A- A A+

1.png - 4.86 MB

2.png - 99.05 kB

Muslimin yang dirahmati Allah sekelian,
Saya berpesan buat diri saya dan sidang jemaah sekalian, agar, marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan mematuhi segala suruhanNya, dan menjauhi segala laranganNya, serta saling ingat mengingatkan tentang mulianya kebenaran dan mulianya kesabaran. Moga-moga kita semua beroleh keberkatan hidup di dunia ini dan kebahagiaan abadi di Akhirat kelak. Tajuk khutbah minggu ini ialah ‘Menjauhi Muamalat Yang Terlarang’.

Ma’asyiral Muslimin rahimakumullah,
Allah SWT telah mengizinkan kita untuk hidup di dunia ini, dengan tujuan beribadat serta mentauhidkanNya. Beribadat yang dimaksudkan melalui cara memakmurkan bumi ini. Di antara syarat memakmurkan bumi ini ialah dengan hidup bertamadun, bermasyarakat, dan saling bantu-membantu ke arah kebaikan.
Salah satu cara yang membolehkan sesebuah masyarakat hidup dengan makmur melalui berniaga. Pada zaman dahulu, orang berniaga dengan sistem tukarganti barang, menggunakan wang emas dan perak, terpaksa keluar rumah ke pasar untuk mendapatkan barang yang diperlukan. Sesuai dengan peredaran zaman dan kecanggihan teknologi yang dikurniakan Allah SWT, hari ini berniaga hanya di hujung jari. Kesemua ini adalah nikmat Allah yang wajib disyukuri.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
“Muamalat” bermaksud segala bentuk transaksi harta, dan apa yang berkaitan dengannya, seperti jualbeli, sewa, hutang, pajakgadai, tempahan dan seumpamanya. Hukum asal bagi “Muamalat” ialah harus berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa, ayat 29:

3.png - 42.01 kB

Mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
Unsur utama dalam Muamalat yang sah menurut Islam ialah berlaku adil dan berasaskan dasar suka sama suka yakni sukarela. Keadilan merupakan tuntutan Islam, dan tuntutan akal yang sihat. Islam melarang seluruh transaksi harta yang berasaskan kezaliman dan paksaan. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 57 yang bermaksud: “…dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim”.

Saudara-saudaraku yang dihormati,
Allah tidak mencintai mereka yang bersikap zalim. Sebagai contoh, seseorang peniaga tidak boleh memaksa pembeli untuk membeli. Begitu juga, seorang pembeli tidak boleh mengugut penjual untuk menjualkan sesuatu barang itu hanya kepadanya sahaja, dengan ugutan yang memudaratkan diri atau harta penjual. Muamalat sebegini adalah zalim dan bertentangan dengan misi Islam yang menginginkan masyarakat hidup aman dan tenteram memakmurkan bumi ini.

Jemaah Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Di antara “Muamalat” yang terlarang seperti mengamalkan riba, iaitu seseorang mengambil keuntungan bukan dengan cara yang hak. Riba hukumnya haram. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:

4.png - 12.35 kB

Mafhumnya: “…Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba...
Nabi SAW juga pernah bersabda bahawa, “Rasulullah melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi makan (riba), orang yang menulis (akad transaksi itu), dan dua saksinya.” (HR Muslim)

Jemaah jumaat yang dikasihi Allah sekalian,
Selain daripada riba, muamalat yang terlarang ialah menipu di dalam jualbeli kerana ia amat bertentangan Islam. Islam menganjurkan kita berlaku amanah dan mencegah melakukan perbuatan khianat atau menipu.
Allah SWT mengkhususkan sebuah surah menyatakan celanya perbuatan menipu dalam jualbeli ini dalam Surah al-Mutaffifin ayat 1-4. FirmanNya,

5.png - 43.10 kB

Maksud: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan),Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya
dengan cukup,Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)?” (Surah al-Mutaffifin, 1-4)

Rasulullah SAW juga bersabda, “Sesiapa yang menipu, bukanlah daripada golonganku.” (HR Muslim)

Hadirin yang dihormati sekalian,
Sebagai kesimpulan, khatib ingin berpesan agar marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri dan cakna akan sumber duit dan harta yang masuk dan mandarah daging dalam tubuh badan kita. Harta dan rezeki yang halal, sepertimana difahami daripada sabda Nabi Muhammad SAW, adalah asbab kepada keberkatan hidup, dan doa yang mustajab. Manakala harta serta rezeki yang terhasil daripada perbuatan maksiat seperti berlaku zalim, riba dan menipu jelas membawa kepada kefasadan dan haram hukumnya. Nauzubillahi min zalik
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 161:

6.png - 29.81 kB

Maksudnya: “Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

7.png - 74.24 kB

 

8.png - 296.37 kB

 

9.png - 66.07 kB

Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami kesejahteraan, keamanan, keselamatan serta lindungilah kami daripada bala bencana dan wabak penyakit berbahaya khususnya Covid-19.

Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami kekuatan untuk mematuhi SOP yang disediakan MKN dan KKM bagi membendung penyebaran Covid-19 yang sememangnya telah berada dalam komuniti kami. Sesungguhnya kepadaMu juga tempat kami memohon perlindungan.

Ya Allah, Jadikanlah kami dan daripada keturunan kami orang-orang yang istiqamah mendirikan solat secara berjemaah, menunaikan zakat, mewakafkan harta dan berinfaq pada jalan yang Engkau redhai. Sesungguhnya hanya kepadaMu jua Ya Allah tempat Kami mengadu dan memohon pertolongan.

10.png - 180.33 kB

Muat turun khutbah

Peta Lokasi