A- A A+


Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Pada hari yang mulia ini, khatib menyeru kepada seluruh kaum muslimin supaya kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan dalam masa yang sama meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita semua dibangkitkan dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa di akhirat kelak.

Bulan Rabiulawwal sangat sinonim dengan masyarakat kita khususnya dalam usaha memperingati sirah Rasulullah SAW. Justeru, tajuk khutbah pada hari ini ialah, “Teladani Rasulullah Hayati Sunnah”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kelahiran Nabi Muhammad SAW dan perutusan Baginda SAW sebagai Rasulullah adalah bukti teragung betapa luasnya rahmat Allah SWT kepada seluruh alam. Menerusi kerasulan Baginda SAW, Allah SWT telah menyebarkan petunjuk dan hidayahNya kepada manusia. Malah, khusus buat orang beriman, Allah SWT melipatgandakan rahmatNya dengan perutusan baginda. Firman Allah SWT menerusi surah al-Hadid, ayat 28:

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Demikianlah rahmah dalam perutusan Baginda SAW sebagai penutup para nabi dan rasul. Apa jua yang datang dari sisi baginda sama ada dari sudut pegangan akidah, amalan syariat dan pedoman akhlak adalah berasaskan bimbingan wahyu ilahi yang wajib kita patuhi dan teladani.

Sidang jemaah yang dikasihi Allah,

Sesungguhnya nikmat teragung yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita adalah Iman dan Islam. Ia adalah hasil pengorbanan dan perjuangan Baginda SAW bersama para sahabatnya sejak 1400 tahun yang lalu. Bermula daripada golongan minoriti yang ditindas sehingga akhirnya berkembang membentuk kerajaan dan empayar yang menerajui tamadun dunia untuk tempoh ratusan tahun. Malah kita pada hari ini cukup berbangga menjadi umat Nabi Muhammad SAW. 


Namun, apakah kita benar-benar menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola dan contoh ikutan? Adakah ahli keluarga dan masyarakat kita mengamalkan gaya hidup muslim seperti Nabi SAW dan para sahabat? Lebih mendukacitakan, generasi masa kini hanya sekadar mengenali nama dan mendakwa mencintai Baginda SAW, tetapi tidak pula mengamalkan sunnah Baginda SAW dalam kehidupan. Sedangkan Allah SWT berfirman menerusi surah Ali ‘Imran, ayat 31:

Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Jika kita tidak merasa rindu dan kasih terhadap Baginda SAW di dalam jiwa, bagaimana mungkin kita mampu mengamalkan dan memperjuangan sunnah baginda dalam kehidupan seharian. Bagaimana pula mahu mendambakan syafaat Baginda di akhirat kelak. Ingatlah kecintaan kepada Baginda SAW bukan sekadar menzahirkan kemarahan apabila Baginda dihina atau sunnahnya dipermainkan, tetapi kecintaan sebenar adalah dengan sentiasa mengamalkan akhlak mulia dan sunnah yang telah ditunjukkan Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman menerusi surah al-Ahzab ayat 21 :

Bermaksud : “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan banyak mengingati Allah (dalam masa susah dan senang).”

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Antara contoh yang kita boleh teladani dalam kehidupan Rasulullah SAW ialah sifat rahmah dalam menyantuni ahli keluarga. Meskipun Baginda SAW berada dalam kesibukan sebagai pemimpin umat Islam, Baginda SAW tetap meletakkan keluarga sebagai keutamaan. Baginda sentiasa membantu melaksanakan kerja-kerja rumahtangga dan sering berbincang bersama isteri-isteri baginda sebelum membuat sesuatu keputusan. Baginda bersikap lemah lembut serta sering bergurau senda, tidak mudah marah apatah lagi memukul isteri dan Baginda juga merupakan seorang bapa yang penyayang lebih-lebih lagi terhadap anak perempuan. Imam al-Tirmizi telah meriwayatkan hadith daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya: “Orang yang terbaik dalam kalangan kamu adalah orang yang paling baik (perilakunya) terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang terbaik dalam kalangan kamu terhadap keluargaku.”

Begitulah sewajarnya, rahmah itu bermula daripada dalam diri dan diterjemahkan kepada ahli keluarga sebelum disebarkan kepada masyarakat.

Hadirin Muslimin yang dimuliakan,

Sebagai seorang rasul yang membawa rahmat, Rasulullah SAW benar-benar telah mempamerkan rahmah dalam kehidupan Baginda. Dalam pergaulan seharian, Baginda SAW tidak pernah mencerca, mengutuk, menghina, dan melaknat golongan yang bukan Islam dalam dakwah Baginda. Imam Muslim r.h. telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau menceritakan:

Bermaksud: “Rasulullah SAW diminta : “Ya Rasulullah, doakan kebinasaan ke atas kaum musyrikin.” Lantas Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya aku diutus bukan sebagai pelaknat, tetapi sebagai pembawa rahmat.”

Demikianlah ketinggian budi pekerti Baginda SAW yang perlu kita contohi dalam kehidupan seharian. Ungkapan rahmat kepada sekalian alam merangkumi hidayah, kebaikan dan keadilan Islam ke seluruh alam. Setiap makhluk akan merasai kesempurnaan rahmat ini tanpa ada sesuatu pun yang tersisih daripada limpahan kasih tersebut.

Sedarlah betapa usaha-usaha menyatupadukan warganegara Malaysia yang berbilang kaum dan agama bukanlah semata-mata tanggungjawab pemerintah. Ia adalah tanggungjawab setiap warganegara lebih-lebih lagi kita umat Islam yang menjadi pengikut Nabi yang membawa rahmat. Sewajarnya kitalah warga yang menitikberatkan perdamaian dan perpaduan antara anggota masyarakat untuk meninggikan syiar Islam. Sesungguhnya Islam adalah agama yang syumul dan agung yang sewajarnya sentiasa dipelihara keindahannya oleh setiap umat Islam.

Sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Kita hendaklah bersyukur dengan anugerah Islam dan iman hasil pengorbanan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan ajaran Islam.

Kedua: Kita hendaklah berusaha bersunguh-sungguh meneladani sirah Rasulullah SAW dan mengamalkan sunnah yang telah ditunjukkan Baginda.

Ketiga: Kita dituntut menyantuni seluruh manusia termasuk yang bukan Islam dengan akhlak baik bagi mempamerkan kemuliaan Islam.

Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’, ayat 105-107:

Bermaksud : “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz; “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.” Sesungguhnya al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang-orang yang (cita-citanya) mengerjakan ibadah (kepada Allah dengan berilmu). Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Muat turun khutbah

 

 


MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH

Kehidupan yang singkat di dunia ini adalah peluang keemasan bagi manusia untuk berbuat baik, sama-samalah kita semua mentarbiah diri menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amal soleh, beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 97:

Maksudnya:“Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Mari kita bermuhasabah serta mempertingkatkan keimanan dan memperkukuhkan ketaqwaan kita terhadap Allah SWT Rabbul Jalil agar kita sentiasa dapat mentarbiyyah diri dan nurani menjadi muslim yang mukmin yang sentiasa beramal soleh. Selawat dan salam ke persada junjungan besar Nabi Muhammad SAW insan yang mengajak kita ke arah Nur Allah, menjadi qudwah yang hasanah, pemimpin yang tidak pernah sejenakpun membiarkan umatnya terpesong arah dari jalan kebenaran, yang sentiasa membentuk, sentiasa mengingatkan, sentiasa menjelaskan kepada kita sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan, sentiasa mendorong kita lebih hampir kepada rahmat Allah SWT serta sentiasa bersyukur yang tiada penghujung terhadap nikmat yang Allah berikan kepada kita selama ini.

JAMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Mereka yang sentiasa mengingati serta menghargai segala nikmat yang diberikan oleh
Allah SWT adalah dianggap orang yang bersyukur, sepertimana yang dinyatakan oleh baginda Muhammad SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tabrani yang bermaksud:

“Sesiapa yang diberi sesuatu kebaikan hendaklah dia mengingatinya. Siapa yang mengingatinya dia akan dianggap bersyukur dan siapa yang tidak mengenang budi yang telah diberi dia adalah dianggap sebagai kufur nikmat “ .

Demikian juga Allah SWT menegaskan dalam surah Luqman ayat 12:

Yang bermaksud:“ Siapa yang bersyukur, sesungguhnya dia bersyukur terhadap dirinya dan mendapat faedah darinya dan sesiapa yang tidak bersyukur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya Lagi Maha Terpuji " .

JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT,

Sungguhpun demikian masih ramai dikalangan kita yang tidak tahu bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang kita kecapi selama ini. Kerana dengan tidak bersyukurlah akan hadir penyakit hati dalam diri. Kerana tidak bersyukurlah akan lahir sikap hasad dengki dalam diri. Kerana tidak bersyukurlah akan berlaku fitnah dan segala perkara-perkara yang bejat dan jahat. Membawa kepada kekufuran, membawa kepada perpecahan, pergaduhan, kehancuran, kelemahan umat Islam sendiri. Fitnah akan tersebar luas, dan semakin membakar kedamaian. Fitnah terletak di hujung jari hanya dengan menyentuh punat-punat huruf pada telefon atau komputer, fitnah lebih pantas dari air yang mengalir dan dari cahaya yang memancar.

JEMAAH JUMAAT YANG DILINDUNGI ALLAH SWT,

Ingatlah, orang yang tidak tahu bersyukur akan sentiasa gundah hatinya, resah jiwanya melihat kedamaian dan utuhnya kesatuan dikalangan kita. Orang yang tidak bersyukur akan sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk membakar dan memusnahkan keamanan yang kita nikmati.

Ingatlah…….

Jika kita berbalah dan terpengaruh dengan hasutan, kita akan musnah.

Jika kita berbalah sesama sendiri musuh agama akan memusnahkan kita dan mereka ini semakin dekat dan hampir hanya menanti masa untuk menghancurkan apa juga yang kita miliki hari ini di sini di atas langit ini di lapang bumi Negara kita ini sama ada nikmat keamanan, nikmat persaudaraan, nikmat kesatuan. Dan bila semuanya sudah musnah, bila kita sudah hancur berpecah, bila kita sudah melihat tiada lagi nikmat yang hadir, bila kita melihat bumi kita merah seperti Palestine, Syria, Iran dan Iraq, barulah kita mungkin mengerti makna bersyukur, barulah kita mula sedar bahawa di sini lahirnya sebuah cinta Tanah Airku Malaysia.

JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT,

Sayugia perlu diketahui bahawa bersyukur bukan sekadar ungkapan Alhamdulillah atau sekadar ucapan terima kasih tetapi mempunyai makna yang amat luas. Kita pertahankan persaudaraan kita adalah bersyukur, mempertahankan keamanan yang kita kecapi hari ini adalah bersyukur. Kita tentang, kita tolak golongan yang ingin memecahbelahkan kita adalah bersyukur, kita usir fahaman-fahaman salah, dakyah dan sarap fitnah demi perpaduan adalah bersyukur, kita bersatu mempertahankan negeri dan negara tercinta kita Malaysia adalah bersyukur.

Firman Allah SWT:

Yang bermaksud:“ Dia yang memberikan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati tetapi hanya sedikit sahaja dari kamu yang bersyukur “ . (Al Mukminun ayat 78)

JEMAAH JUMAAT SEKALIAN,

Anjuran agar sentiasa bersyukur bukanlah suruhan yang sia-sia atau tidak bermanfaat. Tuntutan agar kita bersyukur kerana ada ganjaran yang amat besar menanti kita. Yakinlah bahawa melalui bersyukur hidup kita akan bertambah makmur, kerana Allah SWT akan menambah nikmat bagi golongan yang bersyukur.

Firman Allah SWT:

Yang bermaksud:“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.(S. Ibrahim:ayat 7)(S. Ibrahim; ayat 7)

JEMAAH JUMAAT SEKALIAN,

Adakah kita ingin hidup dalam keadaan ketakutan. Adakah kita ingin melihat keluarga kita hidup dalam ketakutan. Adakah kita ingin melihat setiap hari di tempat kita heboh dengan rusuhan, kecoh dengan pergaduhan, riuh dengan pembunuhan.

Tanpa bersyukur pada nikmat yang kita kecapi hari ini kita pasti akan musnah.

Dengan itu, mari kita bersama menjaring kembali ukhuwah sesama kita, kita jalin kembali tali persaudaraan kita yang sudah agak renggang dan semakin menjauh semoga rahmat Allah akan melindungi diri, keluarga dan bumi tercinta ini dalam hayat kita selamanya.

Muat turun khutbah

 

 

1.png - 60.60 kB
2.png - 128.42 kB

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sentiasa taat pada semua perintah-Nya dan meninggalkan segala perbuatan dosa serta maksiat yang dilarang-Nya. Apabila hal ini dapat dilakukan, maka kebaikan akan kembali kepada diri kita sendiri selaras firman Allah SWT:

3.png - 21.09 kB

Yang bermaksud: “…Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya…” (S. At-Talaaq: 2-3).

SAUDARA JEMAAH YANG MULIA,
Kitab suci al-Quran ialah mukjizat yang paling besar dan utama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Ia merupakan petunjuk yang paling baik untuk umat manusia sehingga hari Kiamat dalam mencari keredaan Allah SWT dan seterusnya mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT:

4.png - 24.01 kB

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar”. (S. Shad: 29).

Melalui ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa kitab suci al-Quran yang diturunkan-Nya kepada Nabi Muhammad SAW besar faedah serta manfaatnya kepada manusia terutama sekali mereka yang mahu berfikir dan memanfaatkannya. Ini kerana, al-Quran adalah ibarat cahaya yang menerangi perjalanan hidup manusia. Berkat petunjuk serta panduan al-Quran, seseorang muslim dapat membezakan di antara jalan baik yang membawa kepada kebenaran dengan jalan sesat yang menjerumuskan seseorang ke lembah kehinaan di dunia dan akhirat.

Dengan hal yang demikian, kita boleh mengerti dan memahami hakekat kebatilan serta kejahatan. Kefahaman itu membawa kita untuk mahu dan mampu membersihkan jalan yang akan kita lalui agar terhindar dari kebatilan dan kejahatan. Dalam erti kata lain, al-Quran menjadi pengawal diri dalam menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini menuju reda Ilahi.

MUSLIMIN YANG DIKASIHI ALLAH,
Hakikatnya, banyak manfaat yang manusia boleh perolehi daripada al-Quran sama ada dengan membaca atau mengajarkannya. Prasyaratnya ialah umat Islam hendaklah terlebih dahulu menunaikan tiga hak asas terhadap Kalamullah itu.

Pertama, hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya. Kedua, hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan. Dan Ketiga, hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.

Dengan kata lain, umat Islam dituntut supaya mempelajari, membaca, menghayati dan mengamalkan alQuran yang menjadi sumber pedoman serta hidayat. Untuk ini, pengajian atau pengajaran/pembelajaran alQuran hendaklah dihidupkan dan disemarakkan dalam masyarakat. Ini selaras sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kalian ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (HR. Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi).

Kepentingan kelas pengajaran/pembelajaran al-Quran bukan sekadar melahirkan orang yang tahu membacanya sahaja. Pengajian al-Quran harus menjurus ke arah melahirkan Muslim yang mahu dan tahu memahami, memikirkan, menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamn kitab suci yang maha agung itu.

Ini sejajar dengan Hadith daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran ini adalah hidangan Allah. Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutinya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tidak berhenti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun dijulang. Bacalah kerana Allah akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf 10 ganjaran. Saya tidak katakan Alif Laam Miim sebagai satu huruf tetapi Alif (satu huruf), Laam (satu huruf) dan Miim (satu huruf)”. (HR. Al-Hakim).

 

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Dengan berpandukan kepada mafhum Hadith tersebut, kita beroleh pengajaran bahawa seseorang yang rajin dan khusyuk membaca, menghayati dan mentadabbur ayat-ayat suci al-Quran akan beroleh pelbagai ganjaran. Selain beroleh pahala, membaca al-Quran juga boleh menambahkan ilmu pengetahuan dan meraih pertolongan Allah SWT.

Firman Allah SWT:

5.png - 56.82 kB

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya).” (S. Fatir: 29-30).

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:

“Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”

Sementara itu, Hadith daripada Abu Malik Al-Harith bin ‘Asyim Al-Ash’ari pula mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Al-Quran ialah hujah bagimu (membelamu) atau hujah ke atasmu (yang membinasakanmu).” (HR. Muslim).

Jelas daripada petikan ayat al-Quran dan Hadith Rasulullah tersebut, membaca al-Quran adalah jalan untuk mendapat ganjaran pahala dan syafaat (pertolongan) daripada Allah SWT. Inilah sebabnya maka dalam kehidupan seharian seorang mukmin, pengajian Al-Quran perlu dititikberatkan kerana melalui alQuran Allah memberi petunjuk kepada hamba-Nya untuk mencapai keredaan dan keselamatan. Dan kerana al-Quran pula Allah mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan kepada cahaya. Dengan membaca dan memuliakan al-Quran juga akan beroleh ketenangan dan rahmat dari Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Tiada suatu kaum yang berhimpun di dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid) membaca kitab Allah (al-Quran) dan tadarus antara mereka melainkan akan diturunkan ketenangan ke atas mereka, disirami ke atas mereka rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut mereka pada sesiapa di sisinya.” (HR. Muslim).

HADIRIN MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
Kita melahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWt kerana telah ramai di kalangan masyarakat Islam di negeri ini yang tahu membaca kitab suci al-Quran. Ia antara lain adalah hasil daripada kelas pengajian al-Quran yang diadakan di masjid dan juga surau selain daripada pengajaran&pembalajaran al-Quran secara formal di sekolah aliran agama Islam dan sekolah aliran akademik. Cuma yang diharapkan agar tabiat atau budaya membaca al-Quran itu tidak terhenti di masjid atau di sekolah sahaja. Ia hendaklah dijadikan amalan harian waima di rumah mahupun di tempat kerja.

Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:

“Bahawa hati itu berkarat, seperti berkaratnya besi.” Lalu ditanya sahabat : “Wahai Rasulullah, bagaimana membersihkannya?” Jawab Rasulullah: “Membaca al-Quran dan mengingati mati.”

Hadith riwayat daripada Abu Hurairah pula menyebut: “Ada pun rumah di mana al-Quran sering dibacakan, nescaya ahli keluarganya akan bertambah kelebihan serta rahmat akan berganda, malaikat akan mengerumuninya, sementara syaitan akan lari meninggalkannya, sebaliknya rumah di mana tiada dalamnya alunan bacaan al-Quran akan sering menjadi tegang serta hilang keberkatan, malaikat akan menyisihkan dirinya, manakala gerombolan syaitan akan berlindung di dalamnya.”

Oleh itu, marilah kita semarakkan budaya membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh khusyuk dalam keluarga kita masing-masing. Ini kerana, dengan membaca al-Quran, ia dapat menambah kebersihan jiwa, ketenangan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kalau tidak tahu atau mampu membacanya, maka hendaklah mendengar dan menghayati dengan penuh teliti ayat-ayat suci yang dikumandangkan sama ada dalam majlis-majlis ilmu seperti majlis tilawah al-Quran mahupun yang dikumandangkan melalui media-media elektronik seperti radio, televisyen, telefon, CD dan sebagainya agar beroleh rahmat.

Firman Allah SWT:

6.png - 22.21 kB

Maksudnya: “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah serta diamlah (dengan sebulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (S. al-A’raaf: 204).

7.png - 152.74 kB

 

Muat turun khutbah

MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,

Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan taqwa yang sebenar-benar taqwa. Taqwa dalam erti kata taat dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT serta meninggalkan segala yang dilarang-Nya.
Sesungguhnya pahala yang terbaik dijanjikan Allah SWT khusus untuk orang yang berimandan bertaqwa, firman-Nya:

Maksudnya: “Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala), sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui”. (Surah Al-Baqarah, ayat 103)

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul dan Nabi akhir zaman, tiada Rasul dan Nabi lagi selepas Baginda SAW, adalah menjadi petunjuk hidayah untuk umat manusia, firman Allah SWT:

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…”. (Surah Al-Baqarah, ayat 185)

Al-Quran bukan diturunkan untukmenyusahkan manusia, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Taa Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang yang takut melanggar perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi”. (Surah Taha, ayat 1-4)

Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menghuraikan ayat tentang Al-Quran tidak menyusahkan: “Yakni janganlah engkau wahai Muhammad berdukacita disebabkan kaum kafir musyrik yang engkau seru supaya mereka beriman, masih berdegil dalam kekufuran. Al-Quran yang Kami turunkan kepadamu, engkau hanyalah bertugas menyampaikannya. Sesiapa yang menurutnya, selamatlah dia dan sesiapa yang ingkar, celakalah dia.

Manakala huraian tentang “orang yang takut melanggar perintah Allah SWT”: Kerana orang yang takut melanggar perintah Allah itulah sahaja yang akan beroleh faedah dari peringatan dan hidayah petunjuk Al-Quran, sedang orang yang tidak bersifat demikian, mereka tetap berdegil dalam keingkarannya.

JEMAAH JUMAAT YANG BERIMAN,

Kitab Suci Al-Quran inilah satu-satunya Kitab Mukjizat yang mampu menyatukan umat Islam dan umat manusia dengan jaminan di sisi Allah SWT. Allah SWT menjamin dengan iman dan Islam umat Islam boleh hidup bersatu padu, harmoni dan bertoleransi melalui aplikasi ajaran Al-Quran dalam kehidupan umat Islam.

Untuk itu Islam menggariskan beberapa manhaj atau mekanisme kesatuan dan perpaduan ummah sejagat, antaranya ialah:

1. Ukhuwah dengan iman.

Al-Quran menegaskan bahawa setiap umat Islam yang beriman itu adalah bersaudara, firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelengkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (SurahAl-Hujuraat, ayat 10)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seorang dari kamu sehingga dia menyukai bagi saudaranya apa yang dia sukai untuk dirinya”. (HR Imam al-Bukhari)

2. Berpegang teguh dengan tali Allah,yakni agama Islam.

Berpegang teguh dengan Islam adalah syarat ukhuwah, persaudaraan, penyatuan dan perpaduan ummah yang sebenar-benarnya. Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) danjanganlah kamubercerai-berai dankenanglah nikmatAllah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara…”. (Surah Ali ‘Imran, ayat 103)

3. Ta’aruf atau saling kenal-mengenal antara satu sama lain.

Islam sebagai agama rahmat, universal dan sejagat memperkenalkan manhaj dan acuan terbaik dalam mengukuhkan kesatuan dan perpaduan ummah merentasi suku, kaum dan bangsa, firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (danberamahmesra antarasatu denganyanglain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujuraat, ayat 13)

JEMAAH JUMAAT YANG BERIMAN,

4. Hidup dalam Kasih sayang.

Islam adalah agama kasih sayang yang sentiasa menganjurkan umatnya supaya hidup berkasih sayang, rukun damai dan saling membantu, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang pengasih dan penyayang dikasihi dan disayang oleh Ar-Rahman (Allah Yang Maha Penyayang), kasihilah yang ada di bumi, nesccaya kamu dikasihi oleh yang ada di langit”. (HR Abu Daud dan At-Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang beriman di dalam saling kasih sayang danbelas kasihan seperti satutubuh, apabila kepala sakit, maka seluruhtubuh tidak boleh tidur dan demam”. (HR Muslim)

5. Menjauhi budaya berbantah-bantah dan permusuhan.

Islam agama yang sangat melarang berbantah-bantah serta permusuhan sesama umat, apatah lagi sesama Islam, kerana ia boleh melemah dan menghilangkan kekuatan ukhuwah dan kesatuan ummah, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantah, kalau tidak nescaya kamu mmenjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar”. (SurahAl-Anfaal, ayat 46)

Dalam Hadithnya Rasulullah SAW melarang tiga perkara yang boleh menjejas ukhuwah, kesatuan dan perpaduan ummah, daripada Anas bin Malik RA katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling dengki-mendengki dan janganlah kamu sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya”. (HR Imam Bukhari dan Muslim)

Allah SWT amat benci kepada orang yang suka bermusuhan. Dari Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan”. (HR Imam Bukhari)

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Marilah kita belajar dengan mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah ukhuwah, kesatuan dan perpaduan antara golongan Ansar dan Muhajirin yang mempunyai nilai ukhuwah yang tinggi dan erti perpaduan yang diasaskan atas nama iman yang sebenar.

Perkara ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Kitab Suci Al-Quran, sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya: “(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang faqir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampong halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredhaan-Nya serta menolong (agama) Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah orangyang benar (iman dan amalnya)”. (Surah Al-Hasyr, ayat 8)

Pengalaman kisah umat Islam Ansar dengan Muhajirin yang hebat kerana saling kasih-mengasihi dengan ikatan iman, adalah pengalaman yang mesti diikuti oleh umat Islam hari ini sehingga hari kiamat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya”. (Surah Al-Hasyr, ayat 9)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, menjelaskan tentang kisah Ansar dan Muhajirin berkenaan: Yakni yang telah mendiami Madinah sebelum kedatangan kaum Muhajirin dan telah beriman lebih dahulu dari kebanyakan kaum Muhajirin itu.

JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI,

Demikianlah, indahnya hidup umat Islam yang mengatur kehidupannya sentiasa berpandukan petunjuk hidayah Al-Quran. Hidup sentiasa dibawah naungan petunjuk Al-Quran. Jika menempuh kebuntuan dalam kehidupan Al-Quran menjadi rujukan.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”. (Surah An-Nisaa’, ayat 59)

Semoga kita semua, menjadi umat yang sentiasa bersatu padu, hidup bersaudara, harmoni dan saling kenal-mengenal antara satu sama lain dan terselamat daripada segala bencana kesesatan aqidah yang boleh memecahbelahkan kesatuan dan perpaduan ummah.

Muat turun khutbah

 

 

MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,

Bertaqwalah kepada Allah Ta’ala dengan taqwa yang sebenar-benar. Taqwa dalam ertikata melaksanakan segala yang diperintah oleh Allah SWT dan meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Beruntunglah orang yang bertaqwa itu, sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi…”. (Surah Al-A’raaf, ayat 96)

Oleh itu, bertaqwalah di mana-mana pun kita berada, dari Jundub bin Junadah dan Abi Abdurrahman Mu’az bin Jabal RA dari Rasulullah SAW sabdanya, yang bermaksud: “Bertaqwalah engkau kepada Allah di mana-mana pun engkau berada dan ikutilah kejahatan itu dengan kebaikan supaya ia menghapuskannya dan bergaullah sesama manusia dengan sebaik-baik akhlak”. (HR At-Tirmizi)

MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Khatib ingin mengajak Jemaah sekalian untuk merenung dan menghayati firman Allah SWT di dalam Al-Quran tentang halal haram:

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”. (Surah Al-Baqarah, ayat 168)

Syaitan itu musuh yang terang nyata bagi manusia, kerana kerjanya menyuruh manusia berbuat kejahatan, perbuatan keji dan berdusta kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya: “Ia (syaitan itu) hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya)”. (Surah Al-Baqarah, ayat 169)

MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Halal haram itu suatu yang jelas dan ditentukan hukum dan dalilnya daripada Al-Quran, Sunnah Rasulullah SAW, pendapat ulama muktabar dan qiyas. 


Daripada Abu Abdullah An-Nu’man ibn Basyir RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya halal itu nyata (jelas terang) dan haram itu juga nyata, tetapi antara keduaduanya ada perkara-perkara musytabihat (kesamaran) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang memelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara syubhah (kesamaran antara yang halal dengan yang haram), maka sesungguhnya dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Sesiapa terjerumus melakukan perkara syubhah maka terjerumuslah dia ke dalam perkara yang haram, bagaikan pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, hampir-hampir dia terjatuh ke dalamnya. Ketahuilah, sesungguhnya kawasan larangan Allah itu ialah perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh badan, apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh badan. Ketahuilah (seketul daging) itu ialah hati”. (HR Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan mafhum Hadith ini, beberapa pengajaran penting sebagai panduan terbaik kepada umat Islam dalam memilih apa jua dalam kehidupan seharian ini, sama ada ia berkaitan makan minum, pakaian, pekerjaan, sumber rezeki anak isteri, keluarga dan sebagainya supaya ia dipastikan benar-benar halal di sisi Syarak, antara pengajaran itu, ialah:

1. Umat Islam wajib memilih yang halal. Kerana halal itu baik dan dijamin pahala di sisi Allah SWT.

2. Umat Islam wajib menjauhi yang haram. Kerana yang haram itu menyebabkan dosa.

3. Umat Islam juga wajib meninggalkan perkara-perkara yang syubhah atau yang diragui hukumnya antara halal atau haram.

4. Umat Islam hendaklah berhati-hati dalam melaksanakan perintah agama dan berusaha mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan salah sangka atau kekeliruan di kalangan masyarakat awam serta mengelak diri daripada terjerumus ke tempat yang dimurkai oleh Allah SWT.

5. Umat Islam wajib melaksanakan tugas dakwah dalam memperbaiki hati yang menjadi sebab kebaikan dan keburukan seluruh tubuh badan.

6. Umat Islam juga wajib bekerjasama dalam menutup semua jalan yang boleh membawa kepada perkara-perkara yang haram.

MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT YANG BERIMAN,

Dalam hubungan ini, umat Islam jangan sekali-kali memandang remeh dan enteng perkara halal haram dalam makan minum, sumber rezeki, pekerjaan dan pencarian untuk kehidupan kita di dunia dan akhirat. Antara perkara teramat penting dan bersangkut paut dengan kehidupan kita di dunia dan akhirat, iaitu: 


1. Jangan makan, jangan ambil dan jangan cari jalan yang batil atau salah, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya)”. (Surah Al-Baqarah, ayat 188)

2. Mencari yang halal itu suatu yang fardu, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mencari yang halal itu adalah fardu (wajib) bagi setiap orang Islam”. (HR Ibnu Abdilbarr).

3. Makan yang haram dibalas dengan siksa neraka, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari harta yang haram, maka api neraka adalah lebih utama untuk menyiksanya”. (HR At-Tirmizi)

4. Rasuah itu haram. Haram juga memberi dan menerima rasuah, Allah SWT melaknat mereka, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dan orang yang memberi peluang diantara mereka”. (HR Ahmad)

5. Doa orang yang makan haram tidak dimakbulkan di sisi Allah SWT, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kemudian ada seorang lelaki yang datang dari tempat yang jauh, rambutnya tidak terurus penuh dengan debu, dia mengangkat tangannya ke langit sambil berdoa: Ya Rabb, ya Rabb, pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan barang yang haram pula, maka bagaimana mungkin doanya itu dikabulkan”. (HR Imam Muslim dan At-Tirmizi)

6. Harta haram yang disedekahkan tiada berpahala, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa mengumpulkan harta (wang dan lain-lain) dari jalan yang haram kemudian dia sedekahkan harta itu, sama sekali dia tidak akan beroleh pahala, bahkan dosanya akan menimpanya”. (HR Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

7. Benda yang haram tidak menyembuhkan, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan kamu dengan sesuaatu yang Dia haramkan atas kamu”. (HR Imam Al-Bukhari)


MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH TA’ALA,

Kesimpulan daripada mafhum dan maksud ayat Al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW ini, umat Islam hendaklah berwaspada supaya tidak terjerumus ke dalam perangkap perkara yang diharamkan dan juga dimurkai oleh Allah SWT, kerana Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa satu masa nanti umatnya akan berdepan dengan situasi di mana orang sudah tidak ambil peduli apakah makan, minum, rezeki, sumber pencarian itu halal atau haram.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Akan datang bagi manusia suatu zaman di mana orang tidak lagi peduli apakah harta yang diperolehinya itu halal atau haram”. (HR Imam Al-Bukhari)

Dengan itu, pilihlah makanan halal, minuman halal, pekerjaan halal dan pilihlah restoran halal, pilihlah bahan gunaan atau barangan halal yang diusahakan oleh umat Islam dan hari ini umat Islam dipermudahkan melalui sistem pensijilan dan logo halal yang dikeluarkan oleh kerajaan. Mudah lihat logo halal yang tertera dalam barangan, premis, restoran, hotel dan lain-lain termasuklah bahan kegunaan harian, jika ada logo halal yang diiktiraf, itulah pilihan umat Islam. Jika ada yang meragukan atau mengelirukan, pilih yang halal dan tidak meragukan.

Justeru itu, Islam mengajarkan umatnya supaya meninggalkan apa jua yang meragukan sama ada makan minum, pekerjaan dan sebagainya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tinggalkanlah sesuatu yang meragukan mu, beralih kepada sesuatu yang tidak meragukan mu”. (HR Ahmad, At-Tirmizi, An-Nasa’ie, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

Demikianlah, indahnya Islam dalam mengatur kehidupan umatnya dalam menjaga halal haram dalam kehidupan berkaitan makan, minum, pakaian, pekerjaan, sumber rezeki dan sebagainya. Mudah-mudahan kehidupan kita, anak isteri, suami isteri, keluarga dan masyarakat Islam akan bertambah-tambah keberkatan dan memperolehi redha di sisi Allah SWT kerana kita hidup dengan mempelajari agama, memahami dan mengamalkan Syariat serta ajaran Islam dengan sebaik-baiknya, pasti hidup kita lebih baik dan lebih barakah, insyaa Allah.

Muat turun khutbah

 

 

Bilangan Pelawat

246639
TodayToday2
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week2
This MonthThis Month2
All daysAll days246639

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains