A- A A+

Sukan MUJAS 2019

mujas-2019-headline-2.jpg - 462.08 kB

 

Buletin Soutul Islam

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?
  • Kota Kinabalu,Ranau,Kota Belud,Tuaran,Penampang,Papar,Putatan,Bahagian Pantai Barat
  • 22/10/2019
  • Imsak 04:34:00
  • Subuh 04:44:00
  • Syuruk 06:01:00
  • Zohor 12:02:00
  • Asar 15:21:00
  • Maghrib 18:00:00
  • Isyak 19:10:00

Pengarah JHEAINS

tahniah-pengarah.jpg - 4.13 MB

Majlis Menghafaz Al-Quran

itqasMTQ.jpg - 51.97 kB

#MTQSabah2019

Aplikasi E-Perkhidmatan


MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,
  
Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dalam erti dan makna melaksanakan segala titah perintah Allah SWT serta meninggalkan segala yang dilarang-Nya, sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran:
 
 
Maksudnya: "Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa”. (Surah Yusuf, ayat 57)
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG BERIMAN,
 
Khatib ingin mengajak Jemaah sekalian untuk bersama-sama merenung dan menghayati  hikmah dan manfaat Nuzul Al-Quran dan kelebihan malam-malam sepuluh terakhir bulan Ramadan. 
 
Al-Quran menjadi petunjuk untuk manusia. Firman Allah SWT:
 
 
Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…”. (Surah Al-Baqarah, ayat 185)
 
Ramadan bulan penuh keberkatan dan bulan Nuzul Al-Quran. Berdasarkan mafhum ayat ini, bahawa Al-Quran itu menjadi petunjuk kepada umat manusia dalam semua aspek kehidupan duniawi dan juga ukhrawi, malah Al-Quran menjelaskan tentang petunjuk yang termaktub di dalam Al-Quran serta menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang batil atau yang salah.
 
Beruntunglah umat Islam, kerana menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan panduan dalam melayari bahtera kehidupan ini, kerana Al-Quran menunjukkan jalan yang benar dan betul, sebagaimana firman Allah SWT:
 
 
Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar”. (Surah Al-Israa’, ayat 9)
 
Al-Quran tidak diturunkan untuk menanggung kesusahan. Firman Allah SWT:
 
 
Maksudnya: "Taa, Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang yang takut melanggar perintah Allah”.  (Surah Taha, ayat 1-3)
 
Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menghuraikan mafhum ayat: “…Al-Quran yang Kami (Allah) turunkan kepadamu (wahai Muhammad), engkau hanyalah bertugas menyampaikannya. Sesiapa yang menurutnya, selamatlah dia dan sesiapa yang ingkar, celakalah dia. Kerana orang yang takut melanggar perintah Allah itulah sahaja yang akan beroleh faedah dari peringatan dan hidayah petunjuk Al-Quran, sedang orang yang tidak bersifat demikian, mereka tetap berdegil dalam keingkarannya”.
 
Dalam pada itu pula, pesan Rasulullah SAW kepada umat Islam, bahawa untungnya umat yang berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara, sekali-kali kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya, iaitu: Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnah Rasulullah SAW”. (HR Imam Malik dan Muslim)
 
Ingatlah, jika kita mengabaikan petunjuk dan panduan Al-Quran, walau sesaat, maka umat Islam akan mudah terpesong dan terbabas daripada kebenaran dalam melayari bahtera kehidupan, malah akan jauh dari jalan-jalan kebenaran.
 
Syed Qutb Rahimahullah dalam Kitab Tafsirnya Fi Zilalil-Quran, Juzuk 30, menyatakan: “Andainya berlaku kesesatan dan penyelewengan, maka kesesatan dan penyelewengan itu adalah berlaku dengan ilmu pengetahuan dan dengan sengaja”.
 

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,
 
Berhubung dengan anjuran baginda Rasulullah SAW agar kita berusaha meraih sebanyak mungkin akan kelebihan malam-malam sepuluh akhir di bulan Ramadan. Malahan baginda SAW sendiri memberikan contoh terbaik kepada umat Islam dalam menghayati malam-malam sepuluh akhir di bulan itu. Baginda SAW mengamalkan amalan beriktikaf di masjid untuk mengerjakan berbagai amal ibadah demi menyambut kedatangan Malam Lailatul-Qadar yang mulia dan penuh berkat itu.
 
Dari Aisyah RA, katanya: “Biasanya Rasulullah SAW berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadah pada sepuluh malam yang akhir (dari bulan Ramadan), berbanding dengan masa yang lain”. (HR Imam Muslim)
 
Antara amalan yang dianjurkan sepanjang sepuluh malam terakhir bulan Ramadan itu, ialah tadarus Al-Quran, memperbanyak istighfar, bertasbih, bertahmid, bertahlil, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan lain-lain. Kerana orang yang tekun dan ikhlas beramal ibadah pada sepuluh malam itu akan memperoleh rahmat dan keampunan yang dijanjikan di sisi Allah SWT.
 
Sesungguhnya rugilah umat Islam yang tidak merebut dan mencari segala macam limpahan dan kurniaan Allah SWT berupa kebaikan, rahmat, keampunan, keberkatan dan pahala amal yang berlipat ganda  di sepanjang bulan penuh kemuliaan ini.
 

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
 
Kenapa mesti malam-malam sepuluh terakhir dan malam-malam yang ganjil dari bulan Ramadan?. Inilah jawapannya sebagaimana yang diriwayatkan dari Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:“Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul-Qadar pada malam-malam yang ganjil dalam sepuluh malam yang akhir, dari bulan Ramadan”. (HR Imam Al-Bukhari)
 
Dalam Kitab Mustika Hadith, menjelaskan tentang malam-malam yang ganjil itu, ialah malam 21, 23, 25, 27 dan 29 dari bulan Ramadan.  Dalam pada itu, ada Hadith yang menyatakan bahawa malam Lailatul-Qadar pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadan dan ada pula Hadith yang lain menyatakan bahawa malam yang mulia itu pernah ditemui dalam zaman Baginda SAW pada malam 23 Ramadan. 
 
Ada pula Hadith yang menyatakan bahawa Baginda SAW pernah menyuruh seorang sahabat yang bertanyanya mengenai masa Lailatul-Qadar, supaya dia bersedia menghayatinya pada malam 27 Ramadan. Dari keterangan Hadith tersebut dapat difahami bahawa Malam Lailatul-Qadar itu berpindah-pindah dari satu tahun ke tahun yang lain dalam lingkungan sepuluh malam yang akhir dari bulan Ramadan.
 
Imam Nawawi rahimahullah, berkata:  “Malam Lailatul-Qadar dapat disaksikan oleh orang yang dikehendaki Allah pada tiap-tiap tahun dalam bulan Ramadan, sebagaimana yang telah diterangkan dengan jelas dalam Hadith-hadith Rasulullah SAW dan diberitakan juga oleh orang yang soleh…”
 
Imam At-Thabari rahimahullah pula, memilih pendapat yang menegaskan: “Bahawa semuanya itu tidak lazim (tidak semestinya dia dapat melihatnya), kerana tidak disyaratkan “melihat sesuatu atau mendengarnya” untuk menemui malam Lailatul-Qadar”.
 
Apa yang penting ialah taat mengerjakan amal bakti (amal ibadah) kerana Allah Ta’ala semata-mata dengan ikhlas, kerana balasannya tetap terjamin dan akan dapat dinikmati di dunia dan juga di akhirat kelak.
 
Untuk itu, marilah bersama-sama kita terus istiqamah hingga ke akhir hujung Ramadan tanpa jemu untuk mengerjakan segala amal ibadah, solat Sunat Tarawih, qiyamul-lail, tadarus Al-Quran, istighfar, zikir, bersedekah dan sebagainya.
 
Sebagai kesimpulan, beruntung dan berbahagialah umat Islam dan manusia yang hidupnya berpandukan Kitab Suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dan dikurniakan Allah SWT untuk menikmati rahmat, maghfirah, keberkatan dan keredhaan-Nya, bebas dari azab api neraka serta menemui malam Lailatul-Qadar malam lebih baik daripada seribu bulan pada malam-malam sepuluh akhir Ramadan.
 

JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
 
Demikianlah, kemuliaan bulan Ramadan yang dijanjikan oleh Allah SWT, ketinggian Kitab Suci Al-Quran menjadi petunjuk dan panduan hidup manusia yang menyelamatkan di dunia dan akhirat, juga kelebihan serta keutamaan malam-malam sepuluh akhir Ramadan yang sangat dianjurkan umat Islam menggandakan amal ibadah agar beroleh segala macam rahmat, berkat, maghfirah dan pahala-pahala yang berlipat ganda yang dijanjikan di sisi Allah SWT yang hanya ada di bulan Ramadan, sekali atau sebulan dalam setahun.
 
Dengan baki beberapa malam-malam lagi dari sepuluh malam bulan Ramadan yang penuh rahmat dan barakah ini, peluang yang tidak patut kita sia-siakan. Ajaklah anak isteri, ahli keluarga, sahabat dan jiran tetangga untuk kita mencari dan merebut fadilat dan kelebihan-kelebihan itu. 
Firman Allah SWT:
 
 
Maksudnya: “Haa, Miim. Demi Al-Quran Kitab yang menerangkan kebenaran. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat. (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar). Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami, sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul. (Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia), sesungguhnya Allah jua-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hamba-Nya)”.  (Surah AdDukhaan, ayat 1-6)
 
 

Bilangan Pelawat

195192
TodayToday2
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week2
This MonthThis Month2
All daysAll days195192

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains