A- A A+

1.jpg - 248.62 kB

JAMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT.

Pada hari ini, salah satu nikmat yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita ialah menyambut Hari Raya Aidil Adha. Justeru Mimbar ingin mengajak kepada para jamaah sekalian, marilah kita mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT ini, dengan berusaha meningkatkan ketaqwaan kepadaNya. Dalam erti kata yang lain, mesyukuri nikmat dengan melaksanakan segala perintahNya serta menjauhi laranganNya. SIDANG JAMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI, Aidiladha sememangnya sinonim dengan kisah pengorbanan. Paling melekat di ingatan ramai orang ialah kisah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan ALLAH SWT untuk menyembelih puteranya yang amat disayangi iaitu Nabi Ismail AS. Mereka reda dan menerima perintah itu seikhlasnya semata-mata kerana ALLAH SWT. Namun, ternyata perancangan ALLAH SWT itulah yang sebaik-baiknya. Ketika melaksanakan perintah itu, dengan kuasa ALLAH SWT yang Maha Pencipta telah menggantikannya dengan seekor kibas. Semua ini ada diceritakan dalam al-Quran menerusi Surah al-Saffat, ayat 102 :Yang bermaksud : ”Maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur Yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya Aku melihat Dalam mimpi Bahawa Aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa Yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang Yang sabar".

 

JAMAAH JUMAAT YANG DIHORMATI,

Sepintas lalu daripada kisah tersebut dapat memberi ibrah yang sangat besar buat seluruh umat manusia. Betapa kehidupan di muka bumi ini menuntut pengorbanan dalam pelbagai sudut. Pengorbanan itu pula turut dikaitkan dengan ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT. Jika sifar ujian, seperti ada yang tidak kena . Perlu kita ketahui, sesungguhnya cabaran dan pengorbanan kedua-dua itu bersahabat baik dalam kehidupan kita. Allah SWT telah berfirman menerusi surah al-Ankabut, ayat 2 :

2.jpg - 29.70 kB

Yang bermaksud :” Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

 

MUSLIMIN JAMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI,

Seluruh dunia masih lagi menghadapi ujian pandemik Covid 19 yang belum menemui noktah akhirnya. Negara kita Malaysia misalnya tidak terkecuali mengalami wabak ini. Dalam tempoh minggu ini, kita turut dimaklumkan oleh pihak berwajib tentang angka-angka yang sedikit mencemaskan. Apatah lagi pihak berkaitan mula merangka pelbagai langkahlangkah perlu bagi mengawal pandemik tersebut. Justeru sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita turut diminta melakukan sedikit pengorbanan dengan terus menjalani kehidupan normal baharu seperti :

Pertama :- Pengorbanan Keselesaan dengan terus mengamalkan penggunaan pelitup hidung dan mulut (Face Mask), menggunakan sanitasi tangan dan mengamalkan penjarakan sosial. Langkah-langkah ini diperkenalkan demi menjamin kemaslahatan hidup bersama. Firman Allah SWT menerusi surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud : “ Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara..”

Kedua :- Pengorbanan dari segi hubungan sesama keluarga dan sahabat handai. Dalam tempoh PKPP ini, kita masih dituntut untuk menghadkan pergerakan. Sungguhpun amalan ziarah menziarahi merupakan amalan mulia, namun kita masih perlu berwaspada ketika melakukannya dengan mengaplikasikan panduan atau SOP yang telah diperkenalkan. Agama Islam yang syumul ini juga telah memberikan kita solusi apabila menghadapi permasalahan sosial sebegini. Salah satu daripadanya adalah dengan mendoakan kebaikan kepada saudara, sahabat mahupun taulan apabila amalan berziarah secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya : “ doa seorang muslim untuk saudaranya yang tidak berada di hadapannya akan dikabulkan oleh Allah SWT. Di atas kepala orang muslim yang berdoa tersebut, terdapat Malaikat yang ditugaskan menjaganya. Setiap kali muslim itu mendoakan kebaikan bagi saudaranya, nescaya Malaikat yang menjaganya itu akan berkata : Aamiin(semoga Allah mengabulkan ) dan bagimu hal yang serupa “ ( HR.Muslim )

 

SIDANG JAMAAH JUMAAT YANG DIHORMATI,

Mengakhiri khutbah jumaat ini, seyogia khatib ingin mengimbau kembali betapa pentingnya kita melakukan pengorbanan. Naratif daripada pengkisahan melakukan ibadah korban adalah ketakwaan kita terhadap Allah SWT. Pengorbanan itu bukan hanya dilihat pada daging lembu, unta atau kambing sahaja, akan tetapi pengorbanan yang lebih besar dalam hidup apabila kita komited dalam melakukan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT yang bertakwa. Setiap Ibadah mahupun ‘amal soleh yang kita lakukan, tidak lain melainkan mengharap keredaan daripadaNya semata-mata. Firman Allah SWT menerusi Surah an- Nur, ayat 52 :

3.jpg - 45.24 kB

Yang bermaksud : “Dan sesiapa Yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang Yang beroleh kemenangan.

4.jpg - 231.66 kB

Muat turun khutbah

Peta Lokasi