A- A A+
PENGUMUMAN TERKINI :

Khutbah Jumaat

khutbah19.png - 108.93 kB

 

Buletin Soutul Islam

Pengarah JHEAINS

biruu.png - 95.75 kB

Adakah infomasi di dalam Laman Web ini memenuhi keperluan anda?

Aplikasi E-Perkhidmatan

free accordion joomla menu
 
 
MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,[bold]
 
Taqwa adalah sifat yang terpuji di sisi Allah SWT. Orang yang bertaqwa adalah hamba yang paling dimuliakan di sisi Allah SWT. Orang yang bertaqwa juga merupakan golongan yang mendapat jaminan keselamatan, kemenangan, kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah SWT dengan taqwa yang sebenar-benar, yakni melaksana segala titah perintah Allah SWT serta meninggalkan apa yang dilarang-Nya.
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,[bold]
 
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
 
 
Maksudnya:[s/i] “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”.[e/i] (Surah Al Baqarah, ayat 168)
 
Dalam ayat yang lain, diperingatkan lagi khusus kepada orang yang beriman supaya makan minum yang halal dan sentiasalah bersyukur kepada Allah SWT,  firman-Nya:
 
 
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan (kurniakan) kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya”. (Surah Al-Baqarah, ayat 172)
 
Tanda kasih dan sayangnya Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, maka diulang-ulangi ayat tentang peringatan makan yang halal lagi baik, kemudian diikuti dengan perintah bertaqwa kepadaNya, tujuannya ialah supaya orang beriman itu sentiasa selamat, sihat dan dalam limpahan rahmat serta redha-Nya di dunia dan akhirat. Firman-Nya di dalam Al Quran:
 
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman”. (Surah Al-Maidah, ayat 87-88)
 
Ayat ini memberikan peringatan kepada umat Islam dan orang yang beriman, berkaitan dengan dua yang dilarang dan dua lagi disuruh, iaitu:
 
1. Jangan haramkan yang dihalalkan Allah SWT
2. Jangan melampaui batas dalam perkara yang dihalalkan
3. Makan rezeki yang halal dan baik
4. Bertaqwalah kepada Allah SWT
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA, [bold]
 
Halal itu jelas dan nyata dan haram pun jelas dan nyata. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya halal itu nyata dan haram itu juga nyata, tetapi antara kedua-duanya ada perkara-perkara musytabihat (kesamaran) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang…” (HR Bukhari dan Muslim)
 
Dalam makanan dan minuman ada yang halal dan ada yang haram. Apabila telah jelas yang halal dan haram. Jalan terbaik bagi umat Islam ialah pilihlah yang halal, tinggalkan yang haram itu.
 
Sebagai contoh dalam memilih restoran, gerai makan, makanan, bahan atau barangan yang dijual dikedai. Jika ada logo halal sah yang diiktiraf oleh kerajaan atau logo halal luar negara yang sah dan diiktiraf kerajaan, maka itulah sepatutnya menjadi pilihan umat Islam.
 
Barangan tanpa logo halal belum tentu halal. Oleh itu, umat Islam tidak wajar membeli atau menggunakan barangan tersebut. Begitu juga restoran atau kedai makan yang tidak mempunyai logo halal sah dan diiktiraf kerajaan tidak sepatutnya menjadi pilihan umat Islam.
 

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,[bold]
 
Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap umat Islam. Kerana banyak kebaikan, pahala dan keberkatan dalam kehidupan umat Islam
 
Dalam soal makan minum ini Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam tentang kelebihan makan minum yang halal dan akibat memakan dan meminum yang haram, sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Wahai Sa’ad! Perbaikilah (murnikanlah) makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang terkabul doanya. Demi yang jiwa Muhammad dalam tangan-Nya (kuasa-Nya). Sesungguhnya seorang hamba yang melontarkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebaikannya selama 40 hari dan siapa pun yang dagingnya tumbuh dari benda yang haram, maka api neraka lebih layak membakarnya”. (HR At-Thabrani)
 
Pengajaran Hadith ini, ialah memberikan penjelasan tentang kebaikan makanan halal dalam kehidupan umat Islam dan keburukan makanan yang haram. Kebaikan atau kelebihan makanan halal ialah mudahnya doa dimakbulkan oleh Allah SWT. Pasti orang yang doanya makbul itu adalah golongan orang soleh dan baik-baik. Juga orang yang memakan yang halal itu hidupnya akan lebih bahagia, jiwa bersih, hati tenang, hidup diberkati sihat tubuh badan, jauh dari penyakit, usia berkat, rahmat sentiasa melimpah-limpah, bertambah kebaikan, di akhirat pasti dikurniakan ganjaran pahala berganda-ganda di sisi Allah SWT.
 
Manakala keburukan makanan haram pula akan menyebabkan doa tidak makbul, amalan tidak diterima di sisi Allah SWT, lagi kesan dari memakan yang haram itu ialah menjauhkan kita daripada Allah SWT, juga dari rahmat Allah SWT, bertambahlah dosa, tiada ketenangan dan hilang keberkatan hidup, jiwa tidak tenteram, bahkan di akhirat kelak akan dibakar dalam api neraka! NA’UZUBILLAHI MIN ZALIK. 
 

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,[bold]
 
Untuk memastikan makanan halal dalam negara benar-benar terjamin, maka kerajaan telah mengubal undang-undang, enakmen atau akta berkaitan halal, antaranya ialah Akta Perihal Perdagangan 2011, Akta Makanan 1983, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 dan lain-lain. Semua ini dengan tujuan untuk mengawal dan memberikan kesedaran kepada umat Islam, masyarakat dan juga para peniaga serta pengguna supaya memilih makanan halal, tidak menyalahguna sijil dan logo halal untuk semata-mata mencari keuntungan duniawi.
 
Sesungguhnya beruntunglah golongan peniaga, pengusaha dan usahawan yang berusaha menyediakan makanan halal, mengusahakan barangan halal dan memasarkannya, mereka ini akan mendapat dua keuntungan dalam perniagaan. Untung kerana bertambah dalam pendapat, rezeki bertambah, ramai pembeli dan menjadi pilihan ramai. Satu lagi untung di sisi Allah SWT mereka akan diberikan ganjaran pahala berganda, keberkatan dan keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
 
Umat Islam sebagai pengguna juga beruntung memilih, menggunakan dan memakan barangan dan makanan halal. Sebab barangan dan makanan halal selamat, baik untuk kesihatan rohani dan jasmani, mendapat pahala, keberkatan dan keredhaan di sisi Allah, malah barangan dan makanan halal juga tidak mendatangkan mudarat kepada fizikal dan rohani.
 
Tetapi rugilah golongan peniaga, pengusaha atau usahawan yang sekadar mengira untung dalam bentuk angka-angka, hakikatnya mereka rugi sepanjang hayat kerana apa yang diusahakan sekadar angka besar, namun tiada nilai berkat, tiada nilai pahala dan keredhaan di sisi Allah SWT.
 
 
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,[bold]
 
Demikianlah, pentingnya barangan dan makanan halal dalam kehidupan sehari-harian umat Islam. Penting untuk kesihatan rohani jasmani. Penting untuk amal ibadat dan amal soleh. Penting untuk kehidupan kita di hari akhirat kelak.
Seterusnya amat penting umat Islam mengetahui kesan dan akibat menggunakan barangan dan makanan haram kepada diri, ahli keluarga, kehidupan, amal ibadat sama ada ketika di dunia ini serta di akhirat nanti, seperti doa tidak makbul, amalan tidak diterima di sisi Allah SWT, tiada keberkatan hidup dan bertambahtambahnya dosa, manakala di akhirat akan dibakar dalam api neraka.
 
Akhirnya, pastikan pilih, makan dan gunakan makanan dan barangan yang halal sahaja. Dan tinggalkan atau jauhi daripada memilih, memakan dan menggunakan makanan dan barangan yang haram. Mudah-mudahan hidup kita, anak isteri dan keluarga akan lebih baik, tenang, berkat, sihat, selamat dan bahagia di dunia dan akhirat, insya Allah.
 
 

Berita JHEAINS

Bilangan Pelawat

74610
TodayToday2
YesterdayYesterday0
This WeekThis Week2
This MonthThis Month2
All daysAll days74610

Peta Lokasi

 

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 3, 9 dan 10, Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

88737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 522 222

088 - 233 573 / 088 - 248 324

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan laman web ini, sila klik pada link email dibawah:

webmaster@jheains