A- A A+

Khutbah Jumaat

khutbah19.png - 108.93 kB

 

Buletin Soutul Islam

Pengarah JHEAINS

biruu.png - 95.75 kB

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?

Aplikasi E-Perkhidmatan

 
 
MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,
 
Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan taqwa yang sebenar-benarnya. Taqwa dalam erti kata melaksanakan segala titah perintah Allah SWT serta meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu adalah hamba Allah yang paling mulia dan dimuliakan oleh Allah SWT semasa hidup di dunia dan juga di akhirat nanti, firmanNya:
 
 
Maksudnya: "Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang yang bertaqwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredhaan Allah), mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk dan tidak akan berdukacita”.(Surah Az-Zumar, ayat 61)
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,
 
Marilah bersama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana mengurniakan kepada kita bulan mulia dan penuh berkat, bulan Ramadan al-Mubarak, penghulu segala bulan, bulan Al-Quran, bulan Lailatul Qadar, bulan rahmat, bulan keampunan, bulan segala amal ibadah, amal soleh akan diberikan ganjaran pahala berganda-ganda dan bulan difardukan ibadah puasa serta bulan tarbiah, melatih diri supaya menjadi hamba Allah yang bertaqwa, firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
 
 
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Surah AlBaqarah, ayat 183)
 
Sesungguhnya banyak disebutkan dalam Hadith Rasulullah SAW tentang kemuliaan dan kelebihan bulan Ramadan, antaranya dijelaskan bahawa bila datangnya Ramadan terbukalah pintu syurga, sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud:“Apabila datang bulan Ramadan terbukalah pintu-pintu syurga”. (HR Imam Al-Bukhari)
 
Dalam Hadith lain, dari Abu Hurairah RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila masuk bulan Ramadan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)”. (HR Imam Muslim)
 
Dalam Kitab Mustika Hadith menjelaskan mafhum Hadith: Menurut huraian para ulama rahimahumullah, bahawa terbukanya pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka serta terbelenggu syaitan-syaitan di sepanjang bulan Ramadan, boleh difahami menurut maksudnya yang zahir untuk menghormati bulan yang mulia itu. Dan boleh juga difahamkan sebagai satu gambaran bahawa orang yang berjaya merebut peluang mengisi bulan Ramadan dengan berbagai jenis ibadah yang wajib dan yang sunat dan berjaya pula mencegah dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang, maka amalnya yang baik itu akan membawanya ke syurga dan amalnya itulah juga yang menyelamatkannya dari hasutan syaitan dan dari azab neraka.
 

JEMAAH JUMAAT YANG BERIMAN, 
 
Sesungguhnya umat Islam yang beriman teramat rindu dan gembira dengan kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak yang tidak lama lagi kehadirannya itu. Kerana pada bulan Ramadan ini segala amal ibadah wajib dan sunat serta amal soleh berganda-ganda ganjaran pahalanya di sisi Allah SWT sehingga 70 kali ganda, sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam Hadithnya, yang bermaksud: “…Sesiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadan dengan sesuatu dari perkara-perkara kebajikan samalah seperti dia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan sesiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu samalah seperti dia menunaikan tujuh puluh perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain…”. (HR Ibnu Khuzaimah dalam Kitab Sahihnya)
 
Maka sebagai umat Islam yang cinta beramal ibadah dan amal soleh, sewajarnyalah kita berlumba-lumba dan merebut peluang untuk mendapatkan kelebihan dan keutamaan bulan Ramadan sama ada waktu siangnya, apatah lagi pada waktu malamnya untuk berqiamul-lail dengan pelbagai amal ibadah wajib dan sunat.
 
Bulan Ramadan al-Mubarak hanya sebulan atau 29 atau 30 hari daripada 365 hari, sesungguhnya bulan mulia dan istimewa ini Allah SWT menjanjikan 1001 kebaikan dan ganjaran pahala berganda-ganda bagi setiap amal ibadah, amal baik dan amal soleh yang dikerjakan oleh hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa. Antara kelebihan bulan Ramadan dan ibadah puasa itu, ialah:
 
1. Bulan turunnya Al-Quran. Firman Allah SWT:
 
 
Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan yang menjelaskan akan perbezaan antara yang benar dan salah”. (Surah Al-Baqarah, ayat 185)
 
2. Bulan mulia, berkat dan satu malam lebih baik dari seribu bulan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai manusia, kamu sedang dinaungi (bulan Ramadan) yang besar kemuliaannya, lagi berkat. Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (Malam Lailatul-Qadar)…”. (HR Ibnu Khuzaimah)
 
3. Mendapat dua kegembiraan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…Orang yang berpuasa mendpat dua perkara yang menggembirakan. Pertama, semasa dia berbuka puasa dan kedua, semasa dia menemui Tuhannya (pada hari akhirat)…”. (HR Imam Muslim)
 
4. Berkat bersahur. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bersahurlah kamu, kerana makanan sahur itu mengandungi berkat”. (HR Imam Al-Bukhari dan Muslim)
 
5. Berkat ketika berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang ramai (yang berpuasa) masih dalam keadaan baik selagi mereka menyegerakan berbuka puasa (setelah masuk waktunya)”. (HR Imam Muslim)
 
6. Pahala berganda-ganda. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…Dan sesiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu samalah seperti dia menunaikan tujuh puluh perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain…”.  (HR Ibnu Khuzaimah)
 
7. Allah SWT sendiri memberi ganjaran kepada orang berpuasa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah ‘Azza wa Jalla berfirman maksudnya: “Segala amal bakti anak Adam adalah untuknya, kecuali amalan puasa, (maka) ia adalah untukKu dan Aku-lah yang membalasnya (dengan balasan yang sebaik-baiknya…”. (HR Imam Muslim)
 
8. Mendapat syafaat pada hari kiamat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Puasa dan Al-Quran memohon syafaat kepada Allah pada hari kiamat, bagi orang yang berbakti (yang selalu berpuasa dan banyak pula membaca Al-Quran)…”.  (HR Imam Ahmad dan lain-lain)
 
9. Bulan sabar, bersedekah dan bertambah rezeki. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…Bulan Ramadan juga ialah bulan kesabaran. Sedang kesabaran itu, pahalanya ialah syurga. Ia juga bulan untuk masing-masing bersedekah dan memberi bantuan dan ia juga bulan yang padanya ditambahkan rezeki orang yang beriman…”. (HR Ibnu Khuzaimah)
 
10. Bulan dipenuhi rahmat, keampunan Allah SWT dan pahala yang menjadi penebus daripada azab neraka. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…Bulan Ramadan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi rahmat, pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus dari neraka…”. (HR Ibnu Khuzaimah)
 
11. Doa yang makbul. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiga jenis orang tidak ditolak doa (permohonan) mereka, pertama: Ketua pemerintah yang adil. Kedua: Orang yang berpuasa semasa dia berbuka puasa dan ketiga: Orang yang dizalimi (teraniaya)”. (HR At-Tirmizi)
 
12. Orang berpuasa dikurniakan kesihatan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…Berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat dan mengembaralah nescaya kamu menjadi kaya…”. (HR At-Thabrani)
 

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA, 
 
Mula malam pertama bulan Ramadan malaikat akan menyeru orang yang hendak berbuat kebaikan dan juga orang yang hendak berbuat kejahatan, sebagaimana disebutkan dalam Hadith dari Abu Hurairah RA dari Nabi Muhammad SAW, sabdanya yang bermaksud: “Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadan – menyerulah malaikat, katanya: “Wahai orang yang mahukan kebaikan, tampillah mengerjakannya. Dan wahai orang yang hendak melakukan kejahatan, berhentilah dari meneruskannya. (Ketahuilah), Allah Ta’ala banyak membebaskan  orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya”. Seruan  dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadan)”. (HR At-Tirmizi dan An-Nasa’ie)
 
Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam beramal ibadah malam-malam di bulan Ramadan, dengan solat-solat sunat, zikir, tadarus Al-Quran dan lain-lain, terutama Solat Sunat Tarawih, sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadan, sedang dia beriman serta mengharapkan rahmat Allah Ta’ala, maka dia akan diampunkan dosanya yang telah lalu”. (HR Imam Muslim).
 
Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya supaya tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menghilangkan pahala puasa  seperti berikut :
 
1. Tidak berbuat perkara keji. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seorang dari kamu sedang berpuasa, maka janganlah dia melakukan sesuatu yang keji atau marah menjerit-jerit, kalau ada orang memaki atau mengajaknya berkelahi, maka hendaklah dia (bersabar, sambil) berkata (dalam hati atau dengan berterang-terangan): Aku sedang berpuasa…”. (HR Imam Al-Bukhari)
 
2. Berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa. Sabdanya yang bermaksud: "Berapa banyak orang yang berpuasa, sedang dia tidak mendapat dari puasanya itu melainkan dahaga semata-mata dan berapa banyak pula orang yang mengerjakan solat (sunat pada malam hari), sedang dia tidak mendapat dari solatnya itu melainkan menyengkak mata, berjaga malam”. (HR Ad-Darimi)
 
3. Berpuasa, tetapi tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan liar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya dan perbuatan liar yang lazimnya dilakukan oleh orang yang jahil, maka Allah SWT tidak lagi berhajat dia meninggalkan makannya dan minumnya ( tidak dikira puasanya di sisi Allah )”. (HR Imam Al-Bukhari dan Abu Daud)
 
Oleh itu, janganlah kita jadikan bulan Ramadan ini bulan pesta makanan dan minuman, yang boleh menjadi halangan untuk kita memperbanyakkan amal ibadah, sedekah, zikir, tadarus Al-Quran, qiamul-lail dan sebagainya, apatah lagi sehingga berlakunya pembaziran makan minum ketika berbuka puasa semata-mata kerana melayan selera nafsu lapar dahaga yang melampau batas.
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
 
Sebagai kesimpulan khutbah kali ini, khatib sekali lagi mengajak Jemaah sekalian, supaya bersama-samalah kita berlumba-lumba dan merebut segala macam kelebihan dan peluang di bulan Ramadan nanti  sebagai bulan istimewa, dengan memperbanyakkan amal ibadah, berlapar dahaga, menahan hawa nafsu, bulan berjimat cermat, bersedekah dan sebagainya. Seterusnya dapat mengulangkaji syarat, rukun, niat, perkara-perkara wajib, sunat, membatalkan dan mengurangkan pahala juga perkara yang makruh dan haram berkaitan ibadah puasa Ramadan, agar dengan itu dapatlah kita melaksanakan ibadah puasa dengan sempurna dan sebaik-baiknya, in syaa Allah.
 
Demikianlah, kelebihan, keutamaan dan keistimewaan bulan Ramadan yang tidak ada di bulan-bulan yang lain, yang sepatutnya kita rebut dan dilakukan sebaik-baik dan sesempurnanya, seperti qiamul-lail, tadarus Al-Quran, Solat Sunat Tarawih berjemaah dan lain-lain. Sebagaimana pandangan para ulama yang mengingatkan umat Islam: Bahawa Solat Tarawih yang sempurna dan berpahala itu ialah yang dikerjakan dengan tenang dan khusyuk, sempurna bacaannya dan sempurna segala-galanya sesuai dengan dasar “ihsan” yakni segala amal bakti (amal soleh) hendaklah dikerjakan dengan sebaik-baiknya.
 
Mudah-mudahan segala amal ibadah dan amal soleh yang ikhlas sepanjang bulan Ramadan itu, menjadi bekalan dan saham amal kita di akhirat nanti.
 
 
 

Bilangan Pelawat

75043
TodayToday2
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week2
This MonthThis Month2
All daysAll days75043

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains