A- A A+

RAYA1.png - 75.61 kB

MAASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

HADIRIN JAMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Bertaqwalah kamu dengan sebenar-benar taqwa dengan menjalankan seluruh perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Sesungguhnya mereka yang istiqamah melakukan kebaikan di muka bumi dunia yang Fana ini nescaya akan mendapat balasan syurga-Nya.
Firman Allah SWT:

RAYA2.png - 11.12 kB

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan bagi mereka taman-taman Syurga yang penuh nikmat, di sisi Tuhan mereka.” (Al-Qalam: ayat 34)

Ayat yang dibacakan sebentar tadi menggambarkan balasan syurga yang dijanjikan Allah SWT kepada mereka yang kekal dalam ketaqwaan kepada-Nya yang terpancar melalui ibadah samaada wajib atau sunat yang dilakukan dengan istiqamah. Mudah-mudahan kita semua tergolong dengan golongan yang bernasib baik ini.

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT SEKALIAN,


Masyarakat Islam seluruh dunia baru sahaja menyambut Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada 1 Syawal 1441H iaitu pada hari Ahad lepas bersamaan dengan 24 Mei 2020M. Kebiasaan sambutan hari raya ini saban tahun disambut dengan penuh meriah. Akan tetapi, ketika seluruh dunia sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, ketibaan Syawal setelah pemergian Ramadhan kali ini disambut dengan penuh sederhana.

Adat dan kebiasaan semasa menyambut Hari Raya seperti kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi jiran tetangga sanak saudara rakan taulan, malahan menziarahi kubur
terpaksa dilupakan kerana Malaysia masih lagi di bawah fasa PKPB yang akan tamat pada 9 Jun 2020 ini sebagai langkah untuk memutuskan rangkaian Covid-19. Kebiasaan sambutan dari tahun-tahun lepas kini ditukar dengan norma baharu dengan tumpuan penjarakan sosial dan meningkatkan kebersihan diri untuk mengelakkan penularan pandemik yang bahaya ini.

Maka, mimbar pada hari ini ingin mengajak sidang jemaah untuk mengambil kesempatan dalam ruangan PKPB ini untuk mempertingkat amalan ibadah, samaada wajib ataupun sunat sebagai persediaan menuju akhirat kelak. Antara ibadat sunnah yang hanya boleh dilakukan pada ketika ini ialah puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT SEKALIAN,


Puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal merupakan sunat muakkad yang amat dianjurkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Sabda baginda yang bermaksud:
  “Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengikutinya dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia sepertinya berpuasa selama setahun” (HR Muslim)

Puasa sunat ini boleh dilakukan mulai hari kedua Syawal sehinggalah penghujung bulan tersebut. Adalah lebih baik jika puasa ini berturut-turut selama enam hari. Namun begitu, sekiranya ada sedikit kesulitan bolehlah juga ianya dilakukan secara berselang-seli.

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT SEKALIAN,


Manfaat dari ibadah sunat puasa enam ini adalah seperti berikut:


1) Menyempurnakan ibadah bulan Ramadhan. Hasil pahala dari ibadah sunat ini mampu menutup sebarang kekurangan dalam amal ibadah wajib sepanjang bulan Ramadhan.


2) Bagaikan berpuasa selama setahun. Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengikutinya dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia sepertinya berpuasa selama setahun” (HR Muslim)


3) Mendapat pahala yang berlipat ganda. Pahala yang diperolehi mereka yang berpuasa enam hari dalam bulan Syawal ini dijanjikan pahala berlipat sepuluh (10) kali ganda. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mengerjakan puasa enam hari dalam bulan Syawal selepas Aidilfitri bererti ia telah menyempurnakan puasa setahun.Dan setiap kebaikan itu mendapat ganjaran sepuluh kali ganda.”


4) Melakukan sunnah Rasulullah SAW. Mereka yang menghidupkan sunnah Baginda Rasulullah SAW dijanjikan oleh Allah SWT akan masuk ke syurga bersama Baginda. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Siapa yang menghidupkan sunnahku maka sesungguhnya ia mencintaiku, dan sesiapa yang mencintaiku bersamaku di Syurga”. (HR Tirmizi)

 

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DILINDUNGI ALLAH SWT SEKALIAN,


Demikianlah, besarnya pahala dan ganjaran yang akan dimiliki oleh umat Islam melalui puasa sunat enam hari bulan Syawal ini. Walaupun kedaan masa kini tidak mengizinkan kita untk menyambung erat hubungan kekeluargaan sesama Islam dalam sambutan Syawal yang mulia ini, bersyukurlah kita masih diberi peluang untuk menyimpan bekalan akhirat yang kekal abadi kelak.

Betapa indahnya kehidupan umat Islam yang beriman dan beramal soleh sepanjang hayat tanpa jemu dan bosan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan berterusan sabar menahan diri dari melakukan segala yang dilarang Allah SWT. Beruntung dan berbahagialah umat yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh dengan istiqamah. Moga kita, anak isteri/suami, ahli keluarga dan seluruh umat Islam termasuk dalam kalangan umat yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh, firman Allah SWT:

RAYA3.png - 11.60 kB

Maksudnya: “Orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya”. (Surah Ar-Ra’d, ayat 29)

Bersama kita hapuskan rantaian Covid-19. Amalkan penjarakan sosial dengan kebersihan diri yang tinggi.

RAYA4.png - 75.12 kB

 

Muat turun khutbah

Bilangan Pelawat

427574
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days427574

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila klik pada pautan email ini: @jheains