A- A A+

Khutbah Jumaat

Buletin Soutul Islam

Pengarah JHEAINS

biruu.png - 95.75 kB

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?

Aplikasi E-Perkhidmatan


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan menyeru kepada sidang jemaah yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita dengan sebenar-benar takwa melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam rahmat serta mendapat perlindungan Allah SWT demi mencari keredhaan-Nya di dunia mahu pun di akhirat.

 

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMAT ALLAH,

Beberapa hari lagi kita seluruh rakyat Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos kemudian disusuli pula dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September. Sempena menyambut Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah marilah kita sama-sama mengimbau hari yang bersejarah iaitu pada tahun 1963 terbentuklah negara tercinta kita iaitu Malaysia. Tarikh yang penuh keramat yang saban tahun diraikan ini merupakan satu nikmat yang amat besar dan wajib untuk kita samasama mensyukuri, menghayati dan serta menghargai. Penghayatan terhadap nikmat kemerdekaan ini perlu ditonjolkan bukan setakat dizahirkan melalui perbuatan malah dijiwai berdasarkan landasan syariat yang telah digariskan oleh Allah SWT dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sebagai satu model yang lengkap dan sempurna.

 

SIDANG JUMAAT YANG DI RAHMATI ALLAH,

Marilah kita semua hayati dan penuhi kemerdekaan ini dengan pengertian kemerdekaan sebenar. Menurut kaca mata Islam yang bukanlah hanya kemenangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah semata-mata. Kemenangan perjuangan Islam yang dipimpin Baginda Nabi Muhammad SAW dikenali sebagai “Al-Fath” iaitu pembukaan. Pembukaan pembebasan Kota Makkah dari kegelapan jahiliyah menggambarkan satu contoh sebuah kemerdekaan yang sebenar dalam Islam. Sesuai dengan satu ungkapan yang cukup terkenal oleh seorang Pahlawan Islam iaitu Rubaei Bin Amir apabila ditanya kepadanya oleh Rustum, Panglima Perang Parsi. Jawab Rubaei: “Sesungguhnya kami adalah kaum yang diutuskan oleh Allah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada menyembah yang Maha Pencipta. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan Islam, daripada kekeliruan agama kepada keadilan Islam”.

Jelasnya, konsep kemerdekaan bukan sekadar membebaskan fizikal manusia tetapi juga rohani dan mental mereka dari belenggu kejahilan bersandarkan panduan wahyu ilahi. Sebaliknya, akal yang kosong daripada panduan ini akan menyebabkan fahaman, pemikiran dan doktrin mereka gagal memahami maksud Al-Quran dan Hadis dalam konteks yang betul sehingga terjebak dengan fenomena keganasan. Rentetan daripada itu, terjadilah pelbagai kerosakan, permusuhan dan keganasan yang mengakibatkan kerosakan harta benda, kemusnahan harta awam, terputusnya kasih sayang, kematian jiwa yang tidak berdosa, menjadikan anak-anak yatim piatu dan isteri menjadi janda serta balu. Hakikatnya, hanya takwa yang dapat memagari hidup kita supaya sentiasa rukun dan damai serta berpadu erat antara satu sama lain.

 

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,

Allah SWT telah mengurniakan kepada kita dengan pelbagai nikmat antaranya negara yang bebas daripada keganasan, masyarakat majmuk yang harmoni dan banyak lagi nikmat lain. Jika bukan kerana perjuangan dan pengorbanan oleh pihak yang terdahulu iaitu perjuangan prajurit yang sanggup berkorban nyawa, para ulama dan ilmuan yang tidak lelah dalam menyebarkan ilmu, serta rakyat yang sanggup berkorban harta dan nyawa dalam memperjuangkan kemerdekaan, pastinya keamanan dan kemerdekaan tidak dapat dikecapi dan kekal sehingga kini.

Oleh itu, pengorbanan mereka seharusnya dihargai dengan menjaga negara ini sebaiknya. Mempertahankan negara ini dari ancaman musuh, membantu para pemimpin kita dalam memajukan negara, serta menghayati dan mengamalkan 5 prinsip rukun negara yang dididik kepada kita sejak dari usia kecil lagi.

Kecintaan kepada negara merupakan fitrah manusia yang mahukan kebaikan dan keselesaan untuk generasi dan keturunannya, sepertimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 126:

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali".

Mencintai negara haruslah dibuktikan dengan azam dan usaha keras kita dalam membangunkan negara mengikut syariat Islam agar negara ini tidak dirosakkan dengan perkara-perkara yang dibenci Allah. Semangat patriotisme itu sendiri tidak cukup dengan hanya menyambut hari kemerdekaan dan mengibarkan jalur gemilang melainkan membangunkan negara ini menurut apa yang dimahukan Allah dan Rasulullah s.a.w. Oleh itu, marilah kita membangunkan negara ini mengikut kerangka Islam. Perpaduan dan kemerdekaan ini perlu kita syukuri dan pelihara kerana syariat Islam akan lebih mudah terlaksana dalam keadaan negara aman dan damai.


SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,

Seperti mana yang sedia maklum, Negara ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, khususnya di negeri Sabah yang cukup terkenal dengan kepelbagaian etnik dan suku kaum. Kepelbagaian ini bukanlah penghalang bagi merealisasikan perpaduan di antara masyarakat, malah ianya merupakan hikmah kejadian manusia. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 13,

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya."

Justeru itu, bagi memaknai erti kemerdekaan yang sebenar, setiap individu perlu mencari titik persamaan bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang pelbagai agama, bangsa dan budaya mahupun etnik.

 

 

Muat turun khutbah

 

MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,

Sesungguhnya semulia-mulia hamba di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Kemuliaan orang yang bertaqwa adalah kerana keimanan, ketaqwaan dan ketaatan dalam melaksanakan segala titah perintah Allah SWT dan meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah SWT dengan taqwa yang sebenar-benar, firman-Nya:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam”. (Surah Ali Imran, ayat 102)

JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Allah SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan. Allah SWT juga memuliakan manusia yang diciptakan-Nya, sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”. (Surah Al-Israa', ayat 70)

Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan mafhum ayat ini: Allah Ta'ala muliakan anak-anak Adam dengan menjadikan mereka dalam bentuk yang seelok-eloknya, pandai berkata-kata, berakal fikiran, sehingga dapat menguasai dunia dan isinya. Diberinya kemudahan bergerak di darat, di laut dan di udara dengan menggunakan berbagai jenis kenderaan. Diberinya rezeki dari benda-benda yang baik-baik dan lazat serta diberinya kelebihan yang besar dari kebanyakan makhluk-makhluk yang lain. Sebab itu, sudah semestinya mereka bersyukur akan nikmat-nikmat Allah yang besar itu, dengan beribadat kepada-Nya dan menjauhi perbuatan syirik.

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Manusia dan makhluk-makhluk lain yang diciptakan Allah SWT, tidak diciptakan dengan sia-sia, melainkan ada manfaat dan juga fungsinya kepada kehidupan manusia dan juga alam ini. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dia-lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk, Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada), Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya), bagi-Nya-lah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya, bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi dan Dia-lah Yang tidak ada tolok banding-Nya, lagi Maha Bijaksana”. (Surah Al-Hasyr, ayat 24)

Islam sebagai agama yang diperakui agama yang benar di sisi Allah SWT, adalah agama yang mengatur kehidupan manusia mengikut titah perintah Allah SWT dan mengikut Sunnah Rasul-Nya. Firman-Nya:

Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”. (Surah Al-Ahzab, ayat 36)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan lagi: Ayat ini menegaskan satu kaedah yang wajib dipatuhi oleh orang mukmin dalam segala urusan hidupnya, iaitu tidak harus bagi seseorang itu memilih sesuatu ketetapan selain daripada yang telah ditetapkan oleh Allah Ta'ala dan diterangkan oleh Rasul-Nya.

Sehubungan itu, Islam meletakkan tiga tugas utama manusia sebagaimana hamba Allah yang menjadi penghuni di muka bumi ini, iaitu:

Pertama: Tugas sebagai hamba Allah SWT. Manusia diciptakan oleh Allah SWT untuk melaksana tugasnya sebagai hamba Allah ialah mengabdikan diri kepada Allah SWT dalam segala aspek kehidupan, bukan saja manusia, malah jin juga diciptakan untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT. Maksud pengabdian kepada Allah SWT adalah luas, bukan semata-mata dalam ibadah-ibadah khusus seperti melaksanakan ibadat solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya, tetapi mencakupi aspek dalam mengatur uruskan kehidupan harian, hidup berkeluarga, bermasyarakat, bermuamalat, berpolitik, termasuk pendidikan, ekonomi, perundangan dan sebagainya mesti di atas landasan dan makna mengabdikan diri kepada Allah SWT, firman-Nya di dalam Al-Quran:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”. (Surah Adz-Dzaariyaat, ayat 56) 


Tidak syirik atau menyekutukan Allah SWT dalam beribadah, beramal, bekerja dan dalam apa-apa jua tindakan, firman-Nya:

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu, oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (Surah Al-Kahfi, ayat 110)

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA SEKALIAN,

Kedua: Tugas sebagai khalifah Allah SWT. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah Al-Baqarah, ayat 30)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan maksud “khalifah” dalam ayat ini: Khalifah ialah seorang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan wahyu dan syariat Allah, supaya kehidupan manusia itu teratur dan mempunyai tujuan-tujuan hidup yang suci murni untuk mencapai keredhaan Allah Azza wa Jalla.

Kisah Nabi Daud AS di dalam Al-Quran merupakan iktibar dan pengajaran kepada umat manusia akhir zaman tentang tugas seorang khalifah, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu”. (Surah Saad, ayat 26)

Pengajaran daripada ayat ini kepada umat Islam zaman ini, sebagai khalifah kita terikat dengan hukum dan syariat Islam yang mencakup semua perkara seperti aqidah, syariat, akhlak, kehidupan dan sebagainya.

Ketiga: Tugas untuk memakmurkan dunia. Manusia tidak diciptakan saja-saja atau sia-sia, tetapi Allah SWT menciptakan manusia dengan tugas besar untuk memakmurkan dunia, sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya: “…Dia-lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya…”. (Surah Hud, ayat 61) 


Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan maksud ayat ini: Yakni berusaha supaya ramai penduduknya, banyak hasil mahsulnya dan sejahtera hidup padanya.

Inilah tugas dan tanggungjawab manusia dalam memakmur dan juga membangunkan dunia selaras dengan maqasid syariah, demi memelihara dan menjaga lima perkara asas dalam kehidupan manusia, iaitu menjaga agama, akal, jiwa, nasab dan harta. Melalui ayat ini juga para Ulama menerangkan maksud kalimah “isti’mar” yakni memakmurkan itu, ialah perintah supaya manusia melaksana dan menegakkan segala tanggungjawab yang diletakkan di atas diri manusia.

Para ulama juga menggariskan makna memakmurkan dunia ini kepada tiga tanggungjawab besar, iaitu tanggungjawab kepada agama, tanggungjawab kepada masyarakat dan tanggungjawab kepada manusia. Islam meletakkan tanggungjawab kepada agama itu merupakan suatu yang paling utama dan penting dalam hidup manusia. Ini bermakna agama adalah perkara asas dalam mengurus dan memakmurkan hidup di dunia, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pokok segala urusan ialah Islam dan tiangnya ialah solat dan puncaknya (atapnya) ialah jihad”. (HR At-Tirmizi)

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN SEKALIAN,

Demikianlah, indah dan sempurnanya Islam sebagai addin satu cara hidup yang mencakup semua aspek dan urusan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Maka Syariat Islam inilah yang selayaknya menjadi dasar dan asas dalam kita mengatur hidup manusia dengan peraturan Allah SWT yang terbaik yang termaktub di dalam Al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh”. (Surah Al-Anbiyaa', ayat 105)

Muat turun khutbah

 

 


MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,

Dengan sifat taqwa akan mengangkat darjat dan kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT. Marilah mantapkan taqwa kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Yakni bertaqwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya serta meninggalkan segala yang dilarang-Nya.

Makna taqwa, Saidina Umar Al-Khattab RA bertanya kepada Ubai bin Ka’ab RA: Apakah hakikat taqwa? (Ka’ab menjawab dengan pertanyaan) Ubai bertanya pula: Pernahkah Amirul Mukminin berjalan di jalan yang banyak onak dan duri. Jawab Umar: Ya. Ubai bertanya (lagi): Bagaimana?. Jawab Umar: Aku berjalan dengan waspada dan bersungguh-sungguh supaya tidak memijak atau terpijak onak dan duri. Lalu Ubai bin Ka’ab menegaskan: Itulah hakikat taqwa.

Mudah-mudahan kita akan termasuk dalam golongan orang bertaqwa yang mulia di sisi Allah SWT.

 

JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Masjid adalah jantung hati umat Islam. Masjid juga disebut sebagai rumah-rumah Allah. Sekaligus menjadi pusat kehidupan umat Islam. Sejak zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan Tabi’in masjid adalah institusi paling utama dan mempunyai pengaruh yang besar dalam membina individu, masyarakat dan umat Islam yang terbaik, cemerlang dan gemilang dalam segala bidang.

Sejarah awal Islam telah membuktikan bahawa generasi pertama umat Islam di zaman Rasulullah SAW itulah umat Islam terbaik yang mendapat sentuhan, didikan dan bimbingan secara langsung dari Rasulullah SAW melalui institusi masjid pertama, iaitu Masjid Quba’ di Madinah yang dibina oleh baginda Rasulullah SAW bersama para sahabatnya dan umat Islam diawal peristiwa hijrah dari Makkah ke Madinah.

Oleh itu, umat Islam hari ini hendaklah kembali kepada asas dan semangat Masjid Quba’ itu sekaligus mengambil contoh dan model Rasulullah SAW dalam menjadikan masjid sebagai institusi terpenting membina dan membangunkan umat Islam yang terbaik di zamannya.

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Asas pembinaan masjid itu ialah taqwa. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “…Kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau solat padanya. Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah Mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)”. (Surah At-Taubah, ayat: 108) 


Peringatan Allah SWT kepada kita tentang usaha pembinaan masjid/surau, iaitu satu dibina atas asas taqwa dan yang satu lagi dibina atas asas tepi jurang.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikan di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredhaan Allah itu lebih baik ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikan di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang zalim”. (Surah At-Taubah, ayat: 109)

Ayat ini, menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya membina masjidmasjid di atas asas/dasar taqwa kepada-Nya, bukan kerana yang lain. Bukan kerana untuk meruntuhkan dan memecahbelahkan perpaduan ummah.

Bila umat Islam lari daripada asas/dasar ini, pasti akan jauhlah kita menyimpang dari kehendak dan keredhaan Allah SWT.

Ingat, amaran Allah SWT dalam ayat tadi, bahawa kita akan runtuh bersama bangunan yang dibina yang tidak diredhai Allah SWT di dalam neraka, NA’UZUBILLAH…

Kelebihan dan galakkan membina masjid, menjaga kebersihan, kesucian dan keharuman masjid. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:[/i] “Rasulullah SAW menyuruh kita membina masjid-masjid di dalam daerah dan agar (masjid-masjid itu) dipelihara kebersihan dan keharumannya”. (HR Abu Daud dan At-Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Sesiapa membina sebuah masjid kerana Allah, walau sebesar kandang unggas, maka Allah akan membina baginya rumah di syurga”. (HR Asy-Syihab dan Al-Bazzar)

Jangan membina masjid kerana kemewahan dan keindahan semata-mata, tetapi tidak dimakmurkan, tidak dijaga kebersihan, keharuman dan sebagainya. Hal ini diperingatkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Aku tidak menyuruh kamu membangunkan masjid untuk kemewahan (keindahan) sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasrani”. (HR Ibnu Hibban dan Abu Daud).

 

JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Memakmurkan masjid adalah amalan yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada umat Islam dan orang yang beriman. Siapa yang akan memakmurkan masjid-masjid Allah dengan ibadah Solat, Solat berjemaah, majlis ilmu, tadarus Al Quran dan sebagainya.

Firman Allah SWT di dalam Al Quran:

Maksudnya: “Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan (beriman) hari akhirat serta mendirikan Solat dan menunaikan Zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk”. (Surah At-Taubah, ayat: 18) 


Ayat ini, menyebutkan lima golongan orang yang akan memakmurkan/menghidupkan masjidmasjid itu, iaitu:

1. Orang yang beriman kepada Allah

2. Orang yang beriman dengan hari akhirat

3. Orang yang mendirikan Solat

4. Orang yang menunaikan Zakat

5. Orang yang takut kepada Allah

Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW sabdanya yang bermaksud: “…dan tidak berhimpun suatu kaum dalam satu tempat rumah dari tempat-tempat (yakni) rumah-rumah Allah (yang dikhaskan untuk mencapai keredhaan) Allah dengan keadaan mereka membaca Kitabullah (Al Quran) dan mereka bertadarus sesama mereka, melainkan turunlah ketenteraman kepada mereka dan mereka pula diliputi oleh rahmat, juga mereka dikelilingi oleh malaikat serta mereka dipuji oleh Allah Ta’ala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal usahanya (dari mencapai kebaikan), tidak akan dapat disegerakannya oleh nasab keturunannya”. (HR Muslim, Abu Daud dan At-Tirmizi)

Hadith ini menjelaskan tentang keutamaan untuk menghidupkan rumah-rumah Allah atau masjid-masjid, antaranya kelas membaca dan tadarus Al Quran, membaca Hadith dan mempelajari ilmu Islam seperti aqidah, Fiqah, Akhlak, Tafsir dan lain-lain.

Sesungguhnya terdapat 4 kelebihan golongan berhimpun memakmur/menghidupkan masjidmasjid termasuk golongan yang mempelajari ilmu Islam dan mereka yang berzikir mengingati Allah SWT, iaitu:

1. Diturunkan Allah SWT suasana ketenteraman dan damai.

2. Diliputi/dinaungi rahmat Allah SWT.

3. Dikelilingi oleh para malaikat.

4. Dipuji dan dimuliakan di sisi Allah SWT

Maka sesuai dalam zaman yang dikatakan moden ini tentu berbagai-bagai pendekatan atau aktiviti boleh diaplikasikan melalui institusi masjid bagi memakmur dan menghidupkan masjidmasjid atau surau-surau sebagai institusi yang sangat hampir dengan kehidupan umat Islam.

Bila Hidup dan makmur masjid-masjid pasti akan terbina dan hiduplah umat Islam dalam suasana yang damai, aman dan sentiasa dalam naungan rahmat dan barakah Allah SWT.

Dalam hal ini, kepimpinan masjid, ahli jawatankuasanya dan ahli-ahli kariah serta seluruh masyarakat Islam setempat wajar mengambil peranan masing-masing.

Mari kita lihat dan renungkan kepimpinan Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang telah berjaya menjadikan masjid sebagai pusat membina, mentarbiah, mendidik dan membangun umat Islam sehingga menjadi umat terbaik sepanjang zaman.

Jika umat Islam dapat melihat peranan tersebut pasti kita akan menjadi umat yang mampu mencapai zaman terbaik, zaman kehebatan dan kegemilangan umat Islam terdahulu, insya Allah.


JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Teramat banyak peranan umat Islam hari ini untuk memakmurkan masjid di kariah dan daerah masing-masing. Umat Islam wajar melihat keutamaan dan kepentingan masjid. Yakini dan percayalah jika institusi masjid atau surau benar-benar berfungsi, pengurusan yang cemerlang dan dimakmurkan dengan pelbagai program kemasyarakatan, majlis ilmu, riadhah dan sebagainya. Selain, amal ibadah seperti Solat berjemaah, kelas Al Quran, kelas fardu ‘ain dan lain-lain.

Masjid/surau kita tersergam indah, tetapi tidak makmur. Salah siapa? Umat Islam kena tanya diri sendiri. Jangan salahkan orang lain.

Ingatlah, maju atau mundur, baik atau tidak, cemerlang atau tidak masjid yang ada di tengahtengah kariah, mukim dan daerah kita adalah bergantung sepenuhnya kepada umat Islam yang menjadi penduduk di sekitar masjid itu.

Yakin dan percayalah, umat Islam akan menjadi umat yang hebat dan terbaik jika institusi masjid dimakmur dan dihidupkan dengan pelbagai program ilmu, tarbiah, sosial, ekonomi dan sebagainya dengan acuan ilmu Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya Al Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberi berita yang menggembirakan orang yang beriman yang menggerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar”. (Surah Al-Israa’, ayat: 9)

Muat turun khutbah


SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH

Kita kini berada di ambang musim haji. Umat Islam di seluruh dunia termasuklah dari sabah dan negara kita ini bersiap untuk menuju ke Tanah suci Makkatul Mukarramah dengan niat yang satu, dengan tujuan yang satu, dengan harapan yang satu ; iaitu untuk menyempurnakan tuntutan terakhir daripada rukun islam yang lima. Umat Islam dari seluruh pelosok dunia melangkah meninggalkan tanah air masing-masing, baik dengan melalui darat, laut mahupun udara. Dengan apapun cara yang dilakukan untuk sampai kesana, kesemuanya itu adalah untuk membawa hamba menuju destinasi yang suci, dalam menyempurnakan tuntutan yang suci dan demi menunaikan manasik ibadat yang suci. Dalam al-quran Allah S.W.T menggambarkan syiar ibadat haji ini menerusi firman-Nya dalam surah Al-Hajj, ayat 27 :

Maksudnya : “Serulah kepada semua manusia agar melaksanakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus, yang datang dari segenap penjuru yang jauh’’.

Demikianlah, apabila kita kembali kepada maksud kesyukuran yang disentuh pada awal khutbah ini, maka sesungguhnya ibadat haji merupakan salah satu daripada pancaran rasa kesyukuran kita terhadap nikmat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T, tanda rasa syukur kita terhadap nikmat kekuatan tubuh badan yang diberikan oleh Allah S.W.T, manifestasi rasa syukur kita terhadap nikmat kesejahteraan sehingga kita dengan aman menuju tanah suci yang dikurniakan-nya, dan langkah para hujjaj itu juga isyarat kesyukuran kita terhadap kelapangan rezeki yang dilimpahkan-nya sehingga kita mampu untuk sampai ke Makkah bagi menyahut seruan ibadat haji.


PARA MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Para bakal haji ini perlulah bersyukur dan terus bersyukur, kerana daripada seluruh umat Islam di dunia ini, hanya mereka antara jutaan juta umat Islam seluruh dunia yang mendapat kesempatan untuk menunaikan fardhu haji pada tahun ini. Oleh itu, kesempatan yang terbaik sebagai tetamu Allah ini hendaklah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, khasnya dengan berusaha mendapatkan haji yang mabrur, kerana haji yang mabrur dijanjikan oleh Allah S.W.T dengan syurga-nya, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

“Haji yang mabrur tiada ganjaran baginya, melainkan syurga”. (HR: Bukhari dan Muslim)

 

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH

Sebagai bekalan ke tanah suci baiklah kiranya para bakal jemaah haji merenungkan dan memberikan perhatian yang mendalam terhadap perkara berikut :

Pertama, saudara-saudara para bakal haji perlulah sentiasa meluruskan niat dengan memastikan bahawa tujuan mereka ke tanah suci hendaklah semata-mata ikhlas untuk beribadat kepada Allah S.W.T, bukannya untuk meraih kepentingan peribadi seperti untuk mendapat pujian dan lain-lain. Dalam surah Al-Baqarah, ayat 196, Allah S.W.T mengingatkan :

Yang bermaksud:“Tunaikanlah haji dan umrah semata-mata kerana Allah”.

Perkara kedua, saudara-saudara bakal tetamu Allah sekalian perlulah sentiasa memastikan bahawa setiap amalan atau manasik haji yang ditunaikan hendaklah sesuai dengan tuntutan rukun dan segala peraturan ibadat yang telah ditetapkan.

Perkara ketiga pula ialah kita perlu memanfaatkan kesempatan barada di tanah suci dengan melipat-gandakan amal ibadat, khasnya dengan melaksanakan solat berjemaah, beriktikaf, membaca al-quran, banyak berzikir dan sebagainya. Elakkanlah daripada amalan berbelanja atau membeli-belah yang keterlaluan sehingga boleh melalaikan kita daripada kesempatan melaksanakan ibadat-ibadat yang besar ganjarannya di Masjidil Haram. Rasulullah S.A.W. menjelaskan mengenai keutamaan masjidil Haram ini menerusi sebuah sabdanya yang bermaksud :

"Satu solat di masjidku ini (Masjid Nabawi di Madinah) lebih utama daripada seribu solat di masjid-masjid selainnya, kecuali Masjidil Haram. Satu solat di Masjidil Haram lebih utama seratus kali daripada solat di (Masjidku) ini ”. (Hadis Riwayat Ahmad)

Namun di samping bersungguh-sungguh beribadat, maka janganlah sekali-kali diabaikan aspek kesihatan, kerana fizikal yang sihat akan membantu kita dalam menyempurnakan segala tuntutan haji.

Perkara keempat yang juga perlu mantap dalam diri para jemaah haji ialah nilai kesabaran. Para jemaah haji perlu mengutamakan kesabaran dalam menyempurnakan ibadat. Tuntutan haji yang menghadirkan jutaan manusia berhimpun di tanah suci, tentulah juga akan menghadirkan pelbagai karenah manusia dengan suasana yang tidak sama jika dibandingkan dengan keadaan di tanah air dari segi keselesaan, kemudahan mahupun keadaan iklimnya. Hakikat inilah yang perlu disedari oleh para jemaah haji sekalian.

Di tengah-tengah kesesakan manusia dari seluruh pelosok dunia menunaikan ibadat, maka janganlah diharapkan layanan atau kemudahan-kemudahan yang sama dengan yang ada di tempat kita. Justeru, kita perlu sentiasa bersabar dan menahan diri daripada bertindak mengikut perasaan, menjauhi rasa marah, mengikis ego di hati dan menghakis rasa besar diri yang boleh menjejaskan kesempurnaan ibadat kita. Apabila telah memakai ihram di miqat, maka lucutlah pula segala pakaian kebesaran, pangkat, kedudukan dan keturunan. Semua para haji sama memakai ihram yang putih yang mengisyaratkan bahawa semua manusia adalah sama hanya dengan ketaqwaan sebagai ukuran kemuliaan. Semoga para Jemaah haji akan pergi menyahut panggilan kaabah dengan membawa kesabaran dan kesungguhan beribadat, dan kembali ke tanah air dengan haji yang mabrur.

Muat turun khutbah

 

 

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Sememangnya dunia ini penuh dengan permainan melalaikan. Meskipun kita cuba mengawal diri daripada terperangkap dengan tipu dayanya, namun ada kalanya kita tewas juga akibat kelemahan iman dan kelunturan sifat takwa kepada Allah SWT. Sebab itu, kita semua dituntut supaya sentiasaberusaha meningkatkan serta memurnikan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan dan suasananya. Caranya sudah tentulah dengan mengerjakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan Allah SWT dengan penuh keikhlasan secara berterusan. Hanyasanya keimanan dan ketakwaan yang sebenar-benarnya kepada Allah sahajalah yang dapat menghindarkan kita daripada terperangkap dengan tipu daya dunia yang mempesonakan, sekali gus menjamin kebahagiaan hidup di
dunia dan di akhirat.

Allah SWT memperingatkan kita tentang hal ini melalui firman-Nya:-

Yang bermaksud: "Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" (S. Al-An'aam: 32).

Sehubungan dengan firman Allah tersebut, maka sudah sepatutnyalah kita tidak memandang ringan tuntutan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT di samping bertaubat daripada segala kesilapan, kesalahan dan dosa yang terlanjur dilakukan. Ini kerana hanya ketakwaan kepada Allah sertakeampunan-Nya yang akan menjamin kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.


SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Sebagai manusia biasa, agak sukar bagi kita mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan mahupun kesalahan sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Dalam erti kata yang lain, tiada seorang pun dari kalangan kita yang tidak melakukan dosa. Perbezaannya cuma terletak pada besar ataupun kecilnya dosa yang dilakukan.

Namun yang pasti, sesiapa yang menyedari dirinya sudah melakukan banyak kesalahan dan dosa atau disedarkan oleh orang lain terhadap dosanya, wajib bersegera bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha. Taubat bererti kembali, yakni kembali kepada fitrah manusia yang lahir dalam keadaan suci bersih dari sebarang kekotoran noda dan dosa.


SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Antara perintah yang paling tegas melaksanakan taubat dalam Al-Quran adalah firman Allah SWT:-

Yang bermaksud: “ Wahai orang yang beriman! bertaubatlah kepada Allah dengan ‘taubat nasuha’, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…” (S. At-Tahrim: 8).

Menyentuh hal yang sama, Rasulullah SAW turut menganjurkan kita semua supaya bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT, sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Hai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah pengampunan daripada-Nya, kerana sesungguhnya
aku bertaubat dalam sehari seratus kali.” (HR. Muslim).

Melalui ayat al-Quran dan hadis ini, adalah jelas sekali bahawa kita sangat dianjurkan supaya bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Dengan sifat Pemaaf-Nya, Allah SWT memberi ruang dan peluang kepada kita untuk mensucikan diri masing-masing daripada segala kekotoran noda dan dosa yang dilakukan kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani hamba-hamba-Nya yang bersedia dan mahu mensucikan diri daripada segala perbuatan mungkar dan dosa. Maka, jangan persiakan sisa-sisa hidup yang masih ada untuk bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah kerana sesungguhnya kita semua adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada godaan nafsu dan syaitan.


SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Ulama menjelaskan pengertian taubat nasuha sebagai taubat yang dilakukan dalam erti kata sebenar, bukannya taubat untuk jangka waktu tertentu atau taubat pura-pura disebabkan malu dengan dosa. Ibn Kathir menyebutkan taubat nasuha sebagai taubat yang benar ikhlas dan kebanyakan ulama menyebut sebagai taubat daripada dosa dan tidak lagi mengulangi perbuatan itu. Manakala al-Kalabi pula menyebutkan taubat nasuha sebagai beristighfar dengan lidah, insaf dengan hati dan mencegahdengan anggota badan.

Menurut Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya' Ulumiddin, taubat membawa makna yang terangkum di dalamnya tiga unsur , iaitu ilmu, keadaan dan amal sama ada ketika bertaubat mahupun selepas bertaubat.

Apabila seseorang hamba berilmu, iaitu mengetahui bahaya serta natijah dosa yang dilakukannya pasti dia menyedari bahawa dosa itu adalah seperti racun yang bakal memudaratkan dirinya di akhirat kelak. Kesedaran itulah yang akan menginsafkan dirinya sehingga merasa menyesal dalam hatinya kerana kehilangan iman yang menjadi perisai daripada azab neraka. Kesedaran serta rasa gerun terhadap siksaan neraka kemudiannya menimbulkan pula perasaan menyesal terhadap segala perbuatan yang telah dilakukan.

Sebagai natijahnya, kesedaran dan penyesalan yang lahir akhirnya mengubah peri laku lalu menjadikan seseorang hamba yang salih yang sentiasa berazam melakukan kebaikan dan tidak akan sesekali mengulangi dosa lalu. Bilamana keadaan ini benar-benar wujud dan mekar pada diri seseorang hamba itu, akan lahirlah cita-cita membuat kebajikan sebagai menebus dosanya. Seterusnya, hamba yang sedemikian akan meninggalkan segala dosa, berazam tidak akan mengulangi dosa itu dan menyesali segala dosa yang dilakukan.

Ia termasuklah memohon kemaafan daripada manusia yang pernah dianiaya atau dizalimi sama ada secara langsung atapun tidak langsung. Kalau penganiayaan itu berupa fitnah, ia hendaklah diselesaikan dengan cara membersihkan nama baiknya. Andai kata harta yang diambil, ia dilunaskandengan cara mengembalikannya kepada pemiliknya  atau mohon dihalalkan.


SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Ketahuilah bahawa umat Islam yang sentiasa bertaubat terhadap segala perbuatan mungkar dan dosa yang dilakukan adalah kalangan hamba paling dikasihi oleh Allah SWT. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:-

Yang bermaksud: “…Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri.” (S. Al-Baqarah: 222).

Oleh hal yang demikian, kasih dan cinta Allah ini harus kita semua rebut melalui jalan bertaubat dan memohon keampunan atas segala dosa yang dilakukan kepada Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dalam erti kata yang lain, jangan berlengah atau bertangguh dalam menginsafi dan menyesali noda dan dosa yang dilakukan. Sebaliknya, bersegeralah bertaubat dan memohon ampun kepada Allah dengan azam yang kuat untuk tidak lagi mengulangi segala perbuatan yang merugikan kehidupan di dunia dan di akhirat.

Pada masa sama, kita semua harus sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan terhadap amal ibadat yang wajib mahupun yang sunat. Kalau hari ini kita hanya bersembahyang hanya sekali seminggu, maka tingkatkanlah prestasi ibadat dengan melaksanakan solat fardu yang lima. Kalau terlibat dengan aktiviti judi, maka jauhilah semua premis dan peralatan judi mula saat ini.

Kalau dulu berat tangan untuk mengeluarkan sedekah, maka bersegeralah merebut sifat rahman dan rahim Allah, walaupun hanya dengan menyedekahkan sebiji buah kurma. Dengan bertaubat, kita dapat menyuburkan hubungan kita dengan Allah serta hubungan kita sesama manusia.


SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Suatu ketika, Abdullah bin Umar datang menemui Rasulullah SAW yang sedang berkumpul bersama sepuluh sahabat. Seorang sahabat Ansar di kalangan mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling cerdas dan pemurah itu?”

Baginda menjawab, “Orang yang sentiasa mengingat kematian dan melakukan persiapan menghadapi kematian. Itulah orang cerdas yang akan memperoleh kehormatan di  dunia dan kemuliaan di akhirat kelak.” (HR Hakim, At-Thabrani dan At-Tirmizi).

Sesungguhnya perbuatan bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT merupakansebahagian daripada persiapan penting dalam menghadapi hari akhirat. Kerana itu, marilah kita jadikan amalan segera bertaubat secara berterusan sebagai rutin kehidupan kita, mudah-mudahan taubat kita diterima Allah, sebagaimana janji-Nya di dalam al-Quran:-

Yang bermaksud: "Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan (yang mereka lakukan) dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan." (S. Asy-Syuraa: 25).

Muat turun khutbah

 

Bilangan Pelawat

128772
TodayToday2
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week2
This MonthThis Month2
All daysAll days128772

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains