A- A A+

1.png - 60.60 kB
2.png - 128.42 kB

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sentiasa taat pada semua perintah-Nya dan meninggalkan segala perbuatan dosa serta maksiat yang dilarang-Nya. Apabila hal ini dapat dilakukan, maka kebaikan akan kembali kepada diri kita sendiri selaras firman Allah SWT:

3.png - 21.09 kB

Yang bermaksud: “…Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya…” (S. At-Talaaq: 2-3).

SAUDARA JEMAAH YANG MULIA,
Kitab suci al-Quran ialah mukjizat yang paling besar dan utama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Ia merupakan petunjuk yang paling baik untuk umat manusia sehingga hari Kiamat dalam mencari keredaan Allah SWT dan seterusnya mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT:

4.png - 24.01 kB

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar”. (S. Shad: 29).

Melalui ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa kitab suci al-Quran yang diturunkan-Nya kepada Nabi Muhammad SAW besar faedah serta manfaatnya kepada manusia terutama sekali mereka yang mahu berfikir dan memanfaatkannya. Ini kerana, al-Quran adalah ibarat cahaya yang menerangi perjalanan hidup manusia. Berkat petunjuk serta panduan al-Quran, seseorang muslim dapat membezakan di antara jalan baik yang membawa kepada kebenaran dengan jalan sesat yang menjerumuskan seseorang ke lembah kehinaan di dunia dan akhirat.

Dengan hal yang demikian, kita boleh mengerti dan memahami hakekat kebatilan serta kejahatan. Kefahaman itu membawa kita untuk mahu dan mampu membersihkan jalan yang akan kita lalui agar terhindar dari kebatilan dan kejahatan. Dalam erti kata lain, al-Quran menjadi pengawal diri dalam menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini menuju reda Ilahi.

MUSLIMIN YANG DIKASIHI ALLAH,
Hakikatnya, banyak manfaat yang manusia boleh perolehi daripada al-Quran sama ada dengan membaca atau mengajarkannya. Prasyaratnya ialah umat Islam hendaklah terlebih dahulu menunaikan tiga hak asas terhadap Kalamullah itu.

Pertama, hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya. Kedua, hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan. Dan Ketiga, hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.

Dengan kata lain, umat Islam dituntut supaya mempelajari, membaca, menghayati dan mengamalkan alQuran yang menjadi sumber pedoman serta hidayat. Untuk ini, pengajian atau pengajaran/pembelajaran alQuran hendaklah dihidupkan dan disemarakkan dalam masyarakat. Ini selaras sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kalian ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (HR. Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi).

Kepentingan kelas pengajaran/pembelajaran al-Quran bukan sekadar melahirkan orang yang tahu membacanya sahaja. Pengajian al-Quran harus menjurus ke arah melahirkan Muslim yang mahu dan tahu memahami, memikirkan, menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamn kitab suci yang maha agung itu.

Ini sejajar dengan Hadith daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran ini adalah hidangan Allah. Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutinya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tidak berhenti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun dijulang. Bacalah kerana Allah akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf 10 ganjaran. Saya tidak katakan Alif Laam Miim sebagai satu huruf tetapi Alif (satu huruf), Laam (satu huruf) dan Miim (satu huruf)”. (HR. Al-Hakim).

 

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Dengan berpandukan kepada mafhum Hadith tersebut, kita beroleh pengajaran bahawa seseorang yang rajin dan khusyuk membaca, menghayati dan mentadabbur ayat-ayat suci al-Quran akan beroleh pelbagai ganjaran. Selain beroleh pahala, membaca al-Quran juga boleh menambahkan ilmu pengetahuan dan meraih pertolongan Allah SWT.

Firman Allah SWT:

5.png - 56.82 kB

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya).” (S. Fatir: 29-30).

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:

“Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”

Sementara itu, Hadith daripada Abu Malik Al-Harith bin ‘Asyim Al-Ash’ari pula mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Al-Quran ialah hujah bagimu (membelamu) atau hujah ke atasmu (yang membinasakanmu).” (HR. Muslim).

Jelas daripada petikan ayat al-Quran dan Hadith Rasulullah tersebut, membaca al-Quran adalah jalan untuk mendapat ganjaran pahala dan syafaat (pertolongan) daripada Allah SWT. Inilah sebabnya maka dalam kehidupan seharian seorang mukmin, pengajian Al-Quran perlu dititikberatkan kerana melalui alQuran Allah memberi petunjuk kepada hamba-Nya untuk mencapai keredaan dan keselamatan. Dan kerana al-Quran pula Allah mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan kepada cahaya. Dengan membaca dan memuliakan al-Quran juga akan beroleh ketenangan dan rahmat dari Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Tiada suatu kaum yang berhimpun di dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid) membaca kitab Allah (al-Quran) dan tadarus antara mereka melainkan akan diturunkan ketenangan ke atas mereka, disirami ke atas mereka rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut mereka pada sesiapa di sisinya.” (HR. Muslim).

HADIRIN MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
Kita melahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWt kerana telah ramai di kalangan masyarakat Islam di negeri ini yang tahu membaca kitab suci al-Quran. Ia antara lain adalah hasil daripada kelas pengajian al-Quran yang diadakan di masjid dan juga surau selain daripada pengajaran&pembalajaran al-Quran secara formal di sekolah aliran agama Islam dan sekolah aliran akademik. Cuma yang diharapkan agar tabiat atau budaya membaca al-Quran itu tidak terhenti di masjid atau di sekolah sahaja. Ia hendaklah dijadikan amalan harian waima di rumah mahupun di tempat kerja.

Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:

“Bahawa hati itu berkarat, seperti berkaratnya besi.” Lalu ditanya sahabat : “Wahai Rasulullah, bagaimana membersihkannya?” Jawab Rasulullah: “Membaca al-Quran dan mengingati mati.”

Hadith riwayat daripada Abu Hurairah pula menyebut: “Ada pun rumah di mana al-Quran sering dibacakan, nescaya ahli keluarganya akan bertambah kelebihan serta rahmat akan berganda, malaikat akan mengerumuninya, sementara syaitan akan lari meninggalkannya, sebaliknya rumah di mana tiada dalamnya alunan bacaan al-Quran akan sering menjadi tegang serta hilang keberkatan, malaikat akan menyisihkan dirinya, manakala gerombolan syaitan akan berlindung di dalamnya.”

Oleh itu, marilah kita semarakkan budaya membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh khusyuk dalam keluarga kita masing-masing. Ini kerana, dengan membaca al-Quran, ia dapat menambah kebersihan jiwa, ketenangan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kalau tidak tahu atau mampu membacanya, maka hendaklah mendengar dan menghayati dengan penuh teliti ayat-ayat suci yang dikumandangkan sama ada dalam majlis-majlis ilmu seperti majlis tilawah al-Quran mahupun yang dikumandangkan melalui media-media elektronik seperti radio, televisyen, telefon, CD dan sebagainya agar beroleh rahmat.

Firman Allah SWT:

6.png - 22.21 kB

Maksudnya: “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah serta diamlah (dengan sebulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (S. al-A’raaf: 204).

7.png - 152.74 kB

 

Muat turun khutbah

Bilangan Pelawat

246606
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days246606

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains