A- A A+

Khutbah Jumaat

Buletin Soutul Islam

Pengarah JHEAINS

biruu.png - 95.75 kB

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?

Aplikasi E-Perkhidmatan


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Marilah kita sama- sama membersihkan hati, menyatukan jiwa dan sanubari, dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT Rabbul Izati, berusaha sedaya upaya memenuhi, segala tuntutanNya yang wajib dipatuhi, dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya secara rela hati.

Mudah-mudahan kita menjadi insan yang benar-benar bertakwa yang diliputi cahaya rahmatNya, terdakap dalam keampunanNya, lantas menjadilah kita golongan hambaNya yang terpilih dan dikasihi, berjaya di dunia dan juga beruntung di akhirat nanti.

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah khas sempena Hari Keputeraan Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang bertajuk : “Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Teras Perpaduan Rakyat Dan Kesejahteraan Negara”.


SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH

Fitrahnya manusia itu suka hidup di dalam satu kelompok, bersama membentuk masyarakat lalu berusaha membina sebuah tamadun dan peradaban bagi mendapatkan sebuah jalinan kehidupan yang harmoni dan membahagiakan. Justeru kelompok ini akan terikat dengan satu peraturan, undang-undang mahupun keagamaan yang lazimnya disatukan di bawah satu kepimpinan. Mereka akan melantik seorang ketua bagi menjadikan mereka bangsa yang berkepatuhan dan bersatu di bawah satu pemerintahan.

Mengikut pandangan Dr Yusuf AlQaradhawi, dalam bukunya yang bertajuk Fiqh Kenegaraan, menyatakan Agama Islam menyeru kepada pengaturan dan pentadbiran yang rapi dalam menentukan tugas dan melaksanakan tanggungjawab. Malah dalam anjuran bersolat Jemaah, Nabi s.a.w akan merapikan barisan di samping memilih seorang yang terbaik menjadi imam. Begitu juga sesuatu urusan perjalanan musafir itu perlu dilengkapkan dengan melantik seorang ketua. Sabda Nabi s.a.w,

Maksudnya : “Apabila keluar tiga orang bermusafir, maka lantiklah salah seorang dari mereka sebagai ketua.” (Riwayat Abu Daud)

Allah SWT telah mewajibkan kita untuk melakukan perkara amar ma’aruf dan nahi mungkar. Namun gesaan ini sukar dilaksanakan tanpa kuasa pemerintahan. Begitu juga dalam melakukan kewajipan-kewajipan masyarakat yang lain. Oleh yang demikian, keperibadian orang-orang mukmin yang telah dikukuhkan Allah akan kekuasaannya, dengan berdirinya satu Negara telah digambarkan di dalam firmanNya;

Ertinya : “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

(Surah AlHajj ayat 41)

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Di Negara kita, Institusi Diraja yang penuh kedaulatan, mempunyai sejarah yang begitu panjang zaman berzaman. Institusi ini telah termaktub dalam sejarah sebagai Insititusi yang telah lama diberikan kesetiaan dan kemuliaan yang tidak berbelah bahagi oleh rakyat jelata. Malah seiring dengan penyebaran dan perkembangan dakwah Islam di gugusan Tanah Melayu ini, Institusi Diraja tetap dan terus diangkat sebagai lambang kelestarian perpaduan dan kedaulatan Agama Islam.

Apabila pengislaman itu bermula dari atas, proses pengislaman di zaman Kesultanan Raja Melaka telah dilihat berlaku secara menyeluruh kerana awalannya melibatkan pihak istana atau pemerintah. Islam telah diterima baik oleh pemerintah dan seterusnya Melaka berkembang menjadi pusat penyebaran Islam di rantau ini


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan, raja diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi. Fungsi Institusi Diraja ini bukan sahaja untuk melindungi agama sahaja, tetapi juga menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan untuk kesemua kaum, kuasanya melangkaui kepentingan politik, di mana keputusan atau titah-titah perintahnya adalah berasaskan kepentingan Negara, pelindung perlembagaan dan sebagainya.

Mengikut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan, Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara Malaysia. Jawatan ini telah diwujudkan selepas Negara ini mendapat kemerdekaan pada tahun 1957. Maka sebagai ketua Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua tertinggi Persekutuan yang mempunyai keutamaan yang lebih daripada orang lain di samping mempunyai kuasa yang luas dan penting dalam melaksanakan urusan Kerajaan Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab dan peranan yang besar dalam beberapa fungsi terpenting Negara. Dalam fungsi perundangan contohnya, Kuasa Perundangan Persekutuan terletak hak pada Parlimen, yang mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan salah satu unsur parlimen. Selain dari fungsi tersebut, penglibatan kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah termasuk fungsi Eksekutif, Perundangan, Ketenteraan, Keagamaan, Diplomatik, Kuasa Pengampunan dan Sumber Penghormatan serta Kebesaran.

Keluhuran undang-undang dan prinsip keadilan adalah satu aspek Rahmatan Lil Alamin yang perlu dijaga agar tidak ada ruang bagi kelompok-kelompok ekstrim mendominasi pandangan awam sehingga menatijahkan masyarakat yang tidak bersatu, tidak bertolak ansur, tidak menghormati undang-undang sehinggakan memberi kesan pada pembinaan kerangka Negara.

Pemerintahan hendaklah berasaskan Rahmatan Lil Alamin. Malah perkataan itu sendiri rohnya adalah daripada seruan di dalam AlQuran. Oleh yang sedemikian kedudukan Raja-raja Melayu itu sifatnya adalah menjaga, memelihara, melindungi kedudukan agama Islam dalam perlembagaan Negara. Raja-raja Melayu diletakkan pada kedudukan yang tinggi, yang mana secara tidak langsung sebagai penjamin kepada pentadbiran Islam di Malaysia.

Justeru mana-mana pihak hendaklah tidak bermain dengan sentimen ini kerana ia boleh menggugat struktur Negara dan juga menggugat keharmonian rakyat itu sendiri. Dalam erti kata lain, siapa yang merendah-rendahkan Institusi Diraja, secara tidak langsung ia merendahkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara.


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Terbukti sudah peranan Raja-raja yang sangat penting dalam memastikan Islam itu tetap dijulang di negara kita. Raja telah memayungi kita sebagai rakyat dengan memastikan keamanan, keadilan dan keharmonian itu dapat dirasai pada setiap nadi kehidupan rakyat, lalu wajarlah kita membalasnya dengan taat setia dan mengelakkan berlakunya sebarang penderhakaan terhadap Raja-raja. Berpadalah dalam menongkah arus, kerana satu kesilapan boleh membawa pada musibah yang besar.

Ingatlah, musuh-musuh agama itu sentiasa mengintai peluang untuk menabur racun perpecahan dan menyemarakkan api kebencian yang mampu merungkaikan ikatan perpaduan dan kesatuan kita yang sentiasa berpaksi pada kekuatan iman dan kesejahteraan hati yang lapang. Sesungguhnya, menjaga keharmonian dan mengikat erat tali perpaduan ini, adalah tanggungjawab kita bersama dan ia merupakan sebahagian rasa syukur kepada Allah Taala terhadap nikmat keamanan ini.


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Kesimpulan yang dapat diambil dari khutbah hari ini ialah:

Pertama : Agama Islam mendidik kita dalam menentukan tugas dan melaksanakan tanggungjawab yang memerlukan satu kerajaan terpimpin yang diterajui oleh seorang ketua

Kedua : Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi dalam perlembagaan Negara, seiring fungsi Institusi Diraja ini bukan sahaja untuk melindungi agama sahaja, tetapi juga menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan untuk kesemua kaum.

Ketiga : Sebagai rakyat yang mementingkan keharmonian dan kesejahteraan bersama serta cintakan negara, kita perlulah memberikan ketaatan dan kesetiaan pada Institusi Diraja dan sesekali tidak melakukan sebarang penderhakaan terhadap Raja-raja.

Marilah kita meneruskan keluhuran kerajaan berperlembagaan ini dengan tetap memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi pada Institusi Diraja. Moga kepatuhan ini akan menjadikan kita termasuk dalam golongan yang taat pada perintah Allah Taala, seperti mana firmanNya

Ertinya : Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.


Surah An-Nisaa’ : ayat 59

Muat turun khutbah

 

 

Bilangan Pelawat

128782
TodayToday2
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week2
This MonthThis Month2
All daysAll days128782

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains