A- A A+


MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH

Kehidupan yang singkat di dunia ini adalah peluang keemasan bagi manusia untuk berbuat baik, sama-samalah kita semua mentarbiah diri menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amal soleh, beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 97:

Maksudnya:“Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”

HADIRIN JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Mari kita bermuhasabah serta mempertingkatkan keimanan dan memperkukuhkan ketaqwaan kita terhadap Allah SWT Rabbul Jalil agar kita sentiasa dapat mentarbiyyah diri dan nurani menjadi muslim yang mukmin yang sentiasa beramal soleh. Selawat dan salam ke persada junjungan besar Nabi Muhammad SAW insan yang mengajak kita ke arah Nur Allah, menjadi qudwah yang hasanah, pemimpin yang tidak pernah sejenakpun membiarkan umatnya terpesong arah dari jalan kebenaran, yang sentiasa membentuk, sentiasa mengingatkan, sentiasa menjelaskan kepada kita sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan, sentiasa mendorong kita lebih hampir kepada rahmat Allah SWT serta sentiasa bersyukur yang tiada penghujung terhadap nikmat yang Allah berikan kepada kita selama ini.

JAMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Mereka yang sentiasa mengingati serta menghargai segala nikmat yang diberikan oleh
Allah SWT adalah dianggap orang yang bersyukur, sepertimana yang dinyatakan oleh baginda Muhammad SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tabrani yang bermaksud:

“Sesiapa yang diberi sesuatu kebaikan hendaklah dia mengingatinya. Siapa yang mengingatinya dia akan dianggap bersyukur dan siapa yang tidak mengenang budi yang telah diberi dia adalah dianggap sebagai kufur nikmat “ .

Demikian juga Allah SWT menegaskan dalam surah Luqman ayat 12:

Yang bermaksud:“ Siapa yang bersyukur, sesungguhnya dia bersyukur terhadap dirinya dan mendapat faedah darinya dan sesiapa yang tidak bersyukur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya Lagi Maha Terpuji " .

JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT,

Sungguhpun demikian masih ramai dikalangan kita yang tidak tahu bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang kita kecapi selama ini. Kerana dengan tidak bersyukurlah akan hadir penyakit hati dalam diri. Kerana tidak bersyukurlah akan lahir sikap hasad dengki dalam diri. Kerana tidak bersyukurlah akan berlaku fitnah dan segala perkara-perkara yang bejat dan jahat. Membawa kepada kekufuran, membawa kepada perpecahan, pergaduhan, kehancuran, kelemahan umat Islam sendiri. Fitnah akan tersebar luas, dan semakin membakar kedamaian. Fitnah terletak di hujung jari hanya dengan menyentuh punat-punat huruf pada telefon atau komputer, fitnah lebih pantas dari air yang mengalir dan dari cahaya yang memancar.

JEMAAH JUMAAT YANG DILINDUNGI ALLAH SWT,

Ingatlah, orang yang tidak tahu bersyukur akan sentiasa gundah hatinya, resah jiwanya melihat kedamaian dan utuhnya kesatuan dikalangan kita. Orang yang tidak bersyukur akan sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk membakar dan memusnahkan keamanan yang kita nikmati.

Ingatlah…….

Jika kita berbalah dan terpengaruh dengan hasutan, kita akan musnah.

Jika kita berbalah sesama sendiri musuh agama akan memusnahkan kita dan mereka ini semakin dekat dan hampir hanya menanti masa untuk menghancurkan apa juga yang kita miliki hari ini di sini di atas langit ini di lapang bumi Negara kita ini sama ada nikmat keamanan, nikmat persaudaraan, nikmat kesatuan. Dan bila semuanya sudah musnah, bila kita sudah hancur berpecah, bila kita sudah melihat tiada lagi nikmat yang hadir, bila kita melihat bumi kita merah seperti Palestine, Syria, Iran dan Iraq, barulah kita mungkin mengerti makna bersyukur, barulah kita mula sedar bahawa di sini lahirnya sebuah cinta Tanah Airku Malaysia.

JEMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT,

Sayugia perlu diketahui bahawa bersyukur bukan sekadar ungkapan Alhamdulillah atau sekadar ucapan terima kasih tetapi mempunyai makna yang amat luas. Kita pertahankan persaudaraan kita adalah bersyukur, mempertahankan keamanan yang kita kecapi hari ini adalah bersyukur. Kita tentang, kita tolak golongan yang ingin memecahbelahkan kita adalah bersyukur, kita usir fahaman-fahaman salah, dakyah dan sarap fitnah demi perpaduan adalah bersyukur, kita bersatu mempertahankan negeri dan negara tercinta kita Malaysia adalah bersyukur.

Firman Allah SWT:

Yang bermaksud:“ Dia yang memberikan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati tetapi hanya sedikit sahaja dari kamu yang bersyukur “ . (Al Mukminun ayat 78)

JEMAAH JUMAAT SEKALIAN,

Anjuran agar sentiasa bersyukur bukanlah suruhan yang sia-sia atau tidak bermanfaat. Tuntutan agar kita bersyukur kerana ada ganjaran yang amat besar menanti kita. Yakinlah bahawa melalui bersyukur hidup kita akan bertambah makmur, kerana Allah SWT akan menambah nikmat bagi golongan yang bersyukur.

Firman Allah SWT:

Yang bermaksud:“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.(S. Ibrahim:ayat 7)(S. Ibrahim; ayat 7)

JEMAAH JUMAAT SEKALIAN,

Adakah kita ingin hidup dalam keadaan ketakutan. Adakah kita ingin melihat keluarga kita hidup dalam ketakutan. Adakah kita ingin melihat setiap hari di tempat kita heboh dengan rusuhan, kecoh dengan pergaduhan, riuh dengan pembunuhan.

Tanpa bersyukur pada nikmat yang kita kecapi hari ini kita pasti akan musnah.

Dengan itu, mari kita bersama menjaring kembali ukhuwah sesama kita, kita jalin kembali tali persaudaraan kita yang sudah agak renggang dan semakin menjauh semoga rahmat Allah akan melindungi diri, keluarga dan bumi tercinta ini dalam hayat kita selamanya.

Muat turun khutbah

 

 

Bilangan Pelawat

246572
TodayToday2
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week2
This MonthThis Month2
All daysAll days246572

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains