A- A A+

Khutbah Jumaat

khutbah19.png - 108.93 kB

 

Buletin Soutul Islam

Pengarah JHEAINS

biruu.png - 95.75 kB

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?

Aplikasi E-Perkhidmatan


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
 
Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Taala dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan orang-orang yang dikasihi oleh Allah dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah kita pada hari ini, GURU, OBOR HEMAH MENYINARI PERTIWI yang merupakan tema Sambutan Hari Guru tahun 2019.
 
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
 
Tanggal 16 Mei setiap tahun ditetapkan sebagai tarikh Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan. Apatah lagi pada tahun ini, Sambutan Hari Guru disambut bersama ketibaan Ramadhan yang penuh dengan kerahmatan dan keberkatan. Sambutan Hari Guru diadakan bertujuan untuk menghargai jasa dan pengorbanan guru sebagai murabbi ummah, pewaris tugas para rasul dan anbiya’ terdahulu.
 
Marilah kita sama-sama menginsafi bahawa kedudukan kita pada hari ini bermula dari seorang guru yang ikhlas mendidik dan mencurah ilmu tanpa mengenal erti penat dan lelah. Hasil didikan mereka lahirlah insan-insan mulia yang mampu membina kemajuan dan ketamadunan ummah. Tanpa kehadiran seorang guru, kita akan tenggalam dalam kegelapan kejahilan umpama sebuah kapal yang karam di lautan samudera yang terbentang luas. Lantaran itu Islam memberikan kedudukan yang sangat mulia kepada barisan guru yang dianggap sebagai pelita ummah. Firman Allah SWT: 
 
 
Maksud: “Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dengan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Mujadalah:11)
 
Kita pernah melalui zaman persekolahan di pelbagai peringkat umur, maka sudah pasti kita merupakan alumni kepada mana-mana institusi yang dahulunya kita menumpang berteduh bagi mengutip mutiara-mutiara ilmu. Namun, sejauh manakah peranan kita terhadap sekolah atau institusi yang pernah kita menitip ilmu suatu ketika dahulu. Pernahkah kita melawat sekolah-sekolah kita terdahulu? Pernahkah kita bertanya khabar guru-guru kita? Pernahkah kita mengambil tahu keadaan prasarana tempat tersebut? Sewajarnya, kita bergerak seiring jalan dengan seruan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di bawah anjakan ke-9 tentang perlunya kerjasama erat ibu-bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
 
Rasulullah SAW merupakan guru pertama untuk umat akhir zaman ini. Baginda juga diutuskan ke dunia untuk membawa rahmat dan menjadi contoh teladan yang baik bagi warga pendidik dan seluruh manusia sepanjang zaman sebagaimana firman Allah SWT:
 
 Maksudnya: “Dan tidak Aku utuskan engkau wahai Muhammad kecuali untuk membawa rahmat ke seluruh alam” 
(Surah al-Anbiya’:107)
 
Dalam konteks negara Malaysia yang tercinta ini, Usman Awang yang merupakan sasterawan Negara pernah mengungkapkan kata-kata beliau yang didedikasikan melalui sajak beliau yang menyanjung tinggi budi dan khidmat bakti guru-guru dengan menyatakan bahawa kehebatan seorang insan yang lahir pada hari ini bermula daripada hasil didikan dan asuhan seorang guru biasa.

Sesungguhnya, pekerjaan guru ini amat dipandang mulia dan berperanan penting dalam membina dan membentuk kualiti anak didik dalam aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelek bagi memenuhi aspirasi pendidikan. Gurulah yang menjadi tunjang utama dalam merealisasikan kesejahteraan diri insan yang dipimpinnya. Gelaran obor hemah kepada guru yang menggambarkan tentang kemuliaan, keikhlasan, pengorbanan, tanggungjawab, cabaran, peranan dan komitmen dalam profesion keguruan.
 
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
 
Dalam mengharungi dunia pendidikan masa kini khususnya di negara kita, seorang guru sering menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugas mendidik dan melahirkan modal insan yang menjadi aset penting kepada negara dan ummah. Antara cabaran yang dihadapi oleh para guru ialah berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai dan isu yang melibatkan salah faham terhadap peranan guru. Perlu disedari bahawa tugas guru sebagai pendidik adalah tugas yang telah diwarisi daripada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW pernah bersabda melalui hadis Baginda yang mulia:
 
 Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang baik.”
(HR: Ahmad)
 
Dalam mendepani cabaran tersebut, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia menitikberatkan tentang penerapan nilai murni dan sahsiah terpuji seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia tahun 2013 hingga 2025 anjakan ke-3 yang berbunyi: “melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai”.
 
Ia selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mensasarkan pendidikan negara menuju ke arah melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek.
 
Hasrat dan saranan ini dikukuhkan dengan kata-kata Luqman al-Hakim yang menasihati anaknya dengan kata-kata yang sarat dengan didikan dan kesantunan akhlak yang terpuji:
 
“Wahai anakku, bergaullah dengan para guru dan rapatilah mereka dengan kedua-dua lututmu kerana Allah menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan hujan dari langit”. 
 
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
 
Mutakhir ini kita seringkali melihat paparan di dada-dada akhbar dan juga di kaca-kaca televisyen tentang isu keruntuhan moral di kalangan remaja dan belia seperti kes buli, buang bayi, jenayah siber, merempit dan lain-lain. Mereka juga berhadapan dengan arus serangan pemikiran yang berkiblatkan akal dan mengetepikan pimpinan wahyu yang dikenali sebagai pemikiran humanisme. Akibatnya, lahirlah pemikiran liberalisme, pluralisme dan lain-lain.
 
Oleh itu, selain daripada guru sebagai pendidik, ibu-bapa serta anggota masyarakat sewajarnya berganding bahu dalam membanteras gejala-gejala ini. Ruang-ruang permuafakatan melalui persatuan alumni sekolah, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), agensi-agensi kerajaan dan swasta sedikit sebanyak dapat menjana idea dan merungkai permasalahan yang dihadapi oleh para guru dewasa ini.
 
Justeru, kita tidak boleh sekali-kali meletakkan peranan membentuk akhlak dan kecemerlangan sahsiah para pelajar kepada guru-guru di sekolah semata-mata.
 
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
 
Kita pastinya masih mengingati khidmat bakti guru-guru kita dahulu yang sanggup mengorbankan masa, tenaga, malah wang ringgit demi mendidik kita sehingga berjaya walaupun pendapatan mereka tidak sama dengan apa yang kita nikmati pada hari ini. Guru pastinya tidak meminta apa-apa balasan material daripada kita kecuali titipan doa kesejahteraannya sepanjang hayat. Sesungguhnya, berterima kasih sesama manusia adalah tanda kita bersyukur kepada Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi SAW:
 
 Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, maka dia tidak bersyukur kepada Allah.” 
(HR: al-Tirmidzi)
 
Marilah sama-sama kita menggembleng tenaga, idea, buah fikiran dan harta untuk memartabatkan semangat kecintaan kepada ilmu dalam pelbagai bidang kehidupan duniawi dan ukhrawi. Al-imam Asy-Syafie Rahimahullah berkata:
 
Maksud: “Sesiapa yang inginkan keduniaan, maka hendaklah dengan ilmu. Dan siapa yang inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Dan sesiapa yang inginkan kedua-duanya, hendaklah dengan ilmu.”

Masyarakat juga digesa agar bersama-sama menanam sikap mengambil cakna terhadap aktiviti ilmiah di peringkat lapangan seperti forum, ceramah atau diskusi yang dianjurkan. Tidak terkecuali anggota masyarakat juga amat dialu-alukan untuk sama-sama memberi sumbangan idea, tenaga dan sebagainya kepada pihak sekolah.
 
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
 
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin menyeru sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah untuk dijadikan pedoman dalam mencari kebahagiaan hidup duniawi dan ukhrawi untuk diredhai Allah. Antaranya:
 
1. Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik sebagai Murabbi ummah yang perlu diteladani oleh para guru dalam menyampaikan ilmu dan membentuk akhlak yang terpuji.
 
2. Setiap insan yang bergelar seorang guru wajib dihormati dan diletakkan pada martabatnya yang mulia kerana ia adalah sebahagian tuntutan agama lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadhan ini.
 
3. Jalinan di antara guru, ibu-bapa, murid, persatuan alumni, PIBG, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat setempat mestilah dibina atas dasar perasaan hormat-menghormati, kasih sayang serta mawaddah war rahmah dalam membina ketamadunan ummah serta memacu pembangunan negara dalam bidang pendidikan agar negara kita menjadi:
 
 
 Maksud: “Negara yang baik diampuni tuhan.”
 
 Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”.
 
 

Bilangan Pelawat

75063
TodayToday2
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week2
This MonthThis Month2
All daysAll days75063

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains