A- A A+

Khutbah Jumaat

Buletin Soutul Islam

Pengarah JHEAINS

biruu.png - 95.75 kB

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?

Aplikasi E-Perkhidmatan


SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan seluruh larangannya. Mudah-mudahan kita memperoleh keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “PAHLAWAN: PENGORBANAN YANG TIADA GALANG GANTI”.


SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Dengan kemajuan dan kemakmuran negara yang dikecapi hari ini, ramai yang tidak sedar akan pengorbanan dan perjuangan golongan perajurit yang tiada galang gantinya demi memastikan negara bebas daripada penjajah dan ancaman musuh. Meskipun sebahagian besar daripada kita tidak merasakan zaman penjajahan dan darurat sebelum ini, kesiagaan anggota keselamatan yang sedia berkhidmat menjaga keamanan di darat, udara dan perairan negara, harus terus dikenang dan disanjung sampai bila-bila.

Masyarakat khususnya generasi muda perlu menyelami dan mengambil iktibar keberanian dan semangat keperwiraan yang ditunjukkan golongan perajurit yang sentiasa di barisan hadapan mempertahankan negara pada satu masa dahulu. Sama ada mereka ini masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, sekaligus meninggalkan nama, jasa dan pengorbanan mereka untuk dikenang dalam lipatan sejarah Negara. Pemergian mereka merupakan kehilangan yang cukup dirasai serta tiada galang gantinya. Jasa mereka tidak sewajarnya kita lupakan, kerana kita tidak akan kecapi apa yang ada kini sekiranya bukan kerana pengorbanan mereka.

Justeru, setiap kali tanggal 31 Julai, kita akan menyambut Hari Pahlawan bagi memperingati jasa dan pengorbanan pahlawan negara yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan serta individu yang secara bersama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara dari ancaman musuh. Ia adalah suatu tugas yang sungguh mulia dan merupakan tuntutan syariah dalam menegakkan agama Allah dimuka bumi ini.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 146 :

Bermaksud : “Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.”

Sesungguhnya jasa para pahlawan negara ini telah menunjukkan kehebatan mereka sejak dahulu lagi. Sebagai contoh para pahlawan telah menunjukkan kehebatan mereka mempertahankan negara sewaktu menentang pencerobohan tentera Jepun sewaktu perang dunia ke-2 dan sewaktu zaman darurat antara tahun 1948 sehingga 1960. Bukan itu sahaja, para pahlawan kita telah diminta untuk menjadi tentera pengaman di pelbagai negara seperti Bosnia, Somalia, Iraq dan lain-lain.

Dalam sejarah Islam terdapat ramai pahlawan Islam yang bersemangat waja, kuat dan terbilang. Di antaranya termasuklah Saidina Hamzah, Khalid bin al-Walid, Thariq bin Ziyad, Salahuddin al-Ayubi dan lain-lain lagi. Manakala dalam sejarah tanah air kita pula terdapatnya tokoh-tokoh seperti Mat kilau, Datuk Bahaman, Mat Salleh, Datuk Onn Jaafar dan sebagainya yang diangkat sebagai pahlawan kerana menentang penjajahan barat ke atas ibu pertiwi tercinta.

Berjihad dan berkorban jiwa untuk mempertahankan negara adalah sifat mulia yang disanjung tinggi dalam Islam. Kerana itulah, Islam telah meletakkan kedudukan pejuang-pejuang yang berjuang semata-mata kerana Allah serta tidak didasari sifat kebendaan dan keuntungan dunia tetapi berjuang hanya untuk mendapatkan ganjaran dan keredhaan Allah SWT mereka akan diberi ganjaran dan kedudukan yang tinggi disisi Allah SWT sebagaimana firman Allah dalam surah Al- Baqarah 193 :

Bermaksud : “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.”

 

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Islam mengiktiraf para pahlawan tanah air ini sebagai mujahid agama, bangsa dan negara. Oleh itu para pahlawan hendaklah meletakkan setiap langkah dan geraklaku dalam perjuangan mereka sebagai amalan yang ikhlas dan penuh tanggungjawab agar mereka mendapat penghormatan semasa hidup di dunia dan anugerah yang besar dari Allah SWT pada hari akhirat kelak.

Segala perjuangan para pahlawan yang terdiri dari pasukan keselamatan iaitu tentera dan polis yang mempertahankan Negara adalah satu tugas yang sangat mulia, kerana perjuangan mereka dipenuhi pelbagai dugaan. Kalau kita lihat perjuangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. dengan penuh semangat dan kesungguhan. Mereka telah menempuh segala cabaran dan rintangan sehingga kuasa-kuasa besar pada masa itu pun tunduk dibawah kekuasaan Islam. Kejayaan mereka ini adalah berdasarkan tiga faktor utama. Pertama, segala kejayaan dan kecemerlangan mereka adalah hasil daripada pertolongan Allah SWT. Kedua, sifat berdisiplin, amanah, jujur dan ikhlas adalah di antara sifat-sifat utama yang mendasari kejayaan mereka di dalam setiap perjuangan. Dan yang ketiga, sikap sentiasa mematuhi perintah Allah dalam setiap keadaan samaada ketika senang atau susah.

Di samping menyediakan kekuatan dalaman atau kerohanian, kita juga diperintahkan mempersiapkan kekuatan dari sudut luaran atau fizikal bagi menghadapi sebarang ancaman musuh sebagaimana firman Allah SWT di dalam suruh al-Anfal ayat 60 :

Bermaksud : “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

Ayat al-Quran tersebut memberikan pengajaran dan panduan agar umat Islam sentiasalah bersiap sedia dalam apa jua keadaan bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman dari pihak musuh, dengan mempersiapkan segala bentuk kekuatan, baik di bidang keselamatan, perekonomian, pendidikan, keagamaan sehinggalah kekuatan perpaduan. Bahkan tanpa perpaduan takkan lahirnya kekuatan. Tanpa kekuatan masakan pejuang dan pahlawan silam mampu meraih kejayaan dan kemenangan. Sebagaimana yang disebutkan dalam Hadis Qudsi berikut:

Bermaksud: “Mana-mana hamba-Ku yang menunaikan jihad pada jalanKu kerana mengharap dan mencari keredhaan-Ku, Aku jamin untuk mengembalikannya (jika ia ku kembalikan) dengan segala apa yang didapatinya berupa pahala atau harta rampasan. Dan jika ia Ku matikan, ia akan Ku ampuni, Ku beri rahmah dan akan Ku masukkan ke dalam Syurga.”

 

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Dalam menyambut hari pahlawan agar ianya menjadi lebih bermakna sewajarnyalah masyarakat umum memberi pengiktirafan selayaknya kepada barisan pahlawan negara yang memikul tuntutan fardhu kifayah dalam aspek pertahanan dan keselamatan negara secara khusus. Oleh itu, erti perjuangan sebenarnya menyedarkan kita betapa kemerdekaan yang dilaung, agama yang didukung, negara yang disanjung perlu dipertahankan biar ke titisan darah yang terakhir. Buat para pahlawan negara baik yang telah syahid atau kembali menghadap Ilahi, kita berdoa agar roh mereka sentiasa dirahmati dan dikasihi. Bagi para pahlawan yang masih gagah berdiri mengibarkan panji perjuangan ini, demi negara yang dicintai, akan sentiasa mempertahankan setiap inci bumi pertiwi ini walaupun darah dan nyawa sebagai ganti.

Mimbar menyeru, marilah kita semarakkan kembali janji untuk beriltizam di atas prinsip-prinsip kebenaran yang didokongi oleh Islam sebagai wadah, bagi memastikan keberadaan kita di dunia yang fana ini tidak tergelincir dari garisan ibadah. Marilah kita sama jalinkan kekuatan, bina kombinasi mapan, sempurnakan amanah dan peranan, persiapkan jiwa dengan keimanan, hiaskan diri dengan kesopanan, tingkatkan pengorbanan dan kesiapsiagaan demi kedaulatan agama dan tanah air.

Muat turun khutbah

 

 


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Marilah kita sama- sama membersihkan hati, menyatukan jiwa dan sanubari, dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT Rabbul Izati, berusaha sedaya upaya memenuhi, segala tuntutanNya yang wajib dipatuhi, dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya secara rela hati.

Mudah-mudahan kita menjadi insan yang benar-benar bertakwa yang diliputi cahaya rahmatNya, terdakap dalam keampunanNya, lantas menjadilah kita golongan hambaNya yang terpilih dan dikasihi, berjaya di dunia dan juga beruntung di akhirat nanti.

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah khas sempena Hari Keputeraan Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang bertajuk : “Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Teras Perpaduan Rakyat Dan Kesejahteraan Negara”.


SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH

Fitrahnya manusia itu suka hidup di dalam satu kelompok, bersama membentuk masyarakat lalu berusaha membina sebuah tamadun dan peradaban bagi mendapatkan sebuah jalinan kehidupan yang harmoni dan membahagiakan. Justeru kelompok ini akan terikat dengan satu peraturan, undang-undang mahupun keagamaan yang lazimnya disatukan di bawah satu kepimpinan. Mereka akan melantik seorang ketua bagi menjadikan mereka bangsa yang berkepatuhan dan bersatu di bawah satu pemerintahan.

Mengikut pandangan Dr Yusuf AlQaradhawi, dalam bukunya yang bertajuk Fiqh Kenegaraan, menyatakan Agama Islam menyeru kepada pengaturan dan pentadbiran yang rapi dalam menentukan tugas dan melaksanakan tanggungjawab. Malah dalam anjuran bersolat Jemaah, Nabi s.a.w akan merapikan barisan di samping memilih seorang yang terbaik menjadi imam. Begitu juga sesuatu urusan perjalanan musafir itu perlu dilengkapkan dengan melantik seorang ketua. Sabda Nabi s.a.w,

Maksudnya : “Apabila keluar tiga orang bermusafir, maka lantiklah salah seorang dari mereka sebagai ketua.” (Riwayat Abu Daud)

Allah SWT telah mewajibkan kita untuk melakukan perkara amar ma’aruf dan nahi mungkar. Namun gesaan ini sukar dilaksanakan tanpa kuasa pemerintahan. Begitu juga dalam melakukan kewajipan-kewajipan masyarakat yang lain. Oleh yang demikian, keperibadian orang-orang mukmin yang telah dikukuhkan Allah akan kekuasaannya, dengan berdirinya satu Negara telah digambarkan di dalam firmanNya;

Ertinya : “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

(Surah AlHajj ayat 41)

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Di Negara kita, Institusi Diraja yang penuh kedaulatan, mempunyai sejarah yang begitu panjang zaman berzaman. Institusi ini telah termaktub dalam sejarah sebagai Insititusi yang telah lama diberikan kesetiaan dan kemuliaan yang tidak berbelah bahagi oleh rakyat jelata. Malah seiring dengan penyebaran dan perkembangan dakwah Islam di gugusan Tanah Melayu ini, Institusi Diraja tetap dan terus diangkat sebagai lambang kelestarian perpaduan dan kedaulatan Agama Islam.

Apabila pengislaman itu bermula dari atas, proses pengislaman di zaman Kesultanan Raja Melaka telah dilihat berlaku secara menyeluruh kerana awalannya melibatkan pihak istana atau pemerintah. Islam telah diterima baik oleh pemerintah dan seterusnya Melaka berkembang menjadi pusat penyebaran Islam di rantau ini


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan, raja diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi. Fungsi Institusi Diraja ini bukan sahaja untuk melindungi agama sahaja, tetapi juga menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan untuk kesemua kaum, kuasanya melangkaui kepentingan politik, di mana keputusan atau titah-titah perintahnya adalah berasaskan kepentingan Negara, pelindung perlembagaan dan sebagainya.

Mengikut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan, Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara Malaysia. Jawatan ini telah diwujudkan selepas Negara ini mendapat kemerdekaan pada tahun 1957. Maka sebagai ketua Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua tertinggi Persekutuan yang mempunyai keutamaan yang lebih daripada orang lain di samping mempunyai kuasa yang luas dan penting dalam melaksanakan urusan Kerajaan Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab dan peranan yang besar dalam beberapa fungsi terpenting Negara. Dalam fungsi perundangan contohnya, Kuasa Perundangan Persekutuan terletak hak pada Parlimen, yang mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan salah satu unsur parlimen. Selain dari fungsi tersebut, penglibatan kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah termasuk fungsi Eksekutif, Perundangan, Ketenteraan, Keagamaan, Diplomatik, Kuasa Pengampunan dan Sumber Penghormatan serta Kebesaran.

Keluhuran undang-undang dan prinsip keadilan adalah satu aspek Rahmatan Lil Alamin yang perlu dijaga agar tidak ada ruang bagi kelompok-kelompok ekstrim mendominasi pandangan awam sehingga menatijahkan masyarakat yang tidak bersatu, tidak bertolak ansur, tidak menghormati undang-undang sehinggakan memberi kesan pada pembinaan kerangka Negara.

Pemerintahan hendaklah berasaskan Rahmatan Lil Alamin. Malah perkataan itu sendiri rohnya adalah daripada seruan di dalam AlQuran. Oleh yang sedemikian kedudukan Raja-raja Melayu itu sifatnya adalah menjaga, memelihara, melindungi kedudukan agama Islam dalam perlembagaan Negara. Raja-raja Melayu diletakkan pada kedudukan yang tinggi, yang mana secara tidak langsung sebagai penjamin kepada pentadbiran Islam di Malaysia.

Justeru mana-mana pihak hendaklah tidak bermain dengan sentimen ini kerana ia boleh menggugat struktur Negara dan juga menggugat keharmonian rakyat itu sendiri. Dalam erti kata lain, siapa yang merendah-rendahkan Institusi Diraja, secara tidak langsung ia merendahkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara.


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Terbukti sudah peranan Raja-raja yang sangat penting dalam memastikan Islam itu tetap dijulang di negara kita. Raja telah memayungi kita sebagai rakyat dengan memastikan keamanan, keadilan dan keharmonian itu dapat dirasai pada setiap nadi kehidupan rakyat, lalu wajarlah kita membalasnya dengan taat setia dan mengelakkan berlakunya sebarang penderhakaan terhadap Raja-raja. Berpadalah dalam menongkah arus, kerana satu kesilapan boleh membawa pada musibah yang besar.

Ingatlah, musuh-musuh agama itu sentiasa mengintai peluang untuk menabur racun perpecahan dan menyemarakkan api kebencian yang mampu merungkaikan ikatan perpaduan dan kesatuan kita yang sentiasa berpaksi pada kekuatan iman dan kesejahteraan hati yang lapang. Sesungguhnya, menjaga keharmonian dan mengikat erat tali perpaduan ini, adalah tanggungjawab kita bersama dan ia merupakan sebahagian rasa syukur kepada Allah Taala terhadap nikmat keamanan ini.


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Kesimpulan yang dapat diambil dari khutbah hari ini ialah:

Pertama : Agama Islam mendidik kita dalam menentukan tugas dan melaksanakan tanggungjawab yang memerlukan satu kerajaan terpimpin yang diterajui oleh seorang ketua

Kedua : Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi dalam perlembagaan Negara, seiring fungsi Institusi Diraja ini bukan sahaja untuk melindungi agama sahaja, tetapi juga menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan untuk kesemua kaum.

Ketiga : Sebagai rakyat yang mementingkan keharmonian dan kesejahteraan bersama serta cintakan negara, kita perlulah memberikan ketaatan dan kesetiaan pada Institusi Diraja dan sesekali tidak melakukan sebarang penderhakaan terhadap Raja-raja.

Marilah kita meneruskan keluhuran kerajaan berperlembagaan ini dengan tetap memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi pada Institusi Diraja. Moga kepatuhan ini akan menjadikan kita termasuk dalam golongan yang taat pada perintah Allah Taala, seperti mana firmanNya

Ertinya : Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.


Surah An-Nisaa’ : ayat 59

Muat turun khutbah

 

 

30ogos.png - 47.23 kB


MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

HADIRIN JAMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Firman Allah SWT di dalam Al Quran Al Karim:

Yang bermaksud: ”Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya Dengan azab seksa Yang berat; Yang demikian itu adalah tertulis di Dalam Kitab (Lauh Mahfuz)”.

Sehubungan dengan peringatan Allah SWT tersebut, marilah kita sama-sama berusaha memelihara diri dan negara kita daripada ditimpa azab Allah SWT dengan mengamalkan budaya bersyukur terhadap segala nikmat yang dikecapi hingga ke hari ini melalui pemantapan iman dan peningkatan takwa iaitu dengan mengerjakan segala perkara yang diperintahkan Allah SWT dan menjauhi segala perkara yang ditegah-Nya. Ketakwaan yang sebenarbenarnya akan membolehkan kita beroleh kejayaan yang bermakna di dunia dan di akhirat.

HADIRIN JAMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT,

Dengan menjelangnya 31 Ogos 2019 yang jatuh pada hari esok, maka genaplah sudah 62 tahun negara kita Malaysia mencapai kemerdekaan dan Sabah pula mencapai kemerdekaan masuk tahun yang ke 56 melalui Pembentukan Persekutuan Malaysia yang termeterai pada 16 September 1963.

Kemerdekaan yang kita perolehi dan nikmati ini telah membolehkan kita membangun dan maju berlipat kali ganda lebih baik berbanding semasa berada di bawah belenggu penjajahan. Pembangunan dan kemajuan yang sedang dan Insya-Allah akan terus kita kecapi menjadi sumber keamanan yang perlu dipelihara dan dikekalkan demi kepentingan generasi hari ini dan generasi akan datang.

Namun, apa yang agak membimbangkan dan menyedihkan kita ialah generasi muda yang disandarkan harapan untuk mempertahankan dan membela kesucian agama serta kedaulatan bangsa dan negara sedang pula berhadapan dengan permasalahan rumit. Kerumitan berpunca daripada pelbagai elemen dalaman dan luaran yang sentiada mencari peluang untuk melemahkan jati diri, sistem nilai, etika dan moral golongan berkenaan. Akibatnya golongan muda terperangkap dalam pelbagai penyakit sosial seperti penyalahgunaan dadah, jenayah, vandalisme dan lain-lain lagi. Adalah dipercayai bahawa gejala ini juga yang menyebabkan kaum remaja dan belia hari ini lalai serta alpa mengisi kemerdekaan dengan agenda memperbaiki diri dari segi pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya yang sedikit sebanyak menyumbang kepada kelemahan iman dan patriotisme hatta kurang berwaspada terhadap segala taktik anasir-anasir jahat untuk memporakperandakan masyarakat yang bermatlamat menghancurkan negara bangsa kita.

 


HADIRIN JAMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT,

Meskipun sebahagian besar daripada kita hari ini tidak mengalami dan merasakan keperitan dan penderitaan hidup di era perang dunia ke-2, namun segala tipu muslihat musuh yang tercatat dalam sejarah seharusnya menjadi pengajaran dan mendewasakan kita untuk mengenal pasti taktik dan matlamat musuh-musuh kita.

Sepertimana yang tercatat dalam sejarah, sebelum tercetusnya perang dunia ke-2, agen perisik dan tentera Jepun telah terlebih dahulu memasuki negara kita dengan menyamar sebagai tukang gunting, tukang kasut, tukang basikal dan sebagainya. Melalui taktik ini membolehkan mereka mengetahui hal keadaan serta selok belok dalam negara yang mana telah membantu mereka menawan negara kita dengan begitu mudah dalam tempoh yang singkat.

 

HADIRIN JAMAAH JUMAAT YANG DILINDUNGI ALLAH SWT,

Tugas memikul menjaga keamanan dan memelihara kedaulatan tanah air tidak boleh diserahkan semata-mata kepada pasukan keselamatan seperti polis dan angkatan tentera. Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum mempunyai kewajipan yang sama memastikan keamanan dan kemakmuran yang dikecapi terus terpelihara dan siap sedia berkorban melawan musuh dengan apa cara sekalipun sesuai dengan firman Allah SWT seperti berikut:

Yang bermaksud:”Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah SWT dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah SWT mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya”.(Surah Al-Anfaal: Ayat 60)

Untuk memelihara keamanan dan kemakmuran negara tidak semestinya membabitkan penggunaan senjata yang serba canggih. Perpaduan dan persefahaman setiap rakyat yang berbilang kaum boleh berperanan sebagai senjata ampuh menangkis gugatan musuh daripada pelbagai sudut. Dalam hubungan ini, marilah ianya kita kaitkan dengan konsep hijrah. Hijrah adalah pembinaan semangat, kekuatan dan keyakinan diri disamping memantapkan akidah dan meningkatkan ketakwaan menuju hidup yang lebih bermakna serta diredhai oleh Allah SWT. Oleh yang demikian setelah kita merdeka maka hijrahkan diri kita kepada kesatuan yang lebih kuat, berkasih sayang, tolong menolong sehingga tiada siapa yang boleh mengganggu dan menggugat ketenteraman dan keselamatan diri, negeri serta negara kita.

Dalam hubungan ini juga, iman merupakan aset penting untuk dimiliki setiap rakyat justeru ia merupakan satu kekuatan dalaman yang luar biasa yang dapat menggerakkan seseorang itu untuk melakukan kebajikan demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Kerana itulah ada yang mengatakan bahawa mencintai negara itu sebahagian daripada iman. Ini menunjukkan betapa besarnya nilai iman bukan sahaja dalam konteks pembangunan insan, bahkan sangat relevan untuk pembinaan negara hatta menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara. Ini kerana rakyat yang beriman akan beroleh keberkatan dari Allah SWT. Sepertimana firman-Nya yang bermaksud:

“Jika sekiranya penduduk sebuah negeri beriman dan bertakwa pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi”.(Surah Al-A’raf: Ayat 96)

Selain daripada itu, setiap rakyat mesti mempunyai semangat patriotisme yang tinggi. Patriotisme ialah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Perasaan cintakan negara diterjemahkan melalui pemikiran, perlakuan dan tindakan bersifat memelihara dan mengekalkan keamanan serta kemakmuran negara dengan mempertahankannya daripada ancaman anasir-anasir subversif sama ada dari luar mahupun dari dalam.

 


HADIRIN JAMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT,

Marilah kita semua bertekad dan berusaha mempertingkatkan keimanan kepada Allah SWT dan pada masa yang sama merapatkan saf memperkukuhkan ukhuwah islamiah dan memperteguhkan perpaduan ummah agar terbentuk sebuah negara yang kuat dan bersatu yang sedia berkorban untuk menyambung nyawa, harta dan minda bagi mempertahankan dan membela kesucian agama, maruah ummah dan kedaulatan negara yang tercinta ini. Firman Allah SWT:

Yang bermaksud:”Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, (dimedan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan didaerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah SWT supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).”


Muat turun khutbah

 

 

4SEP.jpg - 88.48 kB

BANNER-MAAL-HIJRAH.jpg - 1.52 MB

Bilangan Pelawat

128766
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days128766

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains