A- A A+

Sukan MUJAS 2019

mujas-2019-headline-2.jpg - 462.08 kB

 

Buletin Soutul Islam

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?
  • Kota Kinabalu,Ranau,Kota Belud,Tuaran,Penampang,Papar,Putatan,Bahagian Pantai Barat
  • 22/10/2019
  • Imsak 04:34:00
  • Subuh 04:44:00
  • Syuruk 06:01:00
  • Zohor 12:02:00
  • Asar 15:21:00
  • Maghrib 18:00:00
  • Isyak 19:10:00

Pengarah JHEAINS

tahniah-pengarah.jpg - 4.13 MB

Majlis Menghafaz Al-Quran

itqasMTQ.jpg - 51.97 kB

#MTQSabah2019

Aplikasi E-Perkhidmatan

 
MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,
 
Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan taqwa yang sebenar-benar. Taqwa dalam maknanya melaksanakan segala perintah Allah SWT serta meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
 
 
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat)…”. (Surah Az-Zumar, ayat 10)
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG BERIMAN,
 
Jumaat pada hari ini merupakan Jumaat keempat dan terakhir bulan Ramadan pada tahun ini, bermakna kita sudah berada dihujung dan di puncak Ramadan.
 
Islam menganjurkan supaya umat Islam membesarkan Allah SWT dan bersyukur pada Hari Raya. Sebagaimana firman-Nya:
 

Maksudnya: “…dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan takbir dan tahmid) kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur”. (Surah Al-Baqaarah, ayat 185)
 
Sempena dengan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri yang mulia, maka khatib ingin mengajak para Jemaah untuk melihat beberapa perkara penting berkaitan persiapan umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Antaranya ialah tentang Zakat Fitrah dan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
 
Pertama: Zakat Fitrah. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
 
 
Maksudnya: “Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengan itu engkau bersihkan mereka (dari dosa) dan engkau sucikan mereka (dari akhlak yang buruk)…”. (Surah At-Taubah, ayat 103)
 
Menunaikan Zakat Fitrah. Zakat Fitrah ialah Zakat Badan yang diwajibkan kerana tamatnya bulan Ramadan yang dikeluarkan dengan syarat-syarat yang telah ditentukan. Benda yang dijadikan Zakat Fitrah itu ialah makanan asasi atau makanan utama sesebuah negeri/Negara seperti Negara kita ialah beras. Kadar atau sukatannya ialah satu gantang Baghdad yang bersamaan dengan 3 cupak sukatan Malaysia atau 3 kati 12 tahil atau 2 kilo 250 gram.
 
Bagaimanapun bagi memudahkan umat Islam di negeri ini, kerajaan melalui Majlis Ugama Islam Sabah telah menentukan kadar Zakat Fitrah Negeri Sabah ialah RM7.00 bersamaan  nilai beras yang wajib bagi Zakat Fitrah tahun ini.
 
Dan untuk memudahkan umat Islam menunaikan Zakat Fitrah di negeri Sabah, kerajaan juga melalui Majlis Ugama Islam Sabah telah melantik amil-amil bertauliah di seluruh negeri. Oleh itu, umat Islam hendaklah menunaikan Zakat fitrah hanya kepada amil-amil bertauliah yang dilantik oleh Majlis Ugama Islam Sabah. Dalam peruntukan Enakmen Zakat Dan Fitrah 1993 menyatakan bahawa mana-mana orang yang tidak dibenarkan memungut atau cuba memungut zakat, jika melakukan kesalahan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
 
Dalam Kitab Mustika Hadith, menjelaskan: Berfitrah dengan wang sebagai ganti beras (makanan) adalah harus dalam Mazhab Syafie tetapi lebih afdal dengan makanan.
 
Dalam Mazhab Syafie yang mengharuskan  menggantikan beras dengan nilai wang ialah:
 
1. Kerana dharurat.
2. Kerana diperintahkan oleh Raja (pemerintah).
 
Pemerintah menghukumkan berfitrah dengan wang itu kerana ada beberapa sebab yang bertujuan baik, diantaranya:
 
1. Asnaf yang lapan terutama fakir dan miskin lebih suka menerima wang daripada beras.
2. Menyimpan wang lebih selamat, sedang beras selain daripada menyusahkan pihak pemungut, pejabat agama dan memerlukan upah mengangkutnya, akan (mudah) rosak jika disimpan lama.
 
Dari Abdullah ibn Umar RA, katanya (yang bermaksud): “Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya Zakat Fitrah, satu gantang dari buah tamar (kurma) atau satu gantang dari sya’ir (sejenis gandum), atas tiap-tiap seorang hamba abdi atau merdeka, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa, dari kalangan umat Islam…”. (HR Imam Al-Bukhari dan Muslim)
 
Hadith ini menjadi dalil wajibnya Zakat Fitrah ke atas setiap umat Islam lelaki dan perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa.
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
 
Manakala antara tujuan, fadilat atau hikmah Zakat Fitrah itu disyariatkan dalam Islam, sebagaimana dijelaskan dalam Hadith Rasulullah SAW dari Ibn „Abbas RA, katanya (yang bermaksud): “Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya Zakat Fitrah, (ialah) untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk dan juga untuk menjadi makanan orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum Solat Hari Raya maka menjadilah ia Zakat Fitrah yang makbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah Solat Hari Raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekahsedekah sunat yang lain”. (HR Abu Daud).
 
Berdasarkan mafhum ayat Al-Quran dan Hadith, terdapat beberapa fadilat dan tujuan utama Zakat Fitrah itu diwajibkan, iaitu:
 
1. Membersihkan orang yang berpuasa dari perkataan sia-sia.
2. Membersihkan orang yang berpuasa dari perkataan yang buruk dan keji.
3. Memberi makanan kepada fakir miskin.
4. Membersihkan jiwa dan harta.
5. Memperolehi ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
 
Ketahuilah, menurut huraian para Ulama rahimahumullah, bahawa orang yang melengahkan menunaikan bayaran Zakat Fitrah sehingga luput waktu atau masa menunaikan Zakat Fitrah seperti yang telah ditentukan bukan sahaja berdosa, bahkan wajib dia membayar Zakat Fitrahnya sesudah itu.
 
Selagi Zakat Fitrah itu belum dibayar atau ditunaikan, maka Zakat Fitrah itu tetap menjadi hutang yang ditanggungnya, sehinggalah dia membayar atau menunaikannya walau pada akhir umurnya.
 
Menurut pegangan para Ulama dalam Mazhab Syafie: “Masa bagi mengeluarkan/membayar Zakat Fitrah itu, terbahagi kepada lima, iaitu: Pertama masa harus (pada awal bulan Ramadan), kedua masa wajib (bila telah terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan), ketiga masa afdal (sebelum keluar untuk mengerjakan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri), keempat masa makruh (jika ditakhirkan atau dilewatkan selepas Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri dengan tiada keuzuran) dan kelima masa haram (jika ditakhirkan atau dilewatkan hingga selepas Hari Raya Aidilfitri dengan tiada keuzuran).
 
Syarat wajib mengeluarkan/membayar Zakat Fitrah, ada tiga syarat, iaitu:
 
1. Beragama Islam.
2. Merdeka.
3. Orang yang mempunyai sesuatu (makanan, harta atau wang) yang lebih daripada keperluannya dan keperluan orang yang ditanggung nafkahnya untuk satu malam dan satu hari Hari Raya Aidilfitri itu.
 
Manakala maksud orang yang wajib ditanggung nafkah itu, dalam Kitab Mustika Hadith, menjelaskan orang yang wajib ditanggung nafkah ialah isteri atau isteri-isteri, anak-anak dan juga ibu atau bapa yang miskin.

 
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
 
Kedua: Persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri sambutlah dengan ketaqwaan, keimanan dan banyak bersyukur. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran: 
 
 
Maksudnya: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”. (Surah Ibrahim, ayat 7)
 
Hari Raya Aidilfitri tidak sama dengan hari-hari raya yang lain. Kerana Hari Raya Aidilfitri adalah hari yang telah disyariatkan oleh Allah SWT sebagai hari kegembiraan yang dijanjikan Allah SWT kepada orang yang berpuasa, hari kesyukuran dengan beramal ibadat.
 
Maka, Islam menganjurkan umatnya supaya menghidupkan malam Hari Raya Aidilfitri, melakukan amal-amal Sunnah yang telah diperintahkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya, antaranya:
 
1. Beramal ibadah di malam Hari Raya. Dari Abu Umamah RA, dari Nabi SAW, sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu”. (HR Ibnu Majah)
2. Hiasi Hari Raya dengan takbir, tahlil, tahmid dan tasbih. Dari Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya yang bermaksud: “Hiasilah kedua-dua Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis (mensucikan Allah Ta’ala daripada segala sifat kekurangan)”. (HR Abu Na‟im)
3. Disunatkan mengerjakan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri berjemaah sebagai tanda menegakkan syiar Islam.
4. Disunatkan mandi sunat Hari Raya Aidilfitri, memakai pakaian yang elok serta memakai wangian semerbak harum, kecuali kaum wanita.
5. Disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid/surau untuk mengerjakan solat Sunat Hari Raya Aidilfitri.
6. Disunatkan melambatkan sedikit masa solat Sunat Hari Raya Aidilfitri supaya orang yang belum mengeluarkan atau membayar Zakat Fitrah dalam menunaikannya sebelum solat Sunat Hari Raya Aidilfitri.
7. Sunat Jemaah orang ramai datang awal ke masjid/surau, kecuali imam, maka imam disunatkan supaya melambatkan kehadirannya.
8. Sunat bagi bilal menyerukan: “As-Solatu Jaami‟ah”.
9. Sunat bagi khatib memulakan khutbahnya dengan Sembilan takbir berturut-turut pada khutbah yang pertama dan tujuh takbir berturut-turut pada khutbah kedua.
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
 
Demikianlah, Islam memberikan petunjuk dan sebaik-baik panduan dalam kehidupan kepada umat Islam supaya setiap amalan, tindakan dan perbuatan yang dilakukan tidak sia-sia. Malah dengan beramal dengan panduan Syariat Islam yang termaktub dalam Al-Quran, Sunnah Rasulullah SAW, ijmak para ulama yang muktabar dan qiyas itu mempunyai keberkatan serta diganjari pahala yang berganda-ganda dari Allah SWT.
 
Mudah-mudah kegembiraan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba kita penuhkan dengan amal ibadah dan hiasi dengan sebaik-baik amal, iaitu dengan tahlil mentauhidkan Allah SWT bahawa tiada tuhan yang melainkan Allah SWT, tiada sekutu bagi-Nya, dengan takbir mengagongkan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, dengan tahmid memuji setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah SWT, dengan tasbih mensucikan Allah SWT daripada segala sifat kekurangan dan kelemahan.
 
Dengan baki beberapa malam lagi dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadan yang penuh rahmat dan barakah ini, peluang yang ada tidak patut kita sia-siakan. Ajaklah anak-anak, isteri, ahli keluarga, sahabat dan jiran tetangga untuk kita mencari dan merebut fadilat dan kelebihan-kelebihan itu. 
 
Firman Allah SWT:
 
 
Maksudnya: “Haa, Miim. Demi Al-Quran Kitab yang menerangkan kebenaran. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat. (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar). Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami, sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul. (Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia), sesungguhnya Allah jua-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hamba-Nya)”. (Surah AdDukhaan, ayat 1-6)
 
 
 

Bilangan Pelawat

195298
TodayToday1
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week1
This MonthThis Month1
All daysAll days195298

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains