanjang usia kita. Satu ketika Rasulullah SAW bersabda mengenai golongan yang terpuji bijak memanfaatkan usianya dengan perkara kebaikan yang bermaksud;

Dari Abdullah bin Busr radhiyallahu „anhu, bahawa ada seorang Arab Badwi berkata kepada Rasulullah Sallallahu „Alaihi Wasallam: “Wahai Rasulullah, siapakah sebaik-baik manusia?” baginda menjawab: “Orang yang paling panjang umurnya dan baik amalannya”  (HR at-Tirmizi & Ahmad).

 

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT,

Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT kita tidak lepas daripada melakukan kekhilafan, hanyasanya sifat kesempurnaan itu milik mutlak bagi Allah Azza Wa Jalla. Justeru, sebagai hambaNya yang sentiasa mendambakan rahmat dan pengampunan daripada Rab kita seharusnya sentiasa bermuhasabah bagi memperbaiki diri dan terus istiqomah di jalan kebaikan. Hal ini kerana, kebaikan yang kita semai inilah yang bakal menjadi bekalan kita di Hari Akhirat kelak. Allah SAW berfirman dalam surah al-Hasyr ayat 18:

3.png - 116.77 kB

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”

 

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT.

Melihat senario dan keadaan musibah yang menimpa umat pada ketika ini, adalah perlu untuk kita bermuhasabah berfikir sejenak, dengan ujian dan musibah yang menimpa kita hari ini takut-takut natijah perbuatan dan perilaku kita yang mengundang murka Allah SWT wal‟iyazubillah. Allah SWT berfirman dalam surah Faatir ayat 37;

4.png - 48.88 kB

Maksudnya: “Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir.”

Syeikh Sayyid al-Tantawi menyatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa Allah SWT menegur insan-insan yang terus kekal dan lalai dengan kehidupan dunia sedangkan usia mereka itu mampu untuk mencari kebenaran atau cahaya keimanan.

5.png - 45.62 kB

6.png - 240.20 kB

7.png - 32.92 kB

Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami kesejahteraan, keamanan, keselamatan serta lindungilah kami daripada bala bencana dan wabak penyakit berbahaya khususnya Covid-19. Ya Allah, Jadikanlah kami dan daripada keturunan kami orang-orang yang istiqamah mendirikan solat secara berjemaah, menunaikan zakat, mewakafkan harta dan berinfaq pada jalan yang Engkau redhai. Sesungguhnya hanya kepadaMu jua Ya Allah tempat Kami mengadu dan memohon pertolongan.

8.png - 205.05 kB

Muat turun khutbah

Bilangan Pelawat

438942
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days438942

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila klik pada pautan email ini: @jheains