A- A A+

Khutbah Jumaat

KHUTBAH18OKT.jpg - 67.45 kB

Buletin Soutul Islam

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?
  • Kota Kinabalu,Ranau,Kota Belud,Tuaran,Penampang,Papar,Putatan,Bahagian Pantai Barat
  • 17/10/2019
  • Imsak 04:35:00
  • Subuh 04:45:00
  • Syuruk 06:02:00
  • Zohor 12:03:00
  • Asar 15:21:00
  • Maghrib 18:02:00
  • Isyak 19:12:00

Pengarah JHEAINS

tahniah-pengarah.jpg - 4.13 MB

Majlis Menghafaz Al-Quran

itqasMTQ.jpg - 51.97 kB

#MTQSabah2019

Aplikasi E-Perkhidmatan


SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan seluruh larangannya. Mudah-mudahan kita memperoleh keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “PAHLAWAN: PENGORBANAN YANG TIADA GALANG GANTI”.


SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Dengan kemajuan dan kemakmuran negara yang dikecapi hari ini, ramai yang tidak sedar akan pengorbanan dan perjuangan golongan perajurit yang tiada galang gantinya demi memastikan negara bebas daripada penjajah dan ancaman musuh. Meskipun sebahagian besar daripada kita tidak merasakan zaman penjajahan dan darurat sebelum ini, kesiagaan anggota keselamatan yang sedia berkhidmat menjaga keamanan di darat, udara dan perairan negara, harus terus dikenang dan disanjung sampai bila-bila.

Masyarakat khususnya generasi muda perlu menyelami dan mengambil iktibar keberanian dan semangat keperwiraan yang ditunjukkan golongan perajurit yang sentiasa di barisan hadapan mempertahankan negara pada satu masa dahulu. Sama ada mereka ini masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, sekaligus meninggalkan nama, jasa dan pengorbanan mereka untuk dikenang dalam lipatan sejarah Negara. Pemergian mereka merupakan kehilangan yang cukup dirasai serta tiada galang gantinya. Jasa mereka tidak sewajarnya kita lupakan, kerana kita tidak akan kecapi apa yang ada kini sekiranya bukan kerana pengorbanan mereka.

Justeru, setiap kali tanggal 31 Julai, kita akan menyambut Hari Pahlawan bagi memperingati jasa dan pengorbanan pahlawan negara yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan serta individu yang secara bersama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara dari ancaman musuh. Ia adalah suatu tugas yang sungguh mulia dan merupakan tuntutan syariah dalam menegakkan agama Allah dimuka bumi ini.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 146 :

Bermaksud : “Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.”

Sesungguhnya jasa para pahlawan negara ini telah menunjukkan kehebatan mereka sejak dahulu lagi. Sebagai contoh para pahlawan telah menunjukkan kehebatan mereka mempertahankan negara sewaktu menentang pencerobohan tentera Jepun sewaktu perang dunia ke-2 dan sewaktu zaman darurat antara tahun 1948 sehingga 1960. Bukan itu sahaja, para pahlawan kita telah diminta untuk menjadi tentera pengaman di pelbagai negara seperti Bosnia, Somalia, Iraq dan lain-lain.

Dalam sejarah Islam terdapat ramai pahlawan Islam yang bersemangat waja, kuat dan terbilang. Di antaranya termasuklah Saidina Hamzah, Khalid bin al-Walid, Thariq bin Ziyad, Salahuddin al-Ayubi dan lain-lain lagi. Manakala dalam sejarah tanah air kita pula terdapatnya tokoh-tokoh seperti Mat kilau, Datuk Bahaman, Mat Salleh, Datuk Onn Jaafar dan sebagainya yang diangkat sebagai pahlawan kerana menentang penjajahan barat ke atas ibu pertiwi tercinta.

Berjihad dan berkorban jiwa untuk mempertahankan negara adalah sifat mulia yang disanjung tinggi dalam Islam. Kerana itulah, Islam telah meletakkan kedudukan pejuang-pejuang yang berjuang semata-mata kerana Allah serta tidak didasari sifat kebendaan dan keuntungan dunia tetapi berjuang hanya untuk mendapatkan ganjaran dan keredhaan Allah SWT mereka akan diberi ganjaran dan kedudukan yang tinggi disisi Allah SWT sebagaimana firman Allah dalam surah Al- Baqarah 193 :

Bermaksud : “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.”

 

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Islam mengiktiraf para pahlawan tanah air ini sebagai mujahid agama, bangsa dan negara. Oleh itu para pahlawan hendaklah meletakkan setiap langkah dan geraklaku dalam perjuangan mereka sebagai amalan yang ikhlas dan penuh tanggungjawab agar mereka mendapat penghormatan semasa hidup di dunia dan anugerah yang besar dari Allah SWT pada hari akhirat kelak.

Segala perjuangan para pahlawan yang terdiri dari pasukan keselamatan iaitu tentera dan polis yang mempertahankan Negara adalah satu tugas yang sangat mulia, kerana perjuangan mereka dipenuhi pelbagai dugaan. Kalau kita lihat perjuangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. dengan penuh semangat dan kesungguhan. Mereka telah menempuh segala cabaran dan rintangan sehingga kuasa-kuasa besar pada masa itu pun tunduk dibawah kekuasaan Islam. Kejayaan mereka ini adalah berdasarkan tiga faktor utama. Pertama, segala kejayaan dan kecemerlangan mereka adalah hasil daripada pertolongan Allah SWT. Kedua, sifat berdisiplin, amanah, jujur dan ikhlas adalah di antara sifat-sifat utama yang mendasari kejayaan mereka di dalam setiap perjuangan. Dan yang ketiga, sikap sentiasa mematuhi perintah Allah dalam setiap keadaan samaada ketika senang atau susah.

Di samping menyediakan kekuatan dalaman atau kerohanian, kita juga diperintahkan mempersiapkan kekuatan dari sudut luaran atau fizikal bagi menghadapi sebarang ancaman musuh sebagaimana firman Allah SWT di dalam suruh al-Anfal ayat 60 :

Bermaksud : “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

Ayat al-Quran tersebut memberikan pengajaran dan panduan agar umat Islam sentiasalah bersiap sedia dalam apa jua keadaan bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman dari pihak musuh, dengan mempersiapkan segala bentuk kekuatan, baik di bidang keselamatan, perekonomian, pendidikan, keagamaan sehinggalah kekuatan perpaduan. Bahkan tanpa perpaduan takkan lahirnya kekuatan. Tanpa kekuatan masakan pejuang dan pahlawan silam mampu meraih kejayaan dan kemenangan. Sebagaimana yang disebutkan dalam Hadis Qudsi berikut:

Bermaksud: “Mana-mana hamba-Ku yang menunaikan jihad pada jalanKu kerana mengharap dan mencari keredhaan-Ku, Aku jamin untuk mengembalikannya (jika ia ku kembalikan) dengan segala apa yang didapatinya berupa pahala atau harta rampasan. Dan jika ia Ku matikan, ia akan Ku ampuni, Ku beri rahmah dan akan Ku masukkan ke dalam Syurga.”

 

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Dalam menyambut hari pahlawan agar ianya menjadi lebih bermakna sewajarnyalah masyarakat umum memberi pengiktirafan selayaknya kepada barisan pahlawan negara yang memikul tuntutan fardhu kifayah dalam aspek pertahanan dan keselamatan negara secara khusus. Oleh itu, erti perjuangan sebenarnya menyedarkan kita betapa kemerdekaan yang dilaung, agama yang didukung, negara yang disanjung perlu dipertahankan biar ke titisan darah yang terakhir. Buat para pahlawan negara baik yang telah syahid atau kembali menghadap Ilahi, kita berdoa agar roh mereka sentiasa dirahmati dan dikasihi. Bagi para pahlawan yang masih gagah berdiri mengibarkan panji perjuangan ini, demi negara yang dicintai, akan sentiasa mempertahankan setiap inci bumi pertiwi ini walaupun darah dan nyawa sebagai ganti.

Mimbar menyeru, marilah kita semarakkan kembali janji untuk beriltizam di atas prinsip-prinsip kebenaran yang didokongi oleh Islam sebagai wadah, bagi memastikan keberadaan kita di dunia yang fana ini tidak tergelincir dari garisan ibadah. Marilah kita sama jalinkan kekuatan, bina kombinasi mapan, sempurnakan amanah dan peranan, persiapkan jiwa dengan keimanan, hiaskan diri dengan kesopanan, tingkatkan pengorbanan dan kesiapsiagaan demi kedaulatan agama dan tanah air.

Muat turun khutbah

 

 

Bilangan Pelawat

185137
TodayToday2
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week2
This MonthThis Month2
All daysAll days185137

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains