A- A A+

Khutbah Jumaat

khutbah19.png - 108.93 kB

 

Buletin Soutul Islam

Pengarah JHEAINS

biruu.png - 95.75 kB

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?

Aplikasi E-Perkhidmatan

 

MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,

Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan taqwa yang sebenar-benar. Taqwa dalam erti kata melaksanakan segala titah perintah Allah SWT serta meninggalkan segala yang dilarangNya. Sesungguhnya orang beriman yang bertaqwa akan memperoleh dua bahagian daripada rahmat Allah SWT dan keampunan di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Nabi Muhammad SAW), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak) serta diampunkannya dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah Al-Hadiid, ayat 28)

 

JEMAAH JUMAAT YANG BERIMAN YANG DIMULIAKAN,

Ramadan berlalu pergi meninggalkan kita, sungguh menghibakan hati dan jiwa umat Islam yang beriman dan bertaqwa kerana bulan penuh rahmat, keampunan dan keberkatan, perginya begitu lama lagi untuk kembali bertemu. Akan bertemu lagikah kita nanti? Namun, Ramadan tetap mengingatkan umat Islam tentang istimewa, kelebihan dan barakahnya yang tiada pada bulan-bulan yang lain.

Subhanallah, Ramadan tidak boleh ditukar ganti oleh bulan-bulan yang lain, malah tidak sekali-kali serupa dengan bulan-bulan yang lain. Kerana seluruh saat, detik dan masa sebulan Ramadan itu dilimpahi segala rahmat dan keberkatan yang sangat indah dan mengujakan seluruh jiwa umat Islam yang ikhlas untuk berlumba-lumba beramal ibadah dan beramal soleh sepanjang Ramadan. Andai boleh biarlah Ramadan itu sepanjang tahun, tetapi pasti tidak akan berlaku. Kerana itu, para sahabat Baginda SAW berangan-angan agar Ramadan itu akan berterusan sepanjang tahun.

Tetapi Ramadan yang pergi, tetap meninggalkan kesan yang amat besar kepada setiap diri dan jiwa umat Islam yang beriman dan bertaqwa. Kerana Ramadan telah membentuk dan membina diri umat Islam yang positif dari berbagai sudut, dalam cintakan amal ibadah, amal soleh, sikap, akhlak mulia, sahsiah, jati diri yang mulia dan sebagainya.

Bersungguh dan istiqamahnya umat Islam beramal ibadah itu adalah tanda keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Manakala ramainya Jemaah umat Islam solat berjemaah di masjid/surau adalah lambang ukhuwah, kesatuan dan kekuatan ummah. Itulah antara kesan besar bulan Ramadan dalam kehidupan umat Islam. Mudah-mudahan ia berterusan di bulanbulan lain, bahkan dalam sepanjang kehidupan kita.

Kerana, rugilah kita sekiranya ibadah puasa sepanjang sebulan Ramadan itu, tidak memberi apa-apa kesan dalam amal ibadah dan amal soleh kita yang boleh menambah mantap dan kuatnya keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang rugi, lantaran Ramadan berlalu masih dengan dosa-dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT, sebagaimana yang diperingatkan Rasulullah SAW, dari Abu Hurairah RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Rugi (celaka) orang yang disebut namaku (nama Rasulullah SAW) di hadapannya, tetapi dia tidak mahu berselawat kepadaku. Rugi (celaka) orang yang masuk Ramadan, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni. Rugi (celaka) seorang yang mendapatkan kedua orang tuanya di waktu tua (lanjut usia), tetapi keduanya tidak dapat menyebabkannya masuk syurga”. (HR Imam At-Tirmizi)

 

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Sehubungan itu, marilah bersama-sama kita muhasabah dan menyoal diri kita, adakah Ramadan, ibadah puasa dan segala amal ibadah dan amal soleh yang kita laksanakan selama sebulan Ramadan itu benar-benar memberi kesan maksima dalam diri kita dari segi menambah dan memantapkan iman serta taqwa kepada Allah SWT.

Dalam meriah dan bergembiranya umat Islam merayakan Hari Raya Aidilfitri, khatib berbesar hati mengajak Jemaah sekalian untuk bersama-sama mengingatkan pesan Nabi SAW dalam Hadithnya dari Abu Ayyub Al-Ansari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringi dengan puasa enam hari dari bulan Syawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa”. (HR Imam Muslim)

Menurut huraian para Ulama rahimahullah, puasa enam di bulan Syawal ini lebih afdal dilakukan berturut-turut mulai dari 02 Syawal. Bagaimana pun, boleh juga dilakukan dengan berselang-selang, asalkan dapat disempurnakan dalam bulan Syawal.

Oleh itu, bersama-sama kita terus istiqamah melaksanakan segala amal ibadah dan amal soleh sebagai bekalan untuk hidup kita yang kekal abadi di akhirat kelak.

 

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Islam agama tauhid yang menyatukan seluruh umat manusia di atas asas iman dan tauhid. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Aku-lah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Daku”. (Surah AlAnbiyaa’, ayat 92)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan mafhum ayat: “Firman Allah Ta’ala ini ditujukan kepada umat manusia seluruhnya. Yakni agama Islam, agama tauhid itu, ialah agama kamu semuanya yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul silih berganti, semenjak Nabi Adam AS hingga kepada Nabi Muhammad SAW dan asas agama tauhid ini ialah menyembah Allah Yang Maha Esa, kerana Allah jualah Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk dan Dia-lah sahaja yang berhak disembah”.

Hari ini adalah Jumaat pertama Syawal, suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri masih disambut oleh umat Islam, sana-sini diadakan rumah terbuka sebagai tanda meriah dan harmoninya kehidupan umat Islam.

Inilah saat dan peluang sesama saudara seagama dan satu aqidah, sesama sanak saudara, adik-beradik, sahabat, jiran tetangga dan seluruh umat Islam untuk saling bermaaf-maafan, kunjung berziarah sambil menjamu, bantu-membantu dan bertanya khabar. Semua itu, adalah tanda-tanda ukhuwah dan silaturrahmi sesama Islam. In-sya’ Allah, ukhuwah ummah semakin kukuh serta kesatuan ummah juga akan semakin kuat dan kukuh.

Oleh itu, umat Islam hendaklah merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini benar-benar menepati tuntutan Syariat Islam dari sudut amalan, akhlak dan budaya, agar ukhuwah dan kesatuan umat Islam terus kuat dan kukuh di atas asas iman dan tauhid. Umat Islam dianjurkan supaya memelihara batas-batas Syariat dalam segala urusan dan perayaan bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini bagi memastikan sambutan ini dilimpahi rahmat, berkat dan mendapat keredhaan Allah SWT, seterusnya memperoleh ganjaran pahala yang sebaik-baiknya di sisi Allah SWT.

Demikianlah, Islam memberikan petunjuk dan panduan hidup yang terbaik yang menyelamatkan umat manusia di dunia dan akhirat. Islam menunjukkan cara menyambut perayaan dengan panduan dan adab-adab yang memberi kebaikan, pahala dan keberkatan. Islam juga menunjukkan cara amal ibadah dan amal soleh yang menambah kuat keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Seterusnya Islam menunjuk dan memandu umatnya cara amal ibadah dan amal soleh yang menambah ganjaran pahala dan kebaikan yang berkali ganda di sisi Allah SWT.

Mudah-mudahan segala petunjuk dan panduan ini menjadi panduan yang diikuti dalam kehidupan sehari-harian kita baik dalam rumahtangga, keluarga dan juga dalam hidup bermasyarakat, in syaa Allah hidup umat Islam bertambah-tambah rahmat dan berkat serta ukhuwah sesama umat Islam terus mantap dan kukuh serta kesatuan ummah terus kuat dan utuh.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “…Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang yang berbuat kebaikan. Sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa”. (Surah Yusuf, ayat 56-57)

 

Muat turun khutbah

Bilangan Pelawat

75075
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days75075

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains