A- A A+

A.jpg - 68.23 kB

SIDANG JUMAAT YANG DI RAHMATI ALLAH,

marilah kita bersama meningkatkan ketaqwaan kita dengan melaksanakan segala perintahNya serta meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keberkatan hidup di dunia mahupun di akhirat kelak. Sesungguhnya hidup di dunia yang dipenuhi dengan hikmah menjadi pemangkin kepada kebahagiaan. Firman Allah SWT menerusi surah an-Nahl ayat 125 :

B.jpg - 18.03 kB

Yang bermaksud : Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.

 

MAASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Ayat yang baru dibaca sebentar tadi menjelaskan kepada kita tentang peranan pendakwah dalam menyampaikan dakwah kepada manusia yang pelbagai ragam. Dasar dakwah “bil hikmah” seperti yang dipandu oleh Islam iaitu sentiasa komited mengajak manusia kepada kebenaran dengan memilih kaedah yang bersesuaian. Maka bolehlah kita terjemahkan Hikmah itu sebagai pengetahuan yang mendalam dan pertimbangan yang waras ketika mengambil sesuatu tindakan mahupun keputusan. Tindakan dan pertimbangan tersebut turut mengambil kira sebab serta kesan yang bakal terjadi.

 

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Berhikmah dalam kehidupan adalah suatu tuntutan agama melangkaui pemikiran, perkataan mahupun tindakan. Ianya juga turut meliputi tuntutan terhadap individu yang melangkaui jantina, ras kedudukan mahupun agama. Ini disebabkan mengambil tindakan berhikmah dalam hidup, akan menatijahkan sesuatu yang baik samada kepada pelakunya mahupun orang lain. Ringkasnya tindakan berhikmah itu berkemampuan untuk mengamalkan secara nyata dalam kehidupan, sentiasa berusaha mencari kebenaran dalam setiap perkataan dan perbuatan mahupun tindakan menempatkan sesuatu sesuai pada tempatnya. Perbuatan hikmah ini merujuk kepada akhlak yang mulia seperti dijelaskan Allah menerusi firmanNya dalam surah al-furqan ayat 63 yang bermaksud :

” Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka Yang berjalan di bumi Dengan sopan santun, dan apabila orang-orang Yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab Dengan perkataan Yang Selamat dari perkara Yang tidak diingini”

 

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH,

Hikmah mengajar manusia untuk bertindak bukan sahaja tepat , tetapi juga sesuai pada masa dan tempat. Ianya juga bersesuaian digunapakai untuk menguruskan apa-apa urusan, bila-bila masa, dimanapun hatta dalam apa-apa keadaan sekalipun. Dalam menyesuaikan amalan hikmah ini, kita perlu memberi keutamaan dengan pendekatan yang mudah, sesuai dan berperingkat peringkat mengikut tahap kemampuan golongan sasar. Apabila hikmah dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian, sudah tentu apa-apa kebaikan akan dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan member impak positif kepada masyarakat.

 

JAMAAH JUMAAT YANG DIHORMATI,

Sebelum mengakhiri khutbah kita hari ini, khatib ingin menjelaskan serba sedikit kelebihan berhikmah yang antara lain seperti berikut :

1- Memiliki keyakinan diri dalam melaksankan kebenaran.Perkataan dan perbuatan sentiasa berlandaskan al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

2- Menjadikan iman dan ilmu pengetahuan sebagai asas yang utama serta berkeupayaan menyampaikannya dengan pelbagai pendekatan.

3- Memiliki semangat juang yang tinggi untuk mengajak manusia kepada kebenaran serta sentiasa berfikiran positif mencari penyelesaian dalam semua persoalan yang dihadapi.

 

JAMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI SEKALIAN,

Alangkah ruginya kita, jika kita tidak dapat hidup dalam keadaan berhikmah. Islam sendiri menyarankan kita kepada hikmah. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang menjadi sumber rujukan kita banyak dipenuhi dengan hikmah. Maka marilah dengan kesempatan yang terbaik ini, kita saling berusaha hidup dalam suasana yang penuh dengan hikmah. Firman Allah menerusi surah al-baqarah ayat 269 :

CC.jpg - 13.37 kB

Yang Bermaksud : Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu Yang berguna) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan Yang ditentukanNya). dan sesiapa Yang diberikan hikmat itu maka Sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan Yang banyak. dan tiadalah Yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang Yang menggunakan akal fikirannya.

D.jpg - 28.91 kB

****

Disediakan dan diedar oleh: Bahagian Penyelidikan dan Informasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

NOTA: Teks khutbah ini mengandungi potongan ayat-ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Mohon jaga dengan cermat dan tidak disepahkan.

 

Sebarang pertanyaan atau maklum balas, sila hubungi: Unit Penerbitan, Bahagian Penyelidikan dan Informasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Tingkat 4, Blok A, Wisma MUIS 88737 KOTA KINABALU Tel: 088-522127 @ 088-522142

 

Muat turun khutbah

Peta Lokasi