A- A A+

Sukan MUJAS 2019

mujas-2019-headline-2.jpg - 462.08 kB

 

Buletin Soutul Islam

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?
  • Kota Kinabalu,Ranau,Kota Belud,Tuaran,Penampang,Papar,Putatan,Bahagian Pantai Barat
  • 22/10/2019
  • Imsak 04:34:00
  • Subuh 04:44:00
  • Syuruk 06:01:00
  • Zohor 12:02:00
  • Asar 15:21:00
  • Maghrib 18:00:00
  • Isyak 19:10:00

Pengarah JHEAINS

tahniah-pengarah.jpg - 4.13 MB

Majlis Menghafaz Al-Quran

itqasMTQ.jpg - 51.97 kB

#MTQSabah2019

Aplikasi E-Perkhidmatan

 
 
 
 
 
 
 
 
 
MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,
 
Mulianya orang yang bertaqwa itu kerana keimanan, ketaqwaan dan ketaatan dalam melaksanakan titah perintah Allah SWT sama ada dalam ketika senang atau sukar, masa sempit atau lapang. Itulah jati diri hamba Allah yang beriman dan bertaqwa. Allah SWT mengurniakan hamba-Nya yang bertaqwa dengan segala macam kebaikan, kesenangan dan kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa beserta orang yang bertaqwa, firman-Nya:
 
 
Maksudnya: “…dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah, sesungguhnya Allah beserta orang yang bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah, ayat 194)
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG BERIMAN,
 
Merdeka atau kemerdekaan adalah fitrah setiap manusia. Maka di atas fitrah itulah Allah SWT menciptakan manusia dengan tujuan supaya manusia menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT, firman-Nya:
 
 
 

Maksudnya:“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”.(Surah Adz-Dzaariyaat, ayat 56)
 
Hari ini 31 Ogos 2018 kita menyambut Hari Kemerdekaan Negara ke 61 tahun. Sebagai umat Islam yang beriman, Islam mengajarkan umatnya supaya mensyukuri segala nikmat dan segala rahmat yang dikurniakan Allah SWT kepada kita, termasuklah nikmat kemerdekaan, sebagaimana firman-Nya:
 
Maksudnya:“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”. (Surah Ibrahim, ayat 7)
 
Kemerdekaan adalah hak setiap manusia dan warganegara yang merdeka. Kemerdekaan adalah rahmat dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya dan juga kepada seluruh rakyat, sebagaimana nikmat-nikmat yang lain yang juga dikurniakan-Nya kepada manusia seperti nikmat Islam, iman, sihat, rezeki, kejayaan dan sebagainya.
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,
 
Bersyukur di atas nikmat kemerdekaan, maka umat Islam dituntut supaya mengisi kemerdekaan dengan acuan dan panduan Syariat Islam di dalam semua aspek kehidupan sama ada rohaniah, fizikal, material, pembangunan modal insan dan pembangunan prasarana dan lain-lain.
 
Maka sebagai umat Islam dan warganegara yang merdeka hendaklah terus berusaha mempertahankan nikmat kemerdekaan ini, dengan memelihara keharmonian serta perpaduan ummah dan rakyat majmuk pelbagai kaum, bangsa, budaya, pegangan dan adat resam demi mempertahankan keselamatan dan keamanan Negara.
 
Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya supaya saling bertoleransi, bersefahaman dan kenal-mengenal antara satu sama lain di atas dasar Islam yang syumul, sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”(Surah Al-Hujuraat, ayat 13)
 
Ingatlah, bahawa hidup yang harmoni dan saling memahami dalam masyarakat majmuk di Negara ini, menuntut warganya saling kenal-mengenali antara satu dengan yang lain. Ia menjadi pemangkin dalam mengukuh perpaduan dan kekuatan ummah dan rakyat. Inilah keindahan Islam dan syariatnya dalam mengatur kehidupan umat Islam dan warganegara yang unik dan majmuk pelbagai bangsa dan budaya di Negara ini. Yang telah membina perpaduan dan kekuatan ummah.
 
Allah SWT sangat menyukai umat Islam yang beriman yang memiliki kekuatan. Yakni kekuatan iman, memiliki kefahaman Islam, berakhlak mulia, kuat rohani dan fizikal, sihat akal dan berwibawa dan sebagainya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah dan pada keduanya ada kebaikan”. (HR Imam Muslim)
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
 
Beruntunglah umat Islam yang beriman dan warganegara yang merdeka, jika kita mengisi kemerdekaan ini dengan acuan dan panduan ajaran Islam dengan sebaik-baik dan sesempurnanya berlandaskan Syariat Islam yang syumul mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW.
 
Allah SWT menjamin akan membuka pintu-pintu pengurniaan di langit dan di bumi serta melimpahkan keberkatan, dengan syarat iman dan taqwa setiap penduduk negeri dan desa, firman-Nya:
Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah Al-A’raaf, ayat 96)
 
Justeru, nikmat kemerdekaan yang dikurniakan oleh Allah SWT ini, kita terlepas bebas daripada belenggu dan cengkaman penjajahan kepada kuasa dan pemerintahan sendiri sejak 61 tahun lalu. Nikmat ini hendaklah disyukuri oleh umat Islam dengan melaksana segala perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, dalam seluruh sistem dan aspek kehidupan kita, firman-Nya:
Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.(Surah Al-Hajj, ayat 41)
 
Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan mafhum ayat ini, bahawa: Umat Islam yang telah diizinkan menentang pencerobohan musuh-musuh Islam itu dipuji oleh Allah Ta’ala kerana mereka berjuang untuk menegakkan kebenaran dan sekiranya mereka memegang kuasa nescaya mereka akan menjalankan hukum-hukum Syariat Islam dengan sempurna.
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
 
Demikianlah, indah dan nikmatnya sebuah kemerdekaan. Islam dan syariatnya terus terpelihara, diamalkan dan diperkasa dalam kehidupan umat Islam dan dalam sistem bermasyarakat dan juga bernegara. Islam menuntut umatnya supaya sentiasa mensyukuri nikmat kemerdekaan ini dengan terus mendaulatkan Syariat Islam yang indah, syumul dan menyelamatkan hidup kita sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak.
 
Kesimpulan khutbah, khatib ingin mengajak Jemaah sekalian untuk merenung dan menghayati tentang nikmat negeri merdeka yang aman dan makmur, sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya:“Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’ (Negeri Yaman tua) satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: Dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kariah mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya, (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun!”.(Surah Saba’, ayat 15)
 
 
 
 
 

Bilangan Pelawat

195324
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days195324

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains