A- A A+

Khutbah Jumaat

Buletin Soutul Islam

Pengarah JHEAINS

biruu.png - 95.75 kB

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?

Aplikasi E-Perkhidmatan


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan menyeru kepada sidang jemaah yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita dengan sebenar-benar takwa melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam rahmat serta mendapat perlindungan Allah SWT demi mencari keredhaan-Nya di dunia mahu pun di akhirat.

 

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMAT ALLAH,

Beberapa hari lagi kita seluruh rakyat Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos kemudian disusuli pula dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September. Sempena menyambut Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah marilah kita sama-sama mengimbau hari yang bersejarah iaitu pada tahun 1963 terbentuklah negara tercinta kita iaitu Malaysia. Tarikh yang penuh keramat yang saban tahun diraikan ini merupakan satu nikmat yang amat besar dan wajib untuk kita samasama mensyukuri, menghayati dan serta menghargai. Penghayatan terhadap nikmat kemerdekaan ini perlu ditonjolkan bukan setakat dizahirkan melalui perbuatan malah dijiwai berdasarkan landasan syariat yang telah digariskan oleh Allah SWT dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sebagai satu model yang lengkap dan sempurna.

 

SIDANG JUMAAT YANG DI RAHMATI ALLAH,

Marilah kita semua hayati dan penuhi kemerdekaan ini dengan pengertian kemerdekaan sebenar. Menurut kaca mata Islam yang bukanlah hanya kemenangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah semata-mata. Kemenangan perjuangan Islam yang dipimpin Baginda Nabi Muhammad SAW dikenali sebagai “Al-Fath” iaitu pembukaan. Pembukaan pembebasan Kota Makkah dari kegelapan jahiliyah menggambarkan satu contoh sebuah kemerdekaan yang sebenar dalam Islam. Sesuai dengan satu ungkapan yang cukup terkenal oleh seorang Pahlawan Islam iaitu Rubaei Bin Amir apabila ditanya kepadanya oleh Rustum, Panglima Perang Parsi. Jawab Rubaei: “Sesungguhnya kami adalah kaum yang diutuskan oleh Allah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada menyembah yang Maha Pencipta. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan Islam, daripada kekeliruan agama kepada keadilan Islam”.

Jelasnya, konsep kemerdekaan bukan sekadar membebaskan fizikal manusia tetapi juga rohani dan mental mereka dari belenggu kejahilan bersandarkan panduan wahyu ilahi. Sebaliknya, akal yang kosong daripada panduan ini akan menyebabkan fahaman, pemikiran dan doktrin mereka gagal memahami maksud Al-Quran dan Hadis dalam konteks yang betul sehingga terjebak dengan fenomena keganasan. Rentetan daripada itu, terjadilah pelbagai kerosakan, permusuhan dan keganasan yang mengakibatkan kerosakan harta benda, kemusnahan harta awam, terputusnya kasih sayang, kematian jiwa yang tidak berdosa, menjadikan anak-anak yatim piatu dan isteri menjadi janda serta balu. Hakikatnya, hanya takwa yang dapat memagari hidup kita supaya sentiasa rukun dan damai serta berpadu erat antara satu sama lain.

 

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,

Allah SWT telah mengurniakan kepada kita dengan pelbagai nikmat antaranya negara yang bebas daripada keganasan, masyarakat majmuk yang harmoni dan banyak lagi nikmat lain. Jika bukan kerana perjuangan dan pengorbanan oleh pihak yang terdahulu iaitu perjuangan prajurit yang sanggup berkorban nyawa, para ulama dan ilmuan yang tidak lelah dalam menyebarkan ilmu, serta rakyat yang sanggup berkorban harta dan nyawa dalam memperjuangkan kemerdekaan, pastinya keamanan dan kemerdekaan tidak dapat dikecapi dan kekal sehingga kini.

Oleh itu, pengorbanan mereka seharusnya dihargai dengan menjaga negara ini sebaiknya. Mempertahankan negara ini dari ancaman musuh, membantu para pemimpin kita dalam memajukan negara, serta menghayati dan mengamalkan 5 prinsip rukun negara yang dididik kepada kita sejak dari usia kecil lagi.

Kecintaan kepada negara merupakan fitrah manusia yang mahukan kebaikan dan keselesaan untuk generasi dan keturunannya, sepertimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 126:

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali".

Mencintai negara haruslah dibuktikan dengan azam dan usaha keras kita dalam membangunkan negara mengikut syariat Islam agar negara ini tidak dirosakkan dengan perkara-perkara yang dibenci Allah. Semangat patriotisme itu sendiri tidak cukup dengan hanya menyambut hari kemerdekaan dan mengibarkan jalur gemilang melainkan membangunkan negara ini menurut apa yang dimahukan Allah dan Rasulullah s.a.w. Oleh itu, marilah kita membangunkan negara ini mengikut kerangka Islam. Perpaduan dan kemerdekaan ini perlu kita syukuri dan pelihara kerana syariat Islam akan lebih mudah terlaksana dalam keadaan negara aman dan damai.


SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,

Seperti mana yang sedia maklum, Negara ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, khususnya di negeri Sabah yang cukup terkenal dengan kepelbagaian etnik dan suku kaum. Kepelbagaian ini bukanlah penghalang bagi merealisasikan perpaduan di antara masyarakat, malah ianya merupakan hikmah kejadian manusia. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 13,

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya."

Justeru itu, bagi memaknai erti kemerdekaan yang sebenar, setiap individu perlu mencari titik persamaan bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang pelbagai agama, bangsa dan budaya mahupun etnik.

 

 

Muat turun khutbah

 

Bilangan Pelawat

128707
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days128707

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains