A- A A+

Khutbah Jumaat

khutbah19.png - 108.93 kB

 

Buletin Soutul Islam

Pengarah JHEAINS

biruu.png - 95.75 kB

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?

Aplikasi E-Perkhidmatan

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH
Islam amat menitik beratkan umatnya supaya istiqamah dalam setiap apa yang  dilakukan supaya dapat mengawal pembinaan akhlak mulia yang menghiasi diri mukmin. Kalimah Istiqamah membawa pengertian melakukan sesuatu perkara secara berterusan dan bukan terhenti pada musim-musim tertentu sahaja. Ini kerana amalan yang dilakukan secara istiqamah lebih disukai oleh Allah SWT. Bahkan dapat dikatakan  bahawa individu yang beristiqamah mempunyai pegangan akidah Islam yang sebenar dan mampu menjalankan syariat dengan teguh walau dalam apa situasi sekalipun. Ini  dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah Hud ayat 112:

 

Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.”

 

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Beristiqamah dalam sesuatu amalan kebaikan membawa banyak manfaat kepada pelakunya termasuk meningkatkan potensi dirinya dalam sesuatu perkara. Misalnya, seorang pekerja yang istiqamah dan tekun dalam tugasnya akan menjadikannya seorang yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, dapat mengawal gangguan emosi dan perasaan seperti kecewa atau putus asa serta menzahirkan tingkahlaku yang positif.Selain itu, terdapat beberapa lagi tanda-tanda orang yang beristiqamah sebagaimana
disebutkan oleh Syeikh Usman bin Hasan Asy-Syakir al-Khaubawiyyi di dalam Kitab Durratun Nasihin iaitu seperti sentiasa memelihara solat lima waktu, sentiasa memelihara lisan daripada perkataan jahat, sentiasa menghindari prasangka buruk, tidak menghina sesama saudara, sentiasa bersederhana dalam semua keadaan, sentiasa berinfaq di jalan Allah SWT, sentiasa memelihara pandangan dari maksiat, tidak membanggakan diri dan sentiasa berpegang teguh dengan akidah yang betul. Bagi memastikan istiqamah tercapai, maka kita perlu melalui tiga tahap. Pertama, Tahap Istiqamah Hati iaitu keadaan di mana kita sentiasa teguh mempertahankan kesucian iman dan memelihara hati dari perkara syirik, menjauhkan diri daripada sifat-sifat tercela seperti riak, dan menyuburkan hati dengan sifat-sifat terpuji seperti ikhlas. Dalam keadaan ini, Istiqamah hati mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap perkara yang membawa kepada kebenaran. Kedua, Tahap Istiqamah Lisan iaitu memelihara lisan dan tuturkata kita dari ungkapan cela dan sentiasa berkata benar, jujur, tidak berpura-pura, tidak bermuka-muka dan tidak berdolak- dalik seiring dengan tindakan yang dilakukan. Tahap kedua ini ada pada orang beriman yang berani menyatakan dan mempertahankan kebenaran dan hanya takut kepada Allah SWT semata-mata. Ketiga, Tahap Istiqamah Perbuatan iaitu yang merangkumi ketekunan kita dalam melakukan amalan atau apa sahaja usaha untuk mencapai kejayaan yang diredhai oleh Allah SWT sehingga menghasilkan sikap dedikasi dan konsisten tanpa timbul rasa cepat kecewa, lemah semangat atau berputus asa.Yakinlah, dengan beristiqamah dan berpegang teguh pada jalan Allah SWT nescaya kita akan mendapat rahmat daripada Allah SWT di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat ke 30:

 

Maksudnya:] “Sesungguhnya orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap di atas jalan yang betul, turunlah kepada mereka malaikat dengan berkata: Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”

 

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,
Bagi orang yang tidak istiqamah pula, mereka akan mudah diserang rasa kecewa dan putus asa apabila sesuatu yang diharapkan tidak tercapai. Bahkan mereka juga akan menghadapi dan menemui banyak kegagalan. Menurut pemerhatian khatib, antara faktor yang menggagalkan usaha istiqamah ini adalah kelemahan benteng diri muslim dalam mempertahankan kesucian dan ketaqwaan di dalam jiwa mereka. Justeru bagi mengatasi masalah ini, khatib memberikan beberapa langkah seperti berikut: Langkah Pertama, Muraqabah iaitu mengingati Allah SWT dengan cara memikir, merenung dan meneliti kebesaran ciptaanNya. Penelitian ini dilakukan dengan menggunakan pandangan mata hati (Basoriyah) yang penuh keyakinan dan keikhlasan kerana Allah SWT. Langkah Kedua, Muwahadah iaitu iltizam seseorang atas nilai-nilai kebenaran Islam kerana dirinya telah  ber’itikad dan berikrar dihadapan Allah SWT. Langkah Ketiga, Muhasabah iaitu usaha seseorang hamba untuk melakukan perhitungan atas perbuatannya sama ada sebelum, semasa dan sesudah melakukannya. Langkah Keempat, Mua’qobah iaitu seseorang menghukum terhadap dirinya sendiri di atas kesalahan yang telah  dilakukan dan Langkah Kelima, Mujahadah iaitu seseorang berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu dan mengaplikasikan seluruh nilai-nilai Islam dalam kehidupannya. Imam Bukhari merekodkan bahawa Saidatina Aishah RHA berkata: Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya:“ Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah SWT sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit”.

 

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, suka khatib mengingatkan bahawa sebagai mukmin, kita perlu sedar bahawa amalan mulia yang dilaksanakan setakat ini seperti solat, puasa, zakat, haji, sedekah dan lain-lain tidak seharusnya terhenti di situ sahaja. Amalan tersebut perlu diteruskan dengan istiqamah bahkan dipertingkatkan lagi kualiti dan kuantitinya dari semasa ke semasa bagi mencapai matlamat keredhaan Allah SWT.

 

Marilah sama-sama kita mengamati inti khutbah yang telah disampaikan tadi untuk merencana perubahan dan meneruskan proses istiqamah dengan:

 

  1. Sentiasa istiqamah dan berazam untuk mengekalkan amalan-amalan kebaikan yang fardhu dan yang sunat.
  2. Berpegang kepada Aqidah yang benar dan menjauhi syirik, perkara-perkara maksiat dan mengekalkan ketaatan.
  3. Menyucikan hati dengan menghayati sifat syukur di atas segala kurniaan Allah SWT selama ini di samping melatih diri selalu mengingati kebesaranNya dan meninggalkan sifat mazmumah.
  4. Melazimi pakaian taqwa dan patuh syariat
  5. Sentiasa tabah ketika menghadapi ujian, cabaran dan dugaan dalam hidup menerusi sifat sabar. Sabar dapat meningkatkan mutu ibadah dan akhlak terpuji.

 

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetapkan pendirian, maka tidaklah mereka takut, dan tidak akan berdukacita. Merekalah ahli syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal salih yang mereka telah kerjakan”. (Surah Ahqaf: 13-14).

 

Bilangan Pelawat

75088
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days75088

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains