A- A A+

Khutbah Jumaat

khutbah19.png - 108.93 kB

 

Buletin Soutul Islam

Pengarah JHEAINS

biruu.png - 95.75 kB

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?

Aplikasi E-Perkhidmatan


MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,
 
Taqwa adalah semulia-mulia sifat mahmudah dan sesiapa yang memiliki sifat taqwa dan ketaqwaan adalah semulia-mulia hamba di sisi Allah SWT. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah SWT dengan taqwa yang sebenar-benar. Taqwa dalam makna mentaati dan melaksanakan segala titah perintah Allah SWT serta meninggalkan segala yang dilarang-Nya.
 
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
 
 
Maksudnya: “…dan bertaqwa kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak). Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang yang beriman”. (Surah Al-Baqarah, ayat 223)
 
JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,
 
Teruskan bertaqwa, beriman, beramal soleh dan berbuat kebajikan, kerana Allah SWT suka hamba-Nya yang sentiasa memperbaiki amalannya, sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran:
 
 
Maksudnya: “…apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertaqwa dan berbuat kebajikan, kerana Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya”. (Surah AlMaidah, ayat 93)
 
Sesungguhnya umat Islam yang beriman dan bertaqwa tetap merindui Ramadan yang sudah berlalu 10 hari. Bermakna 10 Syawal juga umat Islam merayakan Aidilfitri dengan rumah terbuka terutama pada setiap hujung minggu sepanjang Syawal sebagai tanda gembira dan ukhuwah.
 
Bagaimanapun Islam menganjurkan umatnya supaya terus istiqamah dengan amal ibadah dan amal soleh yang disukai dan diperintah oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Sesungguhnya amal ibadah serta amal soleh itu akan memberatkan timbangan amal kita di akhirat kelak. Beruntunglah orang yang memperolehi malam Lailatul-Qadar pada Ramadan lepas, kerana segala amal ibadah dan amal soleh yang dilakukannya bertepatan dengan Malam Lailatul-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan atau bersamaan lapan puluh tiga tahun.
 
Ini bermakna solat fardunya, solat-solat sunatnya seperti Tarawih, Tahajjud, Witir, Tasbih, Taubat, tadarus Al-Quran, istighfar, zikir dan sebagainya pada malam tersebut seperti amal ibadah selama lapan puluh tiga tahun. Mudah-mudahan semua amal ibadah dan amal soleh yang kita lakukan itu benar-benar ikhlas kerana Allah Ta’ala semata-mata.
 
Marilah kita kekalkan semangat beramal ibadah dan beramal soleh di sepanjang bulan Ramadan itu terus konsisten sepanjang tahun dengan mengikuti ketentuan ajaran dan Syariat Islam yang syumul mencakup semua aspek kehidupan manusia duniawi dan ukhrawi.
 
Ingatlah, ikhlas dalam beramal ibadah dan melakukan amal-amal soleh adalah syarat utama diterima serta puncak amal bagi seorang hamba di sisi Allah SWT, firman-Nya:
 
 
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya”. (Surah Az-Zumar, ayat 2)
 
 
JEMAAH JUMAAT BERIMAN SEKALIAN,
 
Semangat Ramadan dalam amal-amal sunat seperti solat-solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir, beristighfar dan lain-lain hendaklah menjadi amalan yang berterusan dalam kehidupan seharian umat Islam.
 
Kerana amalan-amalan sunat sedemikian banyak kelebihan dan kesannya dalam membina sahsiah yang mulia, rohani dan jiwa yang tenang, jasmani atau tubuh badan yang sihat dan sebagainya. Antara amalan-amalan itu, ialah:
 
1. Amalan zikir sangat berkesan dalam memberikan ketenangan jiwa, firman Allah SWT:
 
 
Maksudnya: “Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia”. (Surah Ar-Ra’d, ayat 28)
 
Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, menjelaskan mafhum ayat: “Zikrullah di sini maksudnya Al-Quran yang menjadi sebesar-besar mukjizat yang tidak ada tolok bandingnya”.
 
2. Amalan beristighfar juga mempunyai banyak fadilat dan kelebihan dalam kehidupan umat Islam, firman Allah SWT:
 
 
Maksudnya: “Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”. (Surah Ali ‘Imran, ayat 135)
 
3. Solat Sunat Tahajjud, firman Allah SWT:
 
 
Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “Solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Surah Al-Israa’, ayat 79)
 
4. Puasa 3 hari setiap bulan, Solat Dhuha dan Solat Sunat Witir, dari Abu Hurairah RA, dia berkata (yang bermaksud): “Kekasihku (Rasulullah SAW) telah berwasiat kepada ku tentang tiga perkara agar jangan aku tinggalkan hingga mati: Puasa tiga hari setiap bulan, Solat Dhuha dan tidur dalam keadaan sudah melakukan Solat Witir”. (HR Imam Bukhari dan Muslim)
 
5. Membaca Al-Quran, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf dari Kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan digandakan sepuluh (kebaikan) seumpamanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Mim satu huruf”. (HR At-Tirmizi).
 
Al-Quran itu adalah petunjuk sepanjang zaman, maka dengan semangat Ramadan ramai umat Islam berjaya mengkhatamkan Al-Quran beberapa kali, semangat ini wajar diteruskan, malah terus berusaha memahami serta mengamalkan ajaran Al-Quran, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: [/i]“Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar AlQuran dan mengajarkannya”. (HR Imam Al-Bukhari, Abu Daud dan At-Tirmizi)
 
6. Dan lain-lain lagi solat-solat sunat, amalan beriktikaf di masjid dan sebagainya.
 
Mudah-mudahan kita semua terdorong untuk terus istiqamah beramal ibadat dan melakukan sebanyak-banyak amal-amal soleh yang lain bagi menambahkan berat timbangan amal soleh kita di akhirat kelak, dari Aisyah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Amalan yang paling Allah suka ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit”. (HR Imam Bukhari dan Muslim)
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
 
Anjuran terus membelanjakan harta demi mencari redha Allah SWT, firman-Nya:
 
 
Maksudnya: “Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan yang lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan”. (Surah Al-Baqarah, ayat 265)
 
Ramadan yang lepas juga benar-benar berkesan dalam mendidik umat Islam dalam amalan bersedekah dan kebajikan yang sungguh luar biasa sikap umat Islam sepanjang Ramadan di seluruh dunia Islam, betapa pemurah, dermawan dan ringan tulang umat Islam untuk menghulurkan segala bentuk bantuan, pertolongan dan kerjasama sesama umat Islam.
 
Sesungguhnya amalan dan nilai ihsan sedemikian sewajarnya dikekalkan dan diteruskan dalam kehidupan umat Islam sepanjang masa. Melakukan kebaikan dalam Islam bukan terbatas mengikut musim-musim tertentu, sebaliknya Islam menganjurkan umat Islam supaya terus istiqamah melakukan amal-amal soleh seperti amalan bersedekah, menolong sesama saudara seagama yang susah dan seumpamanya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
 
“Sesiapa yang berusaha melapangkan suatu kesusahan kepada seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia, maka Allah akan melapangkannya dari suatu kesusahan di hari kiamat. Dan sesiapa yang berusaha memberi kemudahan bagi orang yang kesusahan, maka Allah akan memberi kemudahan baginya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutupi aib seorang Islam, Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat, Allah selalu membantu hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya”. (HR Imam Muslim)
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
 
Demikianlah, indahnya kehidupan umat Islam yang beriman dan beramal soleh sepanjang hayat tanpa jemu dan bosan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan berterusan sabar menahan diri dari melakukan segala yang dilarang Allah SWT.
 
Beruntung dan berbahagialah umat yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh dengan istiqamah, moga kita, anak isteri/suami, ahli keluarga dan seluruh umat Islam termasuk daalam kalangan umat yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh, firman Allah SWT:
 
 
Maksudnya: “Orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya”. (Surah Ar-Ra’d, ayat 29)
 
 

Bilangan Pelawat

75212
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days75212

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains