A- A A+
PENGUMUMAN TERKINI :
Adakah anda berpuas hati dengan perkhidmatan JHEAINS?

KHUTBAH JUMAAT 26 ZULHIJJAH 1439 H / 7 SEPTEMBER 2018 M
HIJRAH MEMULIAKAN KITA DUNIA AKHIRAT
Oleh: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)



MA’ASYIRAL MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Sesungguhnya insan yang bertakwa itu akan beroleh kemenangan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Nikmat Islam yang dikecapi selama ini, seharusnya kita syukuri dengan meningkatkan amal ibadah bagi memperkukuhkan lagi hubungan kita dengan Maha Pencipta lagi Maha Berkuasa serta mengeratkan hubungan kita sesama manusia.

HADIRIN JAMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,

Perubahan adalah sesuatu yang fitrah. Ia berlaku pada sepanjang sejarah hidup manusia. Kita tidak boleh mengelak dari perubahan. Apa yang berlaku pada hari ini akan menjadi tradisi pada keesokannya. Peristiwa yang terjadi pada masa lalu menjadi sejarah pada hari ini. Peristiwa Hijrah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW adalah suatu sejarah. Tetapi peristiwa itu tetap hidup pada sepanjang sejarah umat Islam. Ada latar belakang mengapa hijrah itu terjadi. Ada kesan besar kepada umat Islam dan umat manusia hasil dari peristiwa tersebut. Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah adalah suatu peristiwa strategik di mana Rasulullah SAW menghadapi suatu suasana yang amat kritikal dalam perjuangannya menemui jalan keluar yang amat mencabar dan melaluinya dengan perancangan bijaksana yang dibantu oleh Allah SWT. Peristiwa ini juga memperlihatkan pandangan jauh dan futuristik Rasulullah SAW terhadap perubahan dan peradaban. Membebaskan manusia dari belenggu jahiliah bukanlah suatu hal yang mudah. Fahaman nenek-moyang yang sudah lama terbina, semangat kekabilahan yang sudah berakar umbi, undang-undang rimba yang kuat mengatasi yang lemah yang sudah sekian lama berjalan adalah faktor-faktor penghalang yang menyebabkan pejuang-pejuang jahiliah merasa tergugat dan akhirnya mengambil keputusan untuk menghapuskan Rasulullah SAW dari muka bumi.

Fahaman dan amalan jahiliah berlaku di sepanjang zaman umat manusia. Ia berlaku pada zaman Rasulullah SAW boleh berlaku pada masa kini dan boleh berlaku pada masa depan. Asas yang membezakan jahiliah dan tidak jahiliahnya sesuatu keadaan dan zaman ialah faktor akidah, iman dan takwa. Akidah yang benar memandu manusia tentang adanya Pencipta. Kewujudan Pencipta membina asas iman bahawa Pencipta berkuasa atas segala-gala. Darinya lahir keinsafan yang membawa kepada takwa bahawa dari Allah manusia datang kepada Allah manusia akan kembali. Kehidupan umat Islam tidak saja mengambil pertimbangan dunia tetapi juga mengambil pertimbangan akhirat. Apabila pertimbangan akhirat menjadi agenda utama, kehidupan di dunia akan menjadi lebih sempurna kerana manusia terus ingat akan hari pembalasan. Ia menyebabkan manusia lebih berhati-hati dan sentiasa dipandu untuk melakukan kebaikan dan mengelak dari melakukan kejahatan.

Jahiliah pada zaman Rasulullah SAW atau sebelumnya tidak bermakna tiadanya perubahan dan kemajuan dari sudut sains dan teknologi. Zaman Yunani, zaman Mesir Purba, zaman Mesopotamia umpamanya sains dan teknologi sudah mula berkembang. Kemajuan sains dan teknologi bukan ukuran mutlak bahawa manusia sudah bebas dari belenggu. Sains dan teknologi selamanya alat untuk menemukan manusia dan faktor alamiah dan menemukan manusia dengan ilmu alat untuk memudahkan kehidupan. Dalam tradisi Islam sains mendekatkan manusia dengan pencipta. Teknologi memudahkan manusia melakukan kebaikan dan membina kesejahteraan.

HADIRIN JAMAAH JUMAAT YANG DIBERKATI ALLAH SWT, Firman Allah dalam ayat 22 surah az-Zumar:

Mafhumnya: “Jika demikian, Adakah orang Yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada Dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang Yang tertutup mata hatinya Dengan selaput kederhakaan)? maka Kecelakaan besarlah bagi orang-orang Yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan Yang diberi oleh Allah. mereka Yang demikian keadaannya, adalah Dalam kesesatan Yang nyata”. (Surah Az-Zumar: Ayat 22)

Penghijrahan dalam bentuk sebuah Negara yang hebat dan kukuh mesti bermula daripada penghijrahan dalam diri pada 4 perkara asas iaitu:

1.Hijrah I’tiqadiyah iaitu hijrah dari segi keimanan dan keyakinan.

Khalifah Umar Bin Abdul Aziz berpesan:



Maksudnya: “Sesungguhnya iman memiliki kewajiban-kewajiban, batasan dan aturan serta sunnah-sunnah, barangsiapa menyempurnakannya maka sempurnalah imannya dan barangsiapa tidak menyempurnakannya maka tidak sempurna pula imannya”.

2.Hijrah Fikriyah iaitu pemikiran. Seiring perkembangan zaman, kemajuan teknologi dan derasnya arus informasi, seolah dunia tanpa batas. Tidak hairan berbagai pemikiran telah tersebar di medan perang tersebut laksana dari senjata-senjata peragut nyawa. Ia telah menyusup ke dalam sendi-sendi dasar pemikiran kita yang murni. Ia menjadi virus ganas yang cuba merosakkan pemikiran umat Islam sehingga adanya umat Islam yang mahu halalkan LGBT, menghalalkan kahwin sejenis dan budaya songsang serta minta dihapuskan hukum syariat. Hijrah fikriyah menjadi sangat penting mengingat kemungkinan besar pemikiran kita telah terserang virus ganas tersebut. Mari kita kembali mengkaji pemikiran-pemikiran Islam yang murni. Pemikiran yang telah disampaikan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW melalui para sahabat dan para salafussoleh yang sanggup mati dalam mengembangkan dakwah Islam.

3.Hijrah Syu’uriyyah iaitu cita rasa, kesenangan, kesukaan dan kemahuan yang ada pada diri kita sering dipengaruhi oleh nilai-nilai yang tidak Islamik. Banyak hal seperti hiburan, muzik, bacaan, gambar, hiasan, pakaian, rumah, idola luput daripada pengaruh nilai-nilai Islam. Dulu penjajah mahu menjajah umat Islam terpaksa datang ke negara kita tetapi kini kita sendiri menjemput musuh Islam untuk mengubah cara hidup ala penjajah melalui tv, radio, internet dan sebagainya.

Faham jahiliah tidak melihat agama itu penting. Pedoman baik buruk akan sesuatu dianggap sebagai ketinggalan zaman. Untuk menjadi moden dan maju remaja dikatakan harus melepaskan diri dari ikatan salah-benar dan dosa-pahala. Untuk menjadi global, apa yang datang dari Barat adalah lambang maju dan moden. Yang lahir dari tradisi dan agama dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Oleh itu untuk menjadi remaja yang maju dan terkini, Baratlah menjadi segala-gala. Bukanlah Barat yang harus dibenci oleh remaja. Di Barat terdapat sumber ilmu dan teknologi yang bermanfaat. Tetapi agenda pembaratan yang menyebabkan ramai remaja kita terjebak seharusnya menimbulkan kewaspadaan. Lebih-lebih lagi mengambil faktor kebebasan Barat sebagai ukuran hidup yang maju boleh menjebak remaja kepada elemen-elemen jahiliah yang menjauhkan remaja dari agama.

4.Hijrah Sulukiyyah iaitu tingkah laku, keperibadian atau biasa disebut juga akhlak. Rasulullah SAW begitu menekankan tentang penghijrahan daripada terlibat dengan perkara mungkar barulah kita benar-benar menjadi manusia yang berhijrah. Sabda Nabi Muhammad SAW:



Maksudnya: “Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya”.

HADIRIN JAMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH SWT,

Firman Allah SWT dalam ayat 35 surah al-Anbiyaa’:


Mafhumnya: “Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu Dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan”. (Surah al-Anbiyaa’: ayat 35)

Jika penghijrahan untuk mencari kemuliaan dan kegemilangan di dunia perlu kepada pengorbanan dan kesungguhan maka lebih-lebih lagi persiapan sebelum berlakunya penghijrahan atau perpindahan hidup kita ke negeri akhirat tempat pembalasan atas segala amalan kita di dunia ini. Cara dan gaya hidup kita sama ada dihiasi dengan amalan soleh atau dicemari dengan dosa maksiat merupakan cerminan awal kepada tempat kembalinya kita di akhirat nanti.

Imam Al-Ghazali membahagikan manusia kepada tiga tingkatan dalam menghadapi mati iaitu:

1.Al-Munhamik, iaitu orang yang tenggelam dalam tipu daya dan hawa nafsu dunia. Mereka tidak ingat kematian dan enggan diingatkan mengenai kematian. Golongan seperti itu tidak mempersiapkan bekalan untuk menghadapi kematian bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat.

2.At-Taib, iaitu golongan yang bertaubat memohon keampunan daripada Allah SWT dan mereka banyak mengingati kematian yang mendorongnya beramal dan mempersiapkan bekalan menuju akhirat.

3.Al ’Arif, iaitu golongan yang mengetahui kedudukan dirinya di hadapan Allah SWT. Mereka sentiasa mengingati kematian bahkan sentiasa menanti saat kematian kerana kematian baginya adalah pertemuan dengan Allah SWT yang begitu dirindui.

HADIRIN JAMAAH JUMAAT YANG DILINDUNGI ALLAH SWT,

Jadilah “orang beruntung” yakni orang yang bersiap sedia untuk melakukan hijrah. Perkukuhkanlah iman dan lakukanlah hijrah setiap masa, di mana sahaja dan di posisi mana pun kita berada. Sentiasa ada set minda hijrah di dalam diri kita yang menyebabkan apa sahaja yang kita fikir, rasa, buat dan laksanakan adalah kearah Islam dan iman yang lebih baik.

Setiap diri berfikir untuk menghijrahkan hati, akal, nafsu, emosi dan fizikalnya kearah iman dan Islam. Ibu bapa berfikir bagaimana menghijrahkan keluarganya. Guru-guru bertanggung jawab menghijrahkan sekolah. Imam hijrah dengan anak-anak kariahnya. Pemimpin masyarakat menghijrahkan kampong, mukim, bandar dan daerah. Pemimpin-pemimpin peringkat tertinggi, tokoh-tokoh korporat, pula berperanan memimpin armada hijrah yang lebih besar dan luas lagi......Inilah pra syarat untuk mencapai

kejayaan. Bantuan Allah akan sentiasa bersama kita jika kita bersama hijrah , dengan syarat kita berhijrah dengan tenaga, harta, masa dan jiwa kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT:

Mafhumnya: ”Dan orang-orang Yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya Yang baik; dan Sesungguhnya pahala (amal mereka Yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui”.

Muat turun khutbah

 

 

Acara Terkini JHEAINS

Bilangan Pelawat

Today
Yesterday
This Week
This Month
All days
31
204
31
2368
3611

Peta Lokasi

Alamat Perhubungan

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Tingkat 10 Blok A, Wisma MUIS, Beg Berkunci 103,

89737 Kota Kinabalu, Sabah.

088 - 217 629/ 217 259

088 - 233 573

webmaster@jheains.sabah.gov.my