A- A A+

1.png - 4.28 MB

2.png - 94.88 kB

PARA JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN ALLAH SWT!
Mudah-mudahan kita semua beroleh rahmat daripada Allah SWT, yang dengannya membolehkan kita terus menikmati limpahan taufik dan hidayah-Nya. Dalam kerangka itu, sama-samalah kita terus meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah, yang pastinya melalui pematuhan segala perintah dan larangan-Nya. Jika kita benar-benar istiqamah menjadikan sifat takwa sebagai tuntunan hidup kita, insya Allah, kita akan beroleh kebahagian dan kemuliaan yang abadi di sisi Allah SWT.

 

KAUM MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kita sehingga kita berusaha mengubah nikmat berkenaan memberi manfaat kepada kita. Dan, perlu ditegaskan bahawa nikmat yang dimaksudkan di sini tidak hanya merujuk kepada rezeki berupa makanan, minuman dan gunaan sahaja, malahan turut merangkumi segala anggota tubuh badan kita seperti tangan, kaki, mata, telinga, akal dan sebagainya. Kesemuanya itu dikatakan sebagai nikmat kerana ia merupakan antara sekian banyak sarana dan wasilah mencapai kejayaan bagi mewujudkan keadaan hidup yang lebih baik dan diredai Allah SWT di dunia dan di hari kemudian.

Sedangkan saranan serta seruan untuk mencapai kemenangan dan kejayaan itu pula dikumandangkan sekurang-kurangnya lima kali dalam sehari, iaitu sewaktu azan solat lima waktu. Lafaz “haiyaalal falah“ yang antara lain membawa maksud “mari menuju kemenangan” membuktikan bahawa Islam menuntut umatnya supaya tidak hanya berpeluk tubuh dan cepat berpuas hati dengan pencapaian hari kemarin dan hari ini, akan tetapi umat Islam hendaklah terus bangkit dan mara pada hari-hari esok untuk mencipta kemajuan dan kejayaan yang lebih besar dan bermakna di bawah kerangka redha Allah SWT. Anjuran ini dititipkan Allah SWT melalui firman-Nya:--

3.png - 13.50 kB

Mafhumnya: “…Dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (. Al-Baqarah: 195)

Dari mafhum ayat tersebut, jelas sekali Allah SWT menganjurkan umat Islam supaya mencapai kemajuan dan kejayaan dalam pelbagai disiplin hidup yang dapat mensejahterakan kehidupan umat dan masyarakat seluruhnya. Hikmahnya sudah tentulah untuk mengupayakan umat Islam dan Negara yang dihuninya menjadi hebat, cemerlang dan digeruni serta dihormati oleh golongan-golongan manusia lain sama ada kawan mahupun lawan.


SAUDARA JEMAAH YANG BERBAHAGIA!
Kunci utama bagi mencapai dan mencipta kejayaan bermula daripada “usaha”. Yakni, suatu tindakan atau upaya memikir dan mencari jalan bagaimana nikmat sedia ada kurniaan Allah SWT dapat diguna dan dimanfaatkan sebagai agen perubahan. Iaitu, perubahan daripada keadaan jahil kepada keadaan berilmu dan bijaksana: keadaan serba lemah kepada keadaan lebih kuat; keadaan serba mundur kepada keadaan lebih maju dan daripada bangsa yang tidak bertamadun kepada bangsa yang hebat dan terbilang.
Pemangkin usaha ini sudah tentulah melalui asuhan, pendidikan, latih tubi dan pengalaman turun ke lapangan. Di samping itu, kesediaan dan kesungguhan diri sendiri turut menjadi faktor penentu kejayaan sesuatu usaha yang dilakukan sama ada sebagai pelajar mahupun sebagai pekerja, peniaga, petani, nelayan dan sebagainya. Perlu disedari juga bahawa hasil sesuatu usaha itu banyak bergantung kepada daya usaha sendiri selain faktor pemangkin serta sokongan lainnya.

 

HADIRIN JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!
Setiap perancangan dan usaha yang dilakukan untuk mencapai apa yang dicita-citakan dan dihajati sebaiknya diiringi dengan “doa”, iaitu memohon pertolongan kepada Allah supaya segala urusan dipermudahkan dan diberkati. Ini kerana, manusia hanya boleh merancang dan berusaha, sedangkan Allah adalah sebaik-baik perancang dan maha pengabul akan segala permohonan serta hajat hamba-hamba-Nya.
Sesungguhnya berdoa memohon pertolongan kepada Allah SWT dalam apa jua urusan yang menjurus ke arah kebaikan sangatlah dianjurkan. Ini selaras dengan firman Allah SWT:--

4.png - 23.19 kB 

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (S. Al-Ghafir: 60)

Selaras dengan mafhum firman Allah ini, hindarilah daripada menjadi hamba yang sombong takbur terhadap anjuran Allah SWT. Sebaliknya tarbiahlah diri menjadi hamba yang sentiasa tunduk dan patuh kepada saranan serta perintah Allah SWT dengan melazimi amalan berdoa memohon pertolongan dan petunjuk kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui akan keadaan hamba-hamba-Nya.

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!
Setelah berusaha dan berdoa, maka langkah seterusnya dalam kerangka untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi adalah bertawakkal kepada Allah SWT. Bertawakkal bererti berserah diri kepada Allah akan ketentuan hasil usaha yang dilakukan.
Perbuatan bertawakkal dan pasrah kepada ketentuan Ilahi bertepatan dengan anjuran Allah SWT:--

5.png - 16.63 kB 

Maksudnya: “…Apabila engkau telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (S. Ali-imraan: 159)

SAUDARA JEMAAH JUMAAT YANG MULIA!
Sebagai kesimpulannya, jika hendak berjaya, jangan hanya memandang kepada tangga-tangga kejayaan. Sebaliknya, dakilah tangga-tangga kejayaan itu dengan keyakinan, kesungguhan dan iltizam serta semangat yang tinggi. Maknanya, sama ada saudara seorang pelajar, pekerja, peniaga, usahawan mahupun sebagai petani, penternak dan nelayan, saudara-saudara juga perlu berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT.
Biarlah bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Setiap kesukaran dan kepayahan pasti akan disertai kemudahan. Ini sebagaimana firman Allah:--

6.png - 11.53 kB 

Maksudnya: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (S. al-Insyiraah: 5-6)

 7.png - 54.42 kB

 8.png - 254.04 kB

 9.png - 271.10 kB

 

 

 Muat turun khutbah

Peta Lokasi