A- A A+

 

JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan takwa yang sebenar-benarnya. Takwa dalam erti kata mentaati dan melaksanakan segala yang diperintah oleh Allah SWT serta meninggalkan segala yang dilarang-Nya.

Sesungguhnya seorang individu atau umat yang bertakwa itu adalah semulia-mulia hamba di sisi Allah SWT, sebagaimana firmanNya di dalam Al Quran:

Maksudnya: “…Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujuraat, ayat 13)

 

JEMAAH JUMAAT YANG BERIMAN,

Amanah itu berat. Islam adalah agama yang sangat mengutamakan perkara-perkara amanah, firman Allah SWT di dalam Al Quran:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah Al-Ahzab, ayat 72)

Ayat ini, menjelaskan bahawa sesungguhnya tanggungjawab amanah itu sememangnya amat berat, sehinggakan langit, bumi dan gunung-ganang yang besar tidak sanggup memikulnya. Walaupun langit, bumi dan gunung-ganang itu pada pandangan kasar bentuk fizikalnya memang besar berbanding dengan manusia. Tetapi manusia bersedia untuk memikul amanah yang amat berat ini, sekalipun manusia itu serba serbi memiliki kelemahan dan kekurangan, iaitu suka berbuat zalim dan suka membuat perkara sia-sia yang tidak sepatutnya dilakukan.

Sesungguhnya beruntunglah orang yang amanah itu. Kerana telah melaksanakan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya dengan sebaik-baiknya terhadap amanah yang dipikulkan kepadanya. Amanah juga merupakan antara sifat bagi para Nabi dan Rasul. Firman Allah SWT di dalam Al Quran:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku ini (Nabi Muhammad SAW) ialah Rasul yang amanah (yang diutus oleh Allah) kepada kamu. Oleh itu, takutlah kamu akan (kemurkaan) Allah dan taatlah kepadaku”. (Surah Asy-Syu’araa, ayat 107-108)


JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Setiap kita mempunyai tanggungjawab dan amanah. Setiap tanggungjawab dan amanah itu akan dipersoalkan dan ditanya kelak di hari akhirat. Saya ingin mengajak para Jemaah untuk melihat beberapa tingkat-tingkat atau kategori amanah itu, antaranya:


1. Amanah kita kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT di dalam Al Quran:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”. (Surah Al-Anfaal, ayat 27)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan lagi maksud ayat ini, bahawa mengkhianati amanah Allah SWT dan Rasul-Nya ialah dengan meninggalkan suruhan-Nya dan melanggar larangan-Nya. Mengkhianati amanah pula ialah amanah orang sama ada yang berupa harta benda atau rahsia atau apa jua.

2. Amanah dalam kepimpinan. Termasuklah atas nama kita sebagai pemimpin, suami, isteri serta sebagai pembantu itu adalah amanah yang berat dan akan dipersoalkan ketika di dunia dan juga di hari kiamat kelak. Sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepimpinannya. Seorang amir (pemerintah, pemimpin atau ketua) akan diminta pertanggungjawaban terhadap rakyat yang dipimpinnya. Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin akan ditanya terhadap keluarga yang dipimpinnya. Seorang wanita (isteri) adalah pemimpin terhadap rumahtangga suaminya akan dipertanggungjawabkan terhadap tugasnya. Bahkan seorang hamba (pembantu) juga adalah pemimpin yang dipertanggungjawabkan terhadap barang milik tuannya, juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu semua adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap hal dipimpinnya”. (HR Imam Bukhari dan Muslim)

3. Amanah dalam memberikan keadilan dan hak. Allah SWT memerintahkan supaya kita menjaga amanah serta serahkan segala amanah kepada orang yang berhak, firman-Nya:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat” .(Surah An-Nisaa’, ayat 58)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan tentang perkara amanah berkenaan, bahawa amanah itu ialah sesuatu yang wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya dan diserahkan kepada tuannya. Orang yang tidak menjaga amanah dan tidak menyampaikannya, menjadilah dia orang yang khianat.

4. Amanah dalam mesyuarat. Yakni perkara yang dibincang dan diputuskan dalam satu-satu mesyuarat juga merupakan amanah yang mesti dijaga, yakni tidak wajar diberikan atau disebarkan kepada orang yang tidak berhak, sebagaimana sabda Rasulullah SAW lagi dalam Hadithnya yang bermaksud: “Apa yang dibicarakan dan terjadi dalam majlis-majlis (mesyuarat atau pertemuan) hendaklah dijaga dan dipelihara sebagai amanah”. (HR Abu Daud)

5. Amanah dalam perniagaan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “…maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah, Tuhannya…”. (Surah Al-Baqarah, ayat 283).

Termasuklah para peniaga sama ada perniagaan besar, kecil atau sebagai penjaja dan sebagai, jika mereka menjaga dan melaksanakan amanah sebaik-baiknya dalam urusan perniagaan, jujur, tidak menipu dalam timbangan dan seumpamanya.

Ingatlah, sungguh tinggi darjat mereka, kerana di hari kiamat nanti mereka merupakan golongan VIP yang akan duduk sebaris dengan para Nabi, siddiqin dan para syuhada, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pedagang yang jujur amanah bersama-sama para Nabi , siddiqin dan para syuhada kelak di hari kiamat”. (HR At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Juga kepada peniaga yang sentiasa menjaga amanah dalam memastikan makan, minum dan barang/bahan gunaan yang benar-benar halal, bersih dan berkhasiat. Beruntunglah mereka, selain memperolehi keberkatan dalam perniagaan, mendapat pula redha di sisi Allah SWT serta keuntungan berupa wang ringgit dan sebagainya.

6. Amanah dalam kemasyarakatan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya”. (Surah Al-Mu’minun, ayat 8)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan lagi mafhum ayat ini, yakni orang yang beriman yang Berjaya itu ialah mereka yang apabila diberikan memegang amanah, mereka tidak mengkhianatinya, bahkan mereka akan menjaganya serta menyerahkannya kepada tuannya dan apabila mereka berjanji, mereka tidak mencabulinya, bahkan mereka akan menepatinya, kerana perbuatan khianat dan mencabuli janji itu ialah sifat orang munafik, sebagaimana yang tersebut di dalam Hadith-Hadith Nabi SAW.

 

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Ketahuilah, bahawa menjaga dan melaksanakan amanah adalah tanda kesempurnaan iman. Tidak sempurna iman bagi seorang yang tidak amanah, sebagaimana ditegaskan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang dengan janji”. (HR Imam Ahmad daripada Anas bin Malik RA)

Merujuk mafhum Hadith ini, bahawa sikap amanah yang amanah itu merupakan tanda-tanda kesempurnaan iman. Maka sebagai umat Islam yang beriman, pastikanlah kita melaksanakan apa jua amanah, mudah-mudahan dengan sebab sifat amanah itu, kita akan menjadi hamba Allah yang memiliki kesempurnaan iman.

Ini menunjukkan bahawa sifat amanah itu adalah hasil daripada kekuatan iman. Orang yang beriman sudah tentu dia seorang yang amanah dan boleh dipercayai. Sifat iman itu pula kekadang ia bertambah dan berkurang. Semakin kuat iman, semakin amanahlah orang itu. Sebaliknya, semakin menipis iman seseorang, semakin lunturlah pula sifat amanahnya.

Beratnya amanah itu, maka kerana itu Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah sesiapa yang menguasai sesuatu dari urusan umatku, lalu (mereka) mempersukarkan terhadap mereka (umatku), maka persukarkanlah baginya. Dan sesiapa yang menguruskan umatku lalu berlemah lembut kepada mereka, maka permudahkanlah baginya”. (HR Imam Muslim)

JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Saat kehancuran bakal tiba, apabila amanah disia-siakan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran. Seorang sahabat bertanya: Bagaimanakah mensia-siakannya, ya Rasulullah? Jawab Rasulullah: Apabila perkara (urusan) itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran”. (HR Imam Bukhari)

Ingatlah, pesan dan peringatan Rasulullah SAW kepada kita tentang beratnya amanah, besarnya pahala orang yang menjaga dan melaksanakan amanah serta akibat mereka yang tidak amanah atau mensia-siakan amanah sama ada ketika di dunia, apatah lagi di hari kiamat kelak.

Saya sekali lagi ingin menegaskan, marilah kita laksanakan amanah yang dipikulkan ke atas kita, jangan sekali-kali kita khianati amanah itu, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberikan kepercayaan kepada mu dan janganlah kamu mengkhianati seseorang yang pernah mengkhianati kamu”. (HR Imam Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi)

Ini bermakna kita hendaklah menjaga dan melaksanakan segala amanah kita, iaitu amanah kepada Allah SWT, amanah kepada Rasulullah SAW, amanah sebagai pemimpin, amanah sebagai ayah, suami dan isteri, amanah sebagai guru dan ustaz/ustazah, amanah sebagai ketua jabatan/pejabat, amanah sebagai ketua organisasi/persatuan, amanah sebagai imam, bilal, ketua kampung, amanah sebagai pemimpin masyarakat, amanah sebagai anak, amanah sebagai pelajar, ketua pelajar, amanah sebagai mudamudi Islam sehinggalah sekecil-kecil amanah sebagai tukang kebun, penternak, tukang sapu dan sebagainya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “…Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang yang berbuat baik”. (Surah At-Taubah, ayat 120)

Muat turun khutbah

 

 

Bilangan Pelawat

300152
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days300152

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains