A- A A+

BORANG_SARINGAN_HIV_PRA_PERKAHWINAN.png - 876.42 kB

1.png - 883.30 kB

2.png - 52.69 kB

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian…

Pada hari yang mulia serta penuh dengan keberkatan ini, marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan menjunjung segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan ketaqwaan kepada-Nya, kita akan memperoleh kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian…

Bersempena dengan sambutan Hari Antidadah Kebangsaan yang jatuh pada 19 Febuari setiap tahun, maka khutbah pada hari ini menjurus kepada usaha membebaskan komuniti kita daripada permasalahan dadah melalui tema "Institusi Kekeluargaan Pemangkin Komuniti Bebas Dadah".

Setiap insan mendambakan kehidupan yang harmoni dan keluarga harmoni perlu dititikberatkan kerana pembinaan, pembangunan dan kejayaan sesebuah masyarakat mahupun negara bermula daripada keluarga yang harmoni, sihat fizikal psikologi dan pemikiran.

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melahirkan keluarga yang sentiasa berpegang teguh dengan akidah Islam yang syumul di samping sentiasa mengamalkan amal ibadah seperti solat, berzikir, puasa dan sebagainya serta tidak bersikap individualistik dan materialistik.

Sekiranya setiap individu mempunyai rasa kepunyaan dan tanggungjawab sudah tentulah perkara-perkara yang negatif dalam kalangan masyarakat seperti penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial lain dapat dihindari.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian...

Saban hari kita sering diperdengarkan dengan permasalahan sosial dan semakin lama semakin membimbangkan. Antara perkara yang menyumbang kepada permasalahan ini adalah penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial lain seperti ponteng sekolah, lepak serta perpisahan dalam keluarga. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sehingga tahun 2020, terdapat lebih 140 ribu penagih dadah direkodkan dan daripada jumlah tersebut hampir 80 peratus terdiri daripada bangsa Melayu dan beragama Islam.

Kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit untuk menangani permasalahan ini termasuklah dengan membina pusat-pusat pemulihan serta menggalakkan penubuhan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) di samping menjalankan kempen pendidikan pencegahan dan kesedaran kepada orang ramai. Namun, usaha-usaha ini belum membuahkan hasil yang boleh dibanggakan.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian...

Banyak kajian menunjukkan berlaku penyalahgunaan dadah berpunca daripada institusi kekeluargaan yang tidak harmoni dan pengaruh rakan-rakan. Justeru, akibat ketidakharmonian ini, menyebabkan ramai yang mencari jalan penyelesaian dengan cara yang salah. Masih belum terlambat untuk kita bertindak bagi mengatasinya. Oleh itu, keluarga haruslah berperanan:

Pertama: Memperkukuhkan pegangan akidah dan mengamalkan kehidupan beragama di dalam keluarga.

Dengan kehidupan beragama yang sempurna sudah pasti akan menghindarkan seseorang daripada gejala yang tidak sihat kerana agama adalah benteng paling ampuh dalam menjaga umat Islam daripada melakukan perkara-perkara yang negatif.

Kedua: Menjalinkan hubungan di antara ahli masyarakat. Hubungan yang baik atau jalinan yang erat dalam kalangan masyarakat akan menimbulkan cakna dengan keadaan sekeliling serta tidak individualistik.

Sikap ambil kisah dan peduli terhadap masyarakat yang terlibat dengan permasalahan sosial seperti dadah perlu diperkukuhkan. Tindakan segera yang sewajarnya seperti menasihati dan melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab sekiranya masih berterusan perlu dilakukan. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: ”Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, sekiranya dia tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan hati dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman”.

Ketiga: Sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang perkembangan anak-anak dari sudut jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sahsiah.

Ibu bapa hendaklah mengambil berat dan ambil tahu setiap perkembangan atau perubahan anak-anak. Ibu bapa perlu prihatin dan menjadi sahabat kepada anak-anak. Pendekatan ini secara tidak langsung akan memberi ruang untuk ibu bapa mengetahui rakan anak-anak mereka sama ada sewaktu di sekolah mahupun pun di luar waktu persekolahan. Perkara ini amat penting kerana Islam mengajar kaedah dalam mendidik anak-anak supaya mereka terpelihara daripada anasir yang tidak baik. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: ”Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).” (Hadis riwayat Abu Daud).

Keempat: Berdoa agar masyarakat sentiasa terpelihara dan dilindungi oleh Allah SWT daripada keburukan.

Doa adalah senjata bagi orang-orang Islam. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab semua supaya sentiasa berdoa agar terpelihara daripada segala keburukan terutama ibu bapa yang mempunyai anak-anak dan perlu diingat bahawa doa ibu bapa terhadap anak-anaknya sangat mustajab. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Furqan ayat 74:

3.png - 10.75 kB

Maksudnya: “…Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa”.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian…

Antara penghayatan yang boleh dijadikan pedoman melalui khutbah pada hari ini ialah:

Pertama: Akidah yang mantap serta kehidupan beragama adalah tunjang keharmonian sesebuah keluarga.

Kedua: Institusi kekeluargaan yang harmoni akan menghindarkan masyarakat daripada terjebak ke dalam gejala yang tidak sihat seperti penagihan dadah.

Ketiga: Setiap individu perlu berperanan di dalam menyelesaikan permasalahan ini demi melahirkan masyarakat yang harmoni. Pepatah Melayu mengatakan ʺBulat Air Kerana Pembentung Bulat Manusia Kerana Muafakatʺ.

Akhir kata sekali lagi mimbar menyeru kepada semua, sementara kita masih ada masa dan tenaga, marilah kita semua mudik hingga ke hulu sungai dan mencari sebab mengapa mereka masih lagi terjun ke dalam sungai dan marilah kita menghalang mereka daripada bermain-main di air yang deras kerana kesannya teramatlah berat untuk ditanggung. Ingatlah! Mencegah lebih baik daripada mengubati. Katakan tidak kepada dadah dan pelencongan sosial!

4.png - 19.36 kB

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka yang bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (At-Tahrim:6)

5.png - 32.88 kB

6.png - 125.03 kB

7.png - 135.03 kB

 Muat turun khutbah

Bilangan Pelawat

449319
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days449319

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila klik pada pautan email ini: @jheains