A- A A+

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jemaah yang dikasihi sekalian, marilah kita sama-sama membersihkan hati, menyatukan jiwa dan sanubari dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T Rabbul Izzah, dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya secara rela hati. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah S.W.T ialah orang yang paling bertaqwa.

Dengan sepenuh mujahadah dan kesungguhan marilah kita bersama-sama memantapkan diri dengan nilai kesyukuran dan ukhuwwah, kerana kedua-dua nilai ini terpancar daripada jiwa yang taqwa ke hadrat Allah S.W.T. Syukur dan ukhuwwah menjadi dua elemen penting dalam memastikan kita berupaya menjadi umat yang teguh dan mampu menyempurnakan misi sebagai pemakmur alam. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang benar-benar bertaqwa dan beroleh kejayaan di dunia dan akhirat kelak, lantas menjadilah kita golongan hambaNya yang terpilih dan dikasihi olehNya.

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah khas sempena Hari Jadi Tuan yang Terutama Yang di-Pertua Negeri yang bertajuk: “Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Memayungi Pembangunan Dan Keharmonian Negeri”.

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH

Fitrahnya manusia itu suka hidup di dalam satu kelompok, bersama membentuk masyarakat lalu berusaha membina sebuah tamadun dan peradaban bagi mendapatkan sebuah jalinan kehidupan yang harmoni dan membahagiakan. Iklim kemakmuran yang menaungi negara, suasana permuafakatan dan harmoni di tengah kehidupan bermasyarakat, serta keselesaan untuk kita terus beramal ibadat dan melaksanakan tanggungjawab sosial dalam keadaan yang aman, sesungguhnya kesemua ini adalah nikmat kurnia Allah S.W.T yang harus kita syukuri.

Justeru, manusia perlu kepada satu peraturan, undang-undang mahupun keagamaan yang lazimnya disatukan di bawah satu kepimpinan. Mereka akan melantik seorang ketua bagi menjadikan mereka bangsa yang berkepatuhan dan bersatu di bawah satu pemerintahan. Oleh yang demikian, kita bersyukur kepada Allah S.W.T kerana adanya Tuan Yang Terutama di-Pertua Negeri sebagai pemimpin yang bernaung dengan nikmat iman dan ukhuwwah yang menekankan persefahaman dan keharmonian sekaligus memayungi rakyat di negeri Sabah.

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Dalam konteks masyarakat di negeri Sabah yang berbilang suku kaum dan etnik ini, kehidupan harmoni tanpa ada sebarang diskriminasi perkauman yang dapat kita lihat hari ini adalah hasil peranan para pemimpin yang diketuai oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri kearah membentuk perpaduan bangsa. Bagi membentuk perpaduan dan persefahaman ini, perlu kepada nilai keadilan dan kebijaksanaan dalam urus tadbir seorang pemimpin. Rakyat memberikan segala kepercayaan kepada pemimpin dalam menguruskan perkara ini kerana pemimpinlah yang disebutkan oleh Allah S.W.T sebagai golongan ahli dalam firmanNYA:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat,” (al-Nisa’ 58)

Menurut al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah bahawa: “Seorang pemimpin itu hendaklah mempunyai pemikiran tajam untuk menjaga siasah umat, pentadbiran menjamin kemaslahatan, berani, berupaya mempertahan negara dan berjihad menentang musuh.” Maka dengan sifat dan nilai keadilan serta kebijaksanaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, telah mencorak pembangunan ummah dan keharmonian negeri Sabah serta memacu pembangunan dan kemajuan yang lebih hebat, diredai dan diberkati di sisi Allah S.W.T.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Islam merupakan agama yang sempurna serta mengandungi peraturan hidup yang sangat lengkap dan menyeluruh dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada aspek ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Kemajuan dan pembangunan dalam ekonomi juga merupakan satu seruan dalam Islam ke atas semua umatnya supaya berusaha untuk mencapainya agar Negara mencapai kemakmuran dan kesejahteraan. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah (al-Baqarah 172):

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.”

Dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T telah menciptakan langit dan bumi serta segala isinya untuk manfaat sekalian manusia. Islam menggalakkan manusia mencapai kesenangan dan kejayaan di dunia, namun Islam juga meletakkan garis panduan kepada manusia dalam usaha untuk mengejar kemajuan supaya tidak berlaku sebarang kerosakkan dan kemusnahan akibat manusia itu sendiri.

Hal ini jelas, menunjukkan kedudukan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah memperkasa kekuatan bagi menganjak pembangunan ummah dalam pelbagai segi; pembangunan manusia, akal budi, akhlak moral, agama, dakwah Islam dan juga pembangunan material.

Dengan kekuatan dan tenaga itu, kita mampu menyumbang sesuatu untuk sebuah kemajuan dan pembangunan sama ada terhadap keluarga, masyarakat, daerah dan negeri Sabah khususnya secara bersepadu dalam ertikata pembangunan ummah dan negara bercirikan “baldatun toiyibatun wa rabbun ghafuur” yang tersimpul di dalamnya makna pembangunan seimbang antara duniawi dan ukhrawi.


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata:

“Tidak ada kejayaan melainkan dengan kekuatan. Tidak ada kekuatan kecuali perpaduan. Tiada perpaduan melainkan dengan keutamaan budi (akhlak mulia). Tidak terdapat keutamaan budi (akhlak mulia) kecuali dalam ajaran agama dan tidak ada agama kecuali dengan dakwah”

Justeru, sebagai rakyat, kita perlu memastikan perpaduan terjaga di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri membina kekuatan dalam kebijaksanaan, bukan dalam sentimen ketakburan atau keangkuhan. Menjaga keharmonian ini penting agar dakwah Islamiah dapat disebarkan dalam suasana harmoni sekaligus memperlihatkan islam sebagai agama yang harmoni dan penuh kasih sayang. Kedudukan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri sebagai ketua negeri dan agama sekaligus telah memartabatkan dan meninggikan syiar islam di negeri Sabah. Allah S.W.T berfirman dalam Surah al-Nisa ayat 29:

Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu."


SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Lantaran itu, terbukti sudah peranan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri sangat penting dalam memastikan Islam itu tetap dijulang di negara kita. Dalam erti kata lain, siapa yang merendah-rendahkan pemimpin yang menjadi simbol kepada syiar Islam, secara tidak langsung ia merendahkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara.

Sesungguhnya, menjaga keharmonian dan mengikat erat tali perpaduan ini, adalah tanggungjawab kita bersama dan ia merupakan sebahagian rasa syukur kepada Allah S.W.T terhadap nikmat keamanan ini. Dalam suasana yang harmoni dan bersatu padu, dakwah Islamiah akan lebih mudah terlaksana, kedudukan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri sebagai simbol syiar Islam dihormati samada oleh mereka yang Islam dan bukan Islam dan akhirnya menterjemahkan Islam itu sebagai rahmat ke seluruh alam.


Maksudnya: “Dan (Dialah) yang menyatupadukan di antara (perasaan) hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau membelanjakan segala (hartabenda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara (perasaan) hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (perasaan hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al Anfal: 63)

 

 

 

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang mendirikan solat secara berjemaah dan menunaikan zakat fitrah melalui bahagian zakat dan fitrah majlis agama islam sabah, serta rahmatilah golongan yang menunaikan zakat. Jadikanlah majlis agama islam negeri sabah dalam mengagihkan zakat dalam negeri sabah sebagai satu langkah yang berkesan bagi melepaskan asnaf dari belenggu kemiskinan.

Muat turun khutbah

 

Bilangan Pelawat

300126
TodayToday2
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week2
This MonthThis Month2
All daysAll days300126

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains