A- A A+


Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Pada hari yang mulia ini, khatib menyeru kepada seluruh kaum muslimin supaya kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan dalam masa yang sama meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita semua dibangkitkan dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa di akhirat kelak.

Bulan Rabiulawwal sangat sinonim dengan masyarakat kita khususnya dalam usaha memperingati sirah Rasulullah SAW. Justeru, tajuk khutbah pada hari ini ialah, “Teladani Rasulullah Hayati Sunnah”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kelahiran Nabi Muhammad SAW dan perutusan Baginda SAW sebagai Rasulullah adalah bukti teragung betapa luasnya rahmat Allah SWT kepada seluruh alam. Menerusi kerasulan Baginda SAW, Allah SWT telah menyebarkan petunjuk dan hidayahNya kepada manusia. Malah, khusus buat orang beriman, Allah SWT melipatgandakan rahmatNya dengan perutusan baginda. Firman Allah SWT menerusi surah al-Hadid, ayat 28:

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Demikianlah rahmah dalam perutusan Baginda SAW sebagai penutup para nabi dan rasul. Apa jua yang datang dari sisi baginda sama ada dari sudut pegangan akidah, amalan syariat dan pedoman akhlak adalah berasaskan bimbingan wahyu ilahi yang wajib kita patuhi dan teladani.

Sidang jemaah yang dikasihi Allah,

Sesungguhnya nikmat teragung yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita adalah Iman dan Islam. Ia adalah hasil pengorbanan dan perjuangan Baginda SAW bersama para sahabatnya sejak 1400 tahun yang lalu. Bermula daripada golongan minoriti yang ditindas sehingga akhirnya berkembang membentuk kerajaan dan empayar yang menerajui tamadun dunia untuk tempoh ratusan tahun. Malah kita pada hari ini cukup berbangga menjadi umat Nabi Muhammad SAW. 


Namun, apakah kita benar-benar menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola dan contoh ikutan? Adakah ahli keluarga dan masyarakat kita mengamalkan gaya hidup muslim seperti Nabi SAW dan para sahabat? Lebih mendukacitakan, generasi masa kini hanya sekadar mengenali nama dan mendakwa mencintai Baginda SAW, tetapi tidak pula mengamalkan sunnah Baginda SAW dalam kehidupan. Sedangkan Allah SWT berfirman menerusi surah Ali ‘Imran, ayat 31:

Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Jika kita tidak merasa rindu dan kasih terhadap Baginda SAW di dalam jiwa, bagaimana mungkin kita mampu mengamalkan dan memperjuangan sunnah baginda dalam kehidupan seharian. Bagaimana pula mahu mendambakan syafaat Baginda di akhirat kelak. Ingatlah kecintaan kepada Baginda SAW bukan sekadar menzahirkan kemarahan apabila Baginda dihina atau sunnahnya dipermainkan, tetapi kecintaan sebenar adalah dengan sentiasa mengamalkan akhlak mulia dan sunnah yang telah ditunjukkan Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman menerusi surah al-Ahzab ayat 21 :

Bermaksud : “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan banyak mengingati Allah (dalam masa susah dan senang).”

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Antara contoh yang kita boleh teladani dalam kehidupan Rasulullah SAW ialah sifat rahmah dalam menyantuni ahli keluarga. Meskipun Baginda SAW berada dalam kesibukan sebagai pemimpin umat Islam, Baginda SAW tetap meletakkan keluarga sebagai keutamaan. Baginda sentiasa membantu melaksanakan kerja-kerja rumahtangga dan sering berbincang bersama isteri-isteri baginda sebelum membuat sesuatu keputusan. Baginda bersikap lemah lembut serta sering bergurau senda, tidak mudah marah apatah lagi memukul isteri dan Baginda juga merupakan seorang bapa yang penyayang lebih-lebih lagi terhadap anak perempuan. Imam al-Tirmizi telah meriwayatkan hadith daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya: “Orang yang terbaik dalam kalangan kamu adalah orang yang paling baik (perilakunya) terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang terbaik dalam kalangan kamu terhadap keluargaku.”

Begitulah sewajarnya, rahmah itu bermula daripada dalam diri dan diterjemahkan kepada ahli keluarga sebelum disebarkan kepada masyarakat.

Hadirin Muslimin yang dimuliakan,

Sebagai seorang rasul yang membawa rahmat, Rasulullah SAW benar-benar telah mempamerkan rahmah dalam kehidupan Baginda. Dalam pergaulan seharian, Baginda SAW tidak pernah mencerca, mengutuk, menghina, dan melaknat golongan yang bukan Islam dalam dakwah Baginda. Imam Muslim r.h. telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau menceritakan:

Bermaksud: “Rasulullah SAW diminta : “Ya Rasulullah, doakan kebinasaan ke atas kaum musyrikin.” Lantas Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya aku diutus bukan sebagai pelaknat, tetapi sebagai pembawa rahmat.”

Demikianlah ketinggian budi pekerti Baginda SAW yang perlu kita contohi dalam kehidupan seharian. Ungkapan rahmat kepada sekalian alam merangkumi hidayah, kebaikan dan keadilan Islam ke seluruh alam. Setiap makhluk akan merasai kesempurnaan rahmat ini tanpa ada sesuatu pun yang tersisih daripada limpahan kasih tersebut.

Sedarlah betapa usaha-usaha menyatupadukan warganegara Malaysia yang berbilang kaum dan agama bukanlah semata-mata tanggungjawab pemerintah. Ia adalah tanggungjawab setiap warganegara lebih-lebih lagi kita umat Islam yang menjadi pengikut Nabi yang membawa rahmat. Sewajarnya kitalah warga yang menitikberatkan perdamaian dan perpaduan antara anggota masyarakat untuk meninggikan syiar Islam. Sesungguhnya Islam adalah agama yang syumul dan agung yang sewajarnya sentiasa dipelihara keindahannya oleh setiap umat Islam.

Sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Kita hendaklah bersyukur dengan anugerah Islam dan iman hasil pengorbanan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan ajaran Islam.

Kedua: Kita hendaklah berusaha bersunguh-sungguh meneladani sirah Rasulullah SAW dan mengamalkan sunnah yang telah ditunjukkan Baginda.

Ketiga: Kita dituntut menyantuni seluruh manusia termasuk yang bukan Islam dengan akhlak baik bagi mempamerkan kemuliaan Islam.

Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’, ayat 105-107:

Bermaksud : “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz; “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.” Sesungguhnya al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang-orang yang (cita-citanya) mengerjakan ibadah (kepada Allah dengan berilmu). Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Muat turun khutbah

 

 

Bilangan Pelawat

246602
TodayToday2
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week2
This MonthThis Month2
All daysAll days246602

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains