A- A A+

CARIAN ANDA

IKRAR JHEAINS

IKRAR.png - 59.54 kB

IKRAR JHEAINS SEMPENA MAJLIS PERUTUSAN PENGARAH BERSAMA KAKITANGAN JHEAINS DI DEWAN TUN SAKARAN HOTEL TABUNG HAJI KOTA KINABALU PADA 21 JANUARI 2020

 

lambaian-kasih.png - 133.97 kB

new.png - 60.75 kB

 INFO HADIS JHEAINS 

kayajiwa.png - 75.31 kB

 

"KAYA SEBENAR ADALAH KAYA JIWA"

 

Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya,

“Bukanlah kaya itu dengan sebab banyak harta benda, tetapi kaya itu ialah kaya jiwa.”

 

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

 

#Sebarkankebaikan #BudayaRahmah

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Sayugianyalah setiap Muslim memanfaatkan sebaik mungkin usia, ilmu, harta, tubuh badan dan pelbagai nikmat lagi yang dikurniakan Allah untuk beribadat dan berbakti kepada-Nya menurut undang-undang dan peraturan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Ini penting dilakukan memandangkan pada hari akhirat nanti kita akan ditanya sejauh mana dan bagaimana kita telah memanfaatkan nikmat-nikmat berkenaan semasa hidup di dunia. Hal ini diperingatkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan ilmunya untuk apakah ia gunakan dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (HR at-Tirmizi).

Oleh kerana itu marilah kita hiasi dan serikan sisa-sisa usia hidup kita yang kian berkurangan ini dengan takwa yang sebenar-benarnya, iaitu perasaan takut kepada Allah SWT yang menjelmakan kesungguhan, keikhlasan dan kekhusyukan dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menghindari segala yang ditegah-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah hanyalah orang yang bertakwa, sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:-

Yang bermaksud: “…Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (S. Al-Hujurat: 13).

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Kata bijak pandai, sesiapa hidupnya hari ini lebih teruk daripada hari kelmarin, maka dia termasuk orang yang celaka. Sesiapa hidupnya hari ini sama seperti hari kelmarin, maka dia termasuk orang yang terpedaya. Dan, sesiapa hidupnya hari ini lebih baik dari hari kelmarin, maka dia termasuk orang yang berjaya.

Maknanya saudara-saudara sekalian, kualiti atau prestasi segala amal ibadat serta usaha kita yang menyangkut soal hubungan kita dengan Allah SWT mahupun hubungan kita dengan makhluk-makhluk Allah yang lain khususnya sesama manusia perlu ada peningkatan dari hari ke hari. Ini kerana, meskipun usia kita semakin meningkat, namun hakikatnya jangka hayat kita di dunia ini semakin berkurangan. Apabila sampai waktu kita dijemput oleh malaikat pencabut nyawa, ia tidak akan dapat ditangguhkan atau dipercepatkan walau sesaat sekalipun. Jadi, rugi dan celakalah mereka yang mensia-siakan ruang dan kesempatan untuk hidup di dunia ini jika tidak memanfaatkannya untuk memperbaiki kualiti atau prestasi amal ibadat dan usahanya kerana sesungguhnya amal dan usaha kita di dunia menjadi penentu bentuk ganjaran yang bakal diterima di akhirat kelak.

Sebaliknya, berbahagia dan berjayalah mereka yang sentiasa bersungguh-sungguh, tekun, ikhlas dan sabar dalam memperbaiki segala amal ibadat dan usahanya pada setiap masa bagi mencapai keberkatan dan keredaan Allah SWT. Perihal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:-

Yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambahtambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (S. Asy-Syams: 9-10).

Justeru, umur yang panjang adalah nikmat yang sangat bernilai kerana dengannya kita dapat terus merasai kehidupan, dapat beribadat, berkongsi kebahagiaan dan merencana masa depan. Jika nikmat usia ini ditarik oleh Allah Yang Maha Berkuasa, maka kita tiada peluang untuk terus menjadi hamba yang taat dan bersyukur. Inilah sebabnya maka selagi hayat di kandung badan, jangan kita sekali-kali lalai dan alpa daripada berusaha untuk bertaubat dan memperbaiki segala kelemahan ke arah mempertingkatkan lagi kualiti serta prestasi amal ibadat demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Tahun baharu masihi 2019 telah melabuhkan tirainya, dan akan menyonsong pulalah tahun baharu 2020 Melangkah masuk ke tahun baharu membawa banyak erti kerana ia ibarat membuka buku catatan hidup baharu untuk tahun seterusnya. Fasa peralihan ke tahun baharu ini sering dikaitkan dengan azam atau cita-cita dan harapan baharu yang ingin dicapai dalam tahun baharu yang menjelang.

Kerana itulah pasti ada yang akan bertanya, apa azam tahun baharu anda? Maka, kedengaranlah berbagai-bagai jawapan yang diberikan, ada yang munasabah pada pendengaran, dan tak kurang pula yang terlalu tinggi dari jangkauan. Lain orang, lain pula azam baharunya.

Yang pasti, tidak perlu azam atau impian yang terlalu tinggi, memadailah apa yang difikirkan mampu atau munasabah untuk dicapai dalam tempoh setahun mendatang. Jika mengimpikan sesuatu yang besar dan sukar dicapai, maka ukurlah baju di badan sendiri supaya ia tidak menjadi sekadar angan-angan kosong. Yang penting, perlu ada kesungguhan dan usaha yang berterusan untuk menggapai apa yang diimpikan dengan diiringi doa ke hadrat Ilahi Rabbi memohon reda dan perkenan-Nya akan matlamat yang dicitacitakan.

Allah telah berjanji bahawa Dia pasti akan mengabulkan doa yang dipohon oleh hamba-hamba-Nya. Firman Allah:-

Yang bermaksud: "Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (S. Al-Ghaafir: 60).

Justeru, sebagai Muslim, kita tidak harus mengabaikan amalan berdoa memohon pertolongan kepada Allah dalam apa jua keadaan dan suasananya. Baik dalam keadaan senang mahupun susah, baik dalam suasana aman mahupun huru-hara, kita dituntut untuk berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT. Amalan berdoa merupakan satu perbuatan mewujudkan hubungan dengan Allah SWT di samping menginsafi hakikat bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang sebenar-benarnya, yakni Tuhan Yang Maha Berkuasa yang telah menciptakan dan mentadbir seluruh alam ini.

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Telah menjadi kebiasaan bagi masyarakat kita menyambut tahun baharu masihi dengan mengadakan berbagai-bagai majlis. Antaranya mengadakan majlis yang diserikan dengan persembahan nyanyian, tarian dan sebagainya di samping makan minum. Selain itu, ada juga yang meraikannya dengan mengadakan pesta mandi-manda di pantai pada malam ambang tahun baharu kononnya untuk mencuci dosa dan membuang sial setahun lalu.

Maka pada kesempatan ini, khatib ingin menegaskan bahawa sesungguhnya pesta mandi-manda di pantai dan apa jua majlis yang mencambahkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan serta tidak menitikberatkan soal memelihara aurat adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Amalan berpesta bercampur lelaki dan wanita adalah budaya negatif masyarakat Barat yang jelas jauh dari adat, budaya dan tatasusila seorang Muslim.

Islam melarang meniru kebiasaan dan gaya hidup mana-mana masyarakat (khususnya golongan kuffar) yang boleh menjejaskan akidah dan akhlak ummah. Ini kerana, perbuatan meniru dan mewarisi amalan atau perbuatan yang bercanggah dengan ajaran dan syariat Islam meletakkan seseorang itu menyerupai kaum berkenaan lantas boleh mencampakkan dia dalam kekufuran. Bahaya serta natijah ini diperingatkan oleh Nabi SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai suatu golongan itu, maka ia tergolong daripada golongan berkenaan.” (HR Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar)

Rasulullah SAW melarang keras perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam menganjurkan sesuatu pesta atau perayaan mahupun dalam soal pergaulan dan berpakaian kerana ia berpotensi besar mendatangkan mudarat. Di samping ia boleh menjebakkan generasi muda ke dalam kancah maksiat, ia juga boleh melalaikan masyarakat daripada mengingati Allah dan hari kematian yang pasti akan berlaku.

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Dalam apa jua situasi dan kondisinya, bersungguh-sungguhlah menganjakkan kualiti serta prestasi amal ibadat dan usaha ke arah yang lebih baik. Inilah azam yang sepatutnya dijawai, dihayati dan dilaksanakan oleh setiap Muslim kerana demikianlah yang disarankan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

Firman Allah:-

 

Maksudnya: “Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguhsungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain).” (S. Al-Insyiraah: 7).

***
Disediakan dan diedar oleh:
Unit Penerbitan
Bahagian Penyelidikan dan Informasi
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah



NOTA: Teks khutbah ini mengandungi potongan ayat-ayat al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Mohon jaga dengan cermat dan tidak disepahkan.

Untuk sebarang maklum balas, sila berhubung dengan:
Unit Penerbitan, Bahagian Penyelidikan dan Informasi,
Jabatan Hak Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
088-522127/088-522142

 

Muat turun khutbah

 

index.php?option=com_content&view=article&layout=edit&id=419

Bilangan Pelawat

413224
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days413224

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila klik pada pautan email ini: @jheains