A- A A+

Khutbah Jumaat

khutbah19.png - 108.93 kB

 

Buletin Soutul Islam

Pengarah JHEAINS

biruu.png - 95.75 kB

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?

Aplikasi E-Perkhidmatan


MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,

Dengan sifat taqwa akan mengangkat darjat dan kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT. Marilah mantapkan taqwa kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Yakni bertaqwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya serta meninggalkan segala yang dilarang-Nya.

Makna taqwa, Saidina Umar Al-Khattab RA bertanya kepada Ubai bin Ka’ab RA: Apakah hakikat taqwa? (Ka’ab menjawab dengan pertanyaan) Ubai bertanya pula: Pernahkah Amirul Mukminin berjalan di jalan yang banyak onak dan duri. Jawab Umar: Ya. Ubai bertanya (lagi): Bagaimana?. Jawab Umar: Aku berjalan dengan waspada dan bersungguh-sungguh supaya tidak memijak atau terpijak onak dan duri. Lalu Ubai bin Ka’ab menegaskan: Itulah hakikat taqwa.

Mudah-mudahan kita akan termasuk dalam golongan orang bertaqwa yang mulia di sisi Allah SWT.

 

JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Masjid adalah jantung hati umat Islam. Masjid juga disebut sebagai rumah-rumah Allah. Sekaligus menjadi pusat kehidupan umat Islam. Sejak zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan Tabi’in masjid adalah institusi paling utama dan mempunyai pengaruh yang besar dalam membina individu, masyarakat dan umat Islam yang terbaik, cemerlang dan gemilang dalam segala bidang.

Sejarah awal Islam telah membuktikan bahawa generasi pertama umat Islam di zaman Rasulullah SAW itulah umat Islam terbaik yang mendapat sentuhan, didikan dan bimbingan secara langsung dari Rasulullah SAW melalui institusi masjid pertama, iaitu Masjid Quba’ di Madinah yang dibina oleh baginda Rasulullah SAW bersama para sahabatnya dan umat Islam diawal peristiwa hijrah dari Makkah ke Madinah.

Oleh itu, umat Islam hari ini hendaklah kembali kepada asas dan semangat Masjid Quba’ itu sekaligus mengambil contoh dan model Rasulullah SAW dalam menjadikan masjid sebagai institusi terpenting membina dan membangunkan umat Islam yang terbaik di zamannya.

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Asas pembinaan masjid itu ialah taqwa. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “…Kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau solat padanya. Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah Mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)”. (Surah At-Taubah, ayat: 108) 


Peringatan Allah SWT kepada kita tentang usaha pembinaan masjid/surau, iaitu satu dibina atas asas taqwa dan yang satu lagi dibina atas asas tepi jurang.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikan di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredhaan Allah itu lebih baik ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikan di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang zalim”. (Surah At-Taubah, ayat: 109)

Ayat ini, menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya membina masjidmasjid di atas asas/dasar taqwa kepada-Nya, bukan kerana yang lain. Bukan kerana untuk meruntuhkan dan memecahbelahkan perpaduan ummah.

Bila umat Islam lari daripada asas/dasar ini, pasti akan jauhlah kita menyimpang dari kehendak dan keredhaan Allah SWT.

Ingat, amaran Allah SWT dalam ayat tadi, bahawa kita akan runtuh bersama bangunan yang dibina yang tidak diredhai Allah SWT di dalam neraka, NA’UZUBILLAH…

Kelebihan dan galakkan membina masjid, menjaga kebersihan, kesucian dan keharuman masjid. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:[/i] “Rasulullah SAW menyuruh kita membina masjid-masjid di dalam daerah dan agar (masjid-masjid itu) dipelihara kebersihan dan keharumannya”. (HR Abu Daud dan At-Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Sesiapa membina sebuah masjid kerana Allah, walau sebesar kandang unggas, maka Allah akan membina baginya rumah di syurga”. (HR Asy-Syihab dan Al-Bazzar)

Jangan membina masjid kerana kemewahan dan keindahan semata-mata, tetapi tidak dimakmurkan, tidak dijaga kebersihan, keharuman dan sebagainya. Hal ini diperingatkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Aku tidak menyuruh kamu membangunkan masjid untuk kemewahan (keindahan) sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasrani”. (HR Ibnu Hibban dan Abu Daud).

 

JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Memakmurkan masjid adalah amalan yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada umat Islam dan orang yang beriman. Siapa yang akan memakmurkan masjid-masjid Allah dengan ibadah Solat, Solat berjemaah, majlis ilmu, tadarus Al Quran dan sebagainya.

Firman Allah SWT di dalam Al Quran:

Maksudnya: “Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan (beriman) hari akhirat serta mendirikan Solat dan menunaikan Zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk”. (Surah At-Taubah, ayat: 18) 


Ayat ini, menyebutkan lima golongan orang yang akan memakmurkan/menghidupkan masjidmasjid itu, iaitu:

1. Orang yang beriman kepada Allah

2. Orang yang beriman dengan hari akhirat

3. Orang yang mendirikan Solat

4. Orang yang menunaikan Zakat

5. Orang yang takut kepada Allah

Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW sabdanya yang bermaksud: “…dan tidak berhimpun suatu kaum dalam satu tempat rumah dari tempat-tempat (yakni) rumah-rumah Allah (yang dikhaskan untuk mencapai keredhaan) Allah dengan keadaan mereka membaca Kitabullah (Al Quran) dan mereka bertadarus sesama mereka, melainkan turunlah ketenteraman kepada mereka dan mereka pula diliputi oleh rahmat, juga mereka dikelilingi oleh malaikat serta mereka dipuji oleh Allah Ta’ala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal usahanya (dari mencapai kebaikan), tidak akan dapat disegerakannya oleh nasab keturunannya”. (HR Muslim, Abu Daud dan At-Tirmizi)

Hadith ini menjelaskan tentang keutamaan untuk menghidupkan rumah-rumah Allah atau masjid-masjid, antaranya kelas membaca dan tadarus Al Quran, membaca Hadith dan mempelajari ilmu Islam seperti aqidah, Fiqah, Akhlak, Tafsir dan lain-lain.

Sesungguhnya terdapat 4 kelebihan golongan berhimpun memakmur/menghidupkan masjidmasjid termasuk golongan yang mempelajari ilmu Islam dan mereka yang berzikir mengingati Allah SWT, iaitu:

1. Diturunkan Allah SWT suasana ketenteraman dan damai.

2. Diliputi/dinaungi rahmat Allah SWT.

3. Dikelilingi oleh para malaikat.

4. Dipuji dan dimuliakan di sisi Allah SWT

Maka sesuai dalam zaman yang dikatakan moden ini tentu berbagai-bagai pendekatan atau aktiviti boleh diaplikasikan melalui institusi masjid bagi memakmur dan menghidupkan masjidmasjid atau surau-surau sebagai institusi yang sangat hampir dengan kehidupan umat Islam.

Bila Hidup dan makmur masjid-masjid pasti akan terbina dan hiduplah umat Islam dalam suasana yang damai, aman dan sentiasa dalam naungan rahmat dan barakah Allah SWT.

Dalam hal ini, kepimpinan masjid, ahli jawatankuasanya dan ahli-ahli kariah serta seluruh masyarakat Islam setempat wajar mengambil peranan masing-masing.

Mari kita lihat dan renungkan kepimpinan Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang telah berjaya menjadikan masjid sebagai pusat membina, mentarbiah, mendidik dan membangun umat Islam sehingga menjadi umat terbaik sepanjang zaman.

Jika umat Islam dapat melihat peranan tersebut pasti kita akan menjadi umat yang mampu mencapai zaman terbaik, zaman kehebatan dan kegemilangan umat Islam terdahulu, insya Allah.


JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Teramat banyak peranan umat Islam hari ini untuk memakmurkan masjid di kariah dan daerah masing-masing. Umat Islam wajar melihat keutamaan dan kepentingan masjid. Yakini dan percayalah jika institusi masjid atau surau benar-benar berfungsi, pengurusan yang cemerlang dan dimakmurkan dengan pelbagai program kemasyarakatan, majlis ilmu, riadhah dan sebagainya. Selain, amal ibadah seperti Solat berjemaah, kelas Al Quran, kelas fardu ‘ain dan lain-lain.

Masjid/surau kita tersergam indah, tetapi tidak makmur. Salah siapa? Umat Islam kena tanya diri sendiri. Jangan salahkan orang lain.

Ingatlah, maju atau mundur, baik atau tidak, cemerlang atau tidak masjid yang ada di tengahtengah kariah, mukim dan daerah kita adalah bergantung sepenuhnya kepada umat Islam yang menjadi penduduk di sekitar masjid itu.

Yakin dan percayalah, umat Islam akan menjadi umat yang hebat dan terbaik jika institusi masjid dimakmur dan dihidupkan dengan pelbagai program ilmu, tarbiah, sosial, ekonomi dan sebagainya dengan acuan ilmu Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya Al Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberi berita yang menggembirakan orang yang beriman yang menggerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar”. (Surah Al-Israa’, ayat: 9)

Muat turun khutbah

Bilangan Pelawat

75117
TodayToday2
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week2
This MonthThis Month2
All daysAll days75117

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains