A- A A+


Yang bermaksud:. “Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.(Surah An-Nisaa’, ayat 59).


MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH
SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang jumaat yang dikasihi sekalian, marilah samasama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat.


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Perubahan wacana keselamatan negara, berlaku dengan berakhirnya ancaman, komunis pada tahun 1990. Ia susulan tamatnya perang dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union pada tahun 1989. Suatu ketika, keselamatan negara merujuk kepada keselamatan tradisonal yang menekankan soal sempadan, kedaulatan dan ketenteraan. Kini, ia beralih kepada ancaman keselamatan bukan tradisional, merangkumi soal hubungan antarabangsa serta bukan ketenteraan. Justeru itu, pelbagai isu domestik dalam negara mula mendapat perhatian. Ancaman pengedaran dan penyalahgunaan dadah, pendatang asing tanpa izin, jenayah terancang merentasi sempadan, penyakit berjangkit, pencemaran alam sekitar, kemiskinan, perdagangan manusia dan sebagainya dianggap mampu mencetuskan konflik dan mengancam keselamatan negara.

Konsep keselamatan negara selepas merdeka ini adalah berkisar kepada nilai-nilai teras negara. Ia adalah keterangkuman kelangsungan politik negara bagi memastikan hidup bernegara terjamin dengan mengambil kira pelbagai faktor luaran dan dalaman seperti cabaran politik, pembinaan negara bangsa, dasar luar, hubungan kaum, perdagangan antarabangsa, pembangunan ekonomi dan sosial negara. Keselamatan negara masih bersifat kenegaraan demi memastikan kelangsungan hidup negara terjamin khususnya dalam mempertahankan nilai-nilai teras yang telah dibentuk. Menelusuri sejarah, Islam telah mencatatkan bahawa Nabi Ibrahim alaihissalam pernah memunajatkan doanya kepada Allah SWT agar bumi Makkah dikurniakan dengan keamanan dan kemakmuran. Peristiwa ini telah berlaku ketika pembukaan kota Makkah sebagai pusat ibadah dan tanah suci sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 126 :

Maksudnya. “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri Yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, Iaitu orang-orang Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa Yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali".

 

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Malaysia berhadapan dengan pelbagai isu keselamatan dan ancaman. Aspek kolonialisme, proses kemerdekaan, kedudukan geostrategik negara di Asia Tenggara dan evolusi pembinaan masyarakat merupakan antara aspek terpenting dalam memahami sejarah ancaman dan evolusi keselamatan negara. Dengan jumlah penduduk yang telah melangkaui lebih 32 juta orang, keupayaan Malaysia mengharungi pelbagai ancaman luaran dan dalaman amat dikagumi negara lain.

Bukanlah senang bagi sebuah masyarakat yang berbilang bangsa yang telah dijajah beratus tahun lamanya oleh empat kuasa Eropah dan Asia untuk membentuk sebuah kesatuan negara yang stabil dan makmur. Namun Malaysia telah dapat membuktikan sebaliknya. Cabaran utama negara pada awal kemerdekaannya terutama pada tahun-tahun 1960an adalah dari segi menyatu-padukan rakyatnya yang berbilang bangsa. Struktur politik dan sosial Malaysia bersandarkan jalinan tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina, India. Begitu juga halnya dalam pembentukan Malaysia, pengaruh dan dominasi kumpulan etnik tertentu seperti Iban di Sarawak dan Kadazan di Sabah serta lain-lainnya diambil kira dalam penyatuan politik. Dengan asas keselamatan dan kemakmuran ini, kita dapat melakukan urusan kehidupan dunia tanpa merasa takut dan bimbang malahan dengannya juga boleh membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada manusia dan negara.

Namun adakah kita terfikir, bagaimanakah keselamatan dan kemakmuran ini dapat terus terpelihara? Perlu diingat, suasana aman, selamat dan makmur yang dinikmati seluruh masyarakat ketika ini, sebahagian besarnya datang dari usaha perjuangan dan pengorbanan semua Agensi Keselamatan dan Pihak Berkuasa Awam yang terlibat. Ia juga melibatkan usaha-usaha murni berterusan pihak kerajaan dalam menguruskan isu-isu yang berpotensi membawa kepada ancaman keselamatan negara. Sekiranya negara ini tidak diurus dengan baik, ia amatlah membimbangkan malah negara besar yang dahulunya berjaya boleh wujud dan hilang dari peta dunia. Contohnya seperti negara Srivijaya, Majapahit, Jerman Timur, kerajaan Uthmaniah dan Yugoslavia yang menunjukkan bahawa tiada jaminan negara boleh berkekalan sekiranya keselamatan dan kemakmuran ini tidak dipelihara.

Justeru itu kerajaan menetapkan sambutan Bulan Keselamatan Negara di sepanjang bulan Ogos yang julung kali disambut bermula pada tahun 2019 dengan tema kali ini “ Keselamatan Negara, Kemakmuran Bersama”. Adalah diharapkan ianya akan dapat menarik dan bersama-sama mengajak rakyat Malaysia mempunyai rasa prihatin dan kesedaran keselamatan yang tinggi untuk bersama-sama kerajaan bagi mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, sejahtera dan berdaulat. Umum mengetahui bahawa menjaga keselamatan dan kedaulatan negara merupakan tanggungjawab kerajaan. Namun apabila rakyat terlibat secara menyeluruh maka ianya dapat mewujudkan sinergi pengurusan keselamatan yang bersepadu dan berkesan. Secara tidak langsung, perkara ini akan dapat menyemai dan menyuburkan semangat cintakan negara sehingga menyumbang kepada kemakmuran bersama. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-maidah, ayat 2 :

Yang bermaksud : “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya).

 

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa kerajaan telah memperlihatkan pelbagai usaha untuk membangunkan negara dan menyusun masyarakat. Pelbagai dasar diformulasi bagi merealisasikan usaha-usaha ini. Negara juga tidak terkecuali berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran keselamatan melibatkan globalisasi dan kemajuan teknologi maklumat serta kamunikasi. Di era ini, negara bukan sahaja masih berhadapan dengan isu kerapuhan perpaduan nasional tetapi juga isu-isu seperti kewangan dan perdagangan, alam sekitar, konflik tuntutan bertindih, ekstrimisme, radikalisme dan keganasan serta keselamatan siber.

Justeru, sekali lagi sebagai anggota masyarakat yang beriman, kita seharusnya saling bekerjasama dan menyokong penuh usaha kerajaan dalam membanteras perkara-perkara yang membawa kepada pembentukan suasana tidak harmoni dan negatif dalam masyarakat kita. Banyak cabaran keselamatan semasa seperti perpaduan, dadah, wartawan rakyat dan LGBT, yang memerlukan kerjasama semua pihak. Janganlah bersikap lepas tangan dan menyerah bulat-bulat kepada pasukan bertanggungjawab. Amalkanlah sikap prihatin atau sikap ambil peduli pada keadaan sekeliling kita. Insya-Allah dengan cara ini keselamatan dan kemakmuran akan senantiasa terpelihara. Sesuai dengan apa yang disarankan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:: “Tidak sempurna iman salah seorang kamu sehinggalah ia lebih mengasihi daripada anaknya, bapaknya dan manusia sekalian.”(HR:Imam Ahmad dan Bukhari)

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Mimbar hari ini mengambil peluang ingin berpesan kepada para Jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita bersatu mempertahankan keselamatan negara dan kemakmuran negara kita. Mimbar juga ingin berpesan agar kita senantiasa berusaha mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan tawakkal kepada Allah SWT serta berkhidmat dengan penuh ikhlas dan amanah mengikut ajaran Islam. Ingatlah kekuatan dan kemakmuran negara serta rakyat yang bersatu padu merupakan pemangkin kepada benteng keselamatan dan kemanan negara. Sebagai rakyat di negara ini kita hendaklah mengamalkan cara hidup harmoni dan toleransi dalam setiap aktiviti kehidupan. Kita berperanan menjaga keamanan negara bersama. Ini negara kita. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah at-tahrim ayat 6 :

Maksudnya : “Wahai orang yang beriman ! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu ; penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar ; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (Surah at-Tahrim: 6)

Muat turun khutbah

 

 

Bilangan Pelawat

309879
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days309879

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains