A- A A+

corona1.png - 77.10 kB

Laman Sosial Rasmi

FACEBOOK2.jpg - 61.52 kB

MAASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Terlebih dahulu saya ingin berwasiat kepada diri saya sendiri dan para jemaah sekalian agar sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan beramal soleh dan mengerjakan segala perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya agar kita mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah Dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan Dalam keadaan Islam” (Al-Imran, ayat 102).

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT SEKALIAN,

Sesungguhnya Islam tidak pernah menetapkan had jumlah atau had timbunan harta yang boleh dimiliki oleh seseorang, malah Islam sangat menggalakkan umatnya mencari rezeki semampu mana yang ia boleh, asalkan pemiliknya mengeluarkan zakat dari harta tersebut, serta diperolehi dari jalan yang halal atau menepati syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Dari segi bahasa, zakat bermaksud menyuburkan, membersihkan dan keberkatan. Dalam surah At-Taubah ayat 103 Allah SWT berfirman:

Yang bermaksud: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”.

Berdasarkan kepada ayat al-Quran ini, para ahli Fiqh mendifinisikan zakat sebagai: “Mengeluarkan sebahagian harta yang telah ditentukan, dari harta tertentu, pada waktu tertentu, dan dibahagikan kepada golongan tertentu”. Ini bermaksud bahawa zakat yang bererti menyuburkan ini adalah mengeluarkan kadar tertentu dari harta kekayaan yang kita miliki apabila sampai masa atau haulnya yang tertentu untuk diagihagihkan oleh agensi yang diberikan tanggungjawab kepada asnaf atau golongan tertentu yang telah dikenal pasti.

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT SEKALIAN,

Umumnya kita ketahui bahawa harta kekayaan yang wajib dikeluarkan zakat ke atasnya adalah seperti yang telah dibahas oleh para ahli Fiqh ada empat kelompok utama, kelompok pertama ialah galian terdiri daripada emas dan perak, kelompok kedua ialah binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing, kelompok ketiga ialah tanam-tanaman, iaitu tanaman yang menjadi makanan asasi manusia seperti padi, gandum, jagung dan sebagainya, kelompok keempat pula ialah barang-barang perniagaan.

Kelompok harta kekayaan yang telah dibahas oleh para ulama ini, sudah meliputi segala jenis harta yang ada, hanya penyusunan kelompok ini agak umum dan memerlukan perincian dan pentafsiran yang bersesuaian dengan perkembangan bentuk perekonomian khususnya bentuk-bentuk perniagaan semasa yang boleh mendatangkan kekayaan atau manfaat hidup kepada manusia serta disesuaikan dengan pengertian dan konsep harta kekayaan masa kini.

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DILINDUNGI ALLAH SWT SEKALIAN,

Untuk melihat perkara ini lebih terperinci, menyeluruh dan tepat, kita perlu memperincikan semula tafsiran dan definisi harta kekayaan. Berdasarkan kepada pandangan para ulama terdahulu dan juga masa kini, harta kekayaan itu ialah sesuatu yang mempunyai nilai, boleh dimanfaat, boleh berkembang, boleh di tassaruf atau boleh digunakan dengan pelbagai matlamat serta menjadi kecenderungan kepada tabiat manusia.

Berdasarkan kepada pengertian ini, maka boleh kita simpulkan bahawa setiap sesuatu yang boleh kita jadikan sebagai mata pencarian serta dibenarkan oleh Syarak adalah wajib kita keluarkan zakat. Pengertian dan konsep ini lebih menepati hikmah pensyariatan zakat itu sendiri yang bukan sahaja menjadi sumber kewangan dalam Islam tetapi juga menjadi alat pengagihan kekayaan yang cekap dan penuh berkat dalam masyarakat. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Hasyr ayat 7:

Yang bermaksud: “Apa Yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa Dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan Yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. dan apa jua perintah Yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka Terimalah serta amalkan, dan apa jua Yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang Yang melanggar perintahNya)”.

Pensyariatan zakat ke atas harta kekayaan ini memungkinkan harta kekayaan tersebut tidak hanya beredar di kalangan orang-orang kaya sahaja tetapi juga dapat dinikmati oleh keseluruhan ahli masyarakat. Untuk mencapai matlamat ini, para ulama dan ahli akademik dalam memikirkan Fiqh Zakat semasa telah merumus serta memperluaskan konsep harta kekayaan yang wajib dikeluarkan zakat.

Konsep harta yang telah digambarkan oleh para ulama terkemudian ini dan juga kajian-kajian yang dibuat oleh ahli akademik di universiti mempamerkan bahawa setiap harta kekayaan yang diusahakan oleh kita umat Islam ketika ini wajib dikeluarkan zakat. Ini memberi ruang kepada harta-harta yang kita usahakan sentiasa berkembang, bertambah dengan penuh keberkatan dan penuh kesucian sesuai dengan maksud zakat itu sendiri.

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN ALLAH SWT SEKALIAN,

Harta kita berupa emas dan perak, binatang ternakan, tanam-tanaman berupa bijirin yang menjadi makanan asasi manusia sudah jelas tuntutan zakat ke atasnya dan tidak perlu diperincikan lagi kerana para ulama sudah membahaskannya secara menyeluruh, namun apa yang perlu kita perincikan sekarang ini ialah sumber kekayaan yang kita miliki.

Berdasarkan kepada maksud harta kekayaan yang dinyatakan di awal tadi, maka boleh kita simpulkan di sini bahawa setiap kekayaan atau harta yang menjadi sumber sara hidup dan pendapatan kita sama ada ia berupa perniagan, penggajian, mahupun dari sumber-sumber pendapatan lain seperti binatang ternakan, tanam-tanaman serta aset-aset berbentuk emas dan perak adalah wajib dikeluarkan zakatnya. Pendapat dan pandangan ini bersesuaian dengan pandangan para ulama terkemudian ini seperti ulama tersohor Dr. Yusof Al-Qardhawi dan juga oleh para ahli akademik.

Sekarang ini, pelbagai bentuk dan pelbagai kaedah perekonomian yang boleh kita dapati berlaku dalam dunia masa kini. Begitu juga halnya dengan bentuk perniagaan yang dilakukan oleh masyarakat Islam. Kesemua bentuk aktiviti ekonomi dan bentuk perniagaan itu wajib dikenakan zakat asalkan aktiviti ekonomi atau perniagaan tersebut yang menjadi sumber pendapatan seseorang tidak bertentangan dengan Syariat Islam. Hal ini kerana apa punbentuk ekonomi dan perniagaan yang kita hendak lakukan adalah sebenarnya merupakan sumber kekayaan yang boleh di tasarruf untuk keperluan hidup manusia di dunia ini. Kesemua sumber kekayaan itu pula menjadi kesukaan tabiat manusia untuk memilikinya.

Justeru, saya mengajak kepada sidang jemaah jumaat sekalian agar berusaha mempelbagai bentuk aktiviti ekonomi melalui variasi kaedah dan pendekatan perniagaan supaya kita boleh memperbanyak sumber pendapatan yang boleh membangunkan ekonomi umat Islam. Hasilnya, berlaku peningkatan taraf hidup umat Islam daripada terkongkong dan dibelenggu kemiskinan kerana banyak dan pelbagai sumber pendapatannya, malahan juga jumlah pungutan zakat yang wajib kita keluarkan dari harta kekayaan tersebut akan meningkat dari tahun ke tahun. Hal ini juga lantas memastikan pembahagian harta kekayaan itu sentiasa dirasai segenap golongan masyarakat Islam.

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT SEKALIAN.

Sebagai kesimpulannya, apa pun sebenarnya bentuk aktiviti perekonomian atau muamalah yang dibenarkan oleh Syarak seperti penternakan, pertanian, perlombongan, perniagaan atau apa-apa bentuk muamalah yang akan membentuk atau bertukar dalam bentuk nilai berupa emas, perak atau sandaran nilai seperti wang ringgit wajib dikenakan zakat ke atasnya sebaik sahaja syarat-syarat wajib itu dipenuhi. Hal ini terutama dari segi nisabnya iaitu jumlah terkumpul pendapatan yang kita perolehi dari setiap kali penuaiannya atau mencukupi nisabnya pada setiap satu tahun pusingan.

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT.

Adalah menjadi cita-cita dan harapan kita semua, untuk menjadi senang dan selesa dalam kehidupan ini. Dengan erti kata yang lain, kita mahu segala kehendak dalam kehidupan kita dapat kita penuhi, oleh itu saya mengajak sidang Jemaah Jumaat sekalian supaya kita berusaha seikhlasnya dan bersungguh-sungguh dengan tujuan supaya kita dapat melaksanakan ibadah zakat yang sememangnya dituntut dan difardukan oleh Allah SWT kepada kita. Allah SWT mengingatkan kita dalam surah Al-Baqarah supaya kita berusaha dan menginfakkan harta kita, kerana sesungguhnya infak seseorang itu dijalan Allah SWT akan diberikan ganjarannya yang berlipat kali ganda. Firman Allah SWT:

Yang bermaksud:. “Bandingan (derma) orang-orang Yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih Yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”.(Al-Baqarah, 2:261)

***

Disediakan dan diedar oleh:

Unit Penerbitan,

Bahagian Penyelidikan dan Informasi

Jabatan Hal Ehwal agama Islam Negeri Sabah



NOTA: Teks khutbah ini mengandungi potongan ayat-ayat al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Mohon jaga dengan cermat dan tidak disepahkan.

 

Untuk sebarang maklum balas, sila berhubung dengan:
Unit Penerbitan, Bahagian Penyelidikan dan Informasi,
Jabatan Hak Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
088-522127/088-522142

Muat turun khutbah

 

 

Bilangan Pelawat

426062
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days426062

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila klik pada pautan email ini: @jheains