A- A A+

MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Saya berpesan kepada diri saya dan juga Jemaah sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan taqwa yang sebenarbenar. Taqwa dalam erti kata taat, patuh serta melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala yang dilarangNya, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al Quran:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan”. (Surah Al-Hasyr, ayat 18)

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Bahagia dan berkat adalah dua perkara yang sering dicari oleh setiap individu sama ada orang kaya ataupun orang miskin, berpengaruh atau orang biasa. Justru, apa itu bahagia dan apa pula makna berkat itu. Bahagia itu ialah ketenangan dalam hati yang dikurniakan Allah SWT. Manakala berkat itu pula ialah sesuatu kebaikan yang menyenangkan setiap orang yang mendapatnya.

Rumahtangga yang bahagia tentu mempunyai ciri, nilai dan tanda-tandanya. Rumahtangga itu pula terbentuk atas kewujudan dua insan pasangan suami isteri, rumahtangga adalah asas membina kehidupan yang sebaik-baik dan sebahagia-bahagia yang mungkin. Rumahtangga juga merupakan asas bagi sebuah keluarga yang besar. Keluarga pula adalah asas membina sebuah masyarakat, ummah dan Negara.
Rumahtangga terbentuk melalui perkahwinan yang sah berdasarkan syarat dan rukunnya di dalam Syariat Islam. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “…maka berkahwinlah kamu dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain) dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”. (Surah An-Nisaa’, ayat 3)

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT,

Antara ciri-ciri rumahtangga yang bahagia itu, ialah:

1. Mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan) kurniaan Allah SWT kepada setiap pasangan suami isteri itu, menjadi nilai asas kerukunan rumahtangga yang ditunjukkan oleh wahyu, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al Quran:

Yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih saying dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir”. (Surah Ar-Ruum, ayat 21)

2. Pasangan yang beragama, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wanita dinikahi kerana empat perkara, iaitu: 1. Harta kekayaannya 2. Keturunannya 3. Kecantikannya 4. Agamanya, maka hendaklah kamu pilih yang beragama agar berkat kedua tanganmu”. (HR Imam Muslim)

3. Menahan nafsu mata, menjaga kesucian syahwat dan mendekatkan tali ikatan keluarga, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa mengahwini seorang wanita kerana memandang kedudukannya, maka Allah tidak akan menambah baginya melainkan kerendahan dan sesiapa mengahwini wanita kerana memandang harta bendanya, maka Allah tidak akan menambah baginya melainkan kefakiran dan sesiapa mengahwininya kerana memandang keturunannya, maka Allah tidak akan menambah baginya melainkan kehinaan, tetapi sesiapa mengahwini seorang wanita kerana bermaksud ingin menahan nafsu mata, menjaga kesucian syahwat atau ingin mendekatkan ikatan silaturrahmi (kekeluargaan), maka Allah akan memberkatinya bagi isterinya dan memberkati (pula) isterinya baginya”. (HR Imam Bukhari)

4. Berkahwin dan bertaqwa menyempurnakan agama, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berkahwin (beristeri), maka dia telah melindungi (menguasai) separuh agamanya, kerana itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang separuh lagi”. (HR Al-Hakim dan At-Thahawi)

5. Keutamaan wanita atau isteri solehah, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya dunia itu adalah benda dan sebaik-baik benda di dunia ialah wanita (isteri) yang solehah”. (HR Imam Muslim) 6. Ringan mas kahwin, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik wanita ialah wanita yang ringan (mudah) mas kahwinnya”. (HR At-Thabrani)

7. Tidak benci-membenci sesama pasangan, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki (suami) yang beriman membenci isterinya yang beriman. Bila ada perangai yang tidak disukai, pasti dia redha (senang) dengan perangainya yang lain”. (HR Imam Muslim)

8. Terbaik terhadap ahli keluarga dan memuliakan isteri, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang terbaik terhadap ahli keluarganya dan aku adalah orang yang terbaik daripada kamu terhadap ahli keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi”. (HR Abu A’saakir)


Berdasarkan ayat dan Hadith ini, mudah-mudahan kita dapat memahami, menghayati, mengambil pengajaran serta mengamalkannya, in syaa Allah kita akan dikurniakan Allah SWT rumahtangga yang bahagia serta kehidupan bahagia di dunia dan akhirat.

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHII ALLAH SWT,

Rumahtangga yang bahagia itu, tentu akan lebih sempurna, jika pasangan suami isteri itu memilikI mahligai atau rumah tempat tinggal mereka bersama anak-anak dan ahli keluarga. Kerana rumah itu merupakan tempat berteduh dan berlindung sebaikbaiknya dari hujan, panas tempat paling berkualiti bersama suami isteri, anak-anak dan ahli keluarga.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal…”. (Surah An-Nahl, ayat 80)

Ada tiga perkara yang pernah Rasulullah SAW berdoa, sebagaimana doanya yang bermaksud: “Ya Allah, ampunilah dosaku, luaskanlah rumahku, berilah barakah dalam rezekiku”. (HR An-Nasa’ie)
Seterusnya, antara ciri dan amalan rumah yang berkat itu, ialah:

1. Mempunyai jiran yang baik, rumah dan kenderaan yang selesa, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Termasuk kebahagiaan seorang muslim di dunia ialah jiran tetangga yang baik, rumah yang lapang dan kenderaan yang selesa”. (HR Imam Ahmad)

Pengajaran dari Rasulullah SAW yang dinyatakan di dalam Al Quran, mengenai sebuah rumah dan kepada kehidupan suami isteri dan ahli keluarga.

2. Penghuninya suka melakukan solat sunat di rumah, sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu solat di rumah. Sesungguhnya solat terbaik seseorang adalah di rumahnya melainkan solat fardu”. (HR Imam Bukhari)

3. Penghuninya rajin membaca Al Quran di dalam rumah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah kamu menjadikan rumah seperti tanah kubur. Sesungguhnya syaitan menjauhi rumah yang di dalamnya orang membaca Surah Al-Baqarah”. (HR Imam Ahmad)

4. Sentiasa mengamalkan doa keluar dan doa masuk rumah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah, selain daripada doa”. (HR Ibnu Majah)

5. Meminta izin dan memberi salam ketika masuk rumah sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu”. (Surah An-Nur, ayat 27)

6. Jangan masuk rumah tanpa izin tuannya, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin), maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin dan jika dikatakan kepada kamu ‘baliklah’, maka hendaklah kamu berundur balik, cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan”. (Surah An-Nur, ayat 28)

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DILINDUNGI ALLAH SWT,

Sesungguhnya Islam adalah agama yang dipenuhi dengan akhlak dan adab sopan yang baik dan indah, termasuk adab memasuki rumah, supaya ia menambahkan lagi keberkatan dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT, sebagaimana Allah Ta’ala mengajar umat Islam tentang adab sopan masuk rumah Nabi SAW, firman-Nya di dalam Al Quran yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya, tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan), kemudian setelah kamu makan, maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga dia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi, maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah dia wafat, selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah”. (Surah Al-Ahzab, ayat 53)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, menjelaskan ayat ini: Setelah diterangkan perihal Nabi Muhammad SAW dan keistimewaan-keistimewaan yang diberikan kepadanya, maka mulai ayat ini Allah Ta’ala menerangkan hukum-hukum dan adab peraturan yang wajib dipatuhi oleh orang Islam semasa mereka berhubung dengan Baginda dan isteri-isteri Baginda.

Dalam ayat ini ada juga hukum-hukum dan adab peraturan yang mesti dipakai oleh orang Islam dalam masyarakatnya. Di antaranya ialah mana-mana lelaki yang ada hajat yang harus dia minta dari perempuan, hendaklah dia memintanya dari sebalik dinding, tabir dan sebagainya. Kerana mengikut adat kebiasaan orang perempuan semasa menjalankan kerja rumahnya, masingmasing tidak berpakaian yang lengkap melindungi anggota-anggota yang haram dipandang oleh lelaki asing.

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT,

Demikianlah, Islam menggariskan erti, nilai dan ciri atau tanda-tanda kebahagian rumahtangga bagi pasangan suami isteri dan juga rumah yang berkat. Mudah-mudahan dengan kurniaan Allah SWT kepada kita nikmat di dunia dengan rumahtangga yang bahagia serta rumah tempat tinggal kita di di dunia, insya- Allah di akhirat pula akan disediakan pula nikmat yang lebih baik di sisi Allah SWT.

Marilah kita jadikan rumahtangga yang kita bina atas asas iman, taqwa dan Syariat Islam dan juga rumah tempat kita tinggal dan berteduh itu sebaik-baik rumahtangga bahagia dan rumah yang sentiasa mengalir di dalamnya rahmat, berkat dan keredhaan Allah Ta’ala.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (Surah At-Tahriim, ayat 6)

Muat turun khutbah

 

 

Bilangan Pelawat

246681
TodayToday2
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week2
This MonthThis Month2
All daysAll days246681

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains