A- A A+

1_1.jpg - 3.29 MB

1_2.jpg - 488.58 kB

SAUDARA MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH!

Marilah kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT, untuk mempermudahkan kita menelusuri jalan menuju akhirat yang kekal abadi.

 

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA!

Apabila memperkatakan tentang musibah, fikiran kita tentu terarah kepada wabak Covid-19 yang melanda dunia. Wabak ini memberi dampak yang serius terhadap hidup dan kehidupan manusia. Apa tidaknya, ia mengakibatkan ramai yang menemui ajal dan masih ramai lagi yang sedang menderita menghidap penyakit berbahaya itu di samping mengalami tekanan hidup dari segi ekonomi, sosial dan sebagainya.

Pun begitu saudara-saudara sekalian, penyakit seperti Covid-19 bukanlah satu-satunya musibah yang menimpa manusia hari ini. Banyak lagi sebenarnya musibah yang berlaku tetapi kita kadang-kadang kurang peka ataupun merasakan ia tidak menimpa kita. Bencana alam, kemalangan, kegagalan dan kesusahan disebabkan kemiskinan hidup juga merupakan suatu musibah.

 

JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!

Dalam menghadapi musibah yang menimpa diri secara khusus atau yang melanda manusia secara umum, perbuatan mengeluh, menyalahkan takdir dan menuding jari kepada orang lain tidak akan menyelesaikan masalah. Apa yang wajar dilakukan adalah melihat dan mengenalpasti bentuk dan punca setiap musibah itu dan bagaimana cara untuk menangani musibah berkenaan.

Sepertimana yang telah diketahui, bentuk musibah itu tidak terhad kepada penyakit sahaja, malah kemarau, banjir, tanah runtuh, gempa bumi, peperangan, kekurangan makanan hatta tersusuk duri pun dikira suatu musibah.

Sesungguhnya bermuhasabah diri merupakan kebijaksanaan dalam melihat bentuk dan punca sesuatu musibah. Ia menuntut kita supaya memikir dan mengkaji sebab-musabab musibah yang menimpa, seterusnya menginsafi kelemahan diri dan kesalahan yang dilakukan. Ini penting dilakukan kerana kebanyakan musibah adalah akibat daripada perlakuan manusia sendiri. Kenyataan ini ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya:--

1_4.jpg - 122.72 kB

Yang bermaksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” (Surah Asy-Syuraa, ayat 30)

 

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIMULIAKAN ALLAH!

Berpandukan kepada mafhum firman Allah tersebut, kebanyakan petaka atau musibah yang berlaku dan menimpa kita secara khusus atau secara umum, berhubung kait dengan salah laku manusia. Tabiat kebanyakan manusia yang berbuat dosa dengan mengingkari perintah dan tegahan agama mengundang kemurkaan Allah selaku Pemilik dan Pentadbir alam semesta ini.

Kesalahan dan dosa yang dilakukan manusia itu pula berbagai-bagai. Dari aspek berpakaian umpamanya, ramai yang tidak menutup aurat. Dari soal makan minum pula, ramai yang tidak menitikberatkan soal halal haramnya. Keindahan alam sekitar dicemari dengan aktiviti pembakaran secara terbuka, penarahan bukit-bukau, penebangan hutan sewenang-wenang, pengaliran bahan-bahan beracun ke sungai dan sebagainya. Manakala perintah solat lima waktu ramai yang mencuaikannya. Lebih menjelekkan lagi ialah semakin ramai yang tidak lagi segan silu melakukan maksiat secara terang-terangan seperti zina, seks songsang, rasuah dan lain-lain lagi.

Justeru itu, apa jua musibah yang berlaku dan menimpa manusia pada dasarnya merupakan satu cara bagi Allah memberi peringatan serta pengajaran kepada manusia. Pada masa sama, musibah juga bertujuan menguji tahap keimanan, kebijaksanaan dan kesabaran manusia dalam menghadapi dan mengatasi musibah yang berlaku. Musibah yang menimpa itu juga dilihat sebagai tanda kasih Allah kepada hamba-hamba-Nya sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT apabila menyukai sesuatu kaum, akan diuji mereka itu dengan musibah. Maka siapa yang redha dengan ujian Allah, maka Allah redha kepadanya dan siapa yang benci kepada musibah, maka Allah murka kepadanya.”

(H.r. Imam Ahmad dan Tirmizi)

 

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Kata bijak pandai, jangan fikirkan yang sedap sahaja, kadang-kadang kita juga kena telan yang pahit sebab kadang-kadang yang pahit itu ubat sedang yang sedap itu racun. Kerana itu, apabila ditimpa atau berhadapan dengan sesuatu musibah, jangan mengeluh dan mencela. Terima dan hadapilah ia dengan rasa syukur kerana ia sedikit sebanyak mengingatkan kita kepada Allah dan bermuhasabah diri terhadap punca dan hikmah di sebalik musibah berkenaan.

Sebaik-baik tindakan dalam mendepani apa jua musibah adalah beristighfar atau memohon ampun kepada Allah akan dosa serta kesalahan yang dilakukan sama ada yang disedari mahupun yang tidak disedari. Ia harus disusuli dengan taubat nasuhah, iaitu menyesali sungguh-sungguh segala dosa dan kesalahan yang dilakukan; berazam tidak mengulangi lagi dosa dan kesalahan yang telah dilakukan; seterusnya istiqamah mengerjakan amal-amal soleh.

Langkah ini selaras dengan anjuran Allah SWT:--

1_5.jpg - 223.93 kB

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…”

(Surah at-Tahrim, ayat 8)

Sehubungan itu, dalam kekalutan musibah yang bersilih ganti ini, sama-samalah kita terus bermuhasabah diri dan bertaubat, mengingat bahawa tiada siapapun yang dapat mengelakkan daripada musibah jika Allah menghendakinya selaras dengan peringatan yang diberikan-Nya:--

1_6.jpg - 126.67 kB

Yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Berat Azab seksa-Nya.” (Surah al-Anfal: 25)

1_7.jpg - 390.07 kB

2_1.jpg - 1.63 MB

2_2.jpg - 2.09 MB

 

 

Muat turun khutbah

 

 

 

 

 

Peta Lokasi