A- A A+

Khutbah Jumaat

khutbah19.png - 108.93 kB

 

Buletin Soutul Islam

Pengarah JHEAINS

biruu.png - 95.75 kB

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?

Aplikasi E-Perkhidmatan


JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Marilah kita merafa'kan kesyukuran kita kehadrat Allah SWT dengan meningkatkan ketaqwaan kepada-Nya dengan mengerjakan suruhan-suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kita juga bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Allah untuk memperolehi pahala yang berlipat ganda dengan amalan kebajikan yang kita lakukan pada sepuluh hari pertama dalam bulan ini iaitu bulan Zulhijah.

Sepuluh hari di awal bulan Zulhijah merupakan hari-hari mulia dan berkat disisi Allah kerana sebahagian besar daripada amalan ibadah haji di Makkah terletak padanya seperti hari tarwiyah pada 8 dzulhijjah, hari wukuf di Arafah pada 9 Zulhijah dan pada 10 Zulhijah iaitu pada hari raya Aidil'Adha para jemaah haji akan bermalam di Muzdalifah, melontar jamrah 'aqabah di Mina dan bertawaf haji di Baitullahil Haram.

Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, terdapat dua amalan besar yang tidak harus ditinggalkan pada hari-hari ini iaitu berpuasa sunat hari wuquf di Arafah pada 9 Zulhijah yang kelebihannya dapat menghapuskan dosa dua tahun iaitu setahun yang lalu dan setahun yang akan datang serta melakukan ibadah qorban.

Rasulullah SAW bersaba yang bermaksud : “Tidak ada hari-hari dimana amal soleh lebih disukai oleh Allah 'Azza Wajalla daripada hari-hari ini, yakni hari pertama hingga hari kesepuluh Zulhijah. Para sahabat pun bertanya : Ya Rasulullah, meskipun dibandingkan dengan berjihad Fi Sabilillah? Beliau menjawab : memang, meskipun dibanding dengan berjihad Fi Sabilillah kecuali seorang yang pergi membawa nyawa dan hartanya, kemudian tidak satu pun diantara keduanya itu yang kembali (yaitu mati syahid). (Riwayat Al-Bukhari)

 

JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Ibadah qorban iaitu menyembelih dan mengalirkan darah haiwan ternakan merupakan satu ibadah yang disyariatkan oleh Allah kepada umat Islam untuk mengingati, memuji serta menyebut-nyebut nama Allah sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang dikurniakan kepada mereka. Ibadah qorban juga merupakan amalan anak Adam yang paling disukai oleh Allah SWT pada hari raya qorban dan hari-hari tasyrik iaitu pada 11,12 dan 13 Zulhijah. Hukum melakukan qorban adalah sunat muakkad (sangat dituntut dalam Islam) lebih-lebih lagi kepada orang-orang yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Rasulullah SAW bersabda :

Maksudnya : "Barangsiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berqorban tetapi dia tidak berqorban, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini” (Riwayat Ibnu Majah)

Waktu penyembelihan qorban bermula sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang sunat Aidil Adha sehingga terbenam matahari pada hari tasyrik 13 Zulhijah. Haiwan yang hidup yang dijadikan qorban itu hendaklah daripada haiwan “Al-An'Am” (haiwan ternakan) seperti unta, lembu, kambing, biri-biri dan sebagainya apabila cukup umur dan tidak ada sebarang kecacatan yang mengurangkan dagingnya seperti tidak buta sebelah atau kedua-dua matanya, kakinya tidak pincang, tidak terlalu kurus, tidak terpotong lidahnya dan tidak berpenyakit atau berkudis yang memudaratkan manusia .

Seekor unta atau lembu boleh dikongsi qorban sampai tujuh orang dan boleh dikongsi membeli dan menyembelih qorban walaupun yang empunya berada diluar negeri tetapi urusan jual beli haiwan qorban hendaklah diselesaikan terlebih dahulu sebelum haiwan itu disembelih. Apabila bermula satu Zulhijah disunatkan bagi orang yang hendak berqorban tidak membuang rambut, bulu-bulu dan kukunya sehinggalah haiwan qorban disembelih, tidak boleh seseorang membawa qorban untuk orang lain tanpa izinnya kecuali untuk isi rumahnya seperti ayah, ibu, isteri dan anak-anaknya. Qorban hendaklah diniatkan pada ketika sembelihan dan yang empunya qorban disunatkan menyaksikan sendiri ibadah penyembelihan qorban serta berdoa agar qorbannya diterima oleh Allah.

Orang yang melakukan qorban boleh dan halal memakan sebahagian daripada daging qorbannya dan sebahagian besar hendaklah disedekahkan daging yang masih mentah. Daging qorban dan belulangnya tidak boleh dijual atau dijadikan upah kepada penyembelih dan tukang melapahnya.



JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI SEKALIAN,

Ibadah qorban mengandungi nilai falsafah yang sangat dalam kerana pada hakikatnya qorban adalah ujian keimanan dan keikhlasan kita kepada Allah SWT, disamping itu qorban juga bererti sebuah tekad untuk berani meninggalkan dan menahan hawa nafsu kita dalam rangka mengabdikan diri dengan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Haiwan qorban hanyalah simbol yang tidak akan diperdulikan oleh Allah apabila tidak didasarkan dengan niat yang bersih dan ikhlas, hal ini ditegaskan oleh Allah dengan firmannya :

Ertinya : "Daging-daging (haiwan qorban) dan darahnya itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya mengagungkan Allah terhadap hidayahnya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik." (Surah Al-Hajj)

Antara hikmah daripada pensyari‟atan ibadah qorban itu ialah :

Pertama : Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim alaihissalam yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail Alaihissalam sebagai qorban atas perintah Allah, disebabkan kepatuhan dan ketaatan dalam melaksanakan perintah Allah ini, maka Allah menggantikan qorban tersebut dengan seekor kibas. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Ziad bin Al-Arqam, dia berkata : para sahabat Rasulullah SAW bertanya, wahai Rasulullah, apakah yang ada pada qorban itu? Rasulullah SAW menjawab dengan sabdanya : ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim”.

Kedua : Melatih dan membentuk kaum muslimin supaya sanggup berqorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.

Ketiga : Menyemai dan menanam sifat terpuji dan nilai-nilai murni kedalam diri dengan mencontohi kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihissalam dan sifat keduanya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah SWT.


JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

Oleh kerana ibadah qorban ini mempunyai hikmah dan kelebihan yang amat banyak, maka sudah sewajarnya kita merebut peluang ini dengan melakukan ibadah qorban pada setiap tahun. Rasulullah SAW bersabda :

Maksudnya : "Wahai sekalian manusia, upayakanlah bagi setiap rumah dalam setiap tahun ada yang berqorban". (HR: At Tirmizi)

Marilah sama-sama kita berdoa semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan oleh Allah SWT agar dapat kita melakukan ibadah qorban. Mudah-mudahan segala amal kebajikan yang kita lakukan atas dasar keikhlasan dan keimanan itu akan diterima oleh Allah SWT dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Ertinya : sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (didunia dan diakhirat) oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata dan sembelihlah qorban (sebagai tanda bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang diinginkannya. 

 

Muat turun khutbah

 

 

 

Bilangan Pelawat

75111
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days75111

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains