A- A A+

1.png - 111.14 kB

MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Insan yang bijaksana dalam menjalani kehidupan sesungguhnya adalah golongan yang menyemarakkan hari-hari mereka dengan nilai-nilai ketakwaan, dengan menunaikan segala tanggungjawab terhadap Allah SWT dan menyempurnakan hak-hak sesama insan. Justeru, marilah kita terjemahkan nilai-nilai takwa itu menerusi peningkatan amal ibadat, berkhidmat membangun masyarakat dan menjauhi tindak-tanduk yang ditegah yang boleh merugikan diri dan umat keseluruhannya.

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Antara tanggungjawab besar yang tidak harus terlepas daripada agenda hidup seorang mukmin yang bertakwa adalah meneruskan agenda membina kekuatan ummah. Kekuatan yang mampu menegakkan syiar dan dakwah Islamiah, mampu menjalankan misi amar makruf dan nahi munkar yang bertepatan dengan peranan kita sebagai pemakmur alam.

Teras kepada kekuatan ummah itu, selain daripada kemantapan ilmu, ia turut didokong kuat oleh perpaduan dikalangan umat Islam.

Dengan adanya kekuatan perpaduan ini, telah terbukti berjaya dilakukan oleh Rasulullah SAW melalui misi hijrah. Keupayaan Baginda menyatukan ummah atas nama kesatuan akidah sehingga memecah benteng kesukuan, merentasi warna kulit, nilai ekonomi dan kedudukan sekaligus telah melahirkan umat yang mulia lagi bertakwa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujarat, ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kami).”

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Sesungguhnya amat jelas bahawa kukuhnya perpaduan ummah ialah terletak pada asas iman dan takwa. Perpaduan ini dibina dengan teguh oleh jalinan yang mendalam iaitu jalinan ukhuwah Islamiah. Ukhuwah Islamiah inilah yang melerai halangan-halangan perbezaan keturunan, warna kulit, darjat dan sebagainya sehingga umat Islam disatukan atas nama persaudaraan Islam.

Dan atas nama ukhuwah Islamiah ini juga maka setiap individu mukmin bersedia menyingkirkan persengketaan, menolak jauh-jauh unsur-unsur yang boleh menjejaskan ukhuwah dengan menukar dendam kepada kasih sayang, mengganti prasangka dengan nilai bersangkabaik, menolak adu domba mengambil rasa setiakawan, melontarkan hasad dengki dan menggantikannya dengan budaya bersyukur dan bergembira dengan nikmat yang diterima oleh saudara seagama. Inilah pancaran ukhuwah yang sejati sebagaimana perumpamaan yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesungguhnya seorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah ibarat satu binaan yang saling sokong menyokong antara sebahagian dengan sebahagian yang lain”. (HR: Bukhari dan Muslim)

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Selain daripada asas iman dan takwa,kekuatan perpaduan juga harus dijana dengan budaya syura yakni persepakatan dan membuat sesuatu berdasarkan semangat jemaah. Kita telah diajar, apabila menghadapi masalah, perselisihan atau krisis, maka kekalutan itu perlulah dikembalikan dengan timbangan al-Quran. Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya dalam surah ali-Imran, ayat 159:

2.png - 22.88 kB

Mafhumnya: “…dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal  keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT SEKALIAN,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, saya ingin mengajak para jemaah sekalian marilah kita bina perpaduan ini dengan sekukuh-kukuhnya agar musuh tidak semudahnya mempermain-mainkan kita dan sekaligus dengan kekuatan perpaduan ini kita mampu dan berupaya menegakkan kalimatullah di muka bumi dan dapat melaksanakan ibadat serta amal bakti dengan penuh keselesaan.

Firman Allah SWT: Surah al Maidah ayat 2.

3.png - 28.37 kB

Yang bermaksud:. “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).”

4.png - 48.37 kB

Muat turun khutbah

Peta Lokasi